Nirnama – Hikayat 1

Medang sila buahnya cantik,
Jatuh menimpa ke pasu bunga;
Biarpun nila hanya setitik,
Habis rosak susu sebelanga

 “Di manakah budak itu?”

Bagai halilintar, suara itu menggegarkan Perkampungan Medini. Orang ramai yang ralit dengan urusan sendiri di tengah-tengah perkampungan tersebut, terperanjat besar melihat kehadiran sekumpulan lelaki lengkap bersenjata, didahului seorang lelaki bertubuh besar lagi sasa.

               Tubuh sasa lelaki itu terselindung sebahagiannya di balik pakaian tebal yang diperbuat daripada kulit buaya. Tangan kanan memegang sebatang belantan besar lagi berduri, direhatkan di atas zirah pada bahu. Mata lelaki itu terjegil memandang orang kampung yang terkulat-kulat dengan kehadirannya.

               Banyak urusan tergendala. Yang sedang riuh berjual-beli di pasar, terhenti. Yang sedang enak menjamu selera juga mencicip minuman di warung-warung, memalingkan kepala.

               “Di manakah Sang Kancil? Berani dia mempermain-mainkan aku!”

Suara itu memetir lagi. Kali ini, banyak bahu terenjut kecut. Keadaan ini benar-benar membuatkan semua hilang bicara.

Bukanlah suatu perkara yang lumrah bagi seseorang yang berkuasa seperti lelaki itu bertamu ke perkampungan ini dengan rela. Sering orang bawahannya sahaja dikerah ke mari bagi mengutip cukai saban purnama.

               Memandangkan tiada siapa yang menyahut pertanyaannya, lelaki itu mendengus kasar. Dia menoleh ke arah kumpulan lelaki yang datang bersama-samanya. Mereka berpakaian hulubalang, zirah menyelimuti sebahagian tubuh, sementara sebahagian lagi diselimuti kain bermutu tinggi. Bilangan mereka sekitar 30 orang.

               “Cari budak itu sampai ketemu!”

               Dua puluh lima orang berpecah ke merata arah sambil menghunus senjata masing-masing, sementara lima yang berbaki kekal di sisi lelaki tersebut. Ini membuatkan orang ramai yang semenjak tadi terkulat-kulat, bertempiaran lari, risau akan keselamatan diri. Ramai yang terlolong, risau menjadi mangsa keadaan.

               Dari kejauhan, di sebuah warung, keadaan itu diperhatikan oleh ramai orang yang sedang membasahkan tekak. Tidak sedikit yang kelam-kabut angkat kaki saat melihat kumpulan manusia itu mula berpecah dan bergerak dengan senjata nan terhunus. Namun, sebahagian kecil masih menanti dan terus memerhati keadaan.

               “Apalah onar Sang Kancil kali ini. Tentunya melampau kalau si Bagak sendiri turun ke mari.” Salah seorang lelaki yang masih menanti kepada rakannya yang turut memerhati.

“Nakal sangat budaknya. Macam-macam ulahnya. Suka benar menyakat orang. Entah apa anginnya, kebelakangan ini suka benar dia bermain berhampiran sempadan istana si Bagak itu. Pasti dia ada mempersendakan si Bagak.”

               “Menempah maut. Perkampungan kita pula menjadi mangsa.”

Kedua-duanya menggeleng. Mereka kemudian melihat salah seorang daripada kumpulan manusia tadi mula bergerak ke arah warung tempat mereka berada.

               “Sudah, aku mahu tutup warung. Aku tidak mahu jadi mangsa. Bayar kemudian!”  Tuan punya warung mula menarik kepingan-kepingan papan yang menjadi penutup kepada kawasan dalaman warungnya.

Dua sahabat tadi baru menyedari yang mereka berdua sahaja tinggal di warung itu, bersama seorang lagi lelaki di meja berhampiran.

               “Mari kita beransur.”

               “Mari. Eh?” Salah seorang daripada dua sahabat itu menoleh. “Engkau tidak mahu angkat kaki?” Dia memandang seorang lelaki, segak bertanjak dan berpakaian kemas tetapi karung kain yang menemaninya jelas menunjukkan yang pemuda itu adalah seorang pengembara.

               Lelaki itu menoleh ke arah mereka. Segaris parut besar lagi panjang, dari bawah rahang kanan hingga hampir mencecah mata, terpamer. Terkejut dua sahabat itu saat melihat parut tersebut.

               “Engkau ini …”

               “Hoi, beritahu aku di mana budak yang bergelar Sang Kancil itu?” Satu suara mencantas kalam yang mahu dituturkan si sahabat tersebut.

Dua sahabat tadi menoleh.

Tiga orang hulubalang Bagak Durjana sudah tiba ke warung tersebut.

               “Dia anak yatim piatu. Tiada rumah. Hidup di jalanan. Dia boleh berada di mana-mana. Malah, mungkin telah melarikan diri!” Salah seorang daripada dua sahabat itu bersuara.

               “Jadi, engkau kenal dia?” Sebilah pedang dihunus dari sarung, terus diacu ke leher si sahabat yang berbicara tadi. “Ikut kami sekarang!”

Dua hulubalang yang lain memanjangkan tombak masing-masing, memukul bahu kedua-dua sahabat tersebut agar merapat. Dua sahabat itu terketar-ketar. Wajah mereka pucat. Sesal memagut-magut jiwa kerana mereka tidak angkat kaki lebih awal seperti yang lain.

               Bagai baru menyedari kehadiran si pengembara di meja berhampiran, hulubalang-hulubalang Bagak Durjana itu terbega kehairanan dengan ketenangan yang dipamerkan oleh lelaki tersebut. Lelaki berparut itu bersahaja dan tenang mencicip minuman daripada reruas buluh yang menjadi bekas minuman di warung itu. Pandangannya kekal terpaku ke arah Bagak Durjana. Langsung tidak memerhatikan pertembungan antara lima manusia yang berhampiran dirinya.

               “Ewah, ewah, engkau buat bodoh saja ya!”

               “Acah-acah berani ya?”

               “Berlagak hebat!”

               Ketiga-tiga hulubalang Bagak Durjana itu mengalihkan perhatian kepada lelaki tersebut. Tercalar angkuh masing-masing apabila ada yang tidak langsung mempamerkan rasa takut mahupun hormat saat berhadapan dengan mereka.

“Celaka!”

               Kendatipun begitu, lelaki tersebut masih tidak memandang akan mereka. Dua hulubalang Bagak Durjana yang bertombak mula melibas senjata masing-masing. Bunyi meja kayu kerkecai seribu menggegar suasana. Habuk dan debu naik berkepul-kepul, mengaburkan pandangan.

               Tanpa disangka-sangka, sepasang tangan keluar dari kepulan habuk dan debu itu lalu mencapai kedua-dua batang tombak. Belum sempat hulubalang-hulubalang Bagak Durjana memberikan tindak balas, batang-batang tombak itu telah dipatahkan dan bilah-bilahnya dilempar menembusi kepala pemilik-pemiliknya.

               Daripada tiga, tinggal seorang hulubalang Bagak Durjana, sedang terbelalak. Terkejut amat dengan apa yang berlaku.

               Si pengembara yang berparut di pipi itu sudah berdiri di hadapannya. Pandangan lelaki itu tidak tajam, redup dan tenang sahaja. Tetapi entah mengapa, gerun bagaikan menyerkup jiwa hulubalang Bagak Durjana yang berseorangan di situ pada ketika itu.

               Dua sahabat yang tadinya hampir menjadi mangsa, juga terpaku disambar kagum saat melihat apa yang sedang berlaku di hadapan mereka berdua.

               Hulubalang Bagak Durjana yang masih berdiri, mengetap geraham. Hulu pedang dipegangnya erat. Tanpa amaran, dia terus melibas senjata tersebut ke arah lelaki berparut itu.

Walaupun libasan tersebut pantas, tetapi pergerakan itu terhenti tatkala pergelangan tangannya disambut telapak tangan lawan. Lelaki berparut itu kemudian menarik hulubalang Bagak Durjana tersebut ke hadapan, sebelum satu penumbuk dilepaskan ke wajah.

               Hulubalang Bagak Durjana itu terpelanting, menghentam sebuah meja. Meja itu berkecai dihempap tubuhnya. Erang kesakitan melatari suasana di sekitar warung tersebut.

               “Jika engkau mahu terus hidup, sebaiknya terus berbaring. Jika tidak, engkau akan mengekori dua rakanmu ke alam barzakh.” Lelaki berparut itu bersuara perlahan tetapi jelas, sambil saling menepuk kedua-dua belah tangannya bagi mengenyahkan debu.

               Hulubalang Bagak Durjana itu menarik nafas panjang sebelum terkulai. Hilang kesedaran di situ juga walau hanya menerima satu tumbukan. Jelas, tumbukan itu bukan tumbukan biasa-biasa.

               Dua sahabat yang semenjak tadi membatu, berhasrat mendapatkan si pengembara bagi mengungkapkan rasa kagum dan berterima kasih. Namun, baru sahaja mereka mahu melangkah, lelaki berparut di pipi itu telah keluar dari warung. Mereka mahu memanggil si pengembara  tersebut, tetapi terlihat pula seorang budak sedang diseret oleh dua lelaki bersenjata bagi menghadap lelaki yang bertubuh sasa.

               “Itu Sang Kancil!”

               “Dia telah ditangkap!”

               Dua sahabat itu saling berpandangan sebelum sama-sama mengerling kepada si pengembara yang telah menyelamatkan mereka berdua. Pada masa yang sama, budak itu ditolak kasar hingga berdiri sekitar sedepa dari Bagak Durjana.

               “Waduh, Tuan Bagak, begini sekali tuan berminat dengan silap mataku. Aku terharu!” Budak itu kelihatan bersahaja, namun ada getaran pada nada suaranya. Jelas, ada gerun dan risau sedang bergelora dalam dada. Tetapi senyuman pada bibirnya cuba menyembunyikan semua itu.

               Bagak Durjana mendengus garang. “Engkau telah menghina aku dan orang-orangku. Engkau fikir engkau boleh terus hidup?!” Belantan berduri dihentakkan ke tanah.

               Budak yang bergelar Sang Kancil itu menelan liur saat melihat saiz belantan berduri tersebut. Namun, digagahi dirinya untuk terus tersenyum dan menatap tepat wajah Bagak Durjana.

               “Tuan Bagak yang mulia, aku hanya bersenda. Tuan pasti berjiwa besar, selayaknya insan perkasa dan berkuasa seperti tuan.” Sang Kancil tersengih-sengih, bermain kata-kata.

               “Bergurau dengan meluku kepala aku dan orang-orangku?”

               Hulubalang-hulubalang Bagak Durjana yang tadi bertebaran, mula kembali ke sisi tuan mereka. Orang ramai yang tadi bertempiaran lari, sebahagian kembali untuk melihat apa yang bakal berlaku. Masing-masing mahu mengetahui akan nasib Sang Kancil yang memang terkenal dengan kenakalannya.

Kali ini, kenakalan Sang Kancil bakal memakan diri.

               “Tuan Bagak yang minta aku menghiburkan kalian dengan silap mata. Maka itulah yang aku usahakan. Tinggal, kalian saja tidak terhibur.”

               “Kerana itu bukan hiburan. Itu hinaan, jahanam. Engkau mempergunakan nama Jagat Suci bagi membodohkan kami!”

               “Itulah hiburan. Aku terhibur. Satu dua tiga lekuk, jantan betina aku ketuk.” Budak itu ketawa berdekah-dekah. “Kalian sangka aku adalah Jagat Suci yang menyamar sebagai seorang budak. Beratur kalian menuruti arahanku. Apakah kalian baru sedar setelah lama aku meninggalkan istanamu?”

               “Budak jahanam!” Belantan berduri diangkat tinggi.

               Tarikan nafas orang ramai kedengaran, seolah-olah tidak menyangka bahawa nyawa Sang Kancil bakal tamat dalam beberapa saat lagi.

               “Hukuman mati untuk engkau, budak!” Belantan berduri dilibas sekuat hati.

               Angin kuat tidak semena-mena menerpa, membuatkan debu-debu kencang berterbangan ke udara, berkepul-kepul menutupi suasana. Nasib Sang Kancil menjadi tanda tanya. Orang ramai yang memerhati, saling berebut-rebut untuk berada di barisan paling hadapan bagi melihat pengakhiran budak nakal itu.

               Kendatipun begitu, ketika kepulan-kepulan debu tersebut belum benar-benar berpapasan, Bagak Durjana dapat merasakan sesuatu yang aneh. Belantan berduri itu tidak menjejak tanah, bagaikan tersekat di tengah-tengah pergerakan. Hanya deruan angin yang terbawa ke bumi.

               “Nirnama. Engkau betul-betul tiba!” Suara Sang Kancil kedengaran di balik kepulan-kepulan debu yang perlahan-lahan menghilang dibawa angin.

               Terzahirlah seorang lelaki bertubuh sederhana dan berperawakan pendekar, sedang menahan belantan berduri dengan hanya sebelah tangan. Sebilah keris terhunus, menikam belantan berduri itu, menyekatnya daripada mengapa-apakan Sang Kancil.

Terbelalak Bagak Durjana. Hulubalang-hulubalangnya turut terpana.

               Bagak Durjana bukanlah orang yang lemah, dan libasan tadi penuh berkuasa. Susuk tubuh sederhana lelaki di hadapan mereka kini mustahil mampu menghalang serangan tadi. Apatah lagi dengan hanya sebelah tangan. Tidak dapat diterjemah keadaan ini oleh akal!

               “Engkau mengotakan kata-katamu. Aku kagum, Sang Kancil.” Lelaki bertubuh sederhana dan berperawakan pendekar itu memandang Sang Kancil.

               Budak itu ketawa kecil. “Sudah aku nyatakan, aku mampu membuat Bagak Durjana meninggalkan istananya!”

               Satu garis nipis terukir pada bibir lelaki berparut tersebut.

Dahi Bagak Durjana berkerut seribu. “Apa yang sedang berlaku?”

Dia berasa terhina. Segera dia mengangkat belantan berduri untuk melakukan serangan yang seterusnya. Namun, senjata itu tidak dapat digerakkan. Kerutan pada dahinya tambah berlapis-lapis. Lelaki di hadapannya itu jelas sedang mengenakan suatu tenaga kepada keris yang sedang menikam belantan berduri tersebut.

               “Hapuskan mereka berdua!” Bagak Durjana melaung.

               “Serang!” Dua puluh tujuh hulubalang Bagak Durjana menyerbu serentak.

               “Engkau perlu menjauh, Nadim!”

Lelaki itu memanjangkan kakinya, menolak Sang Kancil dengan suatu daya yang tidak menyakitkan, tetapi cukup kuat untuk menghantar budak itu melayang ke tempat kerumunan ramai. Sang Kancil disambut oleh orang-orang Perkampungan Medini.

               “Siapakah pendekar muda itu, Nadim?”

Beberapa orang kampung mula menggerumuni Sang Kancil. Ikatan pada tangannya dilucutkan.

Budak yang dipanggil Nadim itu tersenyum besar.  “Itulah Nirnama!”

               “Cerita dongeng itu?”

               “Yang dikatakan telah berkelana ke merata tempat, membantu ramai orang?”

               “Insan sakti?”

               Hidung Sang Kancil mula kembang semangkuk. Senyuman semakin melebar. “Benar!”

               Orang ramai mula membulatkan perhatian kepada medan pertarungan. Lelaki bertubuh sederhana dan berperawakan pendekar yang bergelar Nirnama itu lincah bertarung menentang konco-konco Bagak Durjana.

Walaupun berhadapan banyak lawan, lelaki itu tetap tenang. Setiap serangan dielak dengan baik, ada yang disambut, ada yang ditangkis. Setiap lawan yang merapati, dihabiskan dalam satu serangan sahaja. Setiap serangan akan dibalasnya dengan tikaman pada kerongkong, kepala atau jantung lawan.

Setelah beberapa ketika, dua puluh nyawa melayang. Nirnama masih kekal berdiri. Tujuh lawan yang berbaki, mula teragak-agak untuk menyerang apabila melihat rakan-rakan mereka hanya tinggal jasad-jasad yang tidak lagi bernyawa.

Bagak Durjana tidak mampu untuk bersuara, apatah lagi mahu mengherdik sikap pengecut orang-orangnya. Dia sendiri tidak berkelip mata. Gerun bersadur takjub. Tengkuknya meremang. Mungkin inilah yang sedang dirasai tujuh hulubalangnya yang masih bernyawa.

Ketujuh-tujuhnya saling berpandangan, bagaikan meminta yang lain mara terlebih dahulu.

“Usah dibazirkan nyawa. Tidak pernah salah berundur. Lebih baik hidup dalam kehinaan hari ini untuk harapan hari esok, berbanding terus mati dalam kesia-siaan.” Nirnama berbicara lembut.

Bagak Durjana mengetap geraham. Bunyinya dapat didengari yang lain. Dia seperti sedang melawan gerun yang mahu menyerkup diri. Aib yang diterima hari ini amat besar. Belum pernah ada orang yang berani serta mampu berhadapan dengannya seperti ini.

“Engkau sebenarnya siapa? Apa tujuan engkau ke mari?”

“Hanya mahu membantu orang yang kesusahan.”

“Apakah engkau penyebab kematian orang-orang kananku di Wilayah Ujong ini?”

Nirnama mengangguk.

Mata Bagak Durjana terbeliak lebih besar. “Maka benarlah engkau Nirnama yang masyhur dibicarakan orang ramai itu!”

Nirnama tidak memberikan maklum balas.

“Adakah engkau mahu membunuhku di sini? Siapa yang melantik engkau menjadi malaikat maut, hah!”

Nirnama menggeleng. “Engkau boleh memilih untuk hidup. Aku hanya mahu engkau keluar dari istanamu.”

“Mengapa?” Sebelah kening Bagak Durjana terangkat.

“Ketiadaan engkau untuk mengepalai bala tentera di istana, maka kubumu itu akan menjadi lemah. Tentera Semutar Putih telah lama menanti di sempadan. Mereka sedang melanggar istanamu, melumpuhkan seluruh kekuatan Indera Kayangan yang berbaki di Wilayah Ujong ini.”

Bagak Durjana terkesima.

“Tanpa orang-orang kananmu, dan engkau pula di sini, tiada siapa lagi mampu menghalang kemaraan tentera Semutar Putih. Urusanku sebenarnya telah pun selesai.” Nirnama perlahan-lahan menyarung kembali senjatanya. Keris bersarung itu tersisip kemas di pinggang.

Tujuh orang hulubalang Bagak Durjana memandang ketua mereka. Bagak Durjana turut membalas pandangan mereka, sebelum kembali menatap Nirnama.

“Aku tidak akan hidup dalam kehinaan ini. Tidak sanggup aku menghadap Tuanku Jagat dengan ketewasan. Aku hanya mahu dia melihat kemenangan!” Bagak Durjana tidak lagi berfikir panjang, terus mara dan pantas melibas belantan berduri.

Melihat tindakan tersebut, tujuh hulubalang itu terus mengekori. Mungkin sangka mereka, bersama-sama Bagak Durjana, mereka akan berpeluang untuk menumbangkan Nirnama.

Nirnama menggeleng. Dia tidak menghunuskan keris. Tari silat dibukanya.

Libasan belantan berduri disambut, tetapi tidak ditahan. Daya libasan itu digunakan untuk mengesampingkan senjata tersebut ke kanan. Akibatnya, empat hulubalang Bagak Durjana menjadi mangsa senjata ketua mereka sendiri.

Bagak Durjana terperanjat. Namun, belum sempat dia bertindak, Nirnama telah menyambut serangan daripada tiga hulubalang yang lain, dan dengan teknik yang sama, melorongkan senjata mereka ke tubuh Bagak Durjana.

Parang, tombak dan pedang terbenam di bawah rusuk Bagak Durjana. Akibat kesakitan, Bagak Durjana melibas kembali belantan berduri, tepat mengenai kepala ketiga-tiga hulubalang itu, meragut semua nyawa.

Bagak Durjana terlutut. Darah mengalir deras dari liang-liang luka. Pedih dan nyeri mula menjalar ke seluruh tubuh.

Pergerakan Nirnama sebentar tadi ibarat angin. Dengan pergerakan yang kelihatan mudah, dia berjaya menggunakan kekuatan lawan untuk kelebihan diri sendiri. Sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh Bagak Durjana, digunakan sebagai serangan utama dalam pencak silat para pendekar selama ini.

Dengan gaya persilatan yang sama, Nirnama mampu berhadapan dua puluh lawan serentak pada awal pertembungan tadi.

Bagak Durjana meludah ke bumi. Ludahnya bercampur darah. Matanya mula berpinar-pinar. Namun, dia berusaha mengumpul sisa-sisa kekuatan. Belantan berduri dipacakkan bagi menongkat tubuh. Bagak Durjana kembali bangkit.

“Tuanku Jagat akan membelaku!” Belantan berduri dilibas.

Nirnama mara tanpa mempamerkan gerun, berdiri betul-betul di hadapan Bagak Durjana, mengakibatkan libasan senjata lawan tidak lagi mampu untuk mengenai tubuh pendekar berparut itu. Lengan Bagak Durjana ditahannya dengan tangan kiri, sementara tangan kanan menghunus keris dari pinggang, merodok senjata itu tepat ke perut Bagak Durjana.

“Jagat hanya membela dirinya sendiri.”

Perlahan-lahan Nirnama menarik keris, sekaligus mengeluarkan usus Bagak Durjana. Darah merecik ke bumi. Belantan berduri jatuh bergulingan.

Bagak Durjana sekali lagi melutut dengan mata yang tidak berkedip dan wajah yang pucat lesi. Dia menatap susuk tubuh Nirnama buat beberapa ketika, sebelum tubuhnya tumbang dan terkulai di lantai bumi.

Nirnama sekadar memerhatikan lawan yang tidak lagi bernyawa, sambil perlahan-lahan kembali menyarung senjata.

“Segala puji bagi Allah yang mengurniakan kekuatan dan mengizinkan aku menumbangkan lawan-lawanku.”