Takdir 1 – Ceritera 2

“Engkau tidak boleh meneruskan perjalanan ke Tanah Haram Makkah. Para pedagang juga telah membatalkan hasrat mereka untuk ke sana buat masa sekarang atas dua sebab.”

                Angkasa Sakti menoleh ke belakang. Remaja itu jelas bersungguh cuba untuk membatalkan hasratnya. Dia tidak memperapa-apakan remaja itu selepas pertembungan mereka sebelum ini. Bahkan, mereka kini telah berkenalan.

Remaja itu bernama Ezakiel Erik. Datang dari Dafas, perkampungan terakhir sebelum seseorang perlu menempuh sahara luas. Tempat berkumpul para pedagang yang ingin memperniaga barangan mereka ke Tanah Haram Makkah.

                 Ezakiel berkeras mahu Angkasa Sakti mengikutnya pulang, untuk diperkenalkan dengan seseorang yang dikatakan turut beriman dengan Allah SWT. Tetapi Angkasa Sakti menolak dengan sopan, dan menyatakan bahawa dia tidak patut membazirkan lebih banyak masa lagi. Dia perlu bersegera untuk sampai ke destinasi.

Tanah Haram Makkah.

                “Apa dua sebab itu?” Angkasa Sakti mengerutkan sedikit dahi.

                “Pertama, telah sampai berita bahawa Jeneral O Zero dan bala tentera Wuriar sudah berada di perbatasan Tanah Haram Makkah. Walhal Jeneral Rafayel dan bala tentera Raidom baru sahaja berundur dari sana. Ini pertama kali dalam sejarah. Tanah Haram Makkah dijangka bakal tumbang. Apakah engkau tidak takut membahayakan diri jika ke sana?”

                Angkasa Sakti tersentak dengan khabar yang diterimanya. Jika demikian kritikal keadaan Tanah Haram Makkah, maka pastilah dia perlu lebih segera tiba ke sana.

                “Maka lagilah aku tidak boleh meluang lebih banyak masa, melambatkan langkahan. Bapa berpesan untuk aku menuju ke sana, kerana di sanalah berkumpul orang-orang yang bakal membantu perjalananku untuk menumbangkan Sang Ashura.”

Angkasa Sakti berpaling dan terus membuka langkah. Namun, telinganya menangkap derap langkah Ezakiel yang cuba menyaingi dari belakang.

                “Nanti, aku tak habis cerita lagi!”

                Angkasa Sakti mengabaikan. Dia tetap melangkah dengan pantas. Dalam minda, dia berfikir-fikir untuk mendapatkan tunggangan untuk ke Tanah Haram Makkah, supaya perjalanannya menjadi lebih singkat. Hatinya tidak enak setelah mengetahui khabar destinasi tujuan sedang terancam.

                “Engkau kena tahu sebab yang kedua.”

                “Apa dia?”

Angkasa Sakti bertanya acuh tidak acuh. Fokusnya kini sudah bulat, mahu tiba ke Tanah Haram Makkah sepantas yang mungkin. Tetapi tidak mahu berkasar dengan Ezakiel, yang entah mengapa tiba-tiba menjadi orang yang terlalu mengambil berat akan dirinya. Maka, dilayankan juga remaja itu.

                “Tidak jauh dari Perkampungan Dafas, ada seorang Pendekar Gila sedang mengamuk. Dia telah berada di situ buat beberapa waktu kebelakangan ini. Ini merupakan punca utama mengapa para pedagang tidak lagi ke Tanah Haram Makkah buat masa ini.”

                Pendekar Gila? Detik hati Angkasa Sakti.

                “Maka aku hanya perlu menewaskan dia.” Angkasa Sakti menjawab pantas.

                Sepanjang perjalanannya dari hutan tebal Ujong Medini menuju ke Shandian, bahkan di Shandian sendiri, dia telah menemui pelbagai halangan dan cabaran daripada kalangan binatang liar lagi buas dan manusia jahat lagi berhati hitam yang ingin mengambil kesempatan. Semua berjaya dihadapinya. Setakat ini, belum ada lagi yang mampu memperapa-apakannya.

                Seni tempur yang diperturunkan oleh Bapa kepadanya sangat-sangat ampuh.

                Pendekar Gila itu adalah satu lagi halangan di tengah-tengah perjalanannya.

                “Engkau tidak tahu apa yang engkau ungkapkan!”

                Angkasa Sakti mengabaikan laungan Ezakiel, dan meneruskan langkahan.

***

O Zero dengan sengaja meningkatkan auranya. Salji di atas tanah bergerak-gerak seperti mahu menjauhi dirinya, seakan-akan ada angin kencang yang menampar ganas. Tunggangan-tunggangan tenteranya yang berhampiran terus merengek-rengek, tidak mampu untuk kekal mendiamkan diri.

Kuda Aizan Fahmi turut terganggu. Tetapi Jeneral Kedua Tanah Haram Makkah itu kelihatan tenang, menepuk-nepuk tunggangannya. Manakala Ruh Faizan, kekal tersenyum dan bersahaja. Tetap berdiri teguh tanpa ada tanda-tanda terkesan atau tertekan.

                Benarlah apa yang sering didengarinya sebelum ini daripada Long Berk. Raja Tanah Haram Makkah bukan insan yang mudah ditakut-takutkan. Mengikut sejarah juga, sebelum Ruh Faizan menjadi Raja kepada tempat ini, dia merupakan salah seorang jeneral yang mempertahankannya.

                Kebolehannya melawan tekanan aura O Zero juga menunjukkan bahawa Ruh Faizan mahir memanipulasi aura. Satu kemahiran yang hanya mampu dilakukan oleh segelintir manusia di atas muka bumi ini.

                O Zero mengetap geraham. Pedang gergasi dihunusnya, dan dalam masa yang teramat singkat, dia melibas senjata itu dengan Ruh Faizan sebagai sasaran.

                Adalah tidak cerdik bagi pemimpin Tanah Haram Makkah untuk berdiri di hadapannya dengan lagak bersahaja tanpa sebarang persediaan bagi menerima ancaman. O Zero tidak malu untuk mengambil apa sahaja peluang yang terbentang bagi mencapai kemenangan untuk Kerajaan Utopia!

                Namun, bunyi kepala menyembah bumi dan desitan darah bersemburan tidak kedengaran. Yang ada hanyalah bunyi dentingan yang menggetarkan gegendang telinga, dan rengekan kuat seekor kuda.

                Mata O Zero mencerun.

Bilah pedang gergasi sedang bertembung dengan bilah tombak berkepala naga.

Mata O Zero mencari wajah empunya senjata yang sedang gagah menunggang kudanya.

                “Aizan Fahmi.” O Zero menderam.

                Walaupun setelah berada di atas kuda, ketinggian O Zero masih melangkaui Aizan Fahmi, menyebabkan Jeneral Kedua Tanah Haram Makkah itu terpaksa mendongak sedikit memandang musuh.            Pun begitu, kehebatan Aizan Fahmi jelas terpamer, apabila senjata O Zero mampu ditahannya dengan begitu sempurna, walhal saiz tubuh dan senjata mereka jauh berbeza.

                “Jangan fikir engkau akan dapat berbuat sesuka hati di sini, O Zero!”

Aizan Fahmi menajamkan pandangan. Ketinggian auranya dapat dirasai O Zero.

                “Aku hanya ingin menghentikan peperangan ini dengan segera, supaya kalian tidak membazirkan masaku.” O Zero membalas, sarkastik.

                “Jika engkau tidak mahu masa dibazirkan, aku cadangkan engkau berundur sahaja. Bukankah itu lebih baik? Tiada pertumpahan darah antara kita, tiada kerugian masa, bahkan nyawa.” Ruh Faizan mencelah.

                Raja Tanah Haram Makkah itu tidak menunjukkan reaksi terkejut dengan serangan mengejut O Zero tadi. Dia kekal bersahaja. Seakan-akan amat yakin bahawa dirinya akan dilindungi. Bagi O Zero, pemimpin itu sama ada terlalu bodoh atau terlalu berani. Ketenangan yang dipamerkan Ruh Faizan seakan menggoncang jiwanya. O Zero tidak dapat bertoleransi dengan persembahan peribadi sedemikian rupa.

                Dia terasa kerdil!

                “Engkau fikir aku akan menjadi seorang yang ingkar kepada Tuhan Yang Agung, Sang Ashura?” O Zero menyumpah. “Kalian hakikatnya dalam ketakutan, bukan? Risau hari ini menjadi hari terakhir kalian wujud di atas muka bumi ini!”

                O Zero menarik semula pedang gergasi dan memacakkannya kembali ke tanah. Aizan Fahmi turut melakukan hal yang sama, dan kini lebih rapat di sisi ayahandanya.

                “Setelah sedekad perseteruan kita, pasti tentera kalian semakin menyusut. Tambahan pula, kalian belum cukup bersedia untuk menghadapi gelombang pertempuran seterusnya. Kehadiran aku di sini secara tiba-tiba, telah menggegarkan kalian.”

                Ruh Faizan menghela nafas sambil senyuman tidak lekang daripada bibir. Pemimpin Tanah Haram Makkah itu menggeleng perlahan.

                “Jika demikian, tidak mengapa. Kita berperang. Sesungguhnya Allah jualah sebaik-baik pelindung bagi kami.”

Ruh Faizan dibantu oleh Aizan Fahmi untuk naik semula ke atas kudanya.

                O Zero agak terkejut dengan reaksi yang diberikan oleh Ruh Faizan.

                Sangkanya, lelaki itu akan mahu memanjangkan perbincangan. Cuba untuk meyakinkan dirinya agar tidak berperang. Kerana O Zero pasti, Tanah Haram Makkah tidak akan mampu menghadapi sebarang serangan lagi.

                Ternyata jangkaannya meleset.

“Engkau fikir, dengan sedikit perubahan cuaca ini, maka ini merupakan petanda kemenangan kalian semakin hampir?” O Zero meninggikan suara.

                Ruh Faizan yang telah berada di atas kuda menggeleng. “Tetapi aku sentiasa yakin Yang Maha Berkuasa menurunkan salji pada tempat seperti ini, Dia-lah juga Yang Maha Berkuasa untuk membenarkan tentera kami yang kecil menumbangkan tentera kamu yang ramai.”

                Bicara itu menyentak keangkuhan O Zero.

                “‘Berapa banyak golongan yang sedikit telah berjaya menewaskan golongan yang ramai dengan izin Allah, dan Allah bersama-sama orang-orang yang sabar.’ Engkau akan dapati itu dalam al-Quran, Surah al-Baqarah, ayat 249.” Ruh Faizan menambah.

                “Allah itu tidak wujud, jahanam! Tidakkah kalian melihat betapa sengsaranya kalian sedekad ini? Sudah tiada cahaya untuk kalian lagi!”

                Aizan Fahmi menoleh sedikit ke belakang, seakan Jeneral Kedua Tanah Haram Makkah itu turut menanti jawapan daripada ayahandanya.

                Ruh Faizan masih tersenyum.

                “Cahaya kebenaran itu, tidak akan terpadam, Jeneral O. Tidak akan terpadam.”

                O Zero hilang bicara. Keteguhan peribadi Ruh Faizan langsung tidak tergugah walau sedikit. O Zero langsung tidak mampu membuatkan Raja Tanah Haram Makkah ini gementar dan gerun, apatah lagi gelisah akan nasibnya. Walhal O Zero berada di hadapannya dengan penuh kekuatan, juga bersama bala tentera yang besar!

                Sikap Ruh Faizan jelas menjatuhkan kredibilitinya!

                “Dengan siapa agaknya tentera kamu berperang, wahai jeneral? Bukankah jika kalian hanya berperang dengan kami, kami yang sedikit ini telah pun ditewaskan oleh serangan daripada Kerajaan Utopia sepanjang sedekad ini?”

                O Zero tidak mampu membalas.

                “Allah itu wujud, wahai jeneral. Dia-lah yang telah melindungi kami selama ini.”

Ruh Faizan menepuk bahu Aizan Fahmi, isyarat untuk bergerak pergi. Jeneral Kedua Tanah Haram Makkah itu mengangguk. Tali kekang tunggangannya ditarik, dan kuda itu mula berpaling.

                “Aku sarankan engkau berundur, jeneral. Tetapi jika engkau degil, maka ketahuilah kalian tetap akan berundur. Tetapi ketika itu, dengan penuh rasa malu, menyesal dan korban yang banyak.”

                O Zero dipukul geram. Dia rasa tertampar dengan kata-kata terakhir Ruh Faizan. Keyakinan lelaki itu menggunung dan langsung tidak tergugah. O Zero terasa dirinya direndah-direndahkan. Seakan keperkasaannya dipijak-pijak. Walhal dalam kalangan Jeneral Utopia, dia paling digeruni dek saiz tubuh dan senjata, serta sikapnya yang garang.

                Tetapi kini, dia terkesima. Hanya mampu menghantar dua insan tadi pergi dengan pandangan.

                “Ruh Faizan!”

Pegangannya pada hulu pedang gergasi itu mengetat. Geram tak terungkap. Dia berpaling ke arah tentera-tenteranya. Bergerak mendekati mereka. Kuda-kuda tunggangan tenteranya di barisan hadapan menjadi tidak tentu hala. Aura yang dasyat daripada O Zero dirasai mereka.

                “Aaaaargh!” Dia melibas pedang gergasi sekuat hati.

                Sekitar lima puluh orang askar bersama-sama tunggangan masing-masing menjadi mangsa. Bahagian dada terpisah daripada badan, kuda-kuda tidak berkepala, sebelum semuanya terjelepuk menyembah bumi. Salji putih dicemari merah darah.

                Askar-askar yang lain sekadar mampu memerhati. Kematian rakan-rakan mereka sudah dijangka. O Zero memang sedemikian orangnya. Bengis. Apabila diamuki amarah, tiada siapa mampu mengawalnya.

                “Kita akan hancurkan tanah jahanam itu hari ini, faham!” O Zero melaung sekuat hati. Suaranya bergema ke langit sambil telunjuk diacukan ke arah benteng Tanah Haram Makkah.

                Seluruh tenteranya menyahut kuat. “Faham!!!”

                Kemudian, mereka menghentak senjata dan perisai mereka ke tanah, menghasilkan gegaran yang membakar semangat.

                O Zero berpaling, menghadap benteng Tanah Haram Makkah.

                Matanya menyala dengan dendam dan amarah.

                Ruh Faizan akan diajar.

                Dari jauh, dia melihat pintu gerbang gergasi Tanah Haram Makkah terbuka sedikit, membenarkan Aizan Fahmi dan Ruh Faizan masuk.

                Gendang perang kemudiannya kedengaran dari balik benteng.

***

Semenjak tadi dia khusyuk memerhatikan Ruh Faizan dan Aizan Fahmi berhadapan O Zero.

Di atas benteng ini, dia mampu melihat sejauh mata memandang. Tentera wilayah Wuriar pimpinan O Zero kelihatan terdiri daripada 50,000 orang. Dia menyedari kewujudan Makhluk Gergasi dalam kalangan tentera musuh. Terdapat sekitar sepuluh orang, dengan saiz sekitar sepuluh kali ganda manusia biasa.

                Tentera Kerajaan Utopia semenjak dua tiga tahun kebelakangan ini, mula disertai makhluk gergasi.

                Makhluk Gergasi dan Makhluk Genetik adalah dua jenis bangsa yang dihasilkan oleh tangan-tangan manusia atas nama kajian. Semenjak 500 tahun lepas, mereka telah berkembang dan membentuk masyarakat tersendiri, namun masih hidup dalam keadaan terpencil kerana kesukaran dalam berasimilasi dengan manusia biasa.

                Mereka dikatakan hilang dari muka bumi selepas kejayaan Sang Ashura menumbangkan Kesatuan Lima Kerajaan. Tetapi dengan kewujudan Makhluk Gergasi dalam kalangan tentera Utopia, itu bermakna sebahagian daripada mereka telah bersetuju untuk bergabung dengan Sang Ashura.

                Sejauh mana persetujuan antara dua pihak itu wujud, tidak diketahui. Namun, berdasarkan bilangan yang kelihatan, nampaknya hanya segelintir yang bersama Sang Ashura. Pun begitu, perkembangan ini nyata membimbangkan untuk jangka masa panjang.

                Walaupun demikian, tentera Tanah Haram Makkah tidak gentar. Antara jenaka penyenang hati sesama mereka adalah ‘Lagi besar seseorang itu, lagi mudah dia menjadi sasaran.’.

Dari atas benteng ini juga, dengan pandangan tajam laksana helang, dia sentiasa bersiaga dengan busur dan anak panah, jika ada apa-apa yang buruk menimpa Raja dan Jeneral Kedua Tanah Haram Makkah itu.

                Ketika O Zero menghunus senjatanya tadi, dia hampir sahaja mahu melepaskan anak panah. Mujur tindakannya dihentikan sahabat, yang juga merupakan rakan sejawatnya.

                “Bertenang, Senior Waqqas.”

Itulah dia Mughirah Syu’bah, yang turut bersama-samanya, setia memerhatikan perkembangan keadaan. Telahan Mughirah Syu’bah tepat apabila Aizan Fahmi berjaya menjadi pelindung kepada Ruh Faizan dalam situasi genting sebentar tadi.

                “Apa yang sebenarnya difikirkan Tuanku, pergi berhadapan jeneral musuh sebegitu? Tidak pernah dibuatnya selama ini. Utopia tidak pernah berminat berbincang dengan kita!”

                “Tuanku mahu membeli masa buat kita.”

                “Hah?” Dahi Waqqas berkerut.

                “Dengan baginda di sana berhadapan O Zero, kita mempunyai lebihan masa untuk membuat persiapan terakhir di sini. Keadaan kita yang baru sahaja digempur membuatkan barisan tentera kita agak kucar-kacir. Sebahagian memerlukan rehat dan rawatan. Maka Tuanku cuba memanjangkan waktu buat kita.”

                “Bermakna bukan tujuan Tuanku untuk mengeluarkan kita daripada peperangan?”

                “Serampang dua mata. Tuanku bijaksana. Sentiasa tahu yang Utopia tidak akan berbincang dengan kita. Tetapi risiko itu tetap diambilnya untuk memberikan kita masa. Pada masa yang sama, kalau tiba-tiba mereka tidak jadi berperang dengan kita, bukankah itu satu bonus? Walhasil, jika mereka tetap mahu berperang, kita sudah mendapat masa tambahan.”

                Tenang bicara Mughirah Syu’bah. Sekali-sekala Waqqas perasan yang lelaki itu memerhatikan barisan tentera di sebalik benteng. Kekuatan terkini Tanah Haram Makkah hanya sekitar 50,000 orang tentera. Kebiasaannya, separuh akan digerakkan untuk mengawal sempadan dan menghadapi gempuran berkala daripada Utopia, manakala separuh lagi akan direhatkan dengan tugasan-tugasan ringan.

                Dua pasukan ini akan bergilir-gilir, berganti tugas.

                Tetapi bilangan itu hanyalah separuh daripada bilangan asal sedekad yang lepas. Sepuluh tahun berperang, sudah amat banyak dalam kalangan mereka yang gugur.

                Walaupun saban peperangan mereka berjaya mengundurkan tentera Utopia, korban nyawa daripada kalangan mereka akan sentiasa ada. Sedikit demi sedikit, bilangan mereka mulai mengecil.

                Kini, seluruh tentera sudah berada di sempadan, digerakkan oleh Ruh Faizan bersama-sama Aizan Fahmi dan dirinya, yang sepatutnya sekarang direhatkan. Buat pertama kali dalam sejarah, tentera Utopia menggempur mereka secara bertali arus. Sudah pasti separuh daripada mereka kepenatan, bahkan sebahagiannya telah terkorban menentang Rafayel dan bala tenteranya.

                Pertambahan tentera walaupun baik, tetap perlukan penyusunan rapi. Jika tidak, strategi peperangan akan berkecamuk.

                Mughirah Syu’bah memahami hal ini. Kerana itu dia mengerti tujuan utama Ruh Faizan bertindak luar daripada kebiasaan. Sanggup membahayakan diri, demi memberikan yang terbaik untuk Tanah Haram Makkah. Kerana itu, Ruh Faizan sentiasa menjadi kesayangan para tentera dan rakyat jelata. Lelaki itu bukanlah pemimpin yang lemah dan hanya tahu mengarah.

                Mughirah Syu’bah sendiri merupakan prodigi medan perang. Pakar strategi. Jeneral termuda Tanah Haram Makkah. Baru berusia 25 tahun, dan telah menjadi Jeneral semenjak berusia 15 tahun lagi. Lelaki bertubuh sederhana, berkulit cerah, berambut pendek dengan mata sedikit sepet ini, tidak pernah lekang dengan senyuman dan sentiasa berbahasa santun.

Setakat ini, Waqqas belum pernah melihat Mughirah Syu’bah berkerut dahi atau marah. Jeneral termuda itu sentiasa tenang dan bersahaja.

                Keampuhan pertahanan tempat ini bolehlah dikatakan sebagai jasa terbesar Mughirah Syu’bah, yang menyusun pelbagai strategi. Jeneral itulah yang mencadangkan mereka membina parit mengelilingi seluruh Tanah Haram Makkah, dan meninggalkan hanya satu jalan untuk keluar masuk. Mughirah Syu’bah jugalah sering tampil dengan pelbagai taktik luar kotak, yang sering memberikan kejutan kepada tentera musuh.

                Dia satu-satunya jeneral yang sepenuh masa berada di sempadan, supaya keamanan Tanah Haram Makkah kekal terjamin.

                Mungkin kerana itu juga, dengan pantas, Mughirah Syu’bah sudah dapat menjangka niat tindakan Ruh Faizan.

                “Engkau tidak pergi menyusun barisan tentera kita?”

                “Semua sudah diatur. Hanya memerlukan sedikit masa. Dan masa itu sudah diperolehi hasil tindakan Raja kita.”

                Waqqas hanya mampu tersenyum.

                “Apakah Senior Waqqas sudah bersedia?”

                “Sudah, alhamdulillah.”

Waqqas mengalihkan pandangan kepada barisan tentera di atas benteng. Kepakarannya adalah memanah.  Waqqas berasal dari Janggel, yang mana rakyat Janggel amat mahir dengan seni memanah dan bertombak. Sekalian rakyat dilatih semenjak kecil. Apabila Waqqas meningkat remaja, ayahanda dan bondanya berpindah ke Tanah Haram Makkah dan dia kemudiannya menjadi sebahagian daripada rakyat tempat ini.

                Dengan kemahiran itu, Waqqas berjaya menjadi Jeneral apabila meningkat dewasa, dan kini melatih pula para pemanah di sini. Sekiranya dia berada di sempadan, tempatnya adalah di benteng ini bersama-sama pasukan pemanah.

                “Engkau fikir bagaimana?” Waqqas melirik kepada Mughirah Syu’bah.

                “Bagaimana apa, Senior Waqqas?”

                “Peperangan ini. Apakah engkau nampak kemenangannya?”

                Senyuman lebar menghiasi wajah Mughirah Syu’bah. “Senior Waqqas, kita tidak akan nampak masa hadapan. Tetapi apa yang kita nampak ialah sekarang. Sekarang, kita telah bersedia apa yang termampu. Selebihnya kita serah kepada Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya. Hanya kepada Dia, kita serahkan masa hadapan kita.”

                “Engkau sentiasa tenang ya?” Saad Waqqas tersengih.

                “Jika bertenang sebegini pun akan mati, kelam-kabut pun mati, maka saya lebih suka memilih mati dalam keadaan bertenang. Kelam-kabut pun, tak dapat apa-apa, bukan?” Mughirah Syu’bah tertawa kecil.

                Sengihan Waqqas kita berganti dengan senyuman.

                “Tuanku sudah kembali. Masanya untuk saya turun.”

                Waqqas mengangguk. Matanya yang tajam itu dapat melihat kelibat Ruh Faizan dan Aizan Fahmi bersama tunggangan mereka, bergerak menghampiri Tanah Haram Makkah. Dia kekal bersiaga, kalau-kalau O Zero bertindak tergesa-gesa untuk mengejar.

                Tetapi hal itu tidak berlaku.

                Bahu Waqqas ditepuk lembut oleh Mughirah Syu’bah, sebelum Jeneral termuda itu bergerak meninggalkan posisinya.

                Sebaik sahaja Ruh Faizan dan Aizan Fahmi tiba di sebalik benteng, gendang perang berbunyi. Tidak lama kemudian, Ruh Faizan tiba ke atas benteng bersama-sama Rib’i Amir, dan ditempatkan tidak jauh di belakang Waqqas.

                Rib’i Amir, yang juga merupakan gurunya, setia berdiri di sisi Ruh Faizan.

                “Jeneral Waqqas, bagaimana?” Lembut Ruh Faizan melontar pertanyaan.

                “Insya-Allah, siaga, Tuanku.” Saad Waqqas mempamerkan keyakinan. “Tuanku duduklah di situ, dan aku akan menjaga keselamatanmu sepenuh hati.”

                Dia melihat Ruh Faizan tersenyum lebar. Hatinya kembang dan senang.

                Sekiranya Ruh Faizan berada di sempadan tatkala peperangan berlangsung, baginda akan ditempatkan di atas benteng, di belakang ketua pemanah. Memandangkan kebiasaannya kedudukan itulah merupakan tempat paling selamat dalam barisan hadapan sesebuah bala tentera. Ruh Faizan tidak mahu duduk di belakang, jauh dari tenteranya. Sekiranya baginda ada, Ruh Faizan mahu berada pada barisan hadapan bersama-sama tenteranya.

                Kebiasaannya, jika Ruh Faizan ada, Ketua Jeneral Tanah Haram Makkah akan turut ada bersamanya.

                Kehadiran Ruh Faizan membuatkan Waqqas tambah bersemangat. Menjadi tanggungjawab ketua pemanah untuk memastikan keselamatan Ruh Faizan.

                “Seraaang!” Suara O Zero bergema dari kejauhan.

                Dari atas benteng ini, Waqqas dapat merasai bahawa bumi sedang bergegar. Bala tentera Wuriar mula bergerak.

                “Jeneral Waqqas, dengan nama Allah Yang Maha Besar, panahlah mereka.” Ruh Faizan melaung.

                Waqqas mengangguk. Busur diangkat, anak panah ditariknya, kemudian dilepaskan.

“Allahu akbar!”                

***

“Engkau tidak mahu mengekoriku lagi?”

                “Engkau mahu teruskan perjalanan, engkau akan bertembung dengan Pendekar Gila. Aku tidak mahu menjadi salah seorang mangsanya. Aku berharap, engkau tidak meneruskan perjalanan ini.”

                “Mengapa engkau kisah? Engkau bermula sebagai orang yang ingin merompak dan mengancam aku. Kini engkau risaukan keselamatanku?”

                “Kerana keimanan engkau kepada Tuhan bernama Allah. Aku sudah berulang kali mendengarnya daripada seorang lelaki tua di hujung Perkampungan Dafas. Seperti dia, aku yakin engkau orang yang baik-baik.”

                “Engkau kisah akan orang yang baik-baik, tetapi engkau merompak?”

                “Aku juga perlu teruskan hidup.”

                “Aku pula perlu meneruskan perjalananku. Maafkan aku, Ezakiel.”

                Selepas itu, dia dan Ezakiel berpisah. Dia meneruskan perjalanan, dan telah sekitar separuh hari dia meninggalkan Perkampungan Dafas.

Angkasa Sakti tidak mampu mendapatkan tunggangan, kerana untuk itu dia perlu membayar harga yang tinggi. Angkasa Sakti tidak mempunyai wang yang banyak. Sekadar apa yang dibekalkan oleh Bapa. Cukup untuk dia mencari alas perut apabila terdesak.

                Setakat ini, dia belum bertemu dengan sebarang ancaman. Perjalanannya pun semakin lama membawa dia ke tempat yang semakin lapang. Namun, hari yang semakin gelap membuatkan dia tidak lagi mampu memerhatikan keadaan sekeliling dengan baik.

                Angkasa Sakti dapat merasakan yang dia sudah tiba di sahara.

                Dia membuat keputusan untuk berkhemah di sini. Pertama kali mahu merentasi padang pasir nan luas, Angkasa Sakti tidak mahu mengambil risiko berjalan tanpa pengetahuan. Esok, apabila hari sudah sedikit cerah, dia akan menyambung perjalanan dan menghayati keindahan sahara ini. Mengetahui ancaman dan cabaran yang bakal dihadapinya dengan mata dan kepala sendiri.

                Selepas itu, baru Angkasa Sakti punya keyakinan untuk mengambil risiko meneruskan perjalanan pada waktu malam.

                “Manusiakah itu?”

Satu suara kedengaran tanpa jangkaan sesiapa, mengejutkan Angkasa Sakti yang baru hendak melabuhkan punggungnya.

                Seorang lelaki mengangkat obor di tangan, membuatkan tubuh Angkasa Sakti disinari cahaya.

                “Apa yang engkau lakukan di sini?”

Lelaki itu kehairanan. Tangan kiri sedang menuntun dua ekor haiwan. Seekor unta besar, sarat dengan muatan dagangan. Satu lagi merupakan seekor kuda tinggi gagah perkasa berwarna hitam.

                Angkasa Sakti berdiri, bersedia untuk apa sahaja kemungkinan.

                “Jangan risau, aku tidak akan memperapa-apakan kamu. Aku sangka engkau binatang buas. Aku hanya ingin kembali ke Perkampungan Dafas.”

                Angkasa Sakti mengangguk. Postur tubuhnya kembali bersahaja. Dia segera berjabat dengan pedagang tersebut.

“Aku sangka jalan ini tidak ada siapa lagi yang berani melaluinya, tetapi tuan baru sahaja kembali daripadanya.” Angkasa Sakti mula berbahasa. Gelaran ‘tuan’ sebagai tanda hormat, memandangkan perawakan pedagang ini ada kredibilitinya.

                “Oh, engkau sangka aku baru pulang berdagang?”

                Angkasa Sakti mengangguk lagi. Pedagang itu tertawa.

                “Aku sebenarnya mencuba nasib. Tetapi kini berpatah kembali dengan 1,001 rasa.”

                “Tuan telah bertemu dengan Pendekar Gila?”

                “Ah, engkau juga tahu akan hal tersebut.” Kemudian perlahan-lahan, pedagang itu mengangguk. “Tetapi dari kejauhan saja. Apa yang aku lihat, aku tidak berani untuk mendekat.”

                “Apa yang tuan lihat?”

                Pedagang itu berdiam buat beberapa ketika. Wajahnya, daripada biasa-biasa menjadi durja.

                “Kalau boleh, aku mahu lupakan. Aku tidak pernah menyangka seorang manusia boleh bersikap sedemikian rupa. Aku juga tidak pasti akan masa hadapanku lagi. Jalan dagang ini nampaknya bakal tertutup buat selama-lamanya. Sedang kepakaranku adalah menghasilkan pakaian yang gemar dipakai warga Tanah Haram Makkah.”

                Dahi Angkasa Sakti berkerut. Hairan mengapa pedagang itu seperti berkeras tidak mahu memberikan gambaran yang jelas.

                “Beginilah, tuan. Apa kata engkau menanti di sini, dan aku pergi berhadapan apa sahaja ancaman di hadapan sana.” Angkasa Sakti mengukir senyuman yakin.

                Bicara dan reaksi Angkasa Sakti menjemput rasa terkejut dalam hati pedagang itu. Matanya membulat tidak percaya. “Engkau fikir engkau mampu berhadapan kegilaan itu?”

                “Bapa berpesan, yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya hanyalah Allah. Ketakutan insan hanya untuk Dia. Bukan untuk selainnya.”

                “Ah, engkau penganut Islam? Apakah malangnya nasibku hari ini. Daripada seorang gila kepada seorang gila.”

                Pedagang itu menggeleng dan cuba bergerak melepasi Angkasa Sakti. Segera Angkasa Sakti memintas pedagang tersebut, menarik pedang warisan Bapa, dan memacakkannya ke tanah. Pedagang itu terkejut, langkahnya mati. Dua haiwannya mengeluarkan rengekan.

                “Engkau menggelarkan aku gila, tetapi engkau hidup dengan membuat wang daripada orang-orang gila.”

Angkasa Sakti merujuk kepada warga Tanah Haram Makkah, tempat pedagang ini sering berdagang. Panggilan ‘tuan’ juga telah sirna.

                “Mereka berikan aku banyak bekalan yang berharga. Engkau tidak tahu betapa berkualitinya gandum dan susu ternakan mereka. Kesengsaraan mereka merupakan peluang bagi aku meraih semua itu. Ini semua hubungan perniagaan sahaja!”

                Angkasa Sakti menggeleng. Entah mengapa, dia rasa mual dengan manusia di hadapannya kini. “Sudah. Jika aku gila sekalipun, hanya kerana aku beriman kepada Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya. Aku berani membuat keputusan itu.” Angkasa Sakti menajamkan pandangan.

                Pedagang itu terpempan. “Apa yang engkau mahukan daripada aku? Jika engkau mahu mengorbankan nyawamu, silakan. Aku tidak dapat menghalang.”

                “Engkau boleh hadiahkan aku kuda itu.” Angkasa Sakti menunjuk.

                Pedagang itu memandang haiwan tersebut. Kuda itu mendengus. “Kemudian, engkau akan menghalau Pendekar Gila itu pergi?”

                “Sepenuh kemampuan aku.”

                Pedagang itu diam sebentar. Seperti sedang mempertimbangkan sesuatu.

                “Baiklah. Ambillah kuda ini.”

Tali kekang kuda itu dipanjangkan kepada Angkasa Sakti. Mata Angkasa Sakti membulat, wajahnya ceria. Pantas dia mencapai tali kekang tersebut.

                “Ini kuda yang sangat berharga. Jika aku jual kepadamu, harganya amat tinggi.”

                “Ah, aku sudah pun membayar dengan harga yang tinggi. Nyawaku.” Angkasa Sakti ketawa.

                Pedagang itu tertawa kecil. Menggeleng. “Maafkan aku kerana berkasar denganmu tadi. Aku tidak patut menggelarkan kalian gila. Penganut agama Islam adalah antara insan-insan terbaik yang pernah aku temui setakat ini. Tetapi aku sedang dirudung kemurungan yang dahsyat.” Pedagang itu menghulurkan tangan untuk berjabat.

                “Pada era ini, bukanlah satu perkara yang janggal dihina sebegitu.” Angkasa Sakti menyambut tangan pedagang tersebut. “Aku maafkan.”

                “Engkau akan teruskan perjalanan?”

                Angkasa Sakti menggeleng. “Aku perlu tunaikan solat terlebih dahulu.”

                “Ah, benar. Orang Islam.”

                Angkasa Sakti tersenyum.

                “Biarlah aku menemanimu buat beberapa ketika. Engkau boleh solat dengan aman.”

                Senyuman Angkasa Sakti bertambah lebar.

***

Selepas menunaikan solat, dia berpisah dengan pedagang itu.

                Perjalanan disambung, membatalkan hasratnya untuk bermalam terlebih dahulu. Malam yang pekat diredah dengan pantas, kerana dia kini dia tunggangan yang gagah.

                “‘Hitam’ dalam bahasa al-Quran ialah ‘aswad’. Itulah namamu sekarang, Aswad.” Ujar Angkasa Sakti, sambil tangan kiri kejap memegang tali kekang, sementara tangan kanan mengangkat obor menerangi jalan.

                Kuda itu merengek sedikit, sebelum pantas membawa Angkasa Sakti merentasi padang pasir.

                “Engkau teruskan sahaja perjalanan menghala ke arah barat. Engkau akan bertemu dengan Pendekar Gila itu.”

                “Bagaimana aku mahu tahu itu dia?”

                “Engkau akan tahu.”Angkasa Sakti disoal pedagang itu, ‘Apa yang membuatkan kamu tidak gentar menyahut cabaran ini?’

                Angkasa Sakti menjawab dengan apa yang dipesan berkali-kali oleh Bapa kepadanya.

                “Wahai Angkasa, Utusan Langit Terakhir ada bersabda: Jagalah Allah, maka Allah akan menjaga kamu, jagalah Allah seakan-akan Dia wujud di hadapanmu. Jika kamu inginkan sesuatu, maka mintalah kepada Allah, jika kamu ingin meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan Allah. Ketahuilah, sekiranya seluruh manusia berkumpul ingin memberikan manfaat kepada kamu, nescaya mereka tidak akan mampu melainkan apa yang telah ditulis oleh Allah untuk kamu. Dan sekiranya seluruh manusia berkumpul ingin memberikan mudarat kepada kamu, nescaya mereka tidak akan mampu melainkan apa yang telah dituliskan oleh Allah ke atas kamu. Pena telah terangkat dan lembaran kertas telah pun kering. Ini adalah bicara Utusan Langit Terakhir. Maka, Angkasa, jangan sesekali kamu berpaling daripada-Nya. Jangan sesekali gentar selain daripada-Nya.”

                Tiba-tiba, Aswad berhenti secara mengejut, tidak mahu meneruskan perjalanan.

                “Mengapa?” Angkasa Sakti menepuk-nepuk leher tunggangannya, tetapi kuda itu tetap gagal bertenang, dan kini melompat-lompat dalam bulatan.

                Tidak berapa lama kemudian, Angkasa Sakti dapat merasai tekanan aura yang amat tinggi. Dahinya sendiri berkerut. Ketinggian aura ini di luar jangkaan. Segera dia turun daripada kuda. Pipi Aswad ditepuk-tepuknya, kuda itu diarahkan menghindar dari tempat tersebut.

                Keringat mula menghuni dahi. Tekanan yang dirasai semakin kuat. Gelap malam nan pekat menyebabkan dia tidak dapat melihat apa yang berada jauh di hadapan, tetapi sudah pasti, ancaman yang besar. Obornya hanya mampu memberikan cahaya menerangi kawasan berhampiran.

                Gegendang telinganya bergetar menangkap bunyi yang sayup-sayup kedengaran.

                “967 …”

                Eh, bunyi apa itu?Angkasa Sakti bergerak ke arah bunyi tersebut.

                “968 …”

                Bunyi itu semakin kuat kedengaran. Angkasa Sakti perlahan-lahan bergerak. Langkahan dijaganya agar tidak dikesani. Dia mula perasan ada remang cahaya tidak jauh di hadapan. Namun, pemilik cahaya itu seperti dilindungi. Mungkin oleh bukit pasir?

                Angkasa Sakti tidak pasti. Dia perlu lebih mendekat.

                Sementara itu, setiap langkahannya, dia dapat merasakan tekanan aura yang wujud di tempat ini semakin pekat menekan.

                “969 …”

                Ketika ini, hidung Angkasa Sakti mula menangkap bau hanyir yang memualkan. Hampir sahaja Angkasa Sakti termuntah. Tetapi dia menguatkan diri dan meneruskan langkahan.

                “970 …”

                Selepas beberapa langkah, Angkasa Sakti semakin pasti bahawa apa yang sedang dihidunya ialah bau darah. Mungkin telah berusia beberapa hari, dan sudah pasti untuk menghasilkan bau sebegini hanyir dan busuk, sumbernya juga pasti banyak.

                “971 …”

                Angkasa Sakti semakin hampir. Obor pada tangan mula menerangi apa yang disangkakan sebagai ‘bukit pasir’ tadi.

                “Apakah …” Mata Angkasa Sakti terbelalak.

                Itu bukan bukit pasir. Itu adalah timbunan kepala manusia!

                Sebahagiannya sudah pun mereput dan mempamerkan tulang sahaja!

                Di kaki bukit kepala manusia itu, kelihatan satu susuk tubuh, berambut panjang tidak terurus hingga ke paras dada, tidak berkasut, berpakaian lusuh, bersama pedang yang kelihatan sumbing sedang terpacak di sisinya.

Individu itu sedang memegang sebuah kepala dengan kedua-dua belah tangan.

“972 …” Kepala itu dicampakkan di atas timbunan.

“Siapa …”

Angkasa Sakti ingin menyapa, tetapi secara tiba-tiba, individu itu berpaling ke arahnya sambil menyeringai. Pandangannya tajam dan menyala!