Kembara 5

“Sudah tidak ramai Muslim sepertimu. Yang aku jumpa, mereka hanya berpakaian sebegini kerana tradisi. Mereka tidak lagi benar-benar mengamalkan prinsip Islam. Sekurang-kurangnya itulah yang aku lihat di Wagangada.”

~ Jilani Wabiya, ‘Pemberontak’ Wagangada.

Beberapa hari telah berlalu. Ariki dan Aifer masih belum menemui jalan keluar dari hutan. Namun berdasarkan kedudukan matahari, yang boleh diperhatikan samar-samar di sebalik rimbunan daun yang tebal di hutan ini, jelas mereka tidak tersalah arah.

              “Allahuakbar.” Ariki yang sedang berehat di tepi pokok, sekadar memerhatikan Aifer yang sedang khusyuk menunaikan solat.

              Ariki masih belajar. Sebulan lebih duduk bersama Aifer dan Kabeer, dia sudah masak benar dengan pergerakan ritual tersebut. Tetapi sebutan-sebutan di dalam solat, dia masih tidak mahir. Dan dia tidak pasti mengapa, di saat genting sebegini, Aifer masih meluangkan masa untuk menunaikan ritual tersebut.

              Aifer kini dilihat sedang tunduk separuh badan, sebelum menegakkan semula tulang belakangnya, kemudian turun ke tanah sujud. Selepas itu Aifer duduk di atas telapak kakinya, sebelum sujud kembali.

              Kali ini sujud Aifer lama.

              Beralaskan tanah di hutan itu, Aifer seperti menyerahkan sepenuhnya pergantungan kepada Allah. Bukan seperti. Memang.

              Ariki menghela nafas. Pandangannya menerawang.

              Menumbangkan kezaliman ayahandanya? Bagaimana? Ariki tersengih. Bila difikirkan panjang sedikit, seperti satu tindakan yang bodoh pula. Hendak menumbangkan ayahandanya sahaja sudah mustahil, bagaimana dia bersama Aifer mahu berhadapan dengan seluruh jajahan Mukan’Aja? Dengan negara-negara yang menyatakan taat setia kepada ayahandanya?

              Fikiran Ariki serabut.

              Tetapi keserabutan itu entah mengapa, seperti terurai apabila pandangannya kembali kepada Aifer, yang kini sedang mengangkat tangan dan berdoa dengan begitu khusyuk sekali. Mata perempuan itu terkatup, dan Ariki dapat melihat rembesan air mata mengalir pada pipinya. Aifer berdoa bersungguh-sungguh.

              Keyakinan Aifer tinggi, sama seperti bapanya, dan kini terserlah melalui ketabahannya melalui semua ini.

              “Aifer tak serabut. Aku pula yang lebih-lebih.” Ariki mencebik. Memarahi diri sendiri. Dia memujuk dirinya untuk lebih yakin.

              “Kemenangan takkan datang secara tiba-tiba. Islam bukan agama magis. Apabila kita telah selamat nanti, kita perlu fikirkan tindakan yang seterusnya.”

              “Bagaimana kita mahu tahu apa tindakan kita yang seterusnya?”

              “InsyaAllah, bila kita sudah bertenang kelak, pasti kita akan mampu berfikir dengan lebih baik.”

              “Aku masih tak mampu menghadam keyakinanmu itu Aifer.”

              Aifer sekadar tersenyum, namun senyumannya sedikit kelat. Mungkin terkesan dengan apa yang baru berlaku kepada bapanya.

              “Satu hari nanti, engkau akan memahami, Ariki. Aku mendoakan.”

              Kini dia melihat Aifer lebih tenang. Sehari dua ini, Aifer kelihatan banyak berfikir, seperti sedang mempersiapkan diri untuk membentangkan perancangan yang seterusnya.

              “Aku patut bersikap lebih seperti Aifer.” Ariki berbicara kepada dirinya sendiri. Menasihati.

              “Apa bercakap seorang diri tu?” Sapaan Aifer membuatkan Ariki spontan mengangkat wajahnya.

              Ariki mengukir senyuman, apabila melihat Aifer mendekatinya. Aifer kemudian duduk tidak jauh daripadanya.

              “Kita akan sampai ke Wagangada tidak lama lagi. Mungkin sehari lagi, atau paling lewat dua hari.” Aifer berbicara.

              “Ada pengalaman ke Wagangada?” Ariki menyoal, separuh meneka.

              Aifer mengangguk. “Tetapi sudah terlalu lama. Semasa aku kecil dahulu. Bapa bertemu dengan seorang rakannya di situ.”

              “Satria Sejati?”

              Aifer mengangguk lagi. “Mungkin dia boleh membantu kita. Umeira namanya.” Tangannya menguis-nguis dedaunan kering di tanah. “Tetapi, aku pun tidak pasti apakah dia masih hidup, dan di mana dia benar-benar berada.”

              “Tidak mengapa Aifer. InsyaAllah…” Ariki pertama kali menyebut perkataan itu. Membuatkan Aifer mengangkat wajah dan melemparkan senyuman manis kepadanya. Wajah Ariki terasa panas, dan senyuman automatik terukir pada bibirnya, pun begitu dia segera menyempurnakan bicaranya. “…InsyaAllah kita akan usahakan sebaik sahaja tiba di Wagangada nanti.”

              “Perjuangan ini perjalanan yang panjang Ariki. Dan memerlukan pengorbanan yang besar lagi banyak.”

              “Janganlah buat aku cuak.” Ariki mencapai seketul batu kecil, dan melemparkannya lembut ke kaki Aifer.

              Aifer tertawa. Pertama kali, semenjak mereka melarikan diri.

              Tiba-tiba sebatang anak panah terpacak di antara Ariki dan Aifer. Tawa Aifer terhenti. Ariki terus memerhati sekeliling, untuk mencari dari mana datangnya anak panah tersebut. Kedua-duanya bangkit dan siaga.

              Tubuh sudah berada dalam postur tempur.

              “Apakah…?” Ariki mengerutkan dahi. Jangkaannya, Lakshamana dan tenteranya telah menemui mereka.

              Aifer melirik kepada anak panah yang terpacak tadi. Ianya jelas seperti buatan tangan. Bukan hasil produksi daripada kilang ketenteraan.

              “Bukan.” Aifer mematikan sangkaan Ariki.

              Ketika ini, beberapa anak panah lagi muncul meluncur laju ke arah mereka berdua. Aifer menggerakkan dua telapak tangannya, sebelum kaki menghentak ke bumi. Muncul dinding daripada tanah di hadapan mereka, menghalang anak-anak panah tersebut dari terus mara.

              “Kita sedang dikelilingi!” Ariki dapat mendengar bunyi derapan kaki.

              “Dari atas juga.” Aifer mendongak. Dia dapat melihat beberapa susuk tubuh bergerak pantas, dari dahan ke dahan.

              “Penceroboh!” Kedengaran satu suara melaung. Beberapa lagi anak panah berterbangan. Aifer sekali lagi menggerakkan tangannya, kemudian kakinya melangkah ke hadapan, sebelum dihentakkan ke tanah. Sebelum tanah di hadapannya bergerak, tangannya di bawa ke belakang, postur tubuhnya berubah menjadi sedikit sendeng. Tanah di hadapannya naik, kemudian melengkung, melindungi Aifer dan Ariki dalam kubah separa sfera.

              Mata panah tidak dapat menembusi pertahanan tersebut.

              “Bagaimana?” Ariki memandang Aifer.

              “Kita perlu berpecah supaya mereka tidak boleh memfokuskan serangan!”

              Ariki mengangguk. Dia masih belum benar-benar mahir bertempur, tetapi dia berharap latihan yang diterimanya cukup.

              “Ayuh.” Ariki bersuara.

              Tenaga dalamannya dikumpul. Cas-cas elektrik terbentuk pada tubuhnya.

              Aifer menyambut dengan anggukan. “Bersedia.”

              Tangan didepangkan, telapak tangan terbuka. Tanah yang mengelilingi mereka, kini berpecah menjadi butiran kecil, menembak ke seluruh arah. Pokok di sekeliling mereka menjadi mangsa.

              Aifer dan Ariki kemudiannya bingkas berpecah. Seorang ke kanan, seorang ke kiri. Beberapa anak panah kemudian dilihat terpacak di belakang langkahan mereka.

              Aifer tiba ke pokok berhampiran, dan menepuknya kuat dengan kedua telapak tangan. Tanah di bawah pokok itu bergetar, menyebabkan pokok itu bergegar. Dua orang lelaki jatuh dari pokok tersebut. Bersama mereka busur dan panah. Tetapi sebelum mereka menjejak ke tanah, dengan tangkas mereka melepaskan lagi beberapa anak panah ke arah Aifer. Aifer tunduk dan berguling mengelak.

              Apabila Aifer bangkit, dia dilihat mengumpul auranya pada dua telapak tangan, sebelum menepuk ke tanah. Tanah di hadapannya beralun sebelum membentuk dua tiang yang menujah ke arah dua lawannya. Kedua-dua lawannya dapat mengelak serangan tersebut dengan bergerak ke arah berlawanan. Anak panah dilepaskan lagi.

              Mata Aifer tajam mengekori pergerakan serangan mereka. Di saat akhir, Aifer sempat menaikkan satu dinding tanah di hadapannya. Kemudian tanpa menanti, ditolaknya dinding tanah tersebut, membuatkan ianya bergerak ke hadapan.

              Kini Aifer dapat melihat kedua-dua lawannya berguling ke kiri dan kanan, menjauh dari dilanggar dinding tersebut. Matanya sebentar melirik ke arah Ariki. Hatinya tidak dapat menahan risau, kerana Aifer tahu Ariki belum benar-benar berpengalaman.

              Kelihatan Ariki bergelut dengan anak-anak panah yang sedang menghujani dirinya. Tetapi hasil latihan Kabeer nampaknya benar-benar tertanam kemas di dalam diri Ariki. Pemuda itu berjaya mengelak dengan baik semua serangan yang dilancarkan ke arahnya.

              “Engkau perlu melakukan yang lebih baik!” Ariki melaung.

              Ketika ini keluar dua orang manusia dari balik semak. Seorang kelihatan masih muda remaja. Perempuan. Manakala seorang lagi ialah pemuda, bertubuh tegap dan sasa. Tetapi tubuhnya dihiasi parut, dan tangannya sedang disokong anduh. Lelaki tersebut menyandang busur di belakang tubuh sementara remaja perempuan itu pula sedang mengacukan senjata tersebut ke arah Ariki, sedia untuk melepaskan serangan. Tetapi Ariki dapat melihat yang anak panah di dalam karung remaja itu telah habis. Apa yang ada pada busurnya kini, ialah yang terakhir.

              Ariki menganggap itu peluang untuknya.

              Tanpa menanti, dia meningkatkan auranya, dan memecut laju ke hadapan sambil bersedia hendak menghunuskan pedang pemberian Kabeer kepadanya.

              “Tangkas, tetapi bodoh.” Pemuda sasa itu bersuara, dan sebaik sahaja bicara itu ditangkap oleh Ariki, dia perasan tubuhnya terapung sebentar, sebelum terbanting ke tanah.

              Ariki terpinga-pinga.

              Tidak pasti bagaimana dia boleh berkeadaan sedemikian rupa.

              “Sekarang!” Pemuda itu meninggikan suara. Memberikan arahan kepada remaja perempuan untuk menebak.

              Panahan dilepaskan. Ariki tidak sempat berbuat apa-apa. Hanya mampu memejamkan mata.

              Tetapi selepas beberapa ketika, tiada apa yang berlaku kepada dirinya. Ariki membuka mata, dan menoleh. Dia melihat Aifer sudah berada di hadapannya. Menangkap anak panah tersebut, yang kini tinggal seinci lagi dari menyentuh wajahnya.

              Ariki bingkas bangkit.

              Dua lelaki yang tadi bertarung dengan Aifer, kini bergerak mendekati pemuda dan remaja perempuan tersebut. Mereka turut kehabisan anak panah.

              “Maaf, aku tidak tahu apa yang berlaku sebentar tadi.” Ariki kembali dalam postur bersedia. Kekudanya dibuka.

              “Dia mampu mengawal unsur angin.” Aifer  merujuk kepada pemuda di hadapan mereka.

              “Heh. Kalian mampu bertarung dengan baik.” Pemuda itu bersuara.

              “Siapa gerangan kalian? Mengapa kalian menyerang kami?” Ariki melaung.

              “Soalan itu patut menjadi milik kami. Siapa gerangan kalian? Kalian telah mencerobohi kawasan kami.” Pemuda itu membalas tanya.

              Aifer dan Ariki berpandangan sesama sendiri.

              Sekadar yang mereka perhatikan, mereka berada di tengah hutan tebal, tanpa ada petanda kawasan dan sebagainya yang menandakan tempat ini milik orang.

              “Kami tidak mencerobohi apa-apa. Tiada petanda pun yang menyatakan ini kawasan sesiapa!” Aifer pula bersuara.

              Pemuda itu tidak segera membalas.

              Keadaan menjadi sepi antara dua kumpulan tersebut. Hanya diisi dengan bunyi unggas dan fauna, yang mungkin masih terkejut dengan pertarungan yang berlaku sebentar tadi.

              “Kalian bukan pemburu yang memburu kami?” Remaja perempuan itu separuh melaung.

              Aifer dan Ariki menggeleng serentak.

              “Kami melarikan diri dari Perkampungan Sinan.” Aifer menjawab.

              “Kami tahu Perkampungan Sinan. Kalian melarikan diri dari apa?” Pemuda itu bertanya.

              “Lakshamana.” Ariki menjawab.

              Mata pemuda itu membesar. “Wirawan Utama?”

              Ariki dan Aifer mengangguk. Pemuda itu kemudian dilihat berbisik kepada remaja perempuan di sebelahnya, dan juga dua orang rakan mereka. Sebelum kembali memandang Ariki dan Aifer.

              “Maka kita mempunyai musuh yang sama.” Pemuda itu bergerak mendekati Aifer dan Ariki.

              Ariki dan Aifer menghilangkan postur tempur, dengan kembali berdiri tegak. Tangan diturunkan. Mereka berdua kemudian melangkah ke hadapan, tanpa menanti pemuda tersebut sampai kepada mereka.

              Pemuda itu menghulurkan tangan. Aifer sekadar mengangkat kedua-dua tangan, disatukan di bawah hidung, dan tunduk sedikit. Ariki yang kemudian menyambut tangan pemuda tersebut.

              “Muslim?” Pemuda itu bertanya kepada Aifer.

              Aifer mengangguk. “Tidakkah pakaianku cukup untuk membuktikan itu?”

              Pemuda itu menggeleng. “Sudah tidak ramai Muslim sepertimu. Yang aku jumpa, mereka hanya berpakaian sebegini kerana tradisi. Mereka tidak lagi benar-benar mengamalkan prinsip Islam. Sekurang-kurangnya itulah yang aku lihat di Wagangada.”

              Aifer sekadar tersengih. “Apakah engkau Muslim?”

              “Belum lagi.” Pemuda itu menjawab pendek.

              “Maksud?” Ariki tidak faham. Pemuda itu tidak menjawab ‘tidak’, tetapi memilih untuk menjawab ‘belum lagi’. Ketika ini, Aifer sedang berjabat tangan dengan remaja perempuan tersebut.

              “Kerana manusia yang memperkenalkan kami dengan Islam dan ajaran-ajarannya, kini sedang dipenjarakan oleh Wagangada. Dan kami semenjak beberapa bulan ini, telah berusaha untuk membebaskannya. Namun…” Remaja perempuan itu membuka cerita.

              Ariki dan Aifer menanti sambungannya.

              Remaja perempuan itu memandang pemuda yang bersamanya. Pemuda itu mengangguk.

              “Namun apabila kami cuba untuk membebaskannya baru-baru ini, kami diserbu oleh Lunayana, Wirawati Kematian.”

              Ariki tersentak. Lunayana berada di Wagangada?

              “Khabarnya, beberapa hari yang lepas, Lakshamana telah pulang ke Mukan’Aja, membawa berita menggemparkan. Kebangkitan semula Satria-Satria Sejati. Lunayana yang kami sangka telah pulang selepas mencari anak raja yang hilang, rupa-rupanya masih kekal di situ. Hanya tentera yang datang bersamanya sahaja pulang. Lunayana dikekalkan kerana Lutello tidak mahu apa-apa kemungkinan buruk berlaku pada Mukan’Aja dan tanah jajahannya.” Remaja perempuan itu menyambung.

              Aifer terasa seperti dicucuk pilu apabila mendengar nama Lakshamana dan keadaannya yang terkini. Menggambarkan bahawa bapanya ternyata telah tewas dan telah tiada. Jika Lakshamana boleh pulang membawa berita kebangkitan Satria-Satria Sejati, jelas bermakna bapanya telah tewas di tangan Wirawan Utama itu.

              Ariki perasan keadaan Aifer. Tetapi melihat Aifer diam dan mengawal riak wajah, Ariki turut tidak berkata apa-apa. Cuma dia dapat menjangka yang empat orang muda di hadapan mereka kini akan terkejut apabila mereka mengetahui identitinya.

              “Kami tidak tahu akan perkara tersebut. Kewujudan Lunayana menyebabkan rancangan kami gagal. Dan sebilangan besar antara kami telah terbunuh. Insan yang ingin kami bebaskan masih lagi terpenjara. Dan kini kami diburu oleh Kerajaan Wagangada.” Pemuda itu pula menyambung.

              Ariki memandang pemuda tersebut, dan memahami mengapa tangannya disokong anduh. Pasti akibat pertempuran dengan Lunayana itu.

              Lunayana. Walaupun Lakshamana dikatakan mempunyai kehebatan tidak tertanding di kalangan para Wirawan, tetapi yang mampu menggerunkan lawan dengan sekali imbas sahaja ialah Lunayana. Walaupun merupakan seorang perempuan, tetapi tubuhnya sasa dan seni pertempurannya tidak berbunga-bunga. Senjatanya yang besar biasa digunakan untuk memusnahkan barisan lawan dengan sekali libas. Jika para Wirawan lain gemar membiarkan tentera di bawah kekuasaan mereka bertindak terlebih dahulu di medan perang, tidak bagi Lunayana. Dia akan terjun terlebih dahulu di hadapan.

              Bagi Ariki, amat ajaib mereka berempat di hadapannya kini masih bernyawa.

              “Kami sedikit kaget dengan kehadiran kalian di sini. Maafkan kami kerana menyerang terlebih dahulu.” Pemuda itu menundukkan kepala. Merendah diri memohon maaf.

              “Namaku Jilani, dan ini Runihara. Adik perempuanku.” Jilani memperkenalkan remaja perempuan di sebelahnya. “Mereka berdua ialah sahabat seperjuangan kami, Ustur dan Rafiq.” Menunjuk dengan ibu jarinya ke belakang, tempat dua rakannya itu berdiri. Kedua-duanya menundukkan sedikit kepala, tanda hormat.

              “Aku Aifer. Dan ini….” Aifer sedikit teragak-agak hendak memperkenalkan Ariki. Teringat bahawa dia ialah anakanda kepada Lutello.

              “Ariki.” Ariki pantas menyambung.

              Spontan, keempat-empat manusia di hadapan mereka seperti tersentak.

              “Kau…”

              “Ya, aku anak kepada Maharaja Lutello yang melarikan diri itu.” Ariki tersengih apabila melihat reaksi mereka.

              “Boleh aku tahu, siapakah gerangannya yang kalian hendak selamatkan dari penjara Wagangada? Jika dia mengajarkan kalian akan Islam, aku risau jika dia ialah…”

              “Ibu Umeira.” Remaja perempuan itu bersuara.

              Kening Aifer terangkat.

              “Bukankah itu, orang yang kita hendak cari, Aifer. Ibu? Seorang perempuan?” Ariki seperti tidak percaya.

              “Ya, Ibu Umeira. Salah seorang daripada Satria-Satria Sejati. Salah satu dari dua orang perempuan di dalam kumpulan tersebut, dan seorang lagi ialah bondaku.” Aifer bercerita.

              “Apa? Ibu Umeira ialah Satria Sejati?” Runihara hampir sahaja berteriak. Jilani memandang Ustur dan Rafiq. Rahsia demi rahsia seperti tersingkap.

              “Kalian tidak tahu? Habis mengapa dia dipenjara?”

              “Kerana menyebarkan Islam. Tetapi kami nyata tidak tahu bahawa beliau merupakan salah seorang daripada Satria-Satria Sejati.” Jilani menjawab.

              “Terlalu banyak kebetulan nampaknya. Membuatkan jalan kita bertemu. Tidak sangka.” Ariki meluahkan apa yang terbuku di hatinya kini.

              Aifer menggeleng. Baru sahaja Aifer hendak membuka mulut, Ariki mengangkat tangan menghalang.

              “Aku tahu, aku tahu. Bukan kebetulan. Tetapi semuanya ialah perancangan Tuhan.” Ariki menjawab.

              Aifer tersengih.

              “Ayuh ke tempat kami menyembunyikan diri. Kita boleh berbual lebih panjang di sana.” Jilani berpaling dan mendahului. Diikuti Runihara, Ustur dan Rafiq.

              Aifer bergerak beriringan dengan Ariki.

              “Terima kasih tadi kerana menyelamatkan aku, Aifer.”

              “Mereka ternyata bukan calang-calang juga.” Aifer memberikan komentar.

              Ariki menggeleng. “Jika mereka masih mampu hidup selepas bertembung dengan Lunayana, itu sudah satu bukti bahawa mereka punya kehebatan yang lebih.”

              “Allah telah mempermudahkan urusan kita dengan mempertemukan kita kepada mereka.”

              Ariki mengangguk.

              Mungkin selepas ini, dia perlu lebih bersangka baik kepada Allah.

              Belajar untuk mempunyai keyakinan seteguh Aifer. Seteguh Kabeer.

              “Mungkin mereka ini mampu melatih kita juga untuk menjadi lebih mahir dan kuat. Jilani nampak seperti mempunyai kelebihan dalam kemahiran mengawal aura.”

              Sekali lagi Ariki mengangguk. Dia langsung tidak perasan Jilani bergerak. Tambah-tambah, sebelah tangan pemuda itu berada di dalam anduh. Tetapi dia mampu mengawal unsur dari jarak yang jauh, tanpa apa-apa pergerakan dan kelihatan begitu mudah sekali.

              “Aifer, bapamu…” Ariki cuba menyentuh perihal itu.

              Aifer dilihat sekadar mengangguk. Rembesan air mata terbit di hujung matanya.

              Ariki menghela nafas.

              “Kita akan teruskan perjuangannya. InsyaAllah.”

              “InsyaAllah Ariki.” Aifer menjawab, pendek. Suaranya bergetar.

              Mereka kemudian mengunci bicara, sepanjang perjalanan mengekori Jilani dan rakan-rakan.

******

Lutello berdiri menghadap mayat Kabeer di hadapannya.

              Lakshamana telah pulang semalam. Tidak pernah dia melihat Lakshamana tercedera begitu teruk sekali, selain semalam. Ternyata Kabeer telah bertarung dengan dahsyat sekali. Tambah menggerunkan, Kabeer dikhabarkan telah cedera parah, dan sering batuk berdarah, sepanjang pertempuran.

              Lutello memejamkan mata.

              Dia masih ingat bagaimana panasnya hari itu.

              25 tahun yang lalu.

              Api marak menjulang tinggi. Pandangannya hampir sahaja kabur dek kehangatan yang tidak tertanggung. Api naik begitu marak, membentuk dinding yang sangat tinggi. Hampir sahaja dia tidak mampu melihat langit. Sungguh dia langsung tidak menyangka seorang manusia akan mampu mengawal unsur sedemikian sekali.

              Di tengah-tengah dinding api tersebut, berdiri seorang manusia.

              “Ayuh. Selamatkan diri kalian!” Lelaki itu melaung.

              Itulah dia Kabeer. Boleh dikatakan sebagai nombor 2 di kalangan Satria-Satria Sejati.

              “Akhi, jangan berdegil. Benarkan aku membantu. Biar kita mati di sini bersama-sama!” Satu suara dari belakang Kabeer kedengaran di celah-celah maraknya api yang menggila.

              “Lari Akhi. Biar aku bertahan di sini!” Kabeer menggerak-gerakkan tangannya, mengumpul aura yang sangat tinggi di kedua-dua telapak tangan, sebelum menghalakannya ke bumi.

              Api menjadi semakin marak. Dinding menjadi semakin tinggi.

              Lutello merasakan yang pemuda itu berani mati. Kegerunan hinggap pada dirinya. Siapa yang tidak takut mati? Tetapi pemuda itu ternyata menjadikan kematian sebagai sahabat.

              “Apakah engkau mahu mati bersama-samaku?”

              “Jika itu akhirnya takdir Tuhan untukku.”

              Berderau darah Lutello. Tidak pernah dia mempunyai perasaan sedemikian rupa sedari remaja. Tetapi semenjak berhadapan dengan Satria-Satria Sejati, dia sudah beberapa kali berhadapan dengan perasaan itu.

              Takut.

              “Celaka.” Lutello mengeluarkan seluruh auranya.

              “Biar api bertemu dengan api hari ini!” Api mula muncul di sekitar tubuh, sebelum marak di sekelilingnya. Sambil itu, akalnya ligat berfikir bagaimana dia mampu untuk hidup selepas pertembungan dengan Kabeer.

              Tiba-tiba kepala tongkat muncul di hadapannya. Dan dia melihat Wanwakila melangkah ke hadapan.

              “Wanwakila?”

              “Tuanku, aku telah tua. Biarlah aku berbakti buat kali yang terakhir.”

              “Apa yang engkau mahu lakukan?”

              “Ini!” Wanwakila memutarkan tongkatnya, sebelum menghentaknya ke tanah. Tangan kirinya diletakkan di atas dada. Tubuh Wanwakila bergetar. Kerudungnya jatuh, mempamerkan tubuhnya yang bongkok. Rambutnya yang putih panjang itu mula terapung.

              Wanwakila kemudian terus bertukar menjadi debu, dan jatuh ke atas tanah.

              Lutello terkejut. Pada masa yang sama perasan Kabeer juga bereaksi yang sama.

              Tanah tempat Wanwakila lenyap itu tiba-tiba bergegar. Lutello mengundurkan diri beberapa langkah. Tanah itu terus naik menjadi satu susuk tubuh yang besar. 10 kaliganda lebih besar dari seorang manusia. Terbentuk dari batu batan. Gergasi itu bergerak menuju ke arah Kabeer.

              Wanwakila selepas itu bertarung dengan begitu dahsyat sekali. Kabeer telah menerima serangan-serangan yang ternyata sangat berat untuk diterima oleh batang tubuh seorang manusia. Walaupun selepas itu Wanwakila tetap tewas, hancur menjadi debu, debu-debu tanah itu telah berjaya memasuki sistem tubuh Kabeer.

              Api marak menggunung tinggi lenyap serta merta selepas itu, menandakan Wanwakila telah berjaya melemahkan Kabeer selemah-lemahnya.

              Lutello hampir sahaja menamatkan nyawa Kabeer ketika itu, jika bukan kerana pada saat-saat akhir, seorang pemudi dari kalangan Satria-Satria Sejati telah kembali dan menyelamatkan Kabeer. Dia telah berjaya menenggelamkan Lutello dan tenteranya, dengan air yang muncul daripada tanah. Entah bagaimana perempuan itu mampu melakukannya, di luar akal Lutello. Kerana sepatutnya, setelah nyalaan api marak oleh Kabeer, tempat itu semestinya telah kering. Satu kemungkinan ialah, air itu ditarik keluar daripada tanah yang lebih dalam. Lutello sangat pasti, perempuan itu akan mengalami kecederaan parah akibat tindakannya itu.

              Lutello dan sebahagian tenteranya tetap berjaya menyelamatkan diri.

              Peristiwa itu kemudian dicatat di dalam sejarah Mukan’Aja sebagai Pertempuran Agung, sebagai menandakan kemenangan Mukan’Aja menawan Palestin dan menjadikannya sebahagian dari daerah Likuwaku.

              “Akhirnya engkau mati sebegini. Di mana Tuhanmu sekarang, Kabeer?” Lutello menyumpah.

              “Tuanku.” Lutello menoleh. Lakshamana sedang melangkah ke arahnya. Tangan Wirawan Utama itu yang sebelum ini terkulai tidak boleh digunakan, kini sudah kembali pulih pada tahapnya yang sempurna.

              “Bagaimana tanganmu?” Walaupun sudah tahu, Lutello tetap bertanya.

              Lakshamana tersengih. “Berjaya diselamatkan sebelum menjadi lebih parah di Sinan. Selebihnya, terima kasih kepada teknologi perubatan di Mukan’Aja. Amat ajaib. Seperti tiada apa-apa yang berlaku.”

              Lutello mengangguk. Teknologi sudah jauh maju di Mukan’Aja, mendahului mana-mana kawasan di atas mukabumi ini. Pada mereka ada kemajuan, kemakmuran, keseronokan. Entah mengapa masih ada yang bodoh ingin menentang.

              “Jadi, apa yang tuanku hajati daripadaku?” Lakshamana bertanya.

              “Sangkut mayat ini di atas tiang tinggi, dan arak ke seluruh Ismura. Kemudian pastikan ia disiarkan ke seluruh dunia.” Lutello memaku pandangannya kepada mayat Kabeer.

              “Aku mahu seluruh dunia tahu akan akibat menentang diri dan kerajaanku.”

              “Bagaimana dengan apa yang telah aku laporkan?”

              Lutello menghela nafas. Berat.

              “Maka jangkaanku benar Lakshamana. Satria-Satria Sejati nampaknya kembali bangkit.”

              “Tuanku yakin, Si Penderhaka itu akan memainkan peranan penting?”

              “Melihat Kabeer sanggup mengorbankan diri untuknya, jika tidak penting, apa lagi?” Lutello menjegilkan mata.

              Lakshamana terangguk-angguk.

              “Maka saya menurut perintah.” Lakshamana menundukkan kepalanya, kemudian bergerak keluar dari tempat itu.

              Lutello bergerak membelakangkan mayat Kabeer.

              “Celaka.” Lutello menyumpah.