Kembara 2

“Apa engkau fikir aku arahkan engkau melakukan pelbagai kerja berat, dan bertapa di hadapan air terjun, untuk perkara yang sia-sia? Kami Muslim benci dengan perkara yang sia-sia.”
~ Kabeer Bastian, seorang tua di Perkampungan Sinan. 

Ariki menyeka peluh pada wajah apabila cecair itu hampir masuk ke matanya. Tubuhnya lencun, peluhnya tidak berhenti keluar. Pada dua bahunya, tersandang sebatang kayu sederhana besar, tergantung pada dua pangkalnya sebatang lagi kayu panjang, yang mana pada setiap kayu tersebut, lima baldi air bergayut.

              Berat. Tetapi digagahi juga oleh Ariki. Selangkah demi selangkah dia mara. Ini bukan tripnya yang pertama, tetapi yang terakhir. Itu menjadi motivasinya untuk terus bertahan dan bergerak menyelesaikan tugasnya. Setiap hari, dia perlu bangkit awal pagi dan pergi ke sungai mendahului orang lain, dan mengambil air sebegini sekurang-kurangnya 10 kali untuk digunakan buat menyiram sayur-sayuran.

              Apabila dia selesai mengangkut semua air tersebut kembali ke ladang, dia akan berehat sebentar sebelum menyiram pula tanaman-tanaman tersebut. Kemudian, dia akan pergi mengembala biri-biri, sebelum kembali pada waktu tengahari. Rutinnya tidak berhenti di situ.

              Dia akan pergi pula ke dalam hutan, dan duduk bersila di hadapan sebuah air terjun, sehingga petang, sebelum pulang dan membersihkan rumah.

              Hanya apabila malam tiba, dia akan mempunyai masa senggang. Itu pun, biasanya dia akan memanfaatkan masa tersebut untuk membasuh pakaian.

              Sudah sebulan setengah dia melakukan semua itu, setiap hari.

              Kerana itu semua menjadi syaratnya untuk diambil menetap di rumah Kabeer, ayahanda kepada Aifer, perempuan yang dijumpainya di dalam hutan tempoh hari.

              Dia hanya sedar apabila dia telah berada di atas katil rumah mereka. Di sana, buat pertama kali, dia bertemu dengan Kabeer, seorang lelaki yang kelihatan berusia sama seperti ayahandanya, tubuhnya sederhana, rambut pendek dan kemas serta sudah mula dihiasi uban. Sering batuk-batuk, menandakan kesihatannya tidak berapa baik. Dia merupakan bapa kepada Aifer, yang kini membantunya melakukan pelbagai kerja memandangkan kesihatan bapanya yang tidak mengizinkan.

              Kabeer telah bertanya akan gerangan dirinya, dan tanpa berselindung, Ariki berkongsi. Identitinya dan kisah bagaimana dia boleh berada di sini. Ternyata, Kabeer dan Aifer terpana kerana tidak sesekali menyangka bahawa dia ialah anakanda kepada Lutello, manusia paling berkuasa di dunia hari ini. Tetapi nasib menyebelahi Ariki apabila Kabeer bersetuju untuk tidak menyerahkannya kepada pihak berkuasa, dan menawarkan rumah mereka sebagai tempat perlindungan.

              Kabeer menyatakan bahawa dia menghargai usaha Ariki untuk menyelamatkan anak perempuannya dari tangan pemuda-pemuda jahat. Ariki hanya mampu tersengih ketika itu, kerana mengingatkan bahawa akhirnya dia yang diselamatkan oleh Aifer.

              Namun, tawaran Kabeer itu bersyarat. Ariki perlu mengambil meringankan bebanan Aifer dengan mengambil alih sebahagian kerja yang berat, sepanjang Ariki hendak berlindung di dalam rumahnya.

              Ariki pantas sahaja bersetuju.

              Dia tidak mahu kembali ke istana.

              Entah apa nasibnya kelak sekiranya dia dijumpai oleh tentera ayahandanya.

              Walaupun pada awalnya dia merasa kekok, dan tidak mampu melakukan semua itu, tetapi selepas seminggu, alah bisa tegal biasa.

              Ariki telah sampai ke rumah Kabeer. Rumahnya yang sederhana itu terletak agak jauh dari perkampungan. Terpencil. Dikelilingi tanah lapang dan sebidang ladang sayur-sayuran serta sekandang biri-biri. Ariki menurunkan batang kayu pada bahunya, meletakkan baldi-baldi air ke tanah, sebelum menuangkan air-air tersebut ke dalam sebuah bekas besar yang hampir penuh.

              Ariki melepaskan dirinya duduk di tepi bekas besar tersebut, sambil memerhati langit yang mula cerah. Kemudian matanya direhatkan kepada sayur-sayuran di hadapannya. Ada lobak, timun dan kobis. Pandangannya beralih ke arah kandang biri-biri. Kabeer mempunyai 25 biri-biri. Selain untuk makan sendiri, biri-biri itu turut dijual di pasar oleh Aifer untuk mendapatkan wang agar mereka dapat membeli barang keperluan yang lain.

              Hidup keluarga ini sederhana. Memang bagai langit dan bumi jika hendak dibandingkan kehidupan Ariki di istana.

              Mengenangkan istana, Ariki menghela nafas panjang. Wajah bondanya terpapar di minda. Entah apa khabar bondanya itu. Pasti dia sedang kerisauan yang teramat. Ariki tahu bahawa bondanya sangat mencintai dan mengasihi dirinya. Bondanya itulah yang mengutip dia dari hanyut dibawa arus sungai, dan memujuk ayahandanya untuk menerimanya di istana.

              Bonda yang sama juga banyak menyelamatkan dirinya dari kemurkaan ayahandanya, lantaran apabila dia meningkat dewasa, dia banyak tidak bersetuju dengan cara ayahandanya menguruskan kerajaan dan melayan rakyat jelata.

              Tetapi bondanya tidak mampu menghalang segala-galanya. Ayahandanya memang berkeras mahu Ariki menjadi sepertinya. Mengikuti jejak langkah, agar Ariki benar-benar menjadi pewaris yang mampu dipertanggungjawabkan meneruskan legasinya.

              Semenjak bondanya mencecah umur separuh abad ini, ayahandanya juga telah lama tidak dilihat bersama bondanya. Ayahandanya banyak menghabiskan masa dengan para dayang. Jelas hubungan mereka tidak semesra dahulu, dan Ariki sedikit sebanyak menyalahkan dirinya sendiri. Dia fikir, mungkin kewujudannya membuatkan bonda rasa sempurna dan cukup, pada masa yang sama ayahandanya terus menerus rasa kecewa kerana Ariki bukan anak kandungnya, ditambah pula Ariki kelihatan tidak akan menuruti jejak langkahnya.

              Dan kini Ariki telah menderhaka.

              Pasti bonda menderita. Ariki tidak dapat membayangkan kemurkaan ayahandanya. Ariki amat yakin, bonda akan terkena tempiasnya.

              “Menangis?” Satu suara menyapa.

              Ariki terkejut, tetapi rasa kagetnya pantas mengendur apabila melihat Kabeer sedang berjalan mendekatinya. Langkahan disokong dengan sebatang tongkat di tangan kanan. Ketika itu juga baru Ariki perasan yang dia sedang mengalirkan air mata. Segera mutiara yang telah bercampur dengan keringat itu diseka.

              “Maaf pakcik. Teringat kepada keluarga” Ariki segera bangkit. Dia juga teringat yang dia perlu segera menyiram tanaman.

              Kabeer hanya tersenyum. Wajah Kabeer penuh dengan parut luka lama, yang kian pudar tetapi masih kelihatan. Namun senyuman lelaki itu tidak menjadi tawar akannya. Dan Kabeer memang manusia yang murah dengan senyuman. Walaupun wajahnya banyak parut, tetap wajahnya seperti punya cahaya. Tenang. Walaupun kadangkala…

              “Kof, kof.” Kabeer menundukkan wajah, tangan kiri dikepal hampir dengan mulut.

              …batuk sedemikian akan sedikit menganggu ketenangan tersebut.

              “Pakcik bagaimana?” Ariki segera mendekati Kabeer.

              Kabeer mengangkat tangan kirinya. Sebelum mengangkat semula wajah, dan wajah itu kembali dihiasi senyuman.

              “Batuk-batuk kecil sahaja.” Kabeer menenangkan.

              Ariki tersenyum kelat. Dia tahu, Kabeer tidak berterus-terang. Dia pernah melihat dengan matanya sendiri, Kabeer batuk kuat sehingga muntah darah. Tetapi oleh kerana dia bukan ahli keluarga di sini, dia tidak bertanya banyak. Dia tidak mahu dianggap sebagai penyibuk urusan orang lain.

              “Ambil udara segar. Cuaca nampak baik hari ini.” Kabeer menyambung bicara sambil pandangan ditebarkan ke suasana.

              Ariki mengangguk. Benar. Cuaca amat baik hari ini. Bahkan suhu sekarang tidak berapa panas, tetapi tidak pula terlalu sejuk. Dia yang mahu pergi menyiram tanaman, masih tidak bergerak melaksanakan tanggungjawabnya, kerana langkahnya asyik dimatikan oleh sapaan Kabeer. Agak kurang adab baginya, meninggalkan orang tua itu berbicara seorang diri.

              “Bagaimana Ariki, dengan pertapaanmu di air terjun. Apa yang boleh engkau kongsikan denganku hari ini?” Kabeer melontar soalan.

              Antara perkara yang Kabeer minta Ariki laksanakan jika ingin berlindung di rumahnya ialah bertapa di hadapan air terjun yang terdapat di tengah hutan, dari tengahari hingga ke petang. Aifer telah menunjukkannya jalan. Apabila ditanya apa yang perlu dia lakukan sepanjang waktu itu, Kabeer menjawab: “Kau perlu mendengar dan melihat.”

              Maka apa yang dilakukan oleh Ariki setiap hari ialah cuba mendengar sebaik mungkin keadaan sekeliling, walaupun Ariki merasakan ia adalah tindakan yang sia-sia kerana hampir sahaja dia tidak mendengar apa-apa selain bunyi air terjun. Setiap hari juga, Ariki melihat air terjun jatuh. Namun, setekun mana atau sefokus mana pun dia memerhatikan air terjun itu, dia masih tidak mampu memahami makna di sebalik arahan Kabeer.

              Mungkin orang tua itu memandang aktiviti tersebut sebagai satu kerehatan selepas Ariki berpenat lelah sepanjang pagi? Itu sangkaan terbaik Ariki setakat ini.

              Kabeer memandang tepat kepadanya. Menanti jawapan.

              “Entahlah pakcik. Saya tidak pasti apa yang saya perlu kongsikan kepada pakcik.” Ariki menggaru belakang kepalanya yang tidak gatal.

              Kabeer tersengih mendengar jawapannya.

              Tiba-tiba, Kabeer mengangkat tongkatnya, dan melibas ke arah Ariki.

              Mata Ariki membesar. Namun entah mengapa, refleksi tubuhnya menjadi agak pantas. Dia mampu mengelak batang tongkat tersebut dari mengenai kepalanya.

              Kabeer tidak berhenti di situ. Dia mara selangkah ke hadapan, dan tangan kirinya membuka telapak, seperti ingin menolak tubuh Ariki.

              Ariki dapat melihat tindakan itu dengan jelas, spontan dua belah tangannya turun membentuk seperti gunting, menundukkan tangan Kabeer. Tangan kanan Kabeer pula mara, menujah kepala tongkatnya ke wajah Ariki. Tangan Ariki yang tadinya di bawah, kini kembali ke atas, menepis tujahan itu.

              Dan keadaan sedemikian berterusan hingga masuk belasan jurus. Kabeer menambah kekuatan dan kepantasan serangannya. Semua dapat ditepis atau dielak oleh Ariki dengan baik, sebelum Ariki tidak mampu terus menepis dan mengelak dek kerana pergerakan Kabeer yang mula menjadi terlalu pantas dan keras. Dia mula kelam kabut menerima serangan Kabeer. Akhirnya tangan kiri Kabeer tidak mampu ditangkap oleh Ariki, kini melayang ke pipinya. Ariki menutup mata.

              Namun selepas beberapa ketika, dia tidak merasakan apa-apa.

              Perlahan dia membuka kembali matanya.

              Kabeer telah menghentikan serangannya, kurang seinci dari kulit wajah Ariki.

              Dia melihat orang tua itu menggores senyum.

              Matanya membesar.

              Kabeer menarik kembali tangannya, direhatkan di atas tangan kanan, yang diletakkan di atas kepala tongkat.

              “Apa yang telah berlaku?” Ariki sedikit meninggikan suara. Dadanya berdegup kencang.

              “Engkau sudah bersedia, Ariki.”

              “Bersedia?”

              “Apa engkau fikir aku arahkan engkau melakukan pelbagai kerja berat, dan bertapa di hadapan air terjun, untuk perkara yang sia-sia? Kami Muslim benci dengan perkara yang sia-sia.” Bahu Ariki ditepuk.

              “Mari. Hari ini engkau bercutilah dari kerja-kerjamu. Masanya telah tiba untuk kerja yang lebih besar.”

              Kabeer bergerak melepasi Ariki, meninggalkan pemuda itu terpinga-pinga. Ariki mengangkat kedua-dua belah tangannya, memandang pada telapaknya. Apa yang berlaku sebentar tadi, membuatkan dirinya seperti bermimpi. Dia tidak pernah mempunyai kebolehan untuk bertempur sedemikian rupa. Dia tidak pernah berminat mempelajarinya sepanjang berada di istana walau dipaksa oleh ayahandanya. Pengalamannya bertempur hanya satu, yakni ketika terbunuhnya Uytur di tangannya. Itu pun tidak disengajakan!

              Namun tadi…

              Dia dapat merasakan yang tubuhnya sendiri bergerak, mindanya sendiri berfikir membuat pilihan untuk tindakan yang seterusnya, matanya dapat menangkap pergerakan Kabeer walaupun orang tua itu bertindak pantas.

              “Pakcik, tunggu!” Ariki membuka langkah berlari anak mendapatkan Kabeer yang sudah mula keluar dari ladang.

              “Apa kerja yang lebih besar?” Ariki bertanya sebaik sahaja dia kembali berada di sebelah Kabeer.

              “Jom minum pagi terlebih dahulu.” Kabeer mempersilakannya naik ke anjung rumah. Di sana terdapat sebuah meja dan empat kerusi kecil. Mata Ariki menangkap kelibat Aifer yang baru sahaja masuk kembali ke rumah.

              Kelihatan teko dan cawan telah tersedia kemas di atas meja.

              Ariki akur dengan pelawaan Kabeer.

******

Sudah 6 minggu berlalu semenjak kejadian yang menggemparkan Istana Mukan’Aja berlaku. Selama lebih sepurnama ini juga, Ariki masih belum ditemui oleh para Wirawan. Mereka telah menggeledah hampir keseluruhan Mukan’Aja dan juga negara-negara yang bernaung di bawah kekuasaannya seperti Wagangada, Likuwaku, Namiami dan Janjaja.

              Mengikut kenyataan para pengawal yang berusaha mengejar Ariki ke dalam hutan tempoh hari, sekiranya Ariki berjalan terus, trajektori perjalanannya akan membawanya ke Wagangada. Tetapi selepas Lunayana menyatakan bahawa di Wagangada tiada kelibat Ariki dikesani, maka pencarian telah beralih ke Likuwaku, Namiami dan Janjaja, tiga negara yang bersempadan dengan Wagangada.

              Masih ada beberapa tempat di dunia ini belum digeledah, namun agak mustahil bagi seorang budak muda seperti Ariki mampu sampai ke tempat-tempat tersebut.

              Lutello termenung panjang memandang peta dunia yang terdapat pada dinding bilik mesyuaratnya.

              Uluwalu, Bustanati dan Mastazadi. Ketiga-tiga negara ini tidak berada di bawah kerajaan Mukan’Aja. Bahkan merupakan seteru semenjak Lutello mula menaiki takhta. Tetapi beberapa tahun kebelakangan ini, tiada peperangan besar berlaku antara Mukan’Aja dan mereka. Yang ada hanyalah perang dingin. Lokasi mereka pula tidak hampir. Walaupun di atas peta, ketiga-tiga negara ini garis sempadannya bertembung dengan Namiami dan Janjaja, hakikatnya wujud hutan yang amat tebal memisahkan mereka. Dan hutan itu bernama Hutan Maut, kerana tiada siapa yang memasukinya akan berjaya keluar. Hanya ada satu jalan, sederhana besarnya, yang menghubungkan ketiga-tiga negara tersebut dengan Namiami, dan itulah sahaja jalannya yang digunakan oleh para pedagang dan orang ramai jika mereka ingin pergi dari satu negara ke satu negara yang lain. Antara sebab mengapa Lutello tidak mahu menggerakkan keseluruhan bala tenteranya untuk menawan negara-negara tersebut. Tambah-tambah, ketika ini, mereka bukan ancaman terhadap Mukan’Aja.

              Perjalanan ke Uluwalu, Bustanati dan Mastazadi pula bukan perjalanan yang pendek. Memakan masa berminggu lamanya dengan menunggang kuda dari Ismura, Pusat Pemerintahan Mukan’Aja.

              Ariki mustahil pergi sejauh itu dalam masa yang singkat dengan berjalan kaki. Dan jika ya, mustahil dia mengambil jalan orang ramai, kerana setakat ini tiada laporan berkenaan kelibatnya di mana-mana.

              Jika dia termasuk ke Hutan Maut, budak semuda itu ditambah dengan ketiadaan pengalaman, sudah pasti bertemu ajalnya.

              Setakat ini, itulah anggapan terbaik Lunaya, Elyun dan Kastur. Ketiga-tiga mereka telah berhenti mencari. Manakala Lakshamana, Lutello masih belum mendapat khabar terkini daripadanya. Khabar yang diperolehi minggu lepas, Wirawan Utama itu mengambil inisiatif untuk menggeledah kampung-kampung pedalaman. Satu usaha yang tidak mudah memandangkan kampung-kampung sedemikian sangat banyak, bertaburan di tempat-tempat terpencil.

              Tetapi Lutello kenal akan Wirawan Utamanya itu. Lakshamana ialah seorang pahlawan berkeazaman tinggi. Dia akan melaksanakan arahan yang diberikan ke atasnya sesempurna mungkin. Jika diarahkan kepadanya untuk mengalihkan gunung, dia pasti akan berjaya mengalihkannya atau mati dalam usaha menyempurnakan tanggungjawab tersebut. Atas sebab itu, Lutello masih belum mahu memanggil Lakshamana pulang.

              Ada dua lagi tempat di dunia ini, tetapi Lutello seratus peratus yakin Ariki tidak akan mampu ke sana. Kedua-dua tempat itu tertutup dan tidak sesekali dibuka kepada orang ramai. Hanya mereka yang beragama Islam sahaja akan dibenarkan memasuki sempadan mereka. Kerana mereka percaya bahawa tempat mereka ialah Tanah Haram, atau Tanah Suci.

              Makkah & Madinah.

              Tempat di mana orang-orang beragama Islam berkumpul dan beribadah. Walaupun secara hitam putihnya kedua-dua tempat itu tidak terletak di bawah kekuasaan Mukan’Aja, hakikatnya Lutello telah menguasai kedua-duanya apabila pemimpin dan pembesar di sana, bersama-sama golongan ilmuwan mereka, yang dipanggil sebagai ulama’, telah bersetuju untuk tidak bertindak agresif dengan Kerajaan Mukan’Aja, tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan bangkangan, tidak mempunyai tentera, tidak menyerang dan tidak membiarkan juga orang-orang Islam berkeliaran di luar Makkah & Madinah menyebarkan ajaran mereka.

              Sebagai balasan, Makkah & Madinah dibiarkan dari cengkaman Lutello. Mereka bebas untuk memimpin rakyat mereka sendiri dengan acuan sendiri. Bebas beribadah dan melakukan apa sahaja tanpa halangan. Selagi mana mereka menghormati perjanjian tadi.

              Islam merupakan musuh terkuat Lutello dan dia telah bersusah payah membasmi golongan itu bertahun-tahun lamanya semenjak dia menaiki takhta. Asalnya, tanah Likuwaku merupakan sebahagian dari tiga tanah orang-orang Islam. Mereka mempunyai Makkah, Madinah dan Palestin. Tetapi Lutello berjaya merampas Palestin lebih awal. Asalnya dia tiada kebencian khusus dengan agama tersebut, tetapi di Palestin itu terdapat sesuatu yang mahu didapatkan olehnya. Namun dek kerana tindakannya itu, bermulalah pertarungan golongan orang Islam dengan pihaknya. Golongan itu bangkit, menentang kekuasaannya dan ingin mendapatkan kembali Palestin.

              Dan penentangan mereka sangat hebat. Lutello tidak pernah melihat segolongan manusia yang berani mati, seberani golongan orang Islam. Mereka mempunyai disiplin yang tinggi dan keyakinan yang tidak berbelah bagi terhadap kepercayaan mereka.

              Muncul di kalangan mereka sekumpulan pemuda yang telah berjaya memberikan gegaran kepada kekuasaan Lutello dan telah berjaya melemahkan kekuasaannya untuk beberapa tahun. Hampir sahaja Palestin itu dirampas kembali, jika bukan kerana Lutello berjaya mempengaruhi segolongan orang Islam, untuk berpaling tadah dan memberikan tekanan kepada kumpulan anak muda tersebut.

              Ulama’-ulama’ dan pimpinan tertinggi mereka dibeli dengan jaminan keamanan. Mereka dipujuk untuk melepaskan Palestin dengan janji bahawa mereka akan dibiarkan. Peperangan bertahun-tahun yang panjang, membuatkan orang-orang berstatus di kalangan mereka ini penat, lantas merasakan bahawa tawaran Lutello merupakan tawaran yang baik.

              Maka ulama’-ulama’ mereka sendiri yang mula berkempen untuk orang ramai mengurangkan sokongan terhadap kumpulan pemuda tersebut. Golongan yang asalnya digelar sebagai Satria-Satria Sejati, kemudiannya mendapat gelaran sebagai ‘Penyangak Sesat’. Perjuangan mereka dituduh sebagai menyimpang dari ajaran sebenar Islam, dan jauh dari semangat ‘keamanan’ dan ‘kesederhanaan’ yang diperjuangkan oleh Islam.

              Apabila golongan pemuda tersebut meneruskan juga usaha-usaha mereka, mengajak masyarakat untuk tidak tertipu dengan seruan-seruan ke atas mereka, golongan tersebut telah dituduh sebagai ‘penderhaka’, ‘kafir’. Bahkan, dek termakan dengan propaganda tersebut, sebahagian besar penyokong mereka telah melarikan diri di tengah perjalanan perang ketika kemuncak pertempuran.

              Akibatnya, golongan pemuda tersebut terpaksa menentang Lutello dan bala tenteranya tanpa apa-apa sokongan.

              “Heh, Satria-Satria Sejati.” Lutello tersengih sinis, mengenang kemenangannya ke atas golongan tersebut. Namun kemudian sengihannya hilang, diganti dengan wajahnya yang durja. Dia kini teringat bahawa kejayaannya itulah yang membuatkannya alpa terhadap mimpinya.

              Kerana ketika itu, dia menyangka bahawa kejayaannya ke atas golongan pemuda itu, telah berjaya mengubah masa depannya. Dia menyangka, itulah ‘pemuda’ yang dimimpikannya.

              “Ah, alangkah baik jika Wanwakila masih hidup. Sudah pasti pandangannya berkenaan mimpiku itu ada jawapannya.”

              Wanwakila telah mati terbunuh di dalam peperangan yang sengit antara pihaknya dengan Satria-Satria Sejati. Beberapa Wirawan juga tumbang pada hari bersejarah tersebut.

              Lunayana, Elyun dan Kastur menasihati Lutello agar tidak berfikir panjang akan anakandanya yang derhaka itu, kerana jangkaan mereka, Ariki mungkin telah terbunuh dalam proses melarikan diri. Luar sana bukan tempat yang benar-benar selamat. Namun selagi Lakshamana belum pulang, Lutello tidak mahu meletakkan itu sebagai kenyataan.

              “Tuanku Maharaja.” Suara itu mengeluarkan dirinya dari lamunan. Segera dia menoleh ke arah pintu bilik mesyuarat.

              Berdiri di hadapannya kini beberapa orang manusia, berpakaian kebesaran, megah dan kelihatan mahal. Tiga lelaki, seorang perempuan. Di hadapan mereka, seorang pelayan perempuan.

              “Pemimpin-pemimpin daripada Wagangada, Likuwaku, Namiami, dan Janjaja telah sampai Tuanku.” Lembut pelayan itu bersuara.

              Lutello mengangguk, dan menggerakkan tangan sebagai isyarat agar pelayan itu beransur. Kemudian apabila pelayan tersebut keluar dari bilik mesyuarat, dia menggerakkan lagi tangannya dengan isyarat mempelawa pimpinan-pimpinan tersebut duduk.

              Semua mengambil tempat.

              “Gerangan apa Tuanku Maharaja menuntut kehadiran kami di sini?” Suara menggoda milik Lidazatu. Dia merupakan pemerintah Namiami. Suaranya menjadi pemecah kesunyian antara mereka. Dia merupakan seorang perempuan berambut hitam pekat, lurus panjang mencecah dada. Matanya bercelak ungu, bibirnya merah darah, kulitnya putih. Wajahnya amat anggun, lenggok tubuhnya mengiurkan, tetapi jelas bahawa dia tidak lagi terlalu muda. Berpakaian sutera hitam bersama jaket bulu harimau yang labuh. Walaupun dia merupakan seorang wanita, dan satu-satunya perempuan di dalam bilik ini, tidak kelihatan kelemahan dan kekurangan pada dirinya.

              “Adakah ini ada kaitan dengan anakanda Tuanku yang menderhaka itu? Dia masih belum dijumpai?” Pemerintah Likuwaku, bertubuh gempal, perutnya buncit, wajahnya tembam. Saiznya tiga kaliganda berbanding pimpinan yang lain. Yuntamawi namanya. Dia bersandar malas-malas pada kerusinya.

              Dua pimpinan lain, tidak bersuara. Menanti respon Lutello.

              “Tidak, masakan seorang budak mampu memberikan masalah besar kepadaku.” Lutello menafikan. Tidak jujur kepada pemimpin-pemimpin di hadapannya. Dia tidak mahu menunjukkan kelemahan.

              “Aku memanggil kalian ke mari untuk bertanya akan perkembangan terkini rancangan utama kita. Bagaimana?”

              “Semuanya berjalan lancar Tuanku.” Kirbasi, pemerintah Wagangada membuka bicara. Dia seorang yang tinggi dan sasa. Struktur tubuhnya lebih kurang seperti Lutello, tinggal dia berambut putih dan rambutnya diikat di belakang leher.

              “Tiada masalah di Janjaja, semua berjalan lancar.” Seorang lelaki bermisai tebal bercantum dengan janggut, berkulit gelap, berambut kerinting, bertubuh sasa, menjawab. Jintaja namanya.

              “Yuntamawi?” Lutello memandang.

              Yuntamawi menghela nafas. “Penduduk di daerah Palestin masih memberikan kesukaran. Dan mereka kebelakangan ini menjadi lebih teratur dan tersusun. Usaha penggalian di bawah bangunan masjid itu seringkali terganggu.”

              “Sudah hampir 10 tahun kita menggali, mengapa masih tidak bertemu apa-apa?” Lidazatu menyampuk.

              Yuntamawi berkerut. “Kita sudah semakin hampir. Saya yakin. Petanda-petandanya jelas. Tinggal apabila sering diganggu, ia menjadikan proses semakin perlahan.”

              “Bagaimana di pihakmu pula Lida?” Lutello memandang wanita itu.

              Lidazati tersengih. “Berjalan lancar.”

              “Mengikut perancangan, kita mahu menjayakan projek mega ini lima tahun dari sekarang. Kita sudah berada di fasa yang terakhir.” Lutello memandang satu persatu pemimpin di hadapannya.

              “Tetapi, aku hari ini ingin membuat keputusan, kita perlu mempercepatkan tarikh akhir untuk hal tersebut. Dengan ini aku memerintahkan agar gerak kerja kita dicepatkan 5 tahun. Kerah segala tenaga yang kita ada, untuk memastikan projek kita berjaya dalam masa tiga bulan mendatang.”

              Pemimpin-pemimpin di hadapannya tersentak mendengar perintahnya.

              Jintaja bangkit. “Mustahil tuanku. Tiga bulan?”

              “Duduk.” Lutello menajamkan pandangannya. Auranya meningkat dan dapat dirasai oleh pemimpin-pemimpin yang ada. Jintaja bingkas kembali duduk. Tiada siapa mahu melihat Lutello murka, apatah lagi di dalam jarak yang hampir sebegini.

              Pemimpin yang lain mengunci bicara. Tahu tiada apa yang mereka akan katakan, dapat mengubah perintah Lutello itu.

              “Tiada apa yang mustahil. Kerahkan segala tenaga yang kalian ada, segala kepakaran, segala kekuatan, untuk selesaikan tugasan masing-masing. Ini ialah muktamad.”

              “Tuanku, jika diizinkan, mengapa terburu-buru sebegini? Tiada ribut, tiada badai, mengapa tiba-tiba mahu tergesa-gesa menyiapkan projek mega kita?” Kerut di dahi Yuntamari kembali menghiasi dahi.

              Lutello menghela nafas panjang. Keempat-empat pimpinan di hadapannya jelas inginkan jawapan. Lutello melepaskan pandangannya ke tingkap. Matanya sempat memandang sebahagian kerajaannya yang terbentang dari jendela tersebut.

              “Aku membayangkan akan berlaku satu lagi kebangkitan. Persis 25 tahun yang lalu.”

              Bilik mesyuarat seperti gempar. Keempat-empat pimpinan berpandangan sesama sendiri.

              “Satria-Satria Sejati? Bukankah mereka telah tewas dan menghilangkan diri? Sebahagian mereka bahkan terbunuh pada peperangan teragung 25 tahun yang lalu. Jika mereka bangkit sekalipun, sudah pasti mereka berusia seperti kita semua. Di bawah kita ada pahlawan-pahlawan berkaliber, muda belia, untuk berhadapan dengan mereka!” Kirbasi menggeleng tidak percaya.

              Lutello mengangguk.

              “Aku tidak berkata Satria-Satria Sejati. Yang aku sebut ialah kebangkitan. 25 tahun yang lalu, ketika aku menyatakan bahawa aku melihat yang kita bakal menghadapi satu penentangan yang dahsyat, bukankah ia terjadi?”

              Pimpinan-pimpinan di hadapannya kembali tenang.

              Masing-masing mula mengimbas memori, dan kemudian hampir mengangguk serentak.

              “Tetapi Wanwakila sudah tiada. Apa yang menyebabkan Tuanku begitu yakin?” Lidazatu memfokuskan pandangannya ke arah Lutello.

              “Tiada. Aku tidak yakin. Sekadar mahu lebih berjaga-jaga.” Lutello menjawab tegas. “Kita sudah semakin hampir untuk kejayaan menguasai setiap inci mukabumi ini. Aku tidak akan sesekali membiarkan cita-cita itu terganggu. Walaupun hanya kemungkinan.”

              Semua pimpinan mengangguk perlahan.

              “Jadi bagaimana?” Lutello menajamkan pandangan.

              “Menurut perintah, Tuanku.” Keempat-empat mereka menundukkan sedikit kepala, tanda menghinakan diri kepada Lutello, taat setia tidak berbelah bagi.

              Lutello menarik nafas lega.

******

“Masih jauhkah perjalanan kita?”

              “Dalam dua hari lagi.”

              “Apakah kita akan sempat sampai?”

              “InsyaAllah sempat.”

              “Lama sudah kita tidak bersua muka dengan kekanda Kabeer.”

              “Ya. Agak malang bila difikirkan yang kita terpaksa bertemu dengannya dalam keadaan tergesa-gesa sebegini.”

              “Kita bertarung dengan masa.”

              “Tiada yang malang dengan aturan Allah SWT. Semuanya ada hikmahNya. Kita hanya perlu percaya dan bersangka baik.”

              “Sesekali tidak Allah meninggalkan kita.”

              “Benar, sesekali tidak.”

              Tiga orang lelaki, berpakaian labuh, sedang menunggang kuda, bergerak menuju ke Perkampungan Sinan. Tempat di mana terletaknya rumah Kabeer dan Aifer.