Kembara 1

“Dia sedang ketakutan, kanda. Entah apa nasibnya kini. Mengapa hendak diburu anakanda kita itu? Dia anak yang baik, sudah pasti apa yang berlaku hanya kemalangan semata-mata! Oh, kasihannya Ariki!”
~ Afiefa Lafayer, Permaisuri Mukan’Aja

Dia membesar di istana. Segalanya tersedia dan cukup. Bahkan terlebih. Dia tidak pernah perlu berpenat, jauh sekali berlapar. Pakaiannya dari pakaian yang terbaik, dan dia sentiasa berada dalam lindungan istana. Sekiranya dia keluar, contohnya mengikuti ayahandanya melihat rakyat jelata atau berburu, para Wirawan dan pengawal istana akan memastikan keselamatannya.

              Tetapi tidak sekarang.

              Perutnya rasa lapar yang teramat. Sudah hampir seminggu dia tidak menyantap apa-apa makanan. Apa yang membuatkan dia masih terus hidup ialah sungai yang terdapat di tengah-tengah hutan ini. Itu pun baru ditemuinya pada hari ketiga dia melarikan diri.

              Kini sudah empat hari dia berjalan di tepi sungai tersebut. Sambil beberapa kali mengulang ingat akan peta daerah-daerah yang mengelilingi Ibu Kota Mukan’Aja. Jika ingatannya tidak mengkhianati dirinya sekarang, dia yakin ada sebuah perkampungan kecil, tidak jauh dari laut. Dan jika dia terus mengekori arus sungai ini, dia pasti akan bertemu perkampungan tersebut.

              Ariki yakin dia sudah berjaya meloloskan diri dari buruan tentera ayahandanya. Tiada derap tentera atau kuda. Pada hari kedua, dia sengaja bersembunyi di tengah hutan tanpa meneruskan perjalanan. Dan dia dapat mendengar pemburu-pemburunya melepasi tempat persembunyiannya. Pasti mereka menyangka dia terus mara, namun hakikatnya tidak. Kemudian Ariki mengambil arah yang berbeza. Nasibnya baik, pada hari ketiga, dia bertemu dengan sungai ini.

              Kini dia telah berjalan tanpa henti selama 4 hari. Hutan ini pula bukan tanah rata. Penuh dengan batu kecil dan besar, bersama pokok dan tumbuhan-tumbuhan. Pakaiannya sudah comot dan rabak, manakala selipar yang dipakainya sudah koyak.

              Perutnya pedih kerana tidak diisi dengan makanan.

              Dia sendiri tidak pasti berapa lama lagi dia mampu bertahan.

              Tinggal semangat untuk meneruskan hidup, membuatkan dia terus mengerah segala kudrat yang masih tersisa.

              Tiba-tiba dia mendengar bunyi. Segera dia memandang sekeliling. Bunyi itu sayup-sayup kedengaran. Bukan bunyi derapan kuda atau kaki tentera. Ariki mempercepatkan langkahannya. Hutan menjadi semakin jarang. Kini terbentang di hadapannya tanah rata di kiri dan kanan sungai. Tidak lama kemudian dia melihat dirinya telah sampai ke sempadan hutan. Tidak jauh dari hutan, dia dapat melihat orang ramai berkumpul bersama binatang ternakan.

              Ariki terjelepuk jatuh.

              “Ah, alangkah bernasib baiknya aku.”

              Tubuhnya terasa sangat lemah dan dia sangat inginkan kerehatan. Dia tidak tidur selama 4 hari ini. Namun kini kerisauan kembali menyergah. “Bagaimana sekiranya ayahandanya telah menghantar berita ke daerah ini? Sudah pasti keadaan diriku ini sangat menimbulkan syak wasangka.”

              Segera Ariki memaksa dirinya bangkit.

              Dia perlu menjauhkan dirinya dari orang ramai. Dia perlu mencari kain untuk melindungi kepala dan wajahnya. “Mungkin aku perlu berlakon menjadi pengemis?” Mindanya merancang.

              Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi dari belakang. Segera dia menyembunyikan diri di balik pokok terhampir. Kemudian mengintai untuk memerhatikan keadaan.

              Satu susuk tubuh, berpakaian labuh dan menutupi seluruh kepala kecuali wajah, sedang mendekati sungai di dalam hutan itu bersama sekumpulan biri-biri.

              Namun belum sempat dia bersuara, muncul pula lima orang lelaki dari arah yang sama.

              “Mengapa kalian mengekoriku ke mari?” Suara dari balik kain yang menutupi hampir keseluruhan wajah itu, kedengaran seperti suara seorang perempuan.

              “Janganlah begitu saudari. Sudah lama kami perhatikan saudari seorang diri membawa haiwan ternakan meminum air di sini. Tidak takutkah berseorangan di tengah hutan sebegini?” Salah seorang dari lima lelaki itu menjawab, sambil wajahnya dihiasi senyuman jahat.

              “Aku tidak berseorangan.” Perempuan itu menjawab tegas. “Pergi dari sini!”

              “Cik Adik, tak baik seorang diri begini. Biarlah abang-abang temankan. Hih hih hih.” Seorang lelaki bertubuh sasa, dua kali ganda lebih besar dari yang lain, bergerak mendekati wanita itu, sambil telapak tangan digeselkan sesama sendiri.

              “Aku tidak berseorangan.”

              “Siapakah bersama Cik Adik? Kami tak nampak pun sesiapa.” Seorang lagi lelaki, kurus dan tinggi, turut mara selangkah demi selangkah.

              Namun perempuan tersebut masih tetap di situ. Tidak seperti takut. Dan tidak pula kelihatan seperti hendak melarikan diri.

              “Aku ada Allah bersama-samaku.”

              “Allah? Tuhan orang-orang Islam itu?” Lelaki bertubuh gempal menyahut dengan soalan.

              “Hahaha. Agama lapuk. Mereka percaya apa yang tidak dapat dilihat. Orang-orang yang tertipu!” Lelaki terakhir, pendek tetapi sasa, ketawa berdekah-dekah.

              Allah? Islam? Ariki selama ini hanya dengar-dengar sahaja. Tidak pernah benar-benar minat mengambil tahu. Perempuan itu beragama Islam? Adakah itu yang membuatkannya langsung tidak gentar sekarang ini?

              Pun begitu, Ariki melihat lima lelaki tersebut tidak berhenti dari tujuan asal mereka.

              Nampak benar lima lelaki itu tetap ingin melempiaskan nafsu jahat mereka terhadap perempuan tersebut. Mereka semakin mendekatinya. Jiwa Ariki berkecamuk. Hati kecilnya kuat mahu membantu. Tetapi mindanya menegah dek kerana menyedari kemampuan diri. Tubuhnya lemah. Tambahan, dia tidak punya apa-apa ilmu persilatan. Kecuali…

              Peristiwa minggu lepas terimbas.

              Ariki memejamkan mata, menggeleng. Apakah itu bakal berlaku jika dia melibatkan diri kali ini? Dua tangan diangkat dan dipandang. Apakah kuasa ajaib itu akan muncul kali ini? Mungkin dengan kuasa tersebut, dia mampu melakukan sesuatu!

              “Hoi!”

              Lima lelaki tersebut tersentak, manakala perempuan itu pula menoleh ke belakang. Semua melandaskan pandangan kepada Ariki, yang baru sahaja keluar dari persembunyian.

              “Jangan dekati perempuan itu. Berambus!” Ariki melaung.

              “Siapa gerangan lelaki ini?” Lelaki bertubuh gempal memandang rakan-rakannya. Semua menggeleng.

              “Lebih baik engkau yang berambus. Kerana engkau tidak akan dapat menghalang kehendak kami.” Lelaki pendek membalas laungan Ariki.

              Mereka masing-masing mengeluarkan senjata, berupa kapak pendek, yang selama ini tersembunyi di belakang pinggang.

              Dada Ariki berdegup kencang. Hatinya masih tidak yakin untuk meneruskan langkahan, tubuhnya benar-benar terasa lemah, dia terlalu lapar! Namun kerana tidak sampai hati melihat perempuan itu bakal dizalimi, dia menggagahkan diri untuk mempertahankannya. Ariki membuka langkah dan mara ke hadapan.

              Di dalam hati, dia berharap keajaiban berlaku.

              Berharap. Berharap. Berharap.

              Ariki berlari membelah kumpulan biri-biri, melepasi perempuan berpakaian litup, dan melompat ke arah lima lelaki tersebut dengan tangan kosong. Lelaki bertubuh sasa dan besar mara ke hadapan untuk menyambut serangan Ariki.

              Tumbukan dilancarkan. Tepat melandas ke perut lelaki tersebut.

              Tetapi…

              “Hah? Semut gigit lebih sakit.” Tangan sasa dihayun selamba. Wajah Ariki seperti dihentam balak. Tubuhnya lantas terangkat ke udara, terpelanting ke gigi sungai. Separuh tubuhnya basah. Mulutnya mengeluarkan darah. Sakit bukan kepalang.

              Kuasa yang membunuh seorang Wirawan Mukan’Aja dengan satu serangan sahaja tempoh hari, tidak muncul pada hari ini. Tumbukannya tidak bermakna apa-apa. Dia sendiri tahu tumbukan itu kosong tanpa tenaga.

              Matanya berpinar.

              “Apakah ini pengakhirannya?”

              “Cik Adik jangan ke mana-mana. Biar abang-abang uruskan si pengacau ini terlebih dahulu. Hih hih hih.” Lelaki bertubuh besar itu bergerak mendekati Ariki.

              Pandangan Ariki mula kabur. Terasa seperti nyawanya perlahan-lahan hendak menghilang.

              Air matanya mengalir. Perlahan. Sukar untuk dirinya menerima nasib sebegini rupa. Dari seorang yang hidup penuh kemewahan, kemudian menjadi pelarian hanya kerana mahu menegakkan keadilan, dan kini kerana sebab yang sama, dia di ambang kematian.

              Tiba-tiba langkahan lelaki besar itu terhenti.

              Ariki dapat merasakan sesuatu yang aneh. Dia memandang kepada air sungai, yang kini sebahagiannya terapung di udara membentuk beberapa bebola. Bebola itu terus melayang ke arah lelaki besar tersebut, membuatkan lelaki itu terpelanting ke arah rakan-rakannya.

              Kemudian air itu bergerak menuju ke satu arah.

              Menuju ke dua belah tangan perempuan berpakaian litup tadi. Perempuan itu menggerakkan tubuhnya seperti sedang menari, tetapi geraknya tidak lentok. Air tadi mula berpusar di belakang tubuh perempuan tersebut. Apabila perempuan itu berhenti bergerak, dia berada dalam postur siap untuk menyerang.

              Lima lelaki tadi mara bersama-sama.

              Perempuan tersebut melibas tangannya seperti membuat pancungan. Air di belakangnya terus bergerak dan membentuk seperti cemeti, melibas mengekori gerak perempuan tadi. Libasan itu tepat mengenai kaki lelaki-lelaki tersebut, membuatkan mereka terjelepuk jatuh. Perempuan itu bergerak lagi, seperti menari, tetapi kali ini diakhiri dengan hentakan kaki ke bumi dan dua tangannya diacukan ke arah lelaki-lelaki tersebut.

              Air di belakang tubuhnya mula mengembang, dan kemudian terbidik seperti peluru, menghentam tubuh lelaki-lelaki itu.

              Mereka mengerang kesakitan, dan kemudian lari lintang pukang meninggalkan kawasan tersebut.

              Ariki terpana. Semua itu dilihat dalam keadaan samar, dek kerana pandangannya yang mula kelam.

              Perempuan itu bukan perempuan biasa.

              Tenaganya semakin melemah.

              Suasana bertukar menjadi gelap.

******

Suasana di balai menghadap senyap dan sunyi. Tiada siapa yang bersuara. Lutello sedang berada di atas singgahsana, di hadapannya melutut empat orang Wirawan, lengkap berzirah perang dari pangkal leher hingga ke telapak kaki. Dua daripada mereka lelaki, dan dua lagi merupakan wanita. Masing-masing menggendong helmet perang.

              Mereka baru tiba. Jajahan Mukan’Aja yang besar, dan lokasi mereka yang bertaburan di pelbagai tempat melaksanakan tanggungjawab masing-masing, membuatkan mereka baru tiba hari ini.

              “Bangkit.” Lutello memecah kesunyian.

              Keempat-empat pahlawan itu bangun. Berdiri tegak.

Wirawan merupakan ketua-ketua kepada tentera Mukan’Aja. Mereka boleh diibaratkan sebagai orang terpenting selepas Maharaja. Mereka juga handal dalam bertempur dan tiada tolok bandingnya. Terdapat lima Wirawan pada satu-satu masa, dan dengan kematian Uytur, kini mereka tinggal berempat sahaja.

Berdiri paling kanan, Lakshamana. Seorang lelaki berambut hitam panjang lepas bahu, berkulit cerah, berwajah yakin. Zirahnya berwarna hitam pekat dengan insignia Mukan’Aja terpamer bangga pada dada kanannya. Belakang zirahnya dihiasai mantel berwarna merah, dan pada helmet perangnya ada tocang berwarna sama. Pada pinggangnya tersarung kemas sebilah pedang panjangnya sedepa. Unik namun jelas kelihatan sesuai dengan struktur tubuhnya. Lakshamana menyandang gelaran Wirawan Utama, ketua kepada semua Wirawan.

Berdiri di sebelah Lakshamana, seorang perempuan yang hampir menyaingi ketinggiannya. Berambut perang ikat ekor kuda, berwajah cerah dan anggun, namun matanya tajam mempamerkan kewibawaan. Zirahnya berwarna putih, melitupi tubuhnya yang ramping, dihiasi selendang merah pada bahu, panjangnya menutup keseluruhan tangan kanan. Di kiri dan kanan pinggangnya tergantung kemas dua bilah pedang sederhana pendek. Dia bernama Elyun. Namanya bergema di seluruh Mukan’Aja sebagai Wirawati Ulung, memandangkan dia merupakan wanita pertama menyandang gelaran Wirawan.

              Berdiri di sebelah Elyun ialah Lunayana. Seorang perempuan sederhana tinggi, tubuhnya tidak seramping Elyun, kulitnya sedikit gelap, dan wajahnya punya parut-parut, namun jelas dia merupakan seorang yang sasa. Zirahnya berwarna merah pekat, tidak mempunyai mantel atau selendang, tetapi belakang tubuhnya menyandang sebuah perisai besar, dan di balik perisai tersebut, tergantung sebuah pedang yang hampir sama tinggi dengan dirinya. Dikatakan bahawa, dia mempunyai bilangan mangsa paling tinggi di medan tempur, dan kegemarannya ialah darah. Terkenal di seantero dunia sebagai Wirawati Kematian. Selepas ketiadaan Uytur, Lunayana merupakan Wirawan paling junior.

              Yang terakhir, seorang lelaki bernama Kastur. Tubuhnya kurus, zirah perangnya berwarna perak, kelihatan nipis. Hanya terpamer sebentar ketika dia mahu berdiri, kerana dia menyembunyikan tubuhnya di balik mantel hitam yang mengelilingi. Kelihatan seperti tidak bersenjata. Namun Kastur terkenal dengan teknik pembunuhan yang pantas lagi senyap, bersama dua pisau kecilnya. Kastur tidak punya apa-apa gelaran, kerana orang ramai jarang melihatnya beraksi. Tindakannya jarang mampu dilihat oleh kebanyakan pemerhati.

              “Aku yakin kalian telah mendapat khabar.”

              Keempat-empat mereka mengangguk.

              “Apakah Tuanku Raja Muda…” Elyun bersuara. Suaranya lembut sahaja. Namun belum sempat dia menghabiskan bicara, mata Lutello menjegil dan mematikan suaranya.

“Jangan dipakaikan lagi gelaran itu kepadanya. Dia sekarang merupakan penderhaka!” Suara Lutello meninggi. Bergema balai menghadap dengan suaranya itu.

              Wirawati Ulung itu berdehem. Kemudian membuka mulutnya semula.

              “Apakah si penderhaka itu memang mempunyai ilmu pertempuran, selama ini? Agak mengejutkan apabila Uytur tewas begitu sahaja.”

              Lutello mendengus. Menggeleng. “Dia ada asasnya kerana terpaksa belajar ilmu pertempuran dek kerana arahanku. Namun, dia tidak pernah menunjukkan minat, jauh sekali mempunyai petanda bahawa dia mempunyai kuasa terpendam sedemikian rupa.”

              “Aku seratus peratus yakin bahawa Uytur tewas hanya kerana terkejut dan tak menjangka si penderhaka mempunyai kebolehan sedemikian rupa. Sangat tidak masuk akal seorang Wirawan, walaupun baru seperti Uytur, tewas dengan satu serangan sahaja.” Lakshamana menyampuk.

              Semua Wirawan mengangguk. Setuju.

              “Apakah Tuanku risau bahawa dia selama ini merupakan pengintip yang diletakkan di dalam istana?” Kastur bersuara.

              Lutello tidak segera menjawab. Dia tidak pernah berkongsi mengenai mimpinya dengan sesiapa. Hanya Wanwakila yang mengetahuinya. Dan dia tidak mahu dilihat seperti orang bodoh yang dilanda paranoia bersumberkan mimpi.

              “Aku tidak rasa dia merupakan pengintip. 20 tahun dia dibesarkan di istana ini. Tinggal aku perlu menjaga air muka diriku dan Mukan’Aja. Aku pasti, setelah seminggu, pasti berita ini telah tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Wirawan Mukan’Aja ditewaskan seorang budak. Bagaimana kalian mahu menerima berita tersebut?” Mata Lutello membesar lagi.

              Dia benar-benar berang.

              “Berikan arahan Tuanku. Kami siap untuk melaksanakannya.” Lunayana memecahkan kesepian diri.

              Lutello menatap semua Wirawan. Dia mahu kerisauannya hilang. Keempat-empat mereka memang amat digeruni. Persoalannya, apakah hanya kerana seorang budak, dia mahu mengerahkan keempat-empat pahlawan terhebatnya, menyelongkar seluruh daerah? Apa bicara negara-negara lain?

              Tetapi monolog itu tidak lama mengabuinya. Lutello mengetap bibir. Persetan segala bicara manusia. Yang penting kelangsungan diri dan kerajaannya!

              “Kalian semua kuperintahkan untuk menyelongkar seluruh Mukan’Aja ini dan cari si penderhaka itu. Bawa dia pulang ke mari, hidup atau mati.”

              “Maafkan aku jika bertanya. Apa tuanku tidak mahu dia pulang hidup-hidup?” Elyun mengerutkan dahi.

              Lunayana tersengih. “Itu lebih aku sukai, Tuanku.”

              “Dia tidak bermakna lagi kepadaku. Mati lebih baik. Tetapi jika dia tidak melawan, bawa dia pulang supaya aku dapat berbicara dengannya. Tetapi jika dia berani mengangkat senjata, bunuh sahaja.”

              “Menurut perintah!” Keempat-empat Wirawan menyahut hampir serentak. Tangan kiri dirapatkan ke bahu dan mereka separuh tunduk.

              “Jangan!” Satu suara nyaring membuatkan seisi balai menghadap terpempan. Para wirawan menoleh ke belakang, para pengawal sedikit kaget. Di pintu balai menghadap, mara seorang wanita, berusia seperti Lutello, berpakaian indah dan mahal, labuh menyapu lantai. Beberapa dayang yang mengiringinya berhenti di pintu masuk. Manakala  wanita itu meneruskan langkahan.

              “Dia sedang ketakutan, kanda. Entah apa nasibnya kini. Mengapa hendak diburu anakanda kita itu? Dia anak yang baik, sudah pasti apa yang berlaku hanya kemalangan semata-mata! Oh, kasihannya Ariki!” Perempuan itu merayu sebaik sahaja dia berada sebaris dengan para Wirawan.

              Wajah Lutello jadi merah padam.

              Dia teringat sesuatu.

              “20 tahun yang lalu, bukankah engkau yang mengambilnya di sungai, Afiefa?” Suaranya jelas menahan kemarahan yang tidak terhingga.

              “Itulah satu-satunya anakanda kita, kanda!” Afiefa, Permaisuri Mukan’Aja, tidak menghiraukan pertanyaan suaminya.

              “Secara tidak langsung, engkau telah membantu penderhaka itu masuk ke istana ini!” Lutello bangun dan melaung. Ketika ini, spontan aura daripada tubuhnya tersembur. Api kelihatan mula terpercik pada tubuhnya. Singgahsana seperti mahu roboh dengan suaranya. Auranya meningkat serta merta menghasilkan tekanan yang teramat.

              Gempar.

              Seluruh balai menghadap senyap sunyi seketika.

              Semua yang berada di situ melutut serta merta. Bukan kerana hormat, tetapi tidak tahan dengan tekanan aura yang dipersembahkan oleh Lutello.

              Maharaja murka semurka-murkanya.

              Jika Lutello tidak menahan diri, singgahsana pasti sudah terbakar dek penangan auranya.

              Permaisuri Mukan’Aja pula hampir sahaja pengsan. Kini dia terlutut, sambil termengah-mengah cuba mengait nafas. Dadanya seperti baru sahaja ditekan dengan sesuatu yang teramat berat.

              “Bawa permaisuriku ini ke kamar dan kurung dia di dalamnya. Dia dilarang keluar dari kamarnya walau atas apa tujuan sekalipun!” Lutello membentak.

              Dua orang pengawal menghampiri Afiefa dan mengangkatnya. Membantunya berdiri, sebelum mengiringinya keluar. Mereka tidak mengasari bukan sahaja kerana Afiefa seorang permaisuri, tetapi kerana permaisuri itu sangat kasih kepada rakyat jelata dan amat baik kepada semua. Sering kekerasan Lutello dilembutkan sedikit olehnya.

              Tetapi nampaknya Lutello tidak mahu dilembutkan kini.

              Lutello benar-benar mahu memastikan apa yang mengancamnya, diselesaikan.

              “Apa yang kalian tunggu lagi?” Lutello meninggikan suara.

              Para Wirawan segera bangkit, dan bergerak keluar dari balai menghadap.

              Selepas mereka hilang dari pandangan, barulah Lutello melandaskan punggungnya kembali ke singgahsana.

              Dadanya berdegup kencang. Sudah lama dia tidak bersikap seperti hari ini. Dia sebenarnya paling marah terhadap dirinya sendiri.

              Memorinya terimbas pada kisah 20 tahun yang lalu, tatkala dia dan isterinya sedikit murung kerana tidak dikurniakan anak. Walaupun kerajaan semakin kukuh dan luas selepas berjaya menumbangkan ancaman terbesarnya ketika itu, namun dia merasa dirinya tidak lengkap tanpa zuriat.

              Tetapi entah bagaimana, isterinya ketika bermandi manda bersama para dayang di sungai berhampiran istana, menemui seorang bayi di dalam bakul yang dibawa oleh arus. Tiada apa bersama bayi tersebut kecuali sebuah nota yang bertulis ‘Ariki’, menandakan nama kepada bayi itu. Isterinya memujuknya agar menerima bayi tersebut sebagai anak angkat mereka.

              Dia sebenarnya berat hati, kerana itu bukan anak mereka yang sebenar. Dia mahu zuriat yang sebenar. Tetapi dia tahu, dia tidak boleh berbuat apa-apa. Kerana bukan isterinya yang mandul, tetapi dirinya.

              Maka dia menerima.

              Dia marah kerana rasa terejek. Diejek oleh susunan takdir. Dia dimandulkan, kemudian mengutip anak terbuang, yang kemudiannya bakal membunuh dan menumbangkannya?

              Benar-benar dia rasa terhina!

******

Berita mula tersebar ke seluruh pelusuk. Apabila Wirawan-Wirawan Mukan’Aja mula menggeledah daerah demi daerah, berita yang asalnya berlegar di kalangan warga kota dan pedagang, kini semakin tersebar. Bahkan hingga ke negara jiran.

              Negara bersebelahan Mukan’Aja, bernama Wagangada. Tidak sebesar mana, tetapi tidak juga kecil. Wagangada terkenal sebagai tempat memenjarakan penjenayah, dan merupakan rakan kuat kepada Mukan’Aja. Pemimpinnya, Kirbasi, telah menyatakan taat setia kepada Lutello. Semua penjenayah akan dihantar ke Wagangada untuk dipenjarakan dan dihukum. Sekali sekala, Lutello akan datang mencemar duli melawat Wagangada untuk melihat keadaan terkini dan melawat rakannya, Kirbasi.

              Berita terkini turut menerobos ke jeriji penjara Wagangada. Dua pengawal rancak berbicara mengenai bagaimana seorang Wirawan boleh tewas dengan mudah di tangan seorang pemuda, tambahan, fakta bahawa pemuda itu merupakan anak angkat Lutello, menjadikan cerita itu hangat sebagai bualan ramai. Pelbagai teori dan jangkaan dibincangkan mereka berdua, sambil berdiri mengawal sebuah sel yang tidak seperti sel-sel lain di penjara ini. Sel ini tidak mempunyai jeriji, tetapi ditutup sepenuhnya dengan sebuah pintu. Satu-satunya sel yang mempunyai dua pengawal khusus menjaganya setiap masa.

              Perbualan dua pengawal itu didengari oleh penghuni sel tersebut. Sayup-sayup.

              Penghuni sel itu, merupakan seorang lelaki berambut perang yang wajahnya ditutup sepenuhnya. Yang terpapar hanyalah mata. Tidak berpakaian dan kurus, tanda dia sudah lama dipenjara.

              Berdekatan pintu masuk utama ke Wagangada, wujud pusat perniagaan yang sangat rancak dan padat dengan orang ramai. Pelbagai jenis kedai wujud di situ dan memang terkenal sebagai tempat yang wajib dilawati jika bertandang ke negara ini. Di tengah-tengah kesibukan orang ramai membeli belah dan berniaga, terdapat sebuah restoran yang besar, tetapi sederhana gayanya. Pelbagai jenis manusia boleh didapati di dalam restoran ini, namun semuanya khusyuk menikmati hidangan masing-masing. Inilah restoran yang menjadi penyebab utama mengapa kawasan ini wajib dilawati.

              Restoran Gardin Ramsi. Terkenal sebagai restoran paling lazat hidangannya di atas muka bumi ini. Lutello sendiri akan singgah ke kedai ini untuk menikmati juadah mereka, tanda terbuktinya kesedapan hidangan restoran ini.

              Di dapur, beberapa pekerja sedang rancak bersembang berkenaan berita terkini. Khabar yang selama ini disangka palsu kini sudah dipastikan benar dengan kehadiran Wirawan Mukan’Aja, Lunayana ke Wagangada.

              “Mustahil ada orang semuda itu punya kekuatan hingga menumbangkan Wirawan?”

              “Tetapi Wirawan Mukan’Aja bukanlah kebal. Mereka telah bertukar ganti beberapa kali bukan?”

              “Ya, ditewaskan di medan perang. Oleh musuh yang setanding atau lebih kurang, bukan oleh budak-budak!”

              “Mungkin kerana dia merupakan anak kepada Lutello? Maka dia punya kekuatan yang terpendam?”

              “Atau Wirawan Mukan’Aja sudah semakin lemah?”

              Perbualan menghiasi dapur itu sedikit pun tidak disertai oleh tukang masak. Seorang pemuda berpakaian serba putih dengan memakai apron berwarna hitam. Di kepalanya, terikat sehelai bandana merah dari dahi ke belakang, menutupi hampir seluruh rambutnya yang berwarna hitam pekat. Dia tekun memasak.

              “Mee Lembu Cincang, meja lima!” Seorang lelaki bermisai tebal, tinggi lampai, berperut sedikit buncit, berpakaian serba putih bersama apron, muncul di depan dapur dan melaung.

              “Baik!” Lelaki memakai bandana menyahut. Tangannya segera mencapai bahan-bahan untuk mengusahakan pesanan yang dibuat.

              Berita terkini tidak menarik minatnya. Dia nampaknya punya minat yang tinggi dalam memasak.

              Tidak jauh dari sempadan Wagangada, terdapat tanah lapang dan kemudian hutan yang besar lagi tebal. Di tengah-tengah hutan tersebut, terdapat sekumpulan manusia yang sedang bersembunyi di dalam sebuah gua. Gua tersebut kelihatan dihias seperti pangkalan, dan mereka semua sedang sibuk berbincang akan sesuatu.

              “Weh, khabar menggemparkan!” Seorang remaja perempuan muncul di pintu gua. Menarik perhatian semua yang ada.

              Seorang lelaki bangkit. Tubuhnya sasa. Di belakangnya tersandang sebuah busur dan pada pinggangnya sebakul anak panah.

              “Apa?”

              “Wirawan Mukan’Aja kini berada di Wagangada.”

              Mata lelaki itu terbelalak. “Apakah rancangan kita telah diketahui?”

              Remaja perempuan itu menggeleng. “Tidak. Dan itu bukan berita yang tergemparnya. Mereka hadir kerana mencari pembunuh kepada Wirawan bernama Uytur.”

              “Aku ada dengar khabar tersebut beberapa hari yang lalu.” Salah seorang dari mereka bersuara.

              “Jadi?” Lelaki yang berdiri itu memandang ke arah remaja perempuan tersebut.

              “Jadi, berita itu benar. Dan aku mendapat kepastian bahawa yang membunuh Wirawan tersebut ialah anak Lutello sendiri.”

              Lelaki itu tersengih.

              “Mungkin ini satu petanda.”

              Remaja perempuan itu masuk ke dalam gua dan menyertai perbincangan mereka.

              “Mungkin kita perlu tangguhkan sementara perancangan kita. Kita pasti tidak mahu bertembung dengan Wirawan dan tentera Mukan’Aja ketika kita melaksanakan perancangan kita ini.” Lelaki tersebut kembali duduk.

              Yang lain-lain mengangguk membenarkan bicaranya.