Bab 2 – Maruah

Maruah perlu dipertahan,
yang tercalar perlu diperbaiki,
namun apa hakikatnya maruah?
izzah pada kebenaran atau hanya sebuah keegoan?

      Mata terbuka. Bangun dan turun dari katil. Terus melakukan tekan tubi, 30 kali. Kemudian berehat 10 saat dalam keadaan meniarap, sebelum disambung dengan aksi ‘burpees’ sebanyak 30 kali. Setelah selesai, dia baring dalam keadaan terlentang, rehat 10 saat, kemudian pergerakan seperti mengayuh basikal dilakukan selama 1 minit. Pergerakan ini diikuti dengan 10 saat rehat, sebelum dia melakukan ‘pelank’ selama seminit. Seterusnya dia bangun, dan melakukan 200 tumbukan, diikuti 200 tendangan, kanan dan kiri, dengan angin menjadi mangsa, sebelum semua itu disambung dengan lompatan tinggi sambil tangannya cuba menyentuh siling, sebanyak 50 kali. Kemudian dia berehat selama seminit, sebelum mengulangi itu semua sebanyak 5 set.

      Peluh membasahi tubuh. Dada berombak kencang. Rongga tidak henti-henti menyedut dan melepaskan udara. Dia cuba mengawal pernafasan dan mengekalkan ketenangan. Setelah merasa selesa, dia duduk bersila dan bertafakur. Rasa melengas yang menyelimuti tubuh diabaikan. Dia cuba memberikan tumpuan kepada segala yang berlaku di sekeliling.

      Dia dapat mendengar dengkuran jiran, embun yang jatuh menitik ke bumi, telapak kaki orang yang berumur sedang melangkah ke masjid, haluan angin, haiwan-haiwan kecil seperti tikus, lipas, cengkerik yang berada di luar rumahnya dan sebilangan yang berada di rumah-rumah jiran, pernafasan sebilangan anjing yang menjaga beberapa rumah, pergerakan kenderaan milik sebilangan jiran yang keluar awal mahu mencari rezeki juga mereka yang baru sahaja pulang dari kerja malam.

      Dia dapat mendengar, dan menggambarkan semuanya, walaupun jarak rumahnya tidak hampir, atau pun perkara-perkara itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar atau didengari telinga yang biasa. Hasil latihan yang diperturunkan oleh bapanya.

      Latihan seorang Pemburu.

      Pemburu tidak terhasil secara semulajadi. Seorang Pemburu mestilah melalui siri latihan yang panjang dan keras, serta melalui satu siri pembedahan untuk mengubah keadaan beberapa organ dalaman. Ini semua untuk mempertingkatkan deria, keutuhan tubuh, kekuatan tulang dan menjadikan seseorang itu sesuai untuk menggunakan minuman herba yang khas untuk mempertingkatkan kelebihan seorang Pemburu yang sudah sedia luar biasa itu. Ada minuman untuk memperkasakan tubuh, ada untuk membuatkan seorang Pemburu boleh memandang lebih jauh, ada yang bertindak mempertingkatkan deria seorang Pemburu beberapa kali ganda, dan pelbagai lagi. Sekiranya manusia yang tidak menjalani pembedahan tadi, minuman-minuman itu akan membunuhnya.

      Bagi Pemburu juga, sekiranya minuman-minuman tersebut diambil secara berlebihan, nyawa mereka juga akan terancam.

      Oleh kerana proses untuk menjadi seorang Pemburu itu tidak mudah, dikatakan telah banyak nyawa melayang menjalani proses tersebut, dan Pemburu yang ada di dunia ini hanyalah sekitar 50 orang sahaja pada satu-satu masa. Bertebaran di seluruh muka bumi ini untuk melakukan makar yang dikehendaki oleh Kesatuan Pemburu.

      Namun tanpa pengetahuan organisasi tersebut, dia juga merupakan salah satu yang mempunyai kelebihan luar biasa itu.

      “Bakri,”

      Segera pertapaannya ditamatkan. Pintu bilik dibuka oleh pemilik suara. Lampu bilik dihidupkan. Wajah bapanya terzahir. Senyuman dilempar oleh lelaki berumur sekitar 40-an itu. Berambut hitam pendek dan kemas, tubuhnya tidak terlalu sasa tetapi tegap, disokong dengan tongkat.

      “Jom solat.”

      Bakri bangun dari persilaan. Bergerak sebentar ke almari mencapai baju sejuk, sebelum berjalan keluar sambil tangan memaut lengan bapanya. Mereka melangkah bersama-sama melepasi koridor, sebelum sampai ke ruang tamu, dan terus bergerak ke pintu utama.

      Kedengaran laungan azan. Waktu Subuh baru menjengah.

      “Sudah bersedia untuk masuk ke universiti?” Bapanya membuka pintu.

      “InsyaAllah.” Bakri menggangguk sambil menyarung selipar.

      “Mahu Ayah hantar?” Dia dapat melihat bapanya tersengih.

      Bakri tertawa. “Bakri dah dewasalah Ayah. Tahun ni umur Bakri 20 tahun.”

      Mereka berjalan keluar dari perkarangan rumah. Rumah mereka agak jauh berbanding rumah-rumah yang lain. Kawasan yang diduduki mereka adalah tempat orang-orang berada. Masing-masing membeli tanah dan membina rumah sendiri. Majoriti penduduk di sini beragama Islam, dan masjid terletak di tengah-tengah, seakan-akan menjadi pusat kepada penduduk di sini. Dan sekarang, kebanyakan taman perumahan baru di Malaysia memang berkonsepkan sedemikian. Masjid tidak lagi menjadi tempat ritual, tetapi bertindak sebagai pusat masyarakat. Dan itu termasuk juga masyarakat non-muslim.

      Sedikit sebanyak, Malaysia telah berubah ke arah yang lebih baik kebelakangan ini. Perseteruan antara kaum sudah mula kendur. Toleransi antara penganut agama yang berbeza turut meningkat. Pertembungan politik pula menyumbang banyak kepada penambahbaikan berbanding kerosakan seperti era sebelum ini.

      Namun begitu, bagi yang mengkaji lebih dalam dan menyiasat dengan lebih teliti, mereka akan mengetahui ada tangan ghaib yang sedang cuba memusnahkan negara ini, kerana tidak senang dengan perubahan-perubahan tersebut.

      Antara sebabnya kenapa dia dan bapanya kini berada di negara ini, setelah sekitar sedekad hidup merantau di luar negara, dari satu tempat ke satu tempat.

      “Ayah sudah siapkan semua dokumen?”

      Bapanya menggangguk. “Jangan risau. Tiada masalah pendaftaran insyaAllah.”

      “Apa nama saya kali ini?”

      “Bakri.”

      “Wah, tak bahayakah guna nama sebenar?” Bakri mengerutkan dahi.

      “Tidak. Bukankah kita sudah pulang ke rumah. Jika ada bahaya pun, kita akan hadapinya di sini. Tidak lagi melarikan diri.” Bapanya mengenyitkan mata. Sekali lagi, dia tidak dapat menjangka tujuan tindakan bapanya. Tetapi dia sengaja tidak bertanya lebih banyak. Supaya jika ada perkara buruk berlaku, contohnya dia ditangkap oleh pihak musuh, maklumat tersebut tidak dapat dikeluarkan daripada dirinya.

      “Ayah nampak terlalu yakin yang Malaysia ini akan menjadi tempat selesainya perjuangan kita.”

      Bapanya tidak terus menjawab. Hanya garisan manis terukir pada wajah bapanya itu. Diam sebentar sambil terus melangkah. Mereka sudah masuk di dalam perkarangan masjid.

      “InsyaAllah. Kita hanya mampu merancang dan berusaha, Bakri.” Belakang tubuhnya ditepuk lembut.

      Bakri menggangguk. “Allah jualah yang memberikan hasilnya, kan?” Bakri menyambung. Dapat menjangka ayat yang mahu ditutur oleh bapanya.

      “KepadaNya kita meminta perlindungan dan kejayaan.” Bapanya menyempurnakan bicara, sambil garis manis pada bibirnya tidak kendur.

      Mereka sama-sama menanggalkan selipar, dan bapanya terus ke ruang utama masjid, manakala dia pergi mengambil wudhu’.

      Hari baru.

******

      Kotaraya seperti biasa, sesak dengan manusia-manusia mencari sesuap nasi untuk meneruskan hidup. Walaupun baru sahaja berlaku kejadian yang tidak kurang mengejutkan semalam, hari ini kelihatan tetap berjalan seperti biasa. Kesibukan untuk meneruskan kehidupan membentuk fokus masyarakat. Apa-apa yang tidak memberikan mereka makanan dan keselesaan, biasanya mudah diabaikan, atau sekadar menjadi sembang-sembang sambilan di kedai kopi.

      Di hadapan Bangunan TV Taqwa, tidak jauh di seberang jalan sana, di tengah lautan kenderaan dan manusia, terdapat seorang lelaki sedang berdiri di tepi lampu isyarat. Bercermin mata hitam dan berpakaian laksana detektif lagaknya. Rambut bersikat kemas, wajahnya pula dihiasi misai yang lebat.

      Individu tersebut memulakan langkahan. Melintasi jalan raya, mendekati pondok pengawal Bangunan TV Taqwa.

      “Ya Tuan?” Pengawal berbangsa India bertanya sebaik sahaja lelaki itu mendekatinya.

      Lelaki bergaya detektif itu terus mengeluarkan kad. “Saya perlu masuk ke dalam, ke tempat kejadian semalam. Masih ada perkara belum selesai.”

      “Ah ya, ya. Baik-baik. Silakan Tuan.” Pengawal itu menunjuk arah yang patut dituju oleh ‘Penyiasat’ ini.

      Lelaki itu menggangguk, mengucapkan terima kasih sebelum berlalu.

      Sampai di lobi, sekali lagi dia menunjukkan kadnya, sebelum ditunjukkan ke lif oleh pekerja yang menunggu di ruangan tersebut. Pergerakannya diiringi seorang pekerja perempuan.

      “Tingkat 9 ya, Tuan.” Perempuan itu melempar senyuman manis.

      Dia menggores senyuman balas. Butang nombor 9 ditekan, dan lif pun mula bergerak naik.

      Apabila sampai ke tingkat tersebut, dia disambut dengan kesibukan para pekerja dengan kerja masing-masing. Seakan-akan tiada apa yang berlaku semalam. Dia terus bergerak, sekali sekala apabila perasan dirinya diperhatikan, dia sekadar melemparkan senyuman.

      “Ya Tuan?” Salah seorang pekerja di situ menyapa, menghentikan langkahannya.

      “Saya ingin memeriksa tempat kejadian. Ada perkara masih belum selesai.”

      “Oh, sila-sila.” Pekerja lelaki itu menunjuk dengan ibu jarinya, isyarat sopan.

      Akhirnya dia sampai di muka pintu. Kelihatan terdapat dua orang polis sedang berkawal di situ. Kedua-dua mereka agak terkejut dengan kehadirannya. Namun belum sempat mereka bersuara, dia terlebih dahulu mengangkat kadnya.

      “Inteligen Kerajaan. Munawar Masri.”

      Mata kedua-dua mereka membesar. Segera mereka memberikan tabik. Tabik dibalas.

      “Ada perkara yang saya tidak puas hati dengan laporan semalam.” Penyiasat bernama Munawar Masri ini masuk ke dalam pejabat, memerhatikan keadaan sekeliling.

      “Di mana mangsa?” Dia menoleh ke arah dua polis yang mengawal tempat tersebut.

      “Mangsa bekerja seperti biasa. Sedang mengejar berita di lapangan. Tak dapat dipastikan di mana.”

      Munawar Masri menggangguk-angguk.

      “Senjata yang ditinggalkan salah seorang penyerang berada di…”

      “Bukit Aman, Tuan.” Salah seorang daripada dua polis itu menjawab.

      “Ya, saya tahu itu. Maksud saya, di bawah tanggungjawab siapa?”

      “Oh, oh. Em…” Yang menjawab tadi segera memandang rakannya.

      Rakannya mengeluarkan nota pada poket. “Detektif Wong, Tuan.”

      “Baik.” Dia terus berpaling.

      “Sudah selesai, Tuan?”

      “Ya. Terima kasih.” Tabik hormat diangkat, dan kedua-dua anggota polis itu membalas. Munawar Masri terus bergerak ke arah lif, menelusuri kembali haluan dia datang. Apabila sampai ke lobi, dia mengucapkan terima kasih kepada pekerja di sana, begitu juga apabila dia melepasi pondok pengawal. Kemudian dia terus berjalan menyeberangi jalan, sampai ke perhentian bas.

      Dia tidak menanti lama sebelum bas yang dikehendakinya sampai.

      Bas yang menuju ke Stesen Sabar, stesen utama bagi semua pengangkutan awam di Kotaraya ini. Dari sana dia akan bergerak menuju ke Bukit Aman. Dia mengambil tempat duduk di belakang sekali, yang tidak ramai orang. Kebanyakan penumpang duduk di hadapan nampaknya.

      Apabila dia telah duduk buat beberapa ketika dan bas pun sudah menyambung perjalanan, perlahan-lahan dia menarik misainya yang tebal, tanggal daripada wajah. Rambutnya dikemaskan dengan sikatan yang baru. Kot ditanggalkan. Kelihatan ada balutan luka pada bahu, yang kemudian kembali tersembunyi, disarung oleh kot yang sama tetapi telah diterbalikkan, mempamerkan reka bentuk kot yang baru.

      Cermin mata hitam diturunkan, mempamerkan identitinya yang sebenar.

      Jagat.

Sepatutnya Jagat dinasihatkan agar berehat. Tetapi dek kerana rasa terhina yang teramat, dia tidak mendapat ketenangan dan kesihatan dengan berbaring.

      Hari ini dia kembali ke Bangunan TV Taqwa yang dicerobohi semalam. Matanya melirik ke tingkap kenderaan awam yang dinaikinya, memandang ke arah bangunan yang sekali lagi dicerobohinya itu. Tiada siapa yang mengenalinya, dan tiada sesiapa pun yang meragui kehadirannya.

      “Inteligen Kerajaan. Heh.” Jagat tersengih mengingati kebodohan dua pegawai polis yang menjaga tempat tersebut. Malaysia mempunyai badan inteligennya yang tersendiri, yang tidak kurang hebatnya di peringkat antarabangsa. Antara duri yang berbisa untuk pergerakan Kesatuan Pemburu, walaupun mereka belum lagi bertembung secara langsung. Walaupun untuk kebanyakan masyarakat awam Inteligen Kerajaan Malaysia itu masih agak misteri, tetapi di pihak berkuasa nama Inteligen Kerajaan agak gah, dihormati dan digeruni. Itu antara penyebab mengapa dua pegawai polis tadi tidak banyak bertanya. Psikologi.

      Tanpa disedari, mereka telah mendedahkan lokasi senjata Jagat disimpan.

      Kejadian semalam sudah disiarkan di berita pagi, hampir setiap rancangan televisyen di Malaysia melaporkan kejadian tersebut, termasuk akhbar-akhbar. Gambar senjatanya juga telah tersebar luas, menimbulkan banyak spekulasi. Dia amat yakin, inteligen-inteligen pelbagai negara sedang ribut untuk menyiasat asal-usul dan kebolehan senjata tersebut.

      Dia perlu berbuat sesuatu dengan pantas untuk memperbaiki keadaan.

      Jagat telah mematikan alat telekomunikasinya, langsung tidak mengangkat sebarang panggilan daripada Sang Ketua. Dia tahu, individu paling berkuasa di dalam Kesatuan Pemburu sedang murka yang teramat. Hanya amarah dan silap haribulan, hukuman mati sahaja yang menanti di hujung panggilan. Menyebabkan dia tidak tenang.

      Untuk itu, dia mahu memperbaiki kesilapannya hari ini.

      “Aku bukan orang bodoh!” Jagat menyumpah.

      Destinasi seterusnya, Bukit Aman. Apabila sampai sahaja di Stesen Sabar, dia terus mengambil komuter, yang akan berhenti tidak jauh daripada bangunan milik Polis DiRaja Malaysia itu.

      Dia tidak meminta bantuan Kesatuan Pemburu untuk memudahkan urusannya kali ini. Kerana dia tidak mahu pergerakannya dapat diikuti. Jagat risau sekiranya Kesatuan Pemburu telah meletakkan harga pada kepalanya, sebelum dia sempat memperbaiki keadaan. Dia mesti menunjukkan bahawa dia masih Pemburu yang layak berkhidmat di bawah organisasi tersebut!

      Jagat mengeluarkan sebuah cermin mata hitam yang lain, kini reka bentuknya lebih sporty. Kotnya kini serba hitam. Turun sahaja dari Komuter, Jagat telah mempunyai perancangan yang lengkap untuk mencapai tujuannya.

      Bangunan Polis DiRaja Malaysia di Bukit Aman kini telah berbentuk separa sfera yang besar. Seni binaan moden yang terkini, bersama-sama kawalan yang ketat. Kesatuan Pemburu telah melatih semua Pemburu untuk mengetahui sedalam-dalamnya berkenaan setiap bangunan penting, di seluruh dunia. Termasuk bangunan ini.

      Mereka sangat tahu akan ruang-ruang kelemahan yang wujud, untuk diguna pakai sebagai kelebihan mereka menceroboh masuk.

      Ditambah pula dengan kelebihan yang ada pada tubuh seorang Pemburu.

      Jagat mengambil salah satu dari beberapa silinder kecil yang tergantung pada pinggangnya. Silinder berisi cecair merah itu diteguk. Terus wajah Jagat dinaiki urat-urat merah sekitar matanya.

      “Urgh!” Jagat menahan kesakitan. Seketika, sakit itu menghilang, dan kini derianya yang sedia kuat itu dipertingkatkan lagi oleh minuman tersebut.

      Jagat seakan-akan dapat melihat menembusi dinding, mengetahui berapa bilangan anggota yang berada di dalam bangunan besar lagi luas ini, kemudian hidungnya mula menangkap bau senjatanya. Senjata Pemburu sangat unik, ditukang dengan material yang sangat sukar ditemui di atas muka bumi, ditambah pula senjata itu setelah sering digunakan seorang pemburu, mempunyai bau tuannya. Di celah-celah kepelbagaian bau, Jagat dapat fokus pada bau yang dicarinya itu.

      Jagat mengambil lagi satu silinder, kali ini berwarna biru, dan meneguknya. Sekali lagi kesakitan yang teramat mencucuk kalbu. Beberapa urat berwarna biru, muncul mengiringi urat-urat merah di sekitar matanya.

      Jagat terus bergerak. Kelajuan pergerakannya bertambah beberapa kali ganda. Dia mula bergerak dengan tenang seperti kebanyakan orang yang datang ke mari untuk membuat laporan atau punya urusan kerja, sebelum menghilang dengan pergerakan pantas, masuk ke dalam bangunan sambil mengelak dari dirakam kamera keselamatan.

      Tempat pertama yang ditujunya ialah punca kuasa kepada bangunan.

      Dia bergerak dengan tangkas, tetapi berhati-hati. Dia menyelinap dari satu tempat ke satu tempat dengan baik sekali. Hinggalah dia tiba ke tempat yang dikehendaki.

      Kelihatan tiga orang juruteknik sedang berehat. Jagat yang berlindung dari balik dinding, mengambil satu alat berbentuk sfera kecil yang terdapat di dalam salah satu kantung di pinggang. Dia membaling alat tersebut dan sebaik sahaja alat itu menyentuh lantai, asap halus keluar.

      Tanpa sempat bereaksi, terus ketiga-tiga mereka jatuh terkulai.

      Pengsan.

      Jagat mengambil kerusi dan mendudukkan mereka bertiga dengan baik, sebelum pergi ke punat-punat kawalan kuasa bangunan ini dan mematikan semuanya.

      Bangunan itu seperti putus bekalan elektrik. Walaupun hakikat sebenarnya, sumber tenaga telah ditutup. Begitu juga dengan generator bagi tenaga tatkala kecemasan, turut dimatikan oleh Jagat. Dia tidak mahu usahanya terbantut kelak.

      Bilik kawalan kuasa itu menerima panggilan.

      Jagat tidak teragak-agak mengangkat.

      “Ya ya, sedang diusahakan.” Dia berbohong. Tiada apa-apa usaha akan dilakukan untuk mengembalikan tenaga.

      Kini Jagat bebas bergerak di tengah samar-samar kekurangan cahaya, juga tanpa rakaman kamera keselamatan serta segala mekanisma pertahanan yang bangunan ini ada. Pantas dia meluru ke tempat senjatanya disimpan.

      Senjatanya lambat laun akan dihantar ke Inteligen Kerajaan. Sebab itu dia perlu bertindak secepat mungkin. Sakitnya diabaikan. Dia perlu mengetahui di mana senjatanya disimpan, agar dia dapat menghalang senjata itu dari jatuh ke tangan Inteligen Kerajaan Malaysia. Semua maklumat ini sebenarnya sangat mudah diperolehi sekiranya dia mendapat bantuan Kesatuan Pemburu. Tetapi tidak hari ini.

      Namun, dia bukan seorang yang lekeh.

      Dia bukan Pemburu amatur!

      Dia merupakan salah seorang dari barisan Pemburu Terhandal Kesatuan!

      “Siapa?” Sergah suara seorang pegawai wanita yang berdiri di antara Jagat dan tempat simpanan bahan bukti. Namun Jagat tidak menanti untuk memberikan jawapan balas, segera dilemparkannya sfera kecil, spontan pegawai wanita itu dan juga bersama lima orang pengawal yang menjaga tempat ini, terjelepuk pengsan. Mereka terhidu asap yang terhasil dari ubat tidur yang tersangat kuat.

      Kemudian dia bergerak melepasi mereka. Pintu geril yang menjadi perantara Jagat dan sasarannya ditolak. Dengan deria yang tinggi, Jagat dapat mengesan tempat letak senjatanya.

      “Hei kawan.” Dia membuka sebuah kotak, dan mengeluarkan sepaket plastik besar, sebelum mengoyakkan plastik itu dan mendapatkan senjatanya. Sepucuk pistol yang punya ukiran serta reka bentuk yang unik. Pistol bukan sebarang pistol.

      Senjata itu disembunyikan, disimpan semula di dalam sarungnya yang terdapat pada pinggang, kemudian dilindungi oleh kot Jagat.

      Jagat segera meninggalkan kawasan tersebut.

      Apabila dia sampai kepada sekumpulan manusia, dia terus bersama-sama dengan mereka.

      “Bertenang, bertenang. Keluar perlahan-lahan!” Suara beberapa orang pegawai, sedang berusaha meredakan keadaan. Pelawat dan mereka yang datang ke mari dengan urusan masing-masing, diarahkan mengosongkan bangunan.

      Jagat tenang keluar bersama-sama pelawat yang lain.

      Apabila dia telah berada pada jarak yang selamat, Jagat terus menjauhkan diri dari kumpulan manusia tersebut. Jagat kini telah meninggalkan perkarangan bangunan separa sfera milik Polis DiRaja Malaysia dengan selamat.

      Di tengah perjalanan, alat telekomunikasinya dihidupkan semula.

      Seperti yang dijangka, alat itu terus menerima panggilan.

      “Jagat!” Suara dengan nada menyinga, menyergah telinga.

      Namun Jagat telah bersedia.

      “Segalanya dalam keadaan yang baik, boss. Saya telah berjaya mendapatkan kembali senjata saya.” Sopan dia berbicara. Dia tidak sesekali berani untuk membuatkan Ketua Kesatuan Pemburu tidak senang hati.

      Suara di seberang sana sepi seketika.

      “Aku telah menghantar Deimonas ke sana.”

      Giliran Jagat mengunci bicara. Nama yang disebut itu bukanlah asing baginya, dan bukan juga orang biasa-biasa. Seorang Pemburu yang bukan calang-calang. Deimonas sama sepertinya, merupakan salah satu dari Barisan Terhandal. Dan Deimonas jauh lebih hebat berbanding dirinya.

      “Kalau bukan kerana engkau berjaya mendapatkan semula senjata kau sebelum apa-apa yang lebih buruk berlaku, dia adalah orang yang akan menjadikan kau mayat.”

      Jagat menelan air liur.

      Deimonas. Dalam bahasa Greek membawa maksud Syaitan. Dan kod nama itu memang seiring dengan peribadi serta kemahiran pemburu yang satu ini. Jagat sendiri tidak pernah berani bersaing dengannya.

      “Sekarang, cari siapa yang melakukan sabotaj semalam.”

      “Adakah Kesatuan kita punya apa-apa maklumat?” Jagat memberanikan diri bertanya.

      Senyap.

      “Adakah engkau ada bergaduh dengan mana-mana Pemburu kita?” Soalan dijawab dengan soalan, dan soalan itu sangat mengejutkan diri Jagat. Berkerut dahi dia cuba memikirkan jawapan yang terbaik bagi soalan tersebut, kerana akhirnya jawapan yang mampu diberikan hanyalah satu lagi soalan.

      “Mengapa bos bertanya sedemikian?” Kerana sekiranya mana-mana Pemburu saling memburu sesama sendiri, Kesatuan Pemburu akan mengetahui. Bahkan pergaduhan mulut pun, berita itu akan sampai kepada Kesatuan, dan tindakan akan diambil. Ini semua bagi mengelakkan tiadanya perpecahan, dan memastikan sebarang masalah tidak dibawa keluar. Kesatuan tidak akan membenarkan apa-apa yang mengancam kelangsungan operasi dan kestabilan organisasi. Maka apabila pertanyaan tadi sampai kepadanya, itu sebenarnya adalah pertanyaan mustahil untuk dijawab ‘ya’, kerana jawapannya telah jelas ‘tidak’. Hanya soalan balas mampu diutarakan.

      “Kerana setakat siasatan sekarang, yang melakukan sabotaj semalam juga ialah seorang Pemburu. Tetapi bukan dari Kesatuan ini.” Suara Sang Ketua mendatar. Terdapat pelbagai terjemahan daripada suara sedemikian. Sama ada itu berita yang tidak mengejutkan baginya, atau pun dia sedang berfikir dengan mendalam.

      Jagat menghela nafas.

      Seorang lagi pemburu.

      Siapa?

      “Dalam sejarah kita, hanya ada seorang Pemburu yang khianat, dan sehingga kini masih belum berjaya dikesan oleh Kesatuan. Dia juga merupakan suspek utama kita dalam kejadian-kejadian yang menimpa agen-agen kita di seluruh dunia selama ini.” Sang Ketua menyambung.

      “Seperti apa yang berlaku kepada agen-agen kita di Mexico, NASA, Pentagon, Iraq dan Tel Aviv sebelum ini?”

      “Engkau dan Deimonas, buru individu tersebut. Maklumat terakhir berkaitan pemburu yang khianat itu akan dimuat naik di dalam komputer peribadi kalian.”

      Sang Ketua tidak menjawab persoalan Jagat. Perhubungan diputuskan sebaik sahaja kalamnya sempurna.

      Jagat menyentuh bahunya yang menjadi mangsa tembakan semalam. Tidak hairanlah keadaan semalam boleh berlaku. Sesuatu yang mustahil pada kebiasaan, tetapi tidak mustahil jika yang melakukannya ialah seorang Pemburu.

      Jagat mengetap bibir.

      Dia akan mengembalikan maruahnya semula. Pantang dirinya berada di sisi yang kalah!

******

Suara Ryan Tedder menghiasi gegendang telinga. Lagu Wherever I Go sedang bermain indah. Bakri tidak pernah jemu mendengar dendangan kumpulan One Republic. Ada sesuatu yang istimewa dengan muzik hasil karya dan alunan mereka.

      Matanya malas-malas melihat apa yang sedang dibentangkan oleh pensyarah di hadapan. Bilangan pelajar yang ramai, ditambah pula alat pendengar yang dipasang pada telinganya itu bersaiz kecil, tindakannya tidak dikesani pensyarah tersebut.

      Walaupun telinganya dipekakkan oleh muzik, Bakri dapat memahami semua yang dibentangkan oleh gurunya. Pertama, kerana dia sudah tahu itu semua. Kedua, dia memang telah dilatih untuk membaca pergerakan bibir seseorang apabila bertutur.

      Ikutkan hati, dia mahu mengantuk dan tidur, namun sebagai seorang Pemburu, amat sukar baginya untuk mengantuk. Seorang Pemburu mampu untuk tidak tidur selama tiga hari berturut-turut tanpa rasa penat. Bapanya pernah berkongsi bahawa pernah di dalam sejarah, seorang Pemburu tidak tidur selama 20 hari, kerana sedang berada di medan pertempuran.

      Maka dipasangnya muzik untuk melayan kebosanan diri.

      Tajuk sejarah I’jaz Al-Quran yang sedang dibentang, tidak menarik minatnya. Dalam banyak-banyak pengkhususan, bapanya telah mendaftarkan dia di Kuliyah Syari’ah, pengkhususan Usuluddin, Universiti Iman Ihsan. Ambil jurusan agama? Tersengih.

      Pun begitu, Bakri tidak banyak cakap, tidak membantah. Dia faham sebenarnya ini semua hanya untuk penerusan penyamaran mereka di negara ini. Jika diikutkan pengetahuannya, dia sudah mampu mempunyai beberapa PhD. Ya. Dan dia sangat mahir dalam bidang fizik dan kimia, serta pelbagai lapangan akademik yang lain seperti geografi, sejarah, matematik, sains dan astronomi. Jika dia diarah untuk menceroboh NASA, dia mampu melakukannya, dan takkan ada sesiapa yang mampu mengetahui bahawa dia berada di situ, dek kerana kebolehannya untuk bergaul dengan semua yang berada di sana. Kenapa dia berani berkata sedemikian?

      Kerana dia pernah melakukannya.

Tetapi hal-hal agama, berkait Al-Quran terutamanya, Bakri sedar bahawa itu semua bukan sekadar fakta. Untuk memahami dengan lebih dalam dan dekat, perlu kepada hubungan hati yang erat, jiwa yang mencari, dan diri yang berserah.

Dia bukan tidak berminat dengan ini semua. Tinggal, mauduk perbincangan hari ini berkait rapat dengan sejarah, tambah pula dia sudah mengetahui ini semua seperti belakang tangannya sendiri. Maka dia kebosanan.

Genius pun bermasalah bukan?

Bakri ketawa di dalam hati. Senyuman terzahir pada bibir.

Tanpa Bakri sedari, tindak-tanduknya diperhatikan oleh seseorang, tidak jauh dari tempat duduknya. Pandangan penuh rasa ingin tahu, datang daripada seorang pelajar perempuan.

Bertudung dan berpakaian labuh, berkulit cerah, walaupun tidak memakai apa-apa wangian, dia berbau harum, antara bau yang menangkap hidung Bakri apabila dia pertama kali masuk ke dalam dewan ini. Namun Bakri tidak memberikan lebih perhatian.

Perempuan itu sekali-sekala mengalihkan tumpuannya kepada Bakri. Apabila dia melihat Bakri tersenyum seorang diri, dia diserang rasa ingin tahu yang membuak-buak.

Siapa pelajar baru ini?

Kenapa tak ada gaya seperti pelajar jurusan agama?

Kenapa dia tak memberikan perhatian kepada penyampaian pensyarah? Buat tak tahu saja sambil mendengar muzik. Tidak mencatit atau fokus.

Kenapa tersenyum seorang diri?

Berkerut dahi pelajar perempuan ini memikirkan Bakri.

“Fatihah.” Bahu perempuan itu disiku rakan sebelah.

“Eh, kenapa Salma?” Suara mereka berbisik.

“Kau kenapa? Tengok depanlah. Tak baik skodeng pelajar lelaki. Kih kih.” Salma senyum nakal.

Spontan wajah Fatihah merah padam.

“Eh, aku bukan skodeng la. Budak baru tu ha, tak ada gaya jurusan agama pun, lepas tu pulak dia boleh sibuk dengar Mp3 masa kuliah. Aku ‘curious’ je.” Fatihah menunjuk. Salma memerhati.

“Kau la kena dakwah dia. Hihi.” Salma sambung menyakat.

“Eh, ke situ pulak. Jangan habiskan masa asyik fikir kahwin aja. Haih, tipikal la kau ni Salma.” Fatihah menyiku tubuh Salma.

“Fatihah, Salma, buat apa tu?” Suara Pensyarah membuatkan mereka berdua automatik memandang kembali ke hadapan.

Aduh, malunya. Getus hati Fatihah. Ketika ini, sempat matanya melirik kepada Bakri.

Dan mata mereka bertaut.

Bakri tersengih, sebelum kembali mengabaikannya.

“Maaf Dr. Azizi.”

“Tumpukan perhatian!” Dr. Azizi, Sang Pensyarah kembali menyambung pengajian.

“Kih kih, ini sudah kafarah mengumpat pelajar baru.” Salma ketawa kecil sambil berbisik.

Fatihah menggeleng dan menepuk dahi.

Malunya!