PROLOG

“Kerajaan ini akan diruntuhkan oleh seorang pemuda, dan dirimu akan mati kerananya.”
~ Wanwakila, Sang Nujum Utama Mukan’Aja.

Dia berlari sekuat hati. Sekali-sekala cuba mengelak ranting dan duri daripada tumbuhan yang memenuhi kawasan ini. Kegelapan malam menyebabkan dia terpaksa bergantung kepada refleksi tubuh. Naluri untuk terus hidup menjadi panduannya kini. Pun begitu, dia bukan seorang Wira, bukan seorang yang menguasai ilmu pertempuran, maka tubuhnya tidak begitu tangkas mengelak halangan-halangan, menyebabkan badannya kini mula calar-balar, dan dia sudah beberapa kali terguling jatuh.

              Namun dia bangkit kembali dan tetap meneruskan larian.

              Di dalam hutan tebal, dia berharap dirinya tidak akan dijumpai.

              “Ayahanda!” Dia meninggikan suara. Riak wajahnya tegang. Marah bercampur terkilan. Langkahnya deras menuju singgahsana. Terdapat seorang lelaki separuh abad, sedang duduk santai dilayani dayang-dayang berpakaian mengghairahkan, sambil di kiri dan kanan singgahsana terdapat beberapa orang pengawal.

              Langkahannya dihentikan pengawal sebelum sempat dia memijak anak tangga pertama singgahsana itu. Namun lelaki yang sedang dilayani para dayang mengangkat tangan, lantas halangan tersebut diangkat. Dia mara sehingga mampu bertentang mata dengan lelaki tersebut.

              “Apa yang engkau hajati anakanda?” Lelaki itu bersuara. Bersahaja. Namun ada tona sinis di sebalik soalan tersebut. Terpapar jelas pada pangkal senyumannya. Sebelum senyuman itu hilang kerana mulutnya disuap anggur oleh salah seorang dayang di sisinya.

              “Mengapa ayahanda meletakkan perempuan-perempuan itu di dalam kamar anakanda?” Suaranya meninggi.

              “Apakah engkau tidak gembira?” Lelaki tersebut menggunakan isyarat tangan, membuatkan dayang-dayang di sekelilingnya berhenti memberikan layanan, dan beredar dari singgahsana. Lelaki tersebut kini berdiri, jubahnya terbuka mempamerkan tubuh badan yang sasa.

              Walaupun sudah berusia separuh abad, lelaki di hadapannya ini jangan sesekali dipandang rendah.

              “Ayahanda cukup tahu bahawa anakanda tidak gemar dengan cara hidup sedemikian? Apakah tujuan ayahanda meletakkan perempuan-perempuan itu di dalam kamar anakanda, bertelanjang pula. Apakah ayahanda mahu memaksa anakanda mengikuti cara hidup ayahanda?” Matanya menjegil. Geram.

              “Ya!” Lelaki itu menempelak. Giliran lelaki itu pula menjegilkan mata. Menggerunkan.

              Spontan bulu romanya naik. Dadanya berdegup kencang.

              “Engkau anakku. Aku mahu engkau mengikuti jejak langkahku. Menjadi Raja Teragung untuk dunia ini. Keengganan dirimu untuk seronok dengan segala apa yang telah aku punyai ini membuatkan aku tidak senang!”

              “Kehidupan anakanda ialah pilihan anakanda. Ayahanda tidak sesekali berhak memaksa anakanda terhadap apa yang anakanda tidak suka!” Dia memberanikan diri.

              “Derhaka!” Lelaki tersebut pantas mencengkam lehernya. Terapung dia di atas tangga singgahsana.

              Tidak mampu bernafas. Wajahnya merah padam.

              “Jika engkau tidak berkenan dengan perempuan, aku boleh berikan engkau lelaki. Aku tiada masalah. Tetapi aku ada masalah sekiranya engkau tidak mahu mengecapi kenikmatan yang mengelilingi kita hari ini. Hanya orang-orang yang menentangku sahaja yang tidak mahu menyelami kelazatan ini semua.”

              Dia tidak mampu bercakap. Terasa seperti maut mengetuk-ngetuk pintu nyawanya.

              “Berambus!” Lelaki itu melemparkannya ke bawah singgahsana.

              Tergesa-gesa tubuhnya menghirup udara. Lehernya sakit teramat. Matanya lekat pada lelaki tersebut, yang kini kembali bersemayam di atas kerusi kemegahannya.

              “Engkau sudah berusia 20 tahun, Ariki. Aku tidak mahu lagi bertoleransi. Bondamu tidak akan lagi mampu memanjakanmu dan mempertahankanmu. Aku perlu pastikan dikau menjadi penggantiku yang benar-benar mendukung aspirasi kerajaan ini. Sekarang, pulang ke kamarmu, dan gauli perempuan-perempuan itu!”

              “Anakanda enggan!” Dia menggagahkan dirinya untuk bangun. Tangan menyentuh leher. Sakit.

              “Wirawan Uytur.” Ayahandanya bersuara.

              Seorang lelaki, berambut hitam tercacak, berzirah perang dari kaki ke pangkal leher, muncul secara tiba-tiba di hadapan singgahsana. Melutut dan tunduk. Helmet perang digendong kemas.

              “Ya Tuanku Lutello.”

              “Hantarkan anakandaku Ariki ini, ke kamarnya. Dan pastikan dia menggauli perempuan-perempuan di biliknya. Jangan sesekali beredar. Sekiranya dia enggan, seksa dia sehingga dia patuh.”

              “Baik Tuanku.” Segera Uytur memaut bahunya, dan menolaknya meninggalkan balai menghadap.

              Wajahnya durja. Sedikit pun dia tidak berpaling menoleh ayahandanya, yang dia pun tahu tidak sesekali kisah akan dirinya. Semenjak keberadaannya di istana ini, semenjak dia mampu mempunyai ingatan, ayahandanya itu tidak pernah berkenan akan kehadirannya. Dia dilihat sebagai ancaman. Entah mengapa.

              Langkahannya kembali ke kamar diiringi Wirawan Uytur, dihujani dengan imbasan memori dewasanya. Bondanya merupakan permaisuri kepada Maharaja Lutello, pemerintah teragung bagi Kerajaan Mukan’Aja. Mukan’Aja menguasai hampir keseluruhan bumi ini, menyebabkan ayahandanya tidak tertanding.

              Pun begitu, dia tidak bersetuju dengan cara hidup bapanya, ditambah pula pemerintahan bapanya yang zalim. Memang pada permukaannya, Mukan’Aja kelihatan aman dan makmur, mewah dan maju, namun hakikatnya kebanyakan rakyat dizalimi dengan cukai yang sangat tinggi, pemimpin-pemimpin yang rakus dan tamak haloba, bahkan tidak sedikit rakyat golongan bawah yang dijadikan hamba abdi, tidak diberikan hak-hak sebagai seorang manusia.

              Keamanan, kemakmuran, kemajuan yang ditonjolkan, hakikatnya hasil dari perahan darah dan keringat rakyat bawahan, namun dipaparkan seakan-akan hasil kerja dan susah payah pemimpin. Rakyat sering diingatkan agar bersyukur. Segala kebobrokan pemimpin tidak boleh ditegur. Belum lagi dikira dengan segala kerosakan sosial yang menjalar di tengah kehidupan masyarakat Mukan’Aja.

              Perjalanan menuju ke kamar membawa dirinya dan Uytur melalui satu kawasan istana yang sedang dalam pembinaan. Kelihatan buruh-buruh sedang bekerja keras, walaupun langit sudah lama menjadi gelap.

              “Mengapa mereka tidak dibenarkan berehat, Uytur?” Dia bertanya.

              “Menjalankan tugasan mereka. Tuanku mahu bahagian ini siap dalam masa sebulan sahaja.”

              Matanya memerhati manusia-manusia yang sedang bekerja. Tubuh mereka kotor. Pada tangan mereka ada sebuah gelang, namun bukan perhiasan. Ianya adalah alat peletup, sekiranya mereka meninggalkan kawasan bekerja, tubuh mereka akan meletup. Dia dapat mengesan beberapa pekerja yang menggigil. Cuaca tidak sejuk, jadi dia dapat mengagak yang mereka itu kelaparan.

              “Tuanku Raja Muda! Tuanku Raja Muda!” Kedengaran salah seorang daripada pekerja-pekerja itu berteriak, apabila melihat dia melintasi kawasan tersebut.

              “Berambus!” Uytur meninggikan suara. Mematikan langkahan beberapa pekerja yang ingin mendekati.

              “Engkau masih baru menjadi Wirawan bukan, Uytur?” Dia bersuara, menolak sedikit Wirawan itu ke tepi.

              Dia memang sering mengasihani pekerja-pekerja ini. Kadang senyap-senyap, dia memberikan mereka makanan tambahan. Makanan di istana ini terlalu banyak, dan setiap hari apa yang terhidang di meja makan untuk dirinya dan keluarga tidak mampu pun dihabiskan. Jadi, dia akan membawa makanan-makanan tersebut, dan dikongsikan dengan mereka yang memerlukan. Semenjak sehari dua ini, dia sering singgah di kawasan ini untuk berkongsi makanan dengan mereka.

              “Kami terlalu lapar Tuanku Raja Muda. Kami tidak mampu menyambung pekerjaan.”

              “Kasihannya kalian. Akan aku bantu.” Ariki memandang tempat tersebut. Kerangka sebuah menara telah jelas kelihatan. Ayahandanya berhajat untuk mampu melihat seluruh ibu kota Mukan’Aja dari istana ini, maka menara ini dibina. Beberapa pekerja lain terus tekun melaksanakan kerja mereka di atas sana. Tetapi sebahagian yang lain telah berhenti, memerhatikan apa yang berlaku di bawah ini.

              “Tidak boleh. Arahan Tuanku Maharaja mesti dipatuhi!” Uytur menghalang diri Ariki dari mara. Sebagai Wirawan yang baru dilantik, dia tidak boleh mempamerkan kelemahan dan kekurangan. Itu semua akan menjemput murka Lutello.

              “Bagaimana mereka mahu meneruskan kerja sekiranya mereka lapar, Uytur?” Dia bertegas mahu membantu. Sebentar dia kembali menoleh kepada pekerja-pekerja yang berkumpul di hadapannya. Wajah mereka benar-benar mengharap.

              “Mereka sama ada boleh teruskan kerja, sehingga waktu makan pagi esok sampai, atau mereka boleh mati sahaja. Kerajaan ini masih punya banyak pekerja lain untuk menggantikan mereka!” Uytur mengetap bibir.

              Dia tidak mahu mengalah. Dia mahu membela pekerja-pekerja tersebut.

              “Apa yang engkau mahu lakukan sekiranya aku bertegas hah?”

              “Tuanku Raja Muda jangan lupa bahawa Tuanku Maharaja telah memberikanku lesen yang besar. Menyeksa tuanku sekiranya ingkar.” Uytur menghunus dari pinggangnya sebatang besi. Kemudian besi itu dipicit, mengeluarkan cemeti elektrik.

              “Tetapi aku tidak tergamak untuk menyeksa Tuanku Raja Muda sekarang. Namun aku boleh memberikan pengajaran kepada orang yang tidak mahu mendengar cakap!” Uytur melibas cemeti tersebut, tepat ke tubuh para pekerja yang berkumpul berdekatan.

              Raungan dan jeritan bergema.

              Dia terduduk melihat itu semua.

              Uytur terus melibas. Beberapa pekerja sudah terlutut jatuh. Uytur tidak berhenti. Bahkan kini libasannya diiringi tawa yang berdekah-dekah.

              “Siapa lagi mahu derhaka? Siapa lagi mahu derhaka?”

              Tangannya bergetar. Amarahnya meningkat. Dia tidak lagi dapat menerima ini semua. Semenjak kecil, sehingga dewasa, ini semua tidak sesekali cocok dengan nalurinya.

              “Berhenti!” Dia bangkit dan terus melompat ke tubuh Uytur. Wirawan itu dipeluk dari belakang, sebelum dihayun ke tepi.

              Uytur hilang keseimbangan sebentar, namun dia bukan orang biasa. Dia Wirawan Mukan’Aja. Sebentar sahaja dia kembali berdiri dengan baik.

              “Sampai di sini sahaja kezaliman ini semua!” Dia menjerit.

              Uytur tersengih. “Tuanku Raja Muda tahu bukan, Tuanku berhadapan dengan siapa? Wirawan.” Terus dilibas cemetinya.

              Ariki mengelak. Namun tidak cukup tangkas. Bahunya menjadi mangsa. Tubuhnya direnjat elektrik, dan libasan cemeti itu mengoyakkan bajunya, melukakan kulitnya.

              Uytur melibas cemetinya ke lantai beberapa kali. Intimidasi.

              “Masih mahu melawan?”

              Ketika ini, sesuatu yang aneh dapat dirasai oleh Ariki di dalam tubuhnya. Tidak dapat dia terjemahkan. Kesakitan akibat dilibas oleh Uytur tiba-tiba menghilang. Keadaan tiba-tiba bertukar menjadi perlahan. Dia seperti mahu meletus.

              Mata Ariki terbelalak.

              Kemudian matanya bertukar menjadi cerah. Membiru. Tubuhnya mengeluarkan aliran elektrik. Uytur menjadi kaget.

              “Mustahil…” Belum sempat dia meluahkan rasa terkejut, Ariki sudah bangkit dan menampar senjata pada tangannya. Terpelanting jauh. Uytur cuba membalas dengan penumbuk ke wajah, tetapi Ariki sudah menangkap tangan tersebut dan pantas membanting tubuh Wirawan itu ke lantai.

              Lantai retak.

              Semua pekerja yang ada di situ terkejut.

              Ariki mengangkat tangan, dan tenaganya berkumpul pada tangannya itu. Mengeluarkan cahaya yang menyilaukan pandangan. Ariki terus melancarkannya ke dada Uytur.

              Darah memercik ke wajah Ariki.

              Suasana jadi senyap buat seketika.

              Ketika ini, mata Ariki berkelip-kelip. Kemudian membesar. Terus dia menyisihkan dirinya dari tubuh Uytur yang berlubang dan kaku itu.

              “Apa… apa yang telah berlaku?”

Dia meneruskan lariannya. Hutan ini sangat tebal, ditambah pula sekarang waktu malam, menjadikan keadaan di sini sangat gelap gelita.

              Namun Ariki tetap terus berlari.

              Dia kini sangat pasti bahawa dia sedang diburu oleh tentera ayahandanya. Membunuh seorang Wirawan bukan perkara yang kecil. Itu ibarat mengisytiharkan perang kepada Mukan’Aja. Ayahandanya tidak akan sesekali mendengar alasan bahawa dia tidak sengaja. Dan bagaimana dia mahu menerangkan apa yang terjadi? Dia sendiri tidak pasti apa yang telah berlaku, bagaimana tubuhnya boleh memancarkan tenaga sedemikian rupa?

              Apakah nasibnya selepas ini?

              Ariki buntu, larian tetap tidak dihentikan. Beberapa kali dia jatuh, segera dia bangkit semula dan menyambung langkahan. Dia perlu menjauhkan diri dari ayahandanya. Dan sekarang, dia perlu menyelamatkan dirinya dari dijumpai dan ditangkap. Dia tidak mahu dibawa pulang menghadap ayahandanya.

              Dia tidak mahu mati!

******

Lutello yang baru sahaja keluar dari balai menghadap, membeliakkan mata tidak percaya dengan khabar yang disampaikan kepadanya oleh salah seorang pengawal istana.

              Dadanya terus berdegup kencang.

              Jika bukan kerana dia disokong tongkat kemegahan di tangannya, sudah pasti dia terjelepuk jatuh. Lututnya terasa amat lemah.

              Khabar Ariki membunuh Uytur menggemparkan jiwanya. Tetapi bukan kerana khabar itu menjadi punca reaksi tubuhnya ketika ini.

              “Apakah gerangan mimpiku itu wahai Sang Nujum?”

              “Sesuatu yang besar bakal berlaku pada diri dan kerajaan Tuanku.”

              “Sesuatu yang baikkah? Atau yang buruk?”

              Soalan itu lambat dijawab oleh Nujum Istana, Wanwakila, seorang lelaki tua,  bongkok dan berpakaian serba labuh sambil menyembunyikan wajah di balik kerudung, tetapi rambut putih panjangnya masih dapat dilihat berjuntai keluar. Bersama tongkatnya, sekali imbas, orang akan menyangka Wanwakila ialah seorang nenek tua. Tetapi Wanwakila merupakan ahli Nujum yang menjadi orang kepercayaan Lutello selama ini. Kebijaksanaannya sangat tinggi.

              “Buruk.”

              Lutello mengurut janggutnya. Cuba menenangkan diri dengan khabar tersebut.

              “Kerajaan ini akan diruntuhkan oleh seorang pemuda, dan dirimu akan mati kerananya.”

              Tersentak.

              “Apakah ini sesuatu yang pasti?”

              Wanwakila segera menggeleng. “Sebagaimana yang engkau ketahui, takdir di atas muka bumi ini boleh berubah-ubah. Tiada yang pasti. Tinggal…”

              “Tinggal apa?” Lutello mendekati Sang Nujum.

              “Kita sendiri tidak tahu apa yang boleh dilakukan untuk menghalang ia daripada terjadi.”

              Suasana di dalam bilik mesyuarat itu menjadi senyap. Hampir sahaja tidak kedengaran apa-apa bunyi. Sehinggalah Lutello kembali duduk di atas kerusi, memandang ke dinding di hadapannya, yang terbentang peta dunia di atasnya.

              “Jika diri dan kerajaanku kukuh dan tidak tertanding, maka itu dapat kita halang bukan?”

              Wanwakila tidak pantas menjawab. “Mungkin.”

              “Maka aku akan perkasakan kekuasaanku. Hingga ia mustahil dirobohkan sesiapa!”

25 tahun telah berlalu. Dia sendiri sudah terlupa akan perbualannya dengan Wanwakila, yang telah terbunuh setahun selepas itu di dalam sebuah peperangan. Peperangan yang menjadikan dia yakin bahawa mimpi tersebut tidak akan menjadi realiti.

              Peperangannya menghapuskan Satria-Satria Sejati, dan menjadi kuasa terulung di dunia ini.

              Tetapi tragedi hari ini…

              “Tuanku?” Pengawal yang membawa berita menariknya keluar dari lamunan.

              Segera Lutello menjemput kewarasan akal. Wajahnya bertukar menjadi bengis dan jelas riak amarah terpapar.

              “Kau tunggu apa lagi? Buru si keparat itu segera. Kerahkan seluruh pengawal di istana ini untuk mencarinya!”

              “Baik Tuanku.” Pengawal itu mula berundur.

              “Segera!” Lutello menengking.

              Pengawal tersebut terus berlari. Pengawal-pengawal di balai menghadap turut keluar untuk membantu. Tetapi Lutello sempat menghalang seorang daripada mereka dari terus mara.

              “Engkau. Panggil Wirawan-Wirawan datang menghadap. Apa sahaja urusan mereka, hentikan dan panggil mereka kembali di mana sahaja mereka sedang berada!”

              “Baik Tuanku!” Pengawal tersebut segera berlari untuk menunaikan arahan yang diterimanya.

              Lutello cuba menenangkan dirinya. Jantungnya berdegup kencang cuba diredakan dengan mengawal penafasannya.

              Apakah mimpinya 25 tahun yang lalu bakal menjadi kenyataan?

              Adakah pemuda di dalam mimpinya itu merupakan anak angkatnya sendiri?

              Tongkatnya digenggam erat. Dari rasa terkejut, datang perasaan marah yang membuak-buak. Terasa seperti ada yang mentertawakannya. Mendewasakan manusia yang bakal membunuh dirinya dan merobohkan kekuasaannya.

              Sesekali tidak!

              Sesekali dia tidak akan menerima penghinaan sedemikian rupa.

              “Ariki…. anak tak berguna!”