Takdir 1 – Ceritera 5

Sahara ini luasnya seakan lautan. Matahari sudah naik tinggi, cahayanya memanah silau. Terik, panas, apatah lagi dengan jalan yang kelihatan seperti tidak berpenghujung, hanya ditemani pasir keemasan, membuatkan diri berasa tidak selesa. Apa yang indah di sini hanyalah pemandangan langit biru nan luas, dihiasi sedikit awan.

                Ibarat gambaran luasnya rahmat Tuhan di tengah-tengah kesukaran.

                Namun, di sahara ini, keindahan langit itu terpaksa diabaikan.

                “Apakah ini?” Ashoka seakan tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya.

Arnav segera turun daripada kudanya dan bergerak melihat mayat-mayat yang bergelimpangan. Salah satu daripada mayat di situ merupakan seorang makhluk gergasi.

Ashoka mengekori Arnav.

                “Ini …” Arnav memerhatikan lambang pada zirah tentera yang bergelimpangan. Dia memandang sekeliling.

                Ashoka menghela nafas. “Tentera dari Wuriar!”

Daripada pemerhatiannya, terdapat sekitar 2,000 mayat. Sebahagian besarnya telah bercerai-berai. Sebahagian lagi pula sudah dilitupi pasir, tanda kejadian ini sudah berlaku sekurang-kurangnya dalam jangka masa sehari.

                Bau hanyir menusuk hidung. Burung pemakan bangkai sudah ada yang turun menjamu selera. Tubuh badan makhluk gergasi menjadi perhatian utama mereka.

                “Mengapa mereka mati di sini? Seakan dibunuh oleh haiwan ganas yang menakutkan.”

Arnav memegang dagu, berfikir. Adalah di luar logik akal untuk tentera Utopia ditumpaskan sebegini di sini.

                “Tetapi tidak semua mayat begitu. Engkau lihat.”

Arnav menunjuk beberapa mayat yang lain. Mayat-mayat ini sama ada dipancung leher atau dibelah tubuhnya. Setiap mayat jelas hanya mempunyai satu kecederaan.

                Ashoka menghela nafas sambil memegang dagu. Berfikir dengan lebih mendalam, sambil menebarkan pandangan.

                “Apa itu?” Ashoka menunjuk.

Arnav memandang. Kelihatan seperti penjara kecil. Terletak jauh di tengah-tengah gelimpangan mayat.

Arnav dan Ashoka pergi untuk meneliti.

                “Siapa yang membelah penjara ini?” Arnav memegang jeriji penjara.

                Penjara mini itu sudah tidak mempunyai bumbung. Bumbungnya tersadai damai berdekatan. Tidak lagi dalam keadaan yang sempurna.

                “Tetapi hairan. Mengapa potongannya tidak sekata?” Ashoka meneliti jeriji besi tersebut. Dia menggerakkan jemari di atas permukaan itu untuk memastikannya.

                “Senjata itu sumbing?” Arnav seakan tidak percaya. Bagaimana senjata sumbing mampu membelah jeriji besi? Bahkan, daripada keadaan penjara ini, jelas kelihatan bahawa penjara ini telah dipancung hanya dengan sekali pancungan. Dari tepi, melencong ke atas. Membelah jeriji, dan mengakibatkan bumbungnya koyak lalu tercampak.

                “Tetapi, kecederaan pada majoriti mayat tentera ini, tidak menunjukkan bentuk serangan yang sama. Kebanyakan mereka mati seakan dibelah senjata yang lebih besar.” Ashoka tunduk mendekati mayat yang berdekatan, sambil mata memerhatikan mayat-mayat lain yang bergelimpangan.

                Mayat yang mati dengan belahan yang sama seperti jeriji penjara sedikit sahaja. Sekitar 200 -300 orang, mengelilingi penjara tersebut. Manakala bakinya mati dengan pembunuhan yang lebih kejam.

                “Maksudnya, ada dua pembunuh di sini?” Arnav membuat deduksi.

                “Tetapi tiada pula mayat O Zero di sini.” Ashoka berdiri semula.

Sekali lagi keadaan sekeliling diperhatikannya. Dia yang terkenal sebagai pemanah terhebat di Janggel, mempunyai mata setajam helang, mampu memandang objek yang jauh dengan pandangan yang amat jelas.

                Arnav buntu. Apa sebenarnya telah berlaku?

                “Apa pula i…” Ashoka perasan akan sesuatu.

                “Jangan bergerak!” Satu suara memotong bicaranya terlebih dahulu.

                Dua lembaga dari kejauhan, kini semakin menghampiri. Menzahirkan susuk tubuh dua lelaki yang lengkap berzirah, menunggang kuda nan gagah, laju menghampiri tempat mereka berdiri.

                Arnav dan Ashoka membatukan diri.

“Jeneral Tanah Haram Makkah.” Ashoka berbisik kepada Arnav.

                Arnav mengangguk. Dia mengenali kedua-duanya.

                Aizan Fahmi dan Mughirah Syu’bah. Kedua-duanya segera turun daripada tunggangan masing-masing.

                “Jeneral Arnav, Jeneral Ashoka!”

Aizan Fahmi dan Mughirah Syu’bah segera mendapatkan mereka berdua. Sebilangan mayat dilangkaui mereka dengan pantas.

                Keempat-empat mereka berjabatan. Mereka sememangnya saling mengenali, memandangkan Arnav dan Ashoka telah berkali-kali bertandang ke Tanah Haram Makkah bagi menjalankan rundingan.

                “Apa yang telah berlaku di sini? Bagaimana kalian boleh berada di sini? Di manakah adindaku?” Aizan Fahmi memandang sekeliling. Wajahnya mempamerkan rasa yang tidak dapat diterjemahkan oleh kata-kata.

Selepas saki-baki tentera Wuriar dihapuskan, dia telah membuat keputusan untuk mengejar jejak O Zero. Mughirah Syu’bah menawarkan diri untuk mengikuti.

                Melihat keadaan di sini, dia hilang bicara. Dengan keadaan sebegini, apakah Maisarah masih bernyawa? Bagaimana sekiranya di tengah-tengah gelimpangan mayat ini, terselit jasad adindanya?

                “Adinda kamu? Puteri Maisarah?” Arnav terkejut. Apa yang telah berlaku?

                “Apa sebenarnya yang telah terjadi? Mengapa O Zero dan tentera Wuriar berada di sini? Bukankah mereka menggempur kalian? Belum sampai dua minggu lagi. Apakah mereka berundur awal?” Ashoka menyilang kedua-dua belah tangan di atas dada. Sikapnya yang suka berseloroh hilang, diganti wajah yang serius.

                Aizan Fahmi menghela nafas panjang. Berat untuk mengeluarkan bicara. Manakala Mughirah Syu’bah terus meninjau penjara yang rosak itu, sebelum memerhati keadaan sekeliling dengan lebih teliti. Arnav menoleh sebentar ke arah jeneral termuda Tanah Haram Makkah itu, sebelum dia dan Ashok sama-sama menumpukan pandangan terhadap Aizan Fahmi.

                “Ya, O Zero dan bala tentera Wuriar menggempur kami. Tetapi baru beberapa hari penggempuran berlaku, mereka seperti mengetahui lokasi Ayahanda di atas benteng. O Zero telah membuat tindakan drastik dengan bantuan makhluk gergasi, melemparkan dirinya ke benteng tersebut.”

Perit untuk Aizan Fahmi memainkan semula babak-babak tersebut melalui kata-kata. Wajah ayahandanya kini membayangi minda.

                “Apakah Tuanku Ruh Faizan selamat?” Arnav cemas.

Ashoka sendiri berwajah tidak senang.

                Aizan Fahmi mengangguk. “Alhamdulillah. Cumanya, adindaku telah menyusup sebagai salah seorang tentera pemanah. Dia telah menyelamatkan ayahanda kami daripada diculik, tetapi dalam proses tersebut, identitinya terdedah, menyebabkan O Zero menculik dia pula. Kemudian, jeneral celaka itu berundur dengan sebahagian kecil tentera, dan membiarkan saki-baki menghalang kami daripada mengejarnya.”

                Arnav dan Ashoka saling berpandangan.

                “Senior Aizan, nampaknya, Puteri Maisarah sudah dibawa lari dari sini.”

Suara Mughirah Syu’bah membuatkan Aizan Fahmi, Arnav dan Ashoka menoleh ke arahnya. Kelihatan Mughirah Syu’bah sedang memegang memegang jeriji penjara.

                “Kami masih tidak mampu mentafsirkan apa yang berlaku di sini. Namun, jelas terdapat dua pembunuhan yang berbeza di sini, menandakan ada dua orang penyerang. Mungkin dua pembunuh itu bekerjasama menghapuskan tentera Wuriar, dan membawa lari Puteri Maisarah dari sini?” Arnav berkongsi pandangan.

                Aizan Fahmi diam. Dia menanti reaksi daripada Mughirah Syu’bah.

                Prodigi medan perang itu kemudiannya menggeleng. “Sedikit kurang tepat, Jeneral Arnav.” Senyuman Mughirah Syu’bah melebar. “Jika dua orang penyerang bekerjasama dan berjaya, di mana mayat Jeneral O?” Pandangan dilayarkan ke sekeliling.

                Ashoka mengangguk, membenarkan. “Engkau kena ingat, dia ini genius.” Dia berbisik kepada Arnav, cuba berseloroh untuk mengendurkan suasana tegang.

Arnav segera menyiku sahabatnya.

                “Ada seorang asing di sini. Senjatanya tidak bersaiz besar, tetapi sedikit panjang. Bilahnya sumbing. Dia datang menganggu perjalanan Jeneral O, bertarung dengannya, dan kemudian di tengah-tengah pertarungan, dia mendapatkan Puteri Maisarah, menumpaskan tentera yang mengelilingi tuan puteri.” Mughirah Syu’bah menerangkan deduksinya sambil menunjuk aliran pergerakan dengan tangan.

                Aizan Fahmi, Arnav dan Ashoka khusyuk memerhati.

                “Sekitar 200 – 300 orang telah mati berhampiran penjara ini. Semuanya hasil senjata yang sama, bersaiz kecil, sumbing.” Mughirah Syu’bah menunjuk kepada mayat-mayat yang mengelilingi kawasan penjara.

                Dia kemudiannya bergerak menghampiri mayat makhluk gergasi yang terlentang di tengah-tengah medan tersebut. “Gergasi ini pertama sekali tumbang di tangan pembunuh tersebut.” Mughirah Syu’bah menunjuk bahagian dada gergasi tersebut yang mempunyai koyakan besar.

                Aizan Fahmi mengerutkan dahi. Sudah pasti individu misteri yang membuat kekecohan di sini bukan daripada kalangan calang-calang pendekar. Gergasi itu jelas tumbang hanya dengan satu serangan!

                “Kemudian lelaki itu telah meluru, membelah penjara ini dan menyelamatkan Puteri Maisarah.” Mughirah Syu’bah memegang jeriji. “Hal ini kerana, pancungan pada tubuh-tubuh mayat yang ada berdekatan penjara ini, sama dengan pancungan yang dilakukan ke atas penjara ini.”

                “Dia berseorangan sahaja.” Mughirah Syu’bah memandang ke tanah pula.

                “Mengapa engkau berpendapat sedemikian?” Arnav hairan.

                “Sebab dia keluar dari medan ini seorang diri sambil memikul Puteri Maisarah.” Mughirah Syu’bah menunjuk ke tanah. Kesan-kesan tapak kaki telah terpadam, tetapi terdapat sekitar 10 orang mayat yang mati dalam keadaan berbaris, menandakan arah orang misteri itu melarikan diri. Mungkin perjalanannya dihalang, lantas dia membunuh penghalang-penghalangnya.

                “Jadi, siapakah yang membunuh baki tentera Wuriar ini?” Ashoka kembali memandang sekeliling. Mayat-mayat yang bercerai-berai di merata tempat diperhatikannya.

                Mughirah Syu’bah tersenyum. “Melihat ketiadaan mayat Jeneral O di sini, semestinya Jeneral O yang punya angkara.”

                Aizan Fahmi, Arnav dan Ashoka sama-sama tersentak.

                “Ah? Mengapa pula dia hendak membunuh tenteranya sendiri?” Aizan Fahmi kehairanan, tambah terkejut.

                “Nampaknya, ada rahsia dia yang terpecah.” Mughirah Syu’bah bergerak menjauhi penjara itu, ke arah satu tempat berdekatan. Kakinya melangkaui bahagian-bahagian manusia yang berselerakan. “Di sini permulaannya.” Corak selarakan bahagian-bahagian itu seakan berbicara kepadanya.

Mughirah Syu’bah menunduk, mengalihkan satu bahagian manusia di situ.

Sebuah objek diangkatnya.

                “Wajah sebenar Jeneral O telah terdedah.” Mughirah Syu’bah memalingkan wajah kepada tiga rakan yang lain, dengan senyuman yang tidak lekang, sambil menunjuk topeng tersebut.

                Topeng itu merupakan sebahagian daripada zirah kepala O Zero.

                “Saki baki tentera Wuriar dimusnahkan mungkin supaya wajah sebenarnya tidak terdedah. Kita semua tahu, wajah sebenar para Jeneral Utopia adalah misteri semenjak awal lagi.” Mughirah Syu’bah menghela nafas. “Mengenal kebaranan Jeneral O, apa yang kita lihat ini bukanlah mustahil. Senjata Jeneral O juga ialah pedang gergasi.”

Mughirah Syu’bah menutup deduksinya sambil berjalan kembali ke arah Aizan Fahmi, Arnav dan Ashoka.

                “Wah, hebat sungguh jeneral termuda Tanah Haram Makkah ini.” Ashoka menepuk Mughirah Syu’bah sebaik sahaja jeneral itu kembali bersama-sama mereka.

                “Ashok, ini bukan masa berseronok!”

Arnav menegur apabila Ashoka mula bernada lebih ceria. Sahabatnya itu perlu sentiasa diperingatkan. Ashoka selalu sahaja bercanda. Tidak kira tempat, keadaan dan ketika. Kadang dia mampu mengawalnya, tetapi selalunya tidak.

Arnav mahu menjaga hati Aizan Fahmi yang sedang kehilangan adindanya.

“Tidak mengapa, Jeneral Arnav. Tidak mengapa.” Aizan Fahmi tersengih, faham apa yang cuba diusahakan Arnav. “Jadi, bagaimana sekarang?”

Aizan Fahmi memandang Mughirah Syu’bah. Dalam dia gembira adindanya seperti masih hidup, dia kini risau Maisarah dilarikan oleh orang yang langsung tidak dikenali.

                Bahkan, berdasarkan kemampuan individu tersebut menumbangkan sekian banyak tentera Wuriar, dan pastinya berhadapan secara langsung dengan O Zero secara berseorangan, pastinya individu itu bukan seorang yang calang-calang.

                Mughirah Syu’bah tersenyum. “Jangan risau. Kita pergi ke arah itu. Insya-Allah, kita akan mendapat petanda ke mana orang misteri itu tuju.”

Mughirah Syu’bah menunjukkan arah yang mempunyai mayat-mayat bergelimpangan dalam bentuk barisan. Jelas apabila lelaki itu melarikan Maisarah, dia telah cuba dikejar.

                “Kalau macam itu, kita perlu segera!” Aizan Fahmi pantas kembali ke kuda mereka.

                Mughirah Syu’bah bergerak ke arah yang sama.

                “Kita bagaimana pula?” Ashoka memandang Arnav.

                “Ikut mereka.” Arnav kembali kepada tunggangan mereka.

***

Sudah seharian mereka berjalan, lelaki itu tetap senyap tanpa suara. Perjalanan mereka tidak punya rehat, hatta di tengah-tengah malam nan kelam, atau seperti sekarang, tatkala matahari garang memanah alam dengan teriknya. Lelaki itu terus berjalan dan berjalan. Sedangkan kakinya pula telah kepenatan, perut yang memang telah tersedia lapar kini makin berkeroncong.

                “Siapa engkau sebenarnya? Apa tujuan engkau menyelamatkan aku?” Maisarah bersuara dengan nada sedikit menjerit.

                Dia mahu berbuat sesuatu, tetapi tangannya masih bergari, akibat menjadi tawanan O Zero. Gari ini tidak pula dileraikan oleh lelaki yang menyelamatkannya itu.

                Kini, lelaki itu di hadapannya, berjalan tanpa pernah sekali pun menoleh ke belakang, apatah lagi menghiraukannya.

                Rambut lelaki itu panjang mengurai, sampai ke paras dada. Perawakan lelaki itu tidak terurus. Wajahnya comot, sebahagian besar pakaiannya berwarnakan darah. Hanya berkaki ayam, dan sepanjang perjalanan, membiarkan sahaja pedangnya terseret membelah pasir.

                Lelaki itu seperti orang gila. Tetapi setelah apa yang disaksikan oleh Maisarah sebelum ini, agak sukar juga untuk dia membuat konklusi tersebut.

                Walaupun tidak dapat melihat segalanya dengan jelas dek kerana dilindungi ramai tentera Wuriar, Maisarah dapat mendengar suara O Zero berbicara dengan lelaki ini, sebelum segala-galanya bertukar menjadi huru-hara.

                O Zero dan lelaki ini jelas saling mengenali. Namun, belum sempat O Zero menyebut nama lelaki ini dengan jelas, pertarungan telah meletus. Seorang diri, lelaki ini telah bertempur dengan O Zero, dan kemudian berjaya melepasinya, meluru hingga tiba ke penjara tempat Maisarah berada.

                Di situ, seorang makhluk gergasi, satu-satunya yang masih berbaki daripada kalangan bangsanya dalam bala tentera ini, telah cuba menghalang kemaraan lelaki tersebut.

Apa yang mengejutkan, lelaki ini telah menumbangkan gergasi tersebut hanya dengan satu serangan. Gergasi tersebut tumbang, manakala lelaki ini dengan pantas menebas sesiapa sahaja yang cuba menghalangnya sampai ke penjara Maisarah.

Barisan tentera Wuriar kucar-kacir. Ada yang dihempap tubuh gergasi, manakala yang lain pula darah menyembur di sana sini, kerana setiap seorang tentera akan maut hanya dengan satu serangan. Sama ada kepala mereka terpancung atau tubuh mereka terpisah daripada pinggang.

                Pergerakan lelaki ini teramat lincah, auranya dikawal dengan begitu baik, menunjukkan bahawa dia merupakan seorang pahlawan berkemahiran tinggi.

                Sekelip mata, askar-askar yang mengawal penjara Maisarah menemui ajal, menyebabkan yang lain teragak-agak untuk masuk campur.

                Ketika itulah, lelaki ini menebas jeriji penjara, sehingga tercampak bumbungnya. Dia terus membawa Maisarah meninggalkan tempat itu, sambil menebas sesiapa sahaja yang cuba menghalang perkara itu daripada berlaku.

                O Zero sempat menghalang mereka. Namun, dengan tindakannya yang teramat pantas, pedang sumbing lelaki itu berjaya menebas wajah O Zero. Mujur Jeneral itu mengenakan topeng zirah pada wajah. Hanya topeng itu yang terpelanting.

                Pun begitu, Maisarah tidak sempat menangkap dengan jelas wajah di sebalik topeng tersebut, memandangkan individu ini telah memikulnya pada bahu, dan dia membelakangi O Zero. Apa yang disedarinya kemudian, mereka telah berdesup melarikan diri dari tempat itu melepasi Jeneral tersebut.

                Beberapa askar masih cuba mengejar mereka, dan semua menemui ajal dengan sia-sia.

                Semua itu masih segar dalam ingatannya. Bahkan, tidak mampu pun disisihkan daripada memori. Segalanya seperti sukar diterima akal. Kehebatan lelaki ini di luar jangkaan.

                Tetapi mengapa perawakannya seperti orang gila?

                Siapakah dia sebenarnya?

                Apa yang menyebabkan dia mahu menyelamatkan Maisarah?

                Maisarah tidak tahu. Soalan-soalan itu tidak ada jawapannya, memandangkan si empunya tubuh sendiri tidak mahu berbicara!

                Sedang enak Maisarah menggelamun, tiba-tiba, lelaki itu berhenti.

                Ini menyebabkan Maisarah turut berhenti secara mengejut, hampir sahaja dia jatuh. Mujur dia sempat mengawal keseimbangan tubuh. Apabila wajah diangkatnya, lelaki itu masih menatapnya dengan pandangan tajam.

Secara spontan, gerun merayap di hati Maisarah. Matanya melekat pada pedang sumbing lelaki itu yang telah menumbangkan banyak tentera Wuriar semalam. Darah yang telah kering tidak pun dibersihkan, masih terlekat pada bilah pedang tersebut.

                Lebih menggerunkan, lelaki itu boleh dikatakan seri ketika bertempur dengan O Zero yang bertubuh dua kali ganda berbanding manusia biasa, bahkan punya kekuatan yang luar biasa. Pedang sumbing lelaki itu, mampu berada pada tahap yang sama dengan pedang gergasi Jeneral dari Wuriar itu, bertembung berkali-kali dengannya.

                Apabila difikir-fikirkan, itu semua hampir mustahil.

                Bagaimana lelaki ini mampu melakukan semua itu?

                Sebentar, seri? Tahap yang sama?

Maisarah berfikir semula. Tidak, tidak. Entah kenapa dia merasakan bahawa lelaki itu lebih hebat daripada O Zero.

                Kini, lelaki yang tidak terurus, berbaju lusuh, tidak berkasut ini sedang menatapnya. Walaupun tubuh lelaki itu tidak melepaskan aura yang ganas lagi menekan, Maisarah terasa seperti bakal ditelan.

                Pandangan lelaki itu kemudiannya meredup.

                “Kita sudah hampir sampai.”

Lelaki itu bersuara buat pertama kali. Pedang sumbing diangkatnya dan diacukan ke satu arah.

                “Eh?” Maisarah mengangkat wajah. Matanya membesar. Dari tempat dia berdiri, dia dapat melihat tanah tinggi, yang dipenuhi hutan.

                Lelaki itu kemudiannya berpaling dan meneruskan perjalanan.

                Maisarah masih terpinga-pinga. Dia tidak perasan akan kewujudan hutan itu tadi. Tetapi kini dia terasa lega, memikirkan mungkin tidak lama lagi dia tidak lagi perlu berjalan.

                “Cepat, perempuan. Atau kau hendak aku tinggalkan?” Lelaki misteri itu separa melaung, sedikit kasar.

                Maisarah menggagahkan diri untuk menyambung langkahan. Satu persoalan yang dia lupa untuk tanyakan dalam benaknya sepanjang perjalanan ini ialah,

                Apakah nasibnya selepas ini?

***

“Daripada mana sumber kuasa kita ini?”

Tuk Fathan meningkatkan auranya. Udara dapat dirasakan sedang memampat. Tetapi lelaki tua itu mengawalnya agar tidak naik terlalu tinggi.

                Beberapa hari lagi telah berlalu. Hari ini, Tuk Fathan tidak berhajat untuk membuat latihan fizikal. Dia mengajak Angkasa Sakti dan Ezakiel duduk berhampiran sungai, dan mahu mereka mendengar bicaranya.

                Angkasa Sakti dan Ezakiel saling memandang.

                “Dari … dalam tubuh?” Ezakiel menjawab dengan teragak-agak sambil memandang tangannya, kemudian menatap kembali Tuk Fathan.

                “Angkasa? Apa yang bapa engkau ajar?”

                “Kuasa kita datang daripada Allah SWT. Dialah Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya.” Angkasa Sakti menjawab tanpa teragak-agak. “Bapa kata, untuk itu, yang diperlukan bagi mengawal kuasa dalaman ini, adalah penghayatan. Mengenali diri. Merasai bahawa kita ini diciptakan, dan daripada dalam tubuh kita, kuasa itu mampu dikeluarkan.”

                “Ada benarnya. Tetapi apa yang bapa engkau belum ajar adalah, kuasa kita ada sejarahnya.” Senyuman menghiasi wajah orang tua itu.

                “Sejarah?” Ezakiel mengerutkan dahi.

Angkasa Sakti pula mula memasang telinga.

                Tuk Fathan senyap buat beberapa ketika, seperti sedang bersedia. Bunyi aliran air sungai mengisi ruang. Kadang, kicauan burung kedengaran mencelah.

                “Sekitar 1,000 tahun yang lalu, manusia telah mencapai kejayaan besar dalam kemajuan tamadun. Pada ketika itu juga, dunia telah berjaya mencapai keamanan, dengan Islam menjadi anutan hampir seluruh penduduk muka bumi ini. Senjata-senjata pada ketika itu juga melangkaui apa yang kita punyai ketika ini. Pun begitu, bagi menjamin keamanan sejagat, senjata-senjata tersebut diharamkan.”

                Angkasa Sakti tidak pernah mengetahui akan sejarah dunia. Dia tidak sempat memasuki mana-mana sekolah, selain pada peringkat rendah, sebelum kehidupannya dihancurkan oleh Sang Ashura dan bala tentera Utopia. Bapa pula tidak berkongsi banyak, melainkan sejarah Utusan Langit Terakhir, para sahabat Baginda, dan Utusan-utusan Langit yang lainnya.

                “Namun, selepas beberapa dekad, ada pula generasi baharu yang mula mengkaji bagaimana memperkasakan tubuh manusia. Mereka mula menjalankan pelbagai eksperimen, dan beberapa dekad kemudian, berjaya menghasilkan cip yang membantu manusia membuka tenaga dalamannya.”

Tuk Fathan menyambung.

                “Dengan tenaga dalaman yang boleh dibuka, tubuh manusia menjadi kuat di luar jangkaan. Mereka mampu berlari lebih pantas, lambat penat, melompat jauh lebih tinggi. Asalnya, cip itu sekadar diaplikasikan untuk memudahkan pekerjaan harian manusia ketika itu.”

                Angkasa Sakti dan Ezakiel mendengar dengan khusyuk.

                “Cip itu disebarkan secara meluas. Dengan kemakmuran dunia ketika itu, semua manusia diberikan peluang untuk meningkat ke satu aras yang lebih tinggi. Pun begitu, mereka kemudian menyedari bahawa bukan semua manusia mampu memanfaatkan cip tersebut. Ini menghasilkan jurang kelas antara yang mampu dan tidak mampu.”

                “Mereka yang mampu pastinya akan dilayan lebih baik, dan mudah mendapatkan pekerjaan, pangkat dan sebagainya? Begitu?” Ezakiel mencelah.

                Angkasa Sakti tersengih. Untuk seorang remaja, pertanyaan itu merupakan tanda bahawa Ezakiel punya  kebijakan. Segera dia meramas rambut Ezakiel. “Pandai juga engkau ya.”

Mereka berdua sama-sama tertawa.

                Tuk Fathan mengangguk. “Tidak lama kemudian, untuk menghentikan keadaan itu, cip tersebut tidak lagi diteruskan penciptaannya. Namun, cip itu telah tersebar meluas, dan setelah dipasang, ia tidak boleh dicabut daripada tubuh manusia, kerana ia telah berasimilasi dengan genetik orang itu.”

                “Jadi, kuasa kita berasal daripada cip itu? Dalam tubuh kita ada cip tersebut?” Angkasa Sakti memandang tubuhnya.

                “Kita sudah tidak mempunyai cip yang sama seperti generasi pertama. Apabila mereka yang mempunyai cip tersebut membiak, keturunan mereka mewarisi genetik yang terkesan dengan cip tersebut. Mengikut kajian-kajian yang lebih terkemudian, cip tersebut masih wujud dalam tubuh kita, tetapi sudah berasimilasi dengan genetik masing-masing.”

                “Maka semua orang boleh mempunyai kuasa sebenarnya?” Ezakiel teruja.

                “Tidak semua mempunyai kemampuan tersebut. Kini, hanya segelintir yang mampu memanifestasikan kuasa dalamannya. Mungkin daripada seluruh penduduk bumi, tidak sampai 500 orang.”

                Angkasa Sakti dan Ezakiel sama-sama membulatkan mata.

                “Apa yang lebih menarik berkait hal ini yang aku mahu kalian tahu, sejarah ini tidak diketahui ramai pun. Ia sesuatu yang telah digelapkan semenjak 500 tahun lepas oleh sekumpulan orang yang berkepentingan.”

                Mata Angkasa Sakti dan Ezakiel tambah membesar.

                “Mengapa?” Mereka bertanya hampir serentak.

                Tuk Fathan melebarkan senyuman. “Supaya kuasa ini akan dilihat sebagai sesuatu yang mistik. Keramat. Kelebihan bagi sesiapa yang memilikinya. Walhal, hakikatnya, kuasa ini buatan manusia. Namun, kemampuan kita menggunakannya bergantung kepada latihan, dan semestinya dengan izin Allah SWT, kerana Dialah Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya.”

                Angkasa Sakti dan Ezakiel tersentak. “Jadi, kehebatan Sang Ashura yang amat menggila itu …”

                Tuk Fathan ketawa kecil. “Ya, berasal daripada buatan manusia. Tetapi tidak dinafikan, apa yang dimiliki Sang Ashura juga Jeneral-jeneralnya, sedikit luar biasa. Sang Ashura sudah pastilah berada pada satu peringkat yang jauh lebih tinggi berbanding Jeneral-jeneralnya. Adapun Jeneral-jeneralnya, sebenarnya boleh disaingi sekiranya kita berlatih dengan bersungguh-sungguh.”

                “Wah, benarkah?” Ezakiel benar-benar teruja. “Jadi mereka tidaklah sekebal mana pun sebenarnya?”

                “Sebentar, bagaimana dengan Sang Ashura? Dia berada pada peringkat yang jauh lebih tinggi berbanding Jeneral-jeneralnya?” Angkasa Sakti amat tertarik dengan hal tersebut.

                “Ah, Sang Ashura. Aku dan rakan-rakanku mengesyaki beberapa perkara. Tetapi kami sendiri belum menamatkan kajian kami. Ditambah dengan keadaan kami yang berpecah belah.”

Tuk Fathan Adi melemparkan pandangan ke belantara. Seolah-olah sedang mengimbau kembali kenangan lama.

                Sepanjang tinggal di sini, Angkasa Sakti telah diceritakan oleh Tuk Fathan akan kisahnya bersama-sama Bapa, Fathi Auni, dan disertai tujuh lagi rakan mereka, dalam usaha menumbangkan Sang Ashura.

                Sekitar sedekad sebelum Sang Ashura berjaya membantai Kesatuan Lima Kerajaan, dia telah muncul mempamerkan kekuasaannya di merata-rata tempat. Dia menyatakan bahawa Tuhan telah meninggalkan dunia ini, dan dia merupakan Tuhan yang baharu. Tuhan Yang Agung.

                Kuasa dalamannya yang besar dan di luar jangkaan, ditambah pula dengan persepsi orang ramai bahawa kuasa dalaman merupakan suatu keramat, kelebihan kurniaan langit, menyebabkan Sang Ashura mula meraih penyokong yang ramai.

                Ketika itu, dunia berpecah kepada beberapa kerajaan. Lima yang utama bergelar Lima Kerajaan. Kelima-lima kerajaan inilah yang sering mencorakkan dunia memandangkan jangkauan wilayah mereka sekitar 2/3 muka bumi ini. Kemudian, wujud Kesatuan Tanah Haram yang terdiri daripada Makkah, Madinah dan Palestina. Seterusnya Kerajaan Janggel.

                Walaupun pada ketika itu semua kerajaan menganut agama Islam, mereka berpecah dan banyak tidak bersetuju antara satu sama lain. Perang dingin telah berlangsung antara lima kerajaan, dan mereka saling cuba untuk mengatasi satu sama lain, terutama dalam kekuatan ketenteraan.

                Ini menyebabkan kondisi kehidupan rakyat tidak memuaskan, dan rakyat sering diperas. Pemimpin-pemimpin pula mempergunakan golongan ulama’ untuk menghalalkan kezaliman dan pemerasan yang mereka lakukan. Semua kononnya demi kebaikan yang lebih besar.

                Penciptaan Makhluk Gergasi dan Makhluk Genetik turut terhasil akibat persaingan Lima Kerajaan. Menambah lagi krisis dan tekanan kepada penduduk bumi apabila wujud satu subset makhluk baharu yang mampu berfikir dan hidup seperti manusia.

                Makhluk Gergasi dan Makhluk Genetik ini pula sering dipergunakan sebagai tentera, dan dikerah untuk mengorbankan diri. Dilayan seperti binatang, walhal mereka mempunyai kebebasan berfikir untuk membuat pilihan sendiri.

                Hingga berlaku satu peristiwa di mana Makhluk Gergasi dan Makhluk Genetik tersebut melarikan diri ke satu tempat terpencil, dan tidak diketahui sehingga kini di mana tempat mereka menyembunyikan diri.

                Peperangan juga kadangkala meletus antara satu sama lain di antara Lima Kerajaan, dengan tujuan menguji kekuatan dan melemahkan saingan.

                Kesatuan Tanah Haram melepaskan diri daripada perseteruan yang sia-sia lagi merosakkan ini. Manakala Kerajaan Janggel yang polisinya memang tidak mesra hubungan luar, kekal menutup sempadan mereka.

                Situasi ketika itu menyebabkan Sang Ashura menerima sokongan yang menggalakkan. Sang Ashura muncul bersama-sama lima Jeneral yang setia, dan mula membina kekuatan. Sedikit demi sedikit, bala tenteranya bertambah.

                Hingga tiba satu masa, satu persatu daripada Lima Kerajaan itu runtuh.

                Ketika Sang Ashura menggerakkan kempennya inilah, Tuk Fathan menceritakan bahawa Bapa, telah mengumpulkan rakan-rakannya untuk menghalang Sang Ashura. Lima Kerajaan telah disampaikan amaran dan pesan berkenaan bahaya Sang Ashura.

                Tetapi mereka tidak mengendahkan. Bahkan, apabila dua daripada lima kerajaan berjaya ditumbangkan oleh Sang Ashura, mereka masih merasakan itu bukan ancaman besar.

                Hanya apabila tinggal kerajaan terakhir, barulah Kesatuan Lima Kerajaan ditubuhkan, dengan saki-baki tentera serta pemimpin empat kerajaan yang lain, bersatu dengan Kerajaan Utama, membina satu ketumbukan tentera yang amat besar.

                Bahkan, Kesatuan Tanah Haram turut menghantar bantuan, demikian juga Kerajaan Janggel.

                Sungguhpun begitu, semua itu musnah dibantai Sang Ashura dan bala tenteranya.

                Kemenangan Sang Ashura ke atas Kesatuan Lima Kerajaan menandakan permulaan era gelap bagi dunia. Sang Ashura tidak berhenti di situ. Dia mara untuk menewaskan Kesatuan Tanah Haram pula. Bermula dengan Palestina, yang gagal dipertahankan.

Tatkala Sang Ashura ingin menumbangkan Madinah, di sempadan Madinah itulah Bapa, Tuk Fathan dan tujuh lagi rakan mereka berhadapan Sang Ashura dan bala tenteranya.

                Tuk Fathan menceritakan pertarungan yang teramat sengit berlangsung, berakhir dengan tentera Sang Ashura terpaksa berundur. Tetapi itu tidak bermakna pasukan Bapa menang juga. Pertarungan tersebut juga telah menyebabkan pasukan mereka berpecah.

                Sehingga kini, mereka tidak lagi saling bersua.

                Tuk Fathan menyatakan yang pada ketika itu, mereka belum mampu menewaskan Sang Ashura. Sang Ashura hanya berundur dengan pengorbanan Fathi Auni.

                “Kami kurang persediaan. Maka kami menempa kegagalan.”

Suara Tuk Fathan menarik Angkasa Sakti keluar daripada lamunan.

                “Tetapi legenda pertembungan kami dan Sang Ashura menyebabkan kami diangkat seperti sekumpulan manusia yang punya kekuatan mistik. Rakyat Tanah Haram Makkah terutamanya, menggelar kami Kiai Bersembilan.”

Tuk Fathan tertawa kecil. “Aku berharap, seperti harapan bapamu, aku pasti, engkaulah yang akan merungkai misteri kekuatan Sang Ashura. Ada sesuatu yang istimewa berkenaan engkau, Angkasa. Itu aku tahu sudah lama, seawal Kekanda Fathi mengambil engkau pulang dari Kota Ulung lagi.”

                Angkasa Sakti mengerutkan dahi. “Bapa berulang kali juga mengulang hal yang sama. Tetapi sehingga kini, aku tidak pasti apa keistimewaanku. Apakah Tuk Fathan tahu?”

                Tuk Fathan tersenyum lembut. “Itu adalah satu perkara yang sebenarnya bapamu pun tidak pasti. Tetapi tanda-tanda ada pada dirimu.”

                “Tanda? Apa tandanya?”

                “Nama engkau, Angkasa Sakti. Dan engkau mampu menghunus pedang itu.”

                Angkasa Sakti kehairanan. Dia perasan Ezakiel Erik kini turut memandangnya dengan penuh persoalan.

                “Ah, sudah, cukup untuk pengajaran kita hari ini. Hari ini istimewa sedikit. Aku mahu bawa kalian bertemu dengan seseorang.”

                “Siapa,Tuk?” Ezakiel kehairanan.

                “Adalah. Ayuh bersiap.”