Kembara 4

“Ariki. Kami tidak pernah mempercayai nujum atau ramalan. Ketahuilah bahawa masa hadapan, ialah tempat yang tidak pasti. Ianya dibentuk oleh tangan-tangan kita. Tuhan telah menyusun takdir, tetapi menyembunyikan takdir daripada kita. Untuk memberi peluang manusia berusaha.”
~ Mordekai Paskur, Satria Sejati.

“Lama sungguh mereka berbual.” Ariki mengerutkan dahi. Memerhati anjung rumah dari tengah tanah lapang.

              Aifer yang duduk tidak jauh dengannya mengangguk.

              Matahari sudah naik dua penggalah. Kabeer dan tiga sahabatnya itu masih lagi bersembang. Mereka bersembang sepanjang malam, dan hanya berhenti untuk melakukan solat pada waktu Subuh, sebelum menyambung kembali perbincangan mereka.

              Ariki melirik kepada Aifer, yang sedang bermain-main dengan rumput, sekitar dua depa daripadanya. Sepanjang duduk di rumah ini, tinggal bersama mereka, Ariki tidak pernah punya kesempatan untuk menikmati keindahan wajah Aifer. Rutinnya terlalu sibuk, dan apabila dia mempunyai masa lapang, tubuhnya terlalu penat, maka dia sama ada berehat atau tidur.

              Mereka jarang berbual sebenarnya, selain bertukar beberapa patah perkataan, dan apabila Ariki bertanyakan sesuatu, lebih-lebih lagi berkait agama yang dianuti Aifer dan ayahandanya. Hinggalah beberapa hari kebelakangan ini, baru mereka berdua banyak bertukar bicara. Beberapa hari kebelakangan ini juga, baru Ariki tahu yang Aifer sebaya dengannya. Walaupun itu sudah dalam jangkaan Ariki.

              Wajah Aifer mulus. Kulitnya cerah. Bibirnya halus. Matanya bundar dikelilingi warna biru cerah. Dagunya hampir tajam, tidak besar, tidak kecil. Itulah sahaja wajahnya yang terpapar. Selebihnya Aifer dilitupi kain litup di kepala, labuh hingga ke dada, bersama pakaian yang tidak menunjukkan bentuk tubuhnya. Namun wajahnya cukup membuatkan Ariki seperti berada di awang-awangan.

              Sedikit sebanyak, Aifer mengingatkan Ariki kepada bondanya.

              Aifer menyatakan yang bondanya terbunuh ketika beberapa Wirawan berjaya mengetahui lokasi bapanya, dan memburu mereka sekeluarga. Dikatakan, bondanya juga salah seorang dari Satria-Satria Sejati.

              Ariki meminta maaf, tetapi Aifer nampaknya tidak lemas dalam emosi, dan mampu memisahkan antara Ariki dan regim ayahandanya. Pun begitu, sedikit sebanyak, Ariki rasa bersalah.

              Aifer sangat tabah dan cekal. Adab dan kesantunannya tidak menghalang diri wanita itu untuk bersikap tegas, menguasai seni tempur dengan baik, dan mempertahankan haknya. Aifer tidak kekok pergi ke pasar menjual bulu dan daging biri-biri dalam keadaan berpakaian asing, tidak seperti kebanyakan perempuan di perkampungan itu. Mujur sahaja di perkampungan kecil ini, Kabeer merupakan satu-satunya penternak biri-biri. Jika tidak, Ariki menjangka bahawa penduduk kampung ini tidak akan membeli daripada Aifer hanya kerana pakaiannya yang melambangkan agamanya.

              Islam memang didiskriminasi di dalam jajahan Mukan’Aja.

              Orang Islam yang mendapat layanan dan penerimaan, hanyalah orang Islam yang tidak benar-benar mengamalkan Islam. Hanya Islam pada nama. Tidak pada gaya hidup. Ariki tahu akan hal itu kerana bukan sekali dua dia melihat orang-orang Islam datang ke Mukan’Aja dan berhibur dengan gaya hidup seperti ayahandanya.

              Kerana itu, Ariki tidak pernah berminat hendak benar-benar mengambil tahu akan agama yang satu ketika dahulu, atau sehingga kini, menjadi tentangan ayahandanya itu.

              Hinggalah dia bertemu Kabeer dan Aifer.

              Islam kelihatan hidup dan kena dengan logik.

              Tinggal satu perkara masih membuatkan Ariki tidak mampu menerima agama ini. Kepercayaan kepada yang tidak terlihat. Kabeer dan Aifer sangat kukuh kepercayaannya kepada Tuhan yang tidak mampu dilihat dek mata, didengari dek telinga, bahkan tidak mampu dibayangkan dek hati. Aifer pernah berkongsi bahawa Allah itu tidak akan sesekali menyamai makhluk ciptaanNya, dan apa sahaja yang kita fikirkan berkenaan zat Allah, Allah tidak akan sama dengannya. Pun begitu, untuk memudahkan pemahaman manusia terhadap zatNya Yang Maha Kuasa, Aifer berkongsi bahawa Tuhan kadangkala menggunakan perkataan-perkataan seperti ‘tangan’, ‘bersemayam’, ‘melihat’, ‘mendengar’. Pun begitu, tetaplah itu semua tidak mampu dibayangkan dengan mengambil contoh daripada para makhluk.

              Apabila ditanya dari mana Aifer memperolehi perkataan-perkataan Tuhan tersebut? Aifer menunjukkan kepadanya satu kitab. Aifer memberitahu yang namanya ialah Al-Quran. Ariki tidak pernah melihat kitab tersebut. Aifer berkata bahawa kitab itu diharamkan di luar Makkah dan Madinah hari ini. Aifer berkongsi bahawa kitab itu menjadi petunjuk kepada orang-orang Islam. Namun dinyatakan bahawa kebanyakan orang Islam hanya membacanya sahaja, tidak mendalami, memahami, dan mempraktikkannya.

              Inilah kitab yang dibaca saban hari oleh Kabeer dan Aifer pada waktu-waktu senggang. Asalnya Ariki menyangka mereka meratib mantera. Tetapi jelas bahawa mereka menyebutnya dengan tenang, biasanya berlagu, dan dari situlah dia mengetahui bahawa Aifer punya suara yang merdu. Dia suka mendengar Aifer membaca Al-Quran, walaupun dia tidak memahami bahasanya, apatah lagi kandungannya.

              Tiba-tiba Ariki menangkap pergerakan sesuatu. Dengan pantas, tangannya bertindak, menangkap seketul batu kecil yang hampir sahaja mengenai tubuhnya.

              Matanya ditalakan ke arah batu itu datang.

              Aifer sedang tersengih.

              “Kenapa baling batu kepadaku?”

              “Sengaja. Bosan.” Aifer tertawa. “Nampak latihan yang bapa kenakan kepadamu selama ini berhasil.”

              “Bukankah itu sudah diketahui?” Ariki mencebik. Aifer terus tertawa.

              Indah.

              Ariki mahu tinggal di sini selama-lamanya. Dia senang dengan keluarga ini. Dia tidak kisah menjadi pekerja kepada Kabeer, mengambil air, mengusahakan ladang dan mengembala biri-biri. Walaupun hidup di sini tidak semewah dan sesenang di istana, di sini dia bahagia.

              “Jangan tenung puteri orang lama-lama.” Aifer menambah.

              Wajah Ariki merah padam. “Mana ada.” Segera menafikan.

              Aifer sekadar tersenyum. Tanda dia tahu bahawa jawapan Ariki tidak benar. Ariki menundukkan wajah.

              Tetapi hatinya rasa berbunga. Dia tidak pernah merasai perasaan sedemikian rupa.

              “Hah, mereka sudah bangkit.” Suara Aifer membuatkan dia mengangkat wajah semula. Kelihatan Kabeer sudah turun dari anjung, diekori tiga sahabatnya.

              Ariki dan Aifer sama-sama bangun, dan mereka dihampiri Kabeer bersama rakan-rakannya.

              “InsyaAllah kita akan bertemu lagi.” Ujar Gidaya, berkulit cerah, berkumis putih, rambutnya masih hitam namun sudah mula dijajahi uban. Dia seperti yang paling muda antara mereka.

              “Kalian akan kembali ke sini?” Ariki bertanya, berdasarkan ayat yang dilontarkan oleh Gidaya. Selepas Subuh tadi, semasa sarapan, mereka sempat memperkenalkan diri kepada Ariki. Menyebabkan Ariki mula mengenali nama mereka.

              Ariki melihat Gidaya dan dua sahabatnya sekadar tersenyum. Gidaya melepaskan jabatan tangannya.

              “Ariki. Kami tidak pernah mempercayai nujum atau ramalan. Ketahuilah bahawa masa hadapan, ialah tempat yang tidak pasti. Ianya dibentuk oleh tangan-tangan kita. Tuhan telah menyusun takdir, tetapi menyembunyikan takdir daripada kita. Untuk memberi peluang manusia berusaha.” Mordekai, rambutnya serba putih, sedikit panjang tetapi tidak mencecah bahu, matanya biru, dan dia merupakan yang tertinggi di kalangan mereka. Jabatan tangannya paling kukuh dirasakan oleh Ariki.

              Ariki sekadar mengangguk dengan bicara Mordekai itu.

              Kemudian tangannya dijabat pula oleh Shankara, dia sahaja berkulit sedikit gelap, uban sudah menjuarai rambutnya, kumisnya tebal bersambung dengan janggut, tubuhnya dirasakan paling sasa antara mereka semua, ketinggiannya sederhana. Bahu Ariki turut disentuh.

              “InsyaAllah, kami menanti kebangkitan.”

              Ariki terpinga-pinga.

              Mereka bertiga kemudian bergantian memeluk Kabeer, mengucapkan selamat tinggal, dan Ariki dapat melihat air mata mengalir pada wajah mereka.

              Tiba-tiba sahaja Ariki diserang rasa tidak sedap hati.

              Apa yang sedang berlaku?

              “Apa yang sedang berlaku, Aifer?” Ariki bertanya separuh berbisik.

              “Atau, apa yang akan berlaku?” Aifer memandangnya semula, menjawab soalan dengan soalan.

              Ariki memandang ketiga-tiga lelaki itu menaiki tunggangan mereka, sebelum melambai lambaian perpisahan, dan bergerak meninggalkan rumah Kabeer.

              Kabeer kemudiannya terus masuk ke rumah, membuatkan Ariki dan Aifer saling berpandangan, sebelum mengekorinya.

              Apabila mereka masuk ke rumah, kelihatan Kabeer sedang berkemas-kemas. Memasukkan beberapa pakaian ke dalam karung. Pakaian Aifer, pakaian untuk Ariki. Kemudian dia ke dapur, mengambil beberapa botol minuman dan juga roti kering. Sebelum diikat kedua-dua karung tersebut, dan diserahkan kepada Ariki dan Aifer.

              “Bapa?” Aifer jelas tidak mengetahui akan gerangan tindakan bapanya itu.

              Ariki mengambil karung untuknya dalam keadaan tertanya-tanya.

              Kabeer tidak menjawab. Dia segera ke satu sudut rumahnya. Ariki dapat melihat ada sebilah pedang, sedang berehat di sudut tersebut. Selepas Kabeer mencapainya, dia bergerak pula ke satu kotak, dibukanya kotak itu dan dikeluarkan dua bilah pisau kecil. Kemudian Kabeer mendekati mereka berdua.

              “Ambil ini.” Kabeer menyerahkan pedang tersebut kepada Ariki.

              Mata Ariki membesar. Apakah?

              Pedang tersebut panjang, dan bentuknya juga unik. Kelihatan nipis, tidak mempunyai penghadang tangan. Pada tempat sepatutnya penghadang tangan berada, terdapat lengkok. Seluruh pedang berbalut kain kasa.

              “Aku telah lama mengusahakan pedang ini. Ia masih tidak lengkap. Tetapi aku yakin, engkau akan mampu memanfaatkannya.”

              “Pakcik, mengapa pakcik menyerahkan senjata dan karung ini?” Ariki bertanya, sedang Kabeer menyerahkan dua pisau kecil kepada Aifer.

              “Sudah tiba masanya.” Kabeer memusingkan tubuh Ariki dan Aifer menghadap pintu keluar, dan menolak mereka berdua. Kedua-dua mereka keluar dari rumah tersebut bersama Kabeer.

              “Masa untuk apa pakcik?” Ariki bertanya. Tiada jawapan. Matanya melihat Aifer. Perempuan itu sedikit tunduk dengan wajah durja.

              Kabeer berdiri menghadap mereka di hadapan anjung.

              “Perjalanan engkau perlu diteruskan Ariki.”

              “Perjalanan apa?” Ariki meninggikan suara.

              “Untuk menumbangkan kezaliman ayahandamu.”

              Mata Ariki membesar.

              “Aku belum bersedia. Mengapa sekarang? Apa yang kalian berempat bincangkan hingga aku dihalau sebegini?”

              Kabeer tertawa kecil. “Engkau tidak dihalau wahai Ariki. Aku menghantar engkau pergi. Aifer akan menemanimu dalam perjalanan ini.”

              Ariki melihat Aifer, dan perempuan itu sedang mengalirkan air mata. Tetapi tidak teresak-esak. Jelas ketabahan diri yang tinggi.

              Kabeer memaut bahu Aifer. “Anakku yang tercinta, puteriku yang amat dikasihi, ketahuilah bahawa bapamu ini telah berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi panggilan Allah, menegakkan keadilan, membela yang lemah.”

              Aifer terangguk-angguk. “Sesungguhnya aku menjadi saksi.” Suaranya tersekat-sekat. Jelas perit untuk diluahkan. Mereka kemudian berpelukan erat.

              “Ariki. Walaupun sekarang agak pelik untuk aku sebut ayat ini, tetapi engkau jagalah puteriku ini.” Ujar Kabeer sebaik sahaja pelukannya kepada Aifer direnggangkan.

              Ariki mengerutkan dahi.

              “Kalian perlu bergerak segera. Kita kesuntukan masa.”

              “Sebentar, aku tidak faham. Aku mahu ke mana? Dan mengapa mesti tergesa-gesa? Ya aku berhajat hendak menumbangkan kezaliman ayahandaku. Tetapi pakcik tahu aku belum bersedia. Bukan sekarang.” Ariki tidak mahu berganjak.

              “Terpaksa sekarang wahai Ariki. Engkau dan Aifer belum benar-benar menguasai pengawalan aura di dalam tubuh. Kerana itu kalian tidak merasai satu tenaga yang dahsyat sedang menghampiri kawasan ini.”

              Mata Ariki membesar. “Apakah…”

              “Aku jangka, Lakshamana sendiri sedang menghala ke mari. Aku kenal tenaganya bila-bila masa, di mana sahaja.” Kabeer tersengih.

              Lakshamana? Wirawan Utama?

              “Jadi, pakcik mahu menghadapinya seorang diri?” Ariki mula gempar. Dia tahu kehebatan Lakshamana. Dikatakan bahawa jika ada yang mampu menandingi ayahandanya hari ini, itulah dia Lakshamana, Wirawan Utama Mukan’Aja.

              “Ayuh, mari bergerak bersama kami jika itu masalahnya.” Ariki mahu memaut tubuh Kabeer. Tetapi Aifer mengangkat tangan di hadapannya, menghalang.

              Ketika ini, Kabeer batuk-batuk. Kuat. Tangannya segera menekup mulut. Kemudian apabila tangannya dijarakkan, Ariki dapat melihat dengan jelas darah terpalit pada tangannya itu. Bibir Kabeer juga kemerah-merahan.

              “Aku sudah tidak mampu lagi meneruskan perjalanan ini Ariki. 25 tahun lepas, aku menerima serangan yang menyebabkan organ-organ dalamanku mula mereput. Perlahan-lahan. Namun aku sendiri tidak menyangka aku mampu bertahan sehingga hari ini.”

              Ariki terdiam. Tidak tahu mahu berkata apa.

              “Mungkin, mungkin Tuhan memang telah merancang, untuk engkau menemuiku di sini, dan aku menunjukkan jalan kepadamu.” Kabeer mengukir senyuman manis.

              “Itu hanya kebetulan. Mengapa engkau sangat mempercayai Tuhan yang tidak mampu engkau lihat?”

              “Tiada kebetulan. Yang ada hanyalah perancangan Tuhan, Ariki. Serahkan dirimu sepenuhnya kepada Dia, engkau akan melihat hikmahNya.”

              “Kepercayaan engkau kepada Tuhan ini, membuatkan engkau akan mati hari ini pakcik!” Ariki tidak mahu menerima. Dia tidak dapat membiarkan Kabeer menemui ajalnya kerana dia.

              Kabeer menggeleng. “Engkau berhati mulia Ariki. Sebagaimana nyawa yang tidak kelihatan, tetapi kita hidup dengannya. Begitulah juga Tuhan. Tidak dapat dilihat tetapi ada.”

              “Aku bernyawa, itu buktinya aku hidup. Apa buktinya kewujudan Tuhan ini pakcik? Sehingga engkau sanggup mengorbankan diri sebegini keranaNya?” Mata Ariki mula bergenang. Kemudian mutiara itu tumpah. Dia tidak dapat menahan sebak.

              Keyakinan Kabeer tidak berbelah bagi tambah membuatkannya merasa sesak.

              “Seluruh semesta ini.” Kabeer mendepangkan tangan. Kepala diangkat menghadap ke langit. Kemudian dia memandang semula kepada Ariki. “Itulah bukti kewujudanNya. Apakah engkau buta?”

              Ariki tersentak.

              Pada ketika itu juga, sepintas lalu, jiwanya seperti mengakui betapa benarnya kepercayaan Kebeer.

              “Pergilah Ariki. Dia sudah semakin hampir.” Kabeer bergerak mencapai tongkatnya yang dibiarkan berehat di hadapan anjung.

              “Bapa…” Aifer bersuara selepas lama mendiamkan diri.

              Kabeer memandang puterinya.

              “…jika ada kebaikan pada diriku, semuanya bermula denganmu.” Aifer memeluk Kabeer buat kali terakhir. Kabeer membalas dengan mengeratkan pelukan.

              “Terima kasih kerana menjadi puteri penyejuk mata dan hatiku. Pergilah kini sebagai legasi. Menangkan perjuangan ini.” Kabeer meregangkan pelukan.

              Ariki sangat sebak melihat dalamnya cinta antara anak beranak itu. Ditambah pula ketabahan dan kecekalan mereka berdua, memperjuangkan apa yang mereka percaya.

              Aifer mula bergerak, melepasi Ariki. Ariki tidak berganjak. Dia memandang tepat kepada Kabeer.

              “Ariki…” Aifer memanggil lembut, dengan suara sedikit basah, kerana masih di dalam tangis.

              “Pakcik.” Ariki bersuara. Kini mata Kabeer bertentang dengan matanya.

              “Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawa Muhammad itu ialah Utusan Allah.” Ariki menyebut kalimah itu. Kalimah yang pernah dikatakan oleh Aifer kepadanya sebagai kunci untuk seseorang itu menjadi Muslim.

              Kabeer tiba-tiba mengalirkan air mata. Mengangguk-angguk.

              “Jagalah anakku Ariki. Selamat tinggal. Moga kita bertemu di syurga sana, insyaAllah.”

              Ariki mengangguk berat. Kemudian berpaling dan bergerak mengekori Aifer. Meninggalkan perkarangan rumah Kabeer. Melepasi ladang dan kandang. Memori sepanjang berada di sini terimbas. Ariki menyeka air mata. Dia dan Aifer kemudiannya masuk ke hutan. Tidak lagi menoleh ke belakang.

              Kabeer memandang Ariki dan puterinya menghilang ditelan ketebalan hutan.

              Perlahan-lahan dia bergerak ke tengah tanah lapang di hadapan rumahnya.

              Tongkatnya dipacakkan ke tanah.

              Tangannya kemudian digerak-gerakkan berdekatan tongkat tersebut, sebelum kayu tongkat tersebut pecah dan jatuh ke tanah.

              Terzahir sebilah pedang.

              Kemudian Kabeer duduk bersila di sisi senjatanya.

              “Tuhan, apakah yang lebih baik dari mati di atas jalanMu ini?”

              Kini dia menanti ketibaan Lakshamana.

              Yang berdasarkan tenaga yang dirasainya, Wirawan Utama itu akan muncul bila-bila masa.

******

Ariki dan Aifer berlari di dalam hutan.  Berbeza dengan lariannya yang sebelum ini, kini Ariki merasakan tubuhnya semakin tangkas dan cergas. Dia dapat mengelak halangan-halangan di hadapannya dengan baik.

              Kebeer ternyata telah berjasa membentuknya menjadi seorang pahlawan. Walaupun dia baru bermula.

              Matanya melirik kepada Aifer sepintas lalu. Air mata telah berhenti. Kini Aifer telah menutup wajahnya, hanya meninggalkan kawasan matanya sahaja terpapar. Dua pisau pemberian Kabeer telah kemas tersisip di pinggangnya. Karung guni sudah tergantung di belakang tubuh.

              Ariki meletakkan pedangnya di sisi pinggang. Karung diletakkan di belakang tubuh. Kini dia lebih selesa.

              “Kita akan ke mana?” Ariki bertanya.

              “Aku juga tidak pasti Ariki. Buat masa ini, kita selamatkan diri terlebih dahulu. Wagangada ialah negara yang terdekat bukan?”

              Ariki mengangguk.

              “Jika kita terus melalui arah ini, kita akan sampai ke Wagangada dalam masa seminggu.” Aifer memberitahu. “Di sana, kita akan susun perancangan kita.”

              Ketika ini, satu letupan kuat kedengaran. Walaupun merasakan diri mereka telah berlari jauh, letupan itu masih dapat didengari dengan jelas. Ibarat wujud satu gelombang aneh, unggas mula berterbangan lari dari hutan, dan kedengaran beberapa lolongan haiwan.

              Pergerakan Ariki terhenti. Aifer yang hendak meneruskan perjalanan, terpaksa mematikan langkah.

              “Pakcik!” Ariki kerisauan. Bunyi letupan itu ternyata petanda tidak baik.

              Dia tidak dapat membayangkan Kabeer bertempur dengan Lakshamana seorang diri. Sedang berseorangan pun, Lakshamana sangat terkenal sebagai seorang pahlawan yang mampu menumbangkan seratus orang tentera. Bagaimana jika dia hadir bersama sekumpulan tentera, berhadapan dengan Kabeer?

              Jiwa Ariki rawan. Dia tidak mampu membiarkan perkara itu berlaku begitu sahaja tanpa dia melakukan apa-apa. Dua penumbuknya dikepal. Giginya diketap.

              “Aifer.” Ariki memandang puteri Kabeer itu.

              Aifer menggeleng.

              “Tetapi aku tidak sesekali mampu membiarkan ini terjadi, Aifer!”

              Aifer melangkah mendekati Ariki.

              “Bapaku tidak akan mati dengan sia-sia hari ini Ariki. Engkau fikir engkau mampu berhadapan dengan Lakshamana, Wirawan Utama Mukan’Aja?”

              “Tetapi bukankah agamamu mengajar agar kita berusaha? Yakin dengan pertolongan Tuhan? Mengapa Tuhan tidak membantu sekarang?” Ariki meninggikan suara.

              Aifer mengeluh. Wajahnya durja.

              “Agama Islam bukan agama magis Ariki.” Suara Aifer bergetar.

              “Ini ialah agama realistik. Ya Tuhan Maha Berkuasa. Tetapi dijadikan dunia ini sebagai ujian. Dan menjadi tanggungjawab kita menghadapi ujian-ujian itu dengan baik. Dengan tabah, dengan cekal. Ada hari Tuhan memberikan kita bahagia, tenang, senang. Tetapi ada hari Dia akan menguji hamba-hambaNya dengan kesusahan, ketakutan, kesempitan…”

              Aifer diam sebentar. Ariki dapat melihat mata perempuan itu bergenang. Nafasnya turun naik. Menahan perasaan sebak dan sedih. Jiwa Ariki direnjat rasa bersalah.

              “…kematian.” Aifer menyempurnakan kalamnya.

              Aifer menyeka air mata yang mula tumpah. Kemudian menarik nafas dalam-dalam. Seterusnya memandang Ariki dengan tajam.

              “Bapa sedang mengorbankan dirinya untuk penerusan sebuah perjuangan. Menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan bahawa perjuangan itu berlangsung dan mencapai kejayaan. Semua aturan Allah SWT itu ada hikmah dan kebaikan yang tersembunyi.”

              “Bagaimana engkau boleh setabah ini Aifer? Bagaimana kalian boleh yakin sebegini sekali?” Ariki tidak faham.

              “Sungguh ajaib dalam urusan orang beriman. Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang beriman. Sekiranya dia diberi anugerah, dia bersyukur,  maka anugerah itu menjadi baik baginya.  Dan sekiranya dia ditimpa kesusahan, dia bersabar. Maka kesusahan itu menjadi baik baginya.” Aifer menyebut.

              Ariki mengerutkan dahi. “Kalam Muhammad?” Selain Al-Quran, Aifer dan Kabeer kadangkala akan memetik kalam Nabi kepercayaan mereka. Muhammad. Mereka memanggil itu sebagai ‘hadith’.

Aifer mengangguk. “Bagaimana kami boleh yakin sebegini sekali? Kerana iman Ariki. Dan iman itu yang membentuk tindak tanduk kami.” Tegas. Walaupun masih dapat didengari sendu pada suaranya, jelas terpapar kerseriusan Puteri Kabeer ini.

“Sekarang Ariki. Engkau mahu kembali dan menamatkan perjuangan ini di sini, atau engkau mahu turut beriman dengan janji-janji Tuhan?”

“Apa janji-janji Tuhan?”

“(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.” Aifer menyebut.

Ariki tahu itu ialah terjemahan daripada Al-Quran yang sering diulang baca oleh Aifer dan Kabeer.

“Surah As-Sof, ayat 11-12.” Aifer menambah.

Ariki menghela nafas. Dia masih tidak benar-benar memahami. Tetapi Aifer nampak nekad. Dan yang sedang bergelut bersabung nyawa sekarang ialah bapanya. Aifer pasti lebih terluka dan bersedih hati. Namun nampaknya sekarang, dialah yang lebih tabah berbanding Ariki.

Benar, jika dia berpatah kembali kepada Kabeer, dia tidak akan dapat membantu apa-apa.

Adalah lebih baik meneruskan perjalanan, merealitikan impian Kabeer untuk melihat perjuangan ini menempa kemenangan.

Walau Ariki belum pasti lagi bagaimana.

Mungkin telah tiba masanya untuk dia meletakkan kepercayaan kepada yang tidak mampu dia lihati.

Allah.

“Ayuh.” Ariki melangkah.

Aifer mengangguk. Sekali lagi Aifer menyeka air mata, sebelum berpaling dan menyambung perjalanan mereka.

******

Nafas Lakshamana turun naik. Dadanya beralun tidak menentu. Zirahnya sudah terkopak di beberapa tempat. Mantelnya rabak. Darah mewarnai wajah, dan kini ada yang sedang bergayutan pada dagunya dan menitis ke tanah. Tangan kirinya terkulai, dibasahi darah, tergantung lemah pada tubuh namun tidak mampu lagi digunakan. Tangan kanannya memegang erat hulu pedang miliknya, senjata itu terpacak ke tanah untuk menyokong tubuhnya dari jatuh.

              Suasana di sekelilingnya huru-hara. Tanah lapang yang asalnya dihampari rumput menghijau, kini seperti sudah digembar-gembur. Ladang sayuran terbakar. Asap hitam berkepul-kepul naik ke langit. Rumah yang asalnya berdiri teguh kini telah hancur. Bangkai biri-biri bergelimpangan. Darah dapat diperhatikan di mana-mana.

              Lakshamana menggerakkan wajahnya ke bahu, kemudian bahunya menguis bahagian matanya. Darah ingin memasuki kelopak dihalang.

              Pandangannya kini direhatkan kepada sekujur tubuh yang sedang terbaring dengan perut berlubang. Isi dalamnya hancur sama sekali. Tangan mayat itu masih erat memegang hulu senjatanya, sedang bilah senjata itu telah tiada.

              Lakshamana memerhati senjatanya.

              Jelas kelihatan retak menghiasi pedang panjangnya itu.

              Sedang dia melihat senjatanya, dia dapat melihat mayat Zanggi, terkulai di tidak jauh daripadanya. Bendera panjang tertusuk pada kepalanya.

              Matanya kembali kepada mayat Kabeer.

              “Celaka.” Lakshamana menyumpah.

              “Celaka, celaka, celaka!” Suaranya semakin meninggi pada setiap patah kalimah.

              Nampaknya, walaupun jelas dia memenangi pertarungan ini, ada sesuatu yang telah berlaku ketika dia bertempur dengan Kabeer. Dan nampaknya Lakshamana sangat-sangat terganggu dengan hal itu.

              Setelah menenangkan pernafasannya, Lakshamana menghunus senjatanya, dan mengembalikan ia ke sarung pada pinggangnya. Mujur sarung itu tidak turut hancur sebagaimana beberapa bahagian zirahnya.

              Lakshamana mendengus, kemudian berpaling. Dia perlu bergerak ke tengah Perkampungan Sinan untuk mendapat rawatan segera, jika tidak dia mungkin boleh mati dek kehilangan darah yang banyak. Kemudian dia akan mendapatkan kenderaan di sana, sebelum bergerak pulang ke Ismura.

              Ada khabar yang sangat tidak baik untuk dia sampaikan kepada Lutello.

              “Orang tua celaka. Jahanamlah engkau dengan orang-orang yang punya kepercayaan sepertimu. Tidak sesekali akan kubiarkan kalian berjaya.” Tutur Lakshamana seraya meninggalkan kawasan itu.

              Dia akan kembali ke sini, dia pasti.

              Lutello pasti menginginkan mayat Kabeer kerana dia merupakan salah seorang Satria-Satria Sejati. Lutello pasti mahu memberikan pengajaran kepada seluruh dunia akan akibat bagi mereka yang menentangnya.

              Tetapi dia perlu berehat terlebih dahulu.

              Kecederaannya parah.

              Lakshamana terus melangkah.