Takdir 1 – Ceritera 4

Dua hari telah berlalu. Peperangan terus berlangsung dengan dahsyat di hadapan benteng Tanah Haram Makkah. Salji putih yang asalnya menyelimuti tempat ini, kini hilang keindahannya. Warnanya sudah menjadi kelabu, dan pada banyak tempat telah bertukar menjadi merah. Kini, salji tidak lagi bercumbu dengan bumi, hanya menjadi selimut terakhir buat jasad-jasad yang bergelimpangan.

                Butir-butir putih itu terus turun dengan lebat. Menjadi saksi kepada kegagalan usaha O Zero dan bala tentera Wuriar dalam meranapkan benteng Tanah Haram Makkah.

                Benteng dan gapura kerajaan ini ternyata masih selamat, dek strategi ampuh yang digerakkan oleh Mughirah Syu’bah. Reka bentuk medan pertempuran, yang hanya membenarkan para musuh memiliki satu jalan untuk sampai ke gerbang Tanah Haram Makkah amat menyumbang kepada kegagalan O Zero dan tenteranya.

                Apabila ada sekumpulan daripada kalangan mereka berjaya sampai ke jambatan sekalipun, mereka akan menjadi habuan pasukan pemanah pimpinan Waqqas. Sekiranya mampu melindungi diri daripada panahan tersebut, akan keluar satu ketumbukan tentera khas pimpinan Mughirah Syu’bah sendiri, sekitar 500 orang, merempuh mereka di tengah-tengah jambatan tersebut. Luas jambatan yang terbatas menyebabkan pergerakan untuk berundur lebih menyukarkan, maka matilah mereka di situ dalam keadaan kelam-kabut.

                Medan peperangan pula sentiasa hangat dengan keberadaan dua Jeneral Tanah Haram Makkah. Aizan Fahmi dan Khalid al-Walid, yang menggerakkan tentera mereka penuh sinergi dan saling lengkap-melengkapi.

                Bilangan tentera Wuriar yang besar, seperti merupakan satu kelebihan buat mereka, memudahkan mereka menumbangkan lebih banyak musuh, berbanding menjadi satu kelemahan yang menekan.

                Bahkan, Aizan Fahmi dan Khalid sudah beberapa kali hampir tiba ke barisan belakang, sampai ke tempat O Zero sering berada. Kalaulah bukan kerana ramainya tentera Wuriar, sudah pasti mereka berjaya!

                Tentera Tanah Haram Makkah juga tidak digerakkan semuanya. Separuh akan bertempur, separuh akan berehat di balik benteng. Sampai masa, separuh yang berperang tadi akan berundur perlahan-lahan, separuh lagi akan menggantikan.

                Kebolehan mereka memanfaatkan angka yang sedikit menentang angka yang besar, ditambah dengan strategi itu, menyebabkan tentera Tanah Haram Makkah seperti tidak keletihan!

                Geram O Zero tidak berpenghujung.

                Biasanya, sepanjang sedekad ini, apa yang mereka lakukan tatkala menggempur Tanah Haram Makkah hanyalah berseronok. Tujuan utama gempuran sering dilakukan adalah untuk melemahkan kekuatan Tanah Haram Makkah sedikit demi sedikit, memandangkan tempat itu mempunyai kelebihan pertahanan yang ampuh.

                Apabila dirasakan bahawa tentera Tanah Haram Makkah sudah ramai terkorban, mereka akan berundur. Ini juga menjadi peluang kepada para Jeneral Utopia mempamerkan kehebatan masing-masing, memandangkan setakat ini, pertempuran di Tanah Haram Makkah sahaja akan memberikan cabaran kepada mereka.

Adapun misi-misi ekspedisi lain, ke Kerajaan Janggel contohnya, mereka sering diserang secara gerila di tengah-tengah belantara tebal dan tidak dapat memanfaatkan kekuatan mereka. Kerana itu, Janggel tidak menjadi perhatian mereka. Tempat lain pula, tidak memberikan cabaran pun.

                Tujuan utama mereka juga sebenarnya bukanlah untuk memenangi peperangan semata-mata.

                Sang Ashura telah bertitah bahawa pengakhiran paling dia kehendaki untuk kedegilan Tanah Haram Makkah adalah tunduknya mereka kepada dia. Akhirnya percaya bahawa Yang Maha Agung itu ialah Sang Ashura. Itu adalah kemenangan sebenar yang Sang Ashura mahukan daripada tempat ini.

                Menghancurkan mereka, membunuh mereka semata-mata, hanya  memberikan kepuasan buat bangsa yang merindui kematian. Itulah sebabnya, peperangan antara Utopia dan Tanah Haram Makkah sengaja dipanjangkan.

                Sementara itu, mereka juga sibuk meluaskan wilayah masing-masing, yang turut memakan masa, sumber kekayaan dan tenaga mereka.

                Tetapi kali ini, O Zero tidak senang seperti sebelum-sebelumnya.

                Kerana O Zero tidak mahu menjadi yang pertama gagal, sedang Tanah Haram Makkah sepatutnya berada dalam kondisi yang lemah. Paling kurang, dia mahu melakukan sesuatu yang besar dalam siri peperangan kali ini.

                Tetapi kini kelihatan seperti peluang untuk itu tidak kunjung tiba sedang tenteranya sudah terlalu ramai tumbang.

                “Jeneral O!”

                “Kau nak apa?” O Zero mendengus. Dia sedang duduk di sebuah khemah khas, di atas bukit kecil, yang membolehkannya melihat pergerakan peperangan.

                Beberapa orang askar sedang membawa seorang tentera berseragam Tanah Haram Makkah. Dahi O Zero berkerut di sebalik zirah wajah.

                “Apa ini? Kita tidak ambil tawanan!” O Zero terus mencapai hulu pedang gergasi.

                “Nanti, Jeneral O!” Lelaki berseragam Tanah Haram Makkah itu mengangkat kedua-dua belah tangan.

O Zero mematikan pergerakan, tetapi tangan kanan masih mengenggam hulu senjata. “Cakap!”

                “Aku dihantar oleh ketua kami. Ada perkara besar ingin kami sampaikan!”

***

Rumah kayu itu bergegar hebat. Tidak lama kemudian, Angkasa Sakti dilihat terluncur keluar setelah menghentam pintu kayu, sebelum kembali berdiri di atas tanah. Pintu kayu tadi habis pecah, bersepah puing-puingnya di anjung.

                Sempat Angkasa Sakti memerhati keadaan sekeliling. Mirip tempat tinggalnya selama sedekad ini. Tetapi ada kelainan. Bunyi desiran air menghiasi tempat ini, bertingkah dengan bunyi unggas dan fauna belantara. Ada sungai bersaiz sederhana, mengalir tidak jauh dari hadapan rumah kayu ini.

                Dia sedang berada di mana?

                Angkasa Sakti dapat merasa yang tangannya sedikit bergetar. Tanda penyerangnya tadi telah melepaskan satu serangan yang bukan biasa-biasa. Mujur dia sempat mempertahankan diri pada saat akhir. Pandangan dialihkan kepada tangannya itu.

                Bulat mata Angkasa Sakti apabila menyedari sesuatu.

                Pedangnya sudah tidak bersarung!

                “Ah, hanya engkau yang dapat menghunus senjata ini. Menarik, menarik.”

Lelaki mirip Bapa kini sedang keluar dari wijil rumah tersebut. Perawakan lelaki ini sederhana. Walaupun mirip Bapa, dia tidak kelihatan terlalu tua. Mungkin sepuluh tahun lebih muda? Namun begitu, itu tetap menjadikannya sekitar 70-an juga. Tetapi tubuhnya jelas tidak menggambarkan usia. Lelaki ini tegap dan sasa, walaupun ototnya tidak terlalu besar.

                Pada tangan kanan, lelaki itu memegang sarung pedang warisan Bapa sambil mengamatinya. Kemudian, pandangannya ditalakan semula pada Angkasa Sakti. Sarung pedang itu diacukan ke arahnya.

                “Ayuh, aku sudah lama tidak bertarung!” 

Lelaki itu melangkah beberapa tapak, dan sebelum kakinya jatuh memijak tangga, dia melompat tinggi ke udara. Sarung pedang diacungnya ke langit, sebelum dilibas ke bawah seraya dia jatuh ke bumi.

                Angkasa Sakti melibas senjatanya ke atas, mengesampingkan sarung pedang itu daripada membantai tubuh.

Tanah tempat mereka berada merekah.

                Walaupun tiada tekanan aura hebat, Angkasa Sakti menyedari bahawa lelaki ini sedang memanipulasi auranya sebaik mungkin.

                Lelaki itu tidak berhenti di situ. Terus dia meluru ke arah Angkasa Sakti dengan libasan-libasan yang bertali arus. Kelam-kabut Angkasa Sakti mempertahankan diri. Bunyi dentingan kedengaran berkali-kali. Setiap libasan yang lelaki itu lakukan menggunakan sarung pedang, Angkasa Sakti sempat menyambutnya.

                Angin kuat terhasil daripada pertembungan mereka.

                Rumput yang terbentang di hadapan rumah kayu itu beralun hebat berpusatkan mereka.

                “Ayuh, takkan itu sahaja?”

Lelaki itu melaung sambil tidak henti-henti menyerang. Entah mengapa, Angkasa Sakti seperti dapat melihat kegembiraan pada wajah lelaki tersebut.

                Angkasa Sakti menukar tempo pergerakan. Aura ditingkatkan dengan mendadak. Dia menampan sarung pedang itu sekuat hati sehingga pergerakan lincah lelaki itu terbantut. Tangan kanan lelaki itu terbawa hampir ke belakang, mendedahkan bahagian dadanya.

                Ketika ini, Angkasa Sakti menarik pedangnya, terus mahu melibas dada lelaki tersebut.

                “Bagus, bagus!” Lelaki itu berteriak sambil ketawa kecil.

                Pergerakan pedang Angkasa Sakti terhenti sebelum sampai ke destinasi. Mata Angkasa Sakti membesar. Tangan kanan yang memegang pedang, kini sedang digenggam erat tangan kiri lawannya.

                “Apabila bertarung, manfaatkan segenap pancainderamu!”

                Dalam sekelip mata, dia melihat dua kaki lelaki itu sudah terangkat di hadapan tubuhnya. Angkasa Sakti tidak sempat berbuat apa-apa, terus dijamah tendangan tersebut. Tubuhnya terpelanting sebelum berguling hampir ke tebing sungai. Sedang lelaki itu pula jatuh terlentang ke tanah.

                Tetapi lelaki itu bingkas melompat untuk bangkit semula.

                Sarung pedang Angkasa Sakti dibawanya ke hadapan.

                Angkasa Sakti bangkit. Matanya tajam memandang lelaki itu.

“Di manakah pedang aku?”

Dia memandang Ezakiel.  Tanpa menanti jawapan daripada remaja itu, matanya melilau mencari pedang tersebut di segenap sudut rumah.

                “Mana, Ezakiel? Apakah engkau telah menjualnya?” Mata Angkasa Sakti membulat memandang Ezakiel.

                Baru sahaja Ezakiel mahu melontar jawapan, satu suara mencelah.

                “Apa yang ribut-ribut ini?”

                Seorang lelaki menyelak tirai, masuk ke tempat perbaringan Angkasa Sakti.

                Mata Angkasa Sakti membesar.

                “Bapa?”

                Lelaki itu punya wajah mirip Bapa!

                “Ha, engkau sudah bangun. Pedang ini …”

Lelaki itu dilihatnya sedang mengangkat pedang warisan Bapa. Pedang itu sudah bersarung.

“… sangat berharga.”

Lelaki itu menalakan pandangan kembali ke arahnya. Kali ini dengan senyuman penuh makna.

                “Agak-agak, kalau aku jual pedang ini, berapa harganya? Pasti sangat bernilai. Bukankah begitu, Ezakiel?” Lelaki itu ketawa.

                Ezakiel dilihat sedikit tergamam. “Err…”

                “Kembalikan pedang itu kepada aku!”

Angkasa Sakti bangkit. Kesakitan hasil daripada pertembungan dengan Pendekar Gila masih menjalar, tetapi dilawannya kerana tidak mahu senjata warisan Bapa jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab.

                Dia ada banyak persoalan ingin diutarakan, tetapi pedang itu menjadi keutamaan.

                “Kalau aku tidak mahu mengembalikannya, engkau mampu buat apa?” Lelaki itu memandangnya sambil tersenyum sinis.

                 “Cis!” Angkasa Sakti terus melompat dari katil, dan cuba menyambar pedangnya.

                Lelaki itu menggerak-gerakkan pedang tersebut, agar tidak berjaya dicapai Angkasa Sakti. Ini menyebabkan Angkasa Sakti mula meningkatkan auranya, dan melepaskan beberapa tumbukan ke tubuh lelaki itu.

                “Ah, pandai bertarung.” Ujar lelaki itu bersahaja sambil tangan kanan memutarkan pedang Angkasa Sakti, sedang tangan kiri menyambut tumbukan-tumbukan tersebut.

                Jelas lelaki itu merupakan seorang pendekar!

                “Kembalikan pedang itu!”

Angkasa Sakti menambah kepantasan pergerakannya. Kali ini dia dapat menyambar hulu pedang tersebut. Tetapi itu menyebabkan dia terdedah kepada serangan. Lelaki itu segera menyambar pakaian Angkasa Sakti, memutarkan tubuh mereka, sebelum tangan yang sama disalurkan aura yang padat, kemudian dilepaskan pada jarak dekat.

                Satu letupan kecil menggegarkan rumah kayu tersebut, sementara tubuh Angkasa Sakti terpelanting menghentam pintu, lalu meluncur ke luar rumah.

Apakah dia telah diperangkap Ezakiel? Adakah lelaki ini dan Ezakiel bersekongkol dalam mencuri barang-barang berharga daripada pengembara yang melalui Perkampungan Dafas?

                Angkasa Sakti mengenepikan sebentar persoalan-persoalan itu. Dia perlu memberikan fokus untuk mendapatkan semula senjatanya. Hulu pedang warisan Bapa dipegangnya dengan kejap. Pedang itu mengeluarkan cahaya lembut. Garis-garis pada pedangnya semakin terserlah.

                “Ayuh!” Lelaki itu melaung, dengan tangan kiri bergerak-gerak, sedang sarung pedang Angkasa Sakti direhatkan pada bahu kanan.

                Angkasa Sakti mengetap geraham. Dia terus memecut. Pedang dilibasnya.

                Dengan tidak semena-mena, dia merasakan aura lelaki di hadapannya itu meningkat secara mendadak. Lelaki itu tidak pun mengelak atau cuba menangkis serangannya. Hanya tangan kiri yang kosong diangkat, dengan telunjuk dan jari tengah diluruskan.

                Terbeliak Angkasa Sakti dibuatnya.

                Pedangnya ditahan dengan dua jari sahaja!

                Lelaki itu tidak pula cedera!

                “Giliran aku!”

Kini, tangan kanan lelaki itu mula beraksi. Auranya yang tinggi tadi menyusut, namun ia tidak menghilang. Seperti mengalir kepada sarung pedang milik Angkasa Sakti. Sarung pedang itu diangkatnya tinggi.

                Angkasa Sakti dapat merasakan sesuatu yang buruk bakal berlaku sekiranya dia tidak berbuat sesuatu. Dia mahu menggerakkan pedang warisan Bapa untuk mempertahankan diri. Tetapi senjata itu tidak dapat digerakkan. Alangkah terkejutnya Angkasa Sakti apabila dua jari lelaki itu, kini sedang mencengkam bilah pedangnya.

                “Nah!”

***

Perang berkecamuk hebat. Tiada tentera Tanah Haram yang mampu mendekati O Zero. Jeneral itu tiba-tiba keluar daripada khemahnya dan bergerak laju ke tengah-tengah medan pertempuran. Sesuatu yang amat jarang berlaku sepanjang gempuran Utopia ke atas Tanah Haram Makkah.

Semua yang bersemuka dengan O Zero menemui ajal. Berpuluh-puluh tentera Tanah Haram Makkah yang bersatu untuk menumbangkannya, menjadi mangsa. Zirah perang O Zero juga nyata tidak mampu ditembusi senjata-senjata tentera lawan. Sepertinya zirah itu dihasilkan bukan daripada aloi biasa.

Mengiringi O Zero adalah seorang gergasi. Setia berada di sisi, mengekori, dan membantunya menumbangkan musuh.

Tentera Tanah Haram sudah terlalu banyak tumbang di tangan mereka berdua, sehingga Mughirah Syu’bah mengeluarkan arahan untuk berundur daripada terus merapati mereka berdua. Ini menyebabkan pergerakan O Zero bertambah pantas. Dia tidak berhenti dan semakin merapat.

                Mendengar laungan Mughirah Syu’bah, Waqqas mula menyedari kemaraan O Zero yang semakin ke tengah medan perang. Pergerakan O Zero yang tidak berhenti itu menyebabkan dia berasa aneh.

                “Tuanku, Jeneral O sedang laju mara ke arah kita, aku perlu turun membantu.” Rib’i Amir bangkit meninggalkan Ruh Faizan.

                Raja Tanah Haram Makkah itu mengangguk, seraya bangkit daripada tempat duduk. “Mana?”

                Waqqas menuding pada Jeneral wilayah Wuriar yang sedang mara begitu laju.

                Benar. Aneh.

                “Pelik. Belum pernah ada Jeneral Utopia yang bertindak sebegini. Biasanya mereka sekadar berada di tepi mengarahkan peperangan, atau jika turun pun, hanya di pinggiran, sekadar untuk menunjukkan kekuatan.”

Waqqas berjaga-jaga. Busur ditalakannya ke arah Jeneral Wuriar itu. Bersiaga untuk apa-apa kemungkinan.

                “Jeneral O, serang!” Waqqas memberikan arahan.

                Tentera di atas benteng mula menalakan fokus mereka kepada O Zero. Langit yang sememangnya kelam, kini seperti dinaungi mendung pekat, anak-anak panah turun ibarat hujan.

                Namun, gergasi yang mengiringi O Zero membawa sebuah perisai gergasi. Dia segera melindungi O Zero daripada terkena sebarang panah.

                Ruh Faizan diam sahaja. Di dalam hati, dia tidak henti-henti berdoa agar Allah memberikan bantuan. Ini situasi yang tidak pernah mereka hadapi.

                Mughirah Syu’bah mula memasuki medan pertempuran bersama-sama gurunya. Menyedari kehadiran O Zero yang semakin hampir ke jambatan, Mughirah Syu’bah telah menyusun strategi agar dia, Guru, Aizan Fahmi dan Khalid mengepung O Zero. Mereka berempat bercadang hendak menumbangkannya.

                Ini juga peluang keemasan sebenarnya.

                Menumbangkan seorang Jeneral akan menghantar rasa gerun kepada tentera musuh, mengkucar-kacirkan pemerintahan wilayah yang dipimpin, dan akan memberikan mesej hebat kepada seluruh jajahan Utopia yang lain, bahawa Sang Ashura dan Jeneral-jeneralnya tidaklah sekebal yang disangka ramai.

                O Zero sedar akan pergerakan Jeneral-jeneral Tanah Haram Makkah. Dia dapat melihat aliran tentera lawan yang sedang berubah, seperti memberikan laluan kepada empat Jeneral tersebut. Di balik zirah wajah, O Zero tersengih jahat. Ya, dia memang inginkan semua ini berlaku.

Mari, mari …

                Empat Jeneral Tanah Haram Makkah meluru ke arah O Zero dengan menunggang kuda masing-masing. Apabila semakin hampir, mereka mula berpecah. Tujuan utama adalah mengepung O Zero dan gergasi di sisinya.

                Mughirah Syu’bah dan Rib’i Amir akan bertindak mengambil perhatian gergasi tersebut, sementara Aizan Fahmi dan Khalid akan menguruskan O Zero. Apabila gergasi itu tumbang, Mughirah Syu’bah dan Rib’i Amir akan menyertai Aizan Fahmi dan Khalid.

                Ketika ini, gerombolan tentera Wuriar mula mara dengan garang, mengekori jejak O Zero. Namun, empat Jeneral Tanah Haram Makkah itu tidak pun memperlahankan pergerakan tunggangan mereka. Mereka tetap memacu laju. Jika ada yang menghalang, mereka akan menumbangkan.

                Peluang untuk menumpaskan Jeneral dari Utopia bukannya wujud dengan senang. Mereka hendak meragut peluang ini. Keyakinan mereka meninggi.

                Mereka semakin hampir.

                “Sekarang!”

                O Zero tiba-tiba melaung. Gergasi di sisinya menyauk tanah dengan tangan. Bumi di sekitar tempat itu bergegas sebentar, sementara O Zero melompat ke atas telapak tangan gergasi tersebut.

                Tiga Jeneral Tanah Haram Makkah terpinga-pinga. Mughirah Syu’bah hilang senyumannya. Otaknya ligat berfikir.

                O Zero ketawa berdekah-dekah. Tangan gergasi itu terus terangkat tinggi.

                “Senior Aizan, Senior Khalid, pancung gergasi tu segera!” Mughirah Syu’bah menjerit.  Dia kini jelas apa yang hendak dilakukan oleh O Zero.

                Aizan Fahmi tidak bertanya, terus menggunakan kelajuan kudanya, untuk menambah daya loncatan agar dia mampu bergerak pantas ke arah gergasi yang memegang O Zero. Khalid pula telah menghunus senjata-senjatanya. Kaki gergasi itu bakal menjadi sasaran.

                Namun, sebelum Aizan Fahmi dan Khalid sempat memperapa-apakan gergasi itu, dia tersebut telah pun melibas tangannya. Gergasi itu tumbang apabila tubuhnya ditikam tombak naga Aizan, manakala kakinya dipancung Khalid, tetapi O Zero telah pun melayang laju di tengah-tengah udara.

                Khalid, Aizan Fahmi, Rib’i Amir sama-sama menoleh ke arah yang hendak dituju oleh O Zero.

                Mata mereka membesar.

                “Senior Waqqas! Jaga Tuanku!” Mughirah Syu’bah melaung.

                “Bagaimana dia boleh tahu …” Aizan Fahmi tidak menjangka.

                Namun, semuanya sudah terlambat. Waqqas yang menyangka O Zero dapat diuruskan oleh empat rakannya, kini sedang tergamam melihat but Jeneral Wuriar itu menjejak benteng.

                O Zero ketawa berdekah-dekah sambil tidak teragak-agak melibas senjata. Sekitar sepuluh tentera pemanah menemui ajal. Darah membasahi permukaan dan dinding benteng.

Waqqas sempat mengelak, dan dia berguling sebelum berdiri membelakangi Ruh Faizan. Dia tidak menunggu lama, busur terus diangkatnya. Lima batang anak panah dikeluarkan. Kelima-limanya ditarik. O Zero tidak sempat berbuat apa-apa, tetapi Jeneral itu tidak pula cuba mengelak.

                Lima anak panah tadi meluncur laju, hanya untuk patah tatkala menyentuh zirah O Zero.

                Jeneral itu ketawa lagi.

                “Engkau masih belum benar-benar menyaksikan kekuatan kami, jahanam!”

                Waqqas terus memecut ke hadapan dan melibas busurnya. O Zero menahan dengan lengan. Busur itu patah serta-merta. Mata Waqqas terbeliak. Namun, belum sempat dia mengusahakan sesuatu, lehernya terus dicengkam. Tubuhnya diangkat.

                “Berambus!”

                Waqqas dilempar jatuh ke balik benteng.

Ruh Faizan tersentak. Dia segera bergerak untuk melihat nasib Waqqas, tetapi pergerakannya terhenti. Tangannya kini dicengkam O Zero. Dadanya berdegup kencang.

Mata O Zero seakan menyala dari balik zirah wajah.

                “Raja Tanah Haram Makkah, Ruh Faizan. Aku hendak hadiahkan engkau kepada Tuanku Ashura!” O Zero ketawa berdekah-dekah.

                Semua tentera yang berada di situ tergamam dengan situasi yang tidak pernah terjadi itu.

                Keadaan menjadi genting dan cemas. Rib’i Amir, Aizan Fahmi, Mughirah Syu’bah dan Khalid sedang memecut untuk kembali ke benteng. Semuanya mahu menyelamatkan Raja mereka. Namun begitu, pergerakan mereka segera dihalang oleh saki-baki tentera Wuriar. Beberapa gergasi yang masih berbaki turut menghadang perjalanan mereka.

                Mereka bermati-matian berusaha menebas segala yang menghalang, tetapi itu semua tetap memakan masa.

                “Mari!” O Zero menarik Ruh Faizan.

                Ketika ini, datang seorang askar dengan pantas, menendang tangan O Zero. Tindakan itu tidak berjaya melepaskan cengkaman O Zero terhadap Ruh Faizan. Tetapi cukup untuk membuat Jeneral dari Wuriar itu berang.

                Askar itu menyembunyikan wajahnya di balik kain yang menutup hampir separuh muka. Kepalanya dilindungi helmet perang, sedang tubuh dilengkapi baju besar. Pada tangannya ada sebilah tombak.

Ruh Faizan dilepaskan oleh O Zero.

“Engkau memang menempah maut, jahanam!”

O Zero terus menumbuk askar tersebut, tetapi tumbukannya hanya menjamah angin. Askar itu lebih tangkas menunduk, dan menggerakkan tombak untuk membantai wajah O Zero. Buntut senjata tersebut yang bersalut dengan besi, berdenting saat bertembung dengan zirah wajah O Zero.

“Raaagh!” O Zero terus melibas pedang gergasi.

Askar itu berjaya mengelak pada saat akhir dengan melentikkan tubuh ke belakang. Namun, dek kerana pedang O Zero terlalu besar, bilah senjata Jeneral itu berjaya mengenai hujung helmet askar tersebut.

Helmet terbelah sebahagian, menjadikan ia jatuh dari kepala askar itu.

Akibatnya, terzahir kain yang melitupi kepala askar tersebut.

Askar itu merupakan seorang perempuan!

Ruh Faizan mengerutkan dahi.

Belum sempat Ruh Faizan memberikan reaksi lanjut, askar itu telah berguling merapatinya. Dia tidak dapat pun bersuara untuk bertanya, tubuhnya telah ditolak terlebih dahulu agar lebih menjauhi O Zero, dan kini bersama sebahagian tentera pemanah yang lain.

“Pertahankan Tuanku!” Askar itu menjerit.

Kini memang jelas dia merupakan seorang perempuan.

Ruh Faizan amat kenal akan suara itu.

“Puteriku!”

Ruh Faizan sudah dibawa ke belakang oleh tentera-tentera pemanah. Dia amat yakin bahawa yang dilihatnya itu adalah Maisarah, puterinya.

 “Puteri?”

O Zero menderam. Rancangannya untuk mendapatkan Ruh Faizan gagal, walhal dia sudah membayangkan kebanggaan dirinya tika hadir di hadapan Sang Ashura membawa Raja Tanah Haram Makkah itu. Menambah baran O Zero, rancangannya digagalkan oleh seorang perempuan!

“Berambus kau dari sini, jahanam!” Askar perempuan di hadapannya berwajah garang. Tombak diacukan ke arahnya.

“Engkau Puteri Ruh Faizan?”

Maisarah mendengus. Kedua-dua belah tangannya kini memegang erat sebatang tombak.

“Aku akan berambus …” O Zero mengendurkan postur, bukan lagi dengan postur bertarung. “… dengan engkau!”

Jeneral Utopia itu tiba-tiba sahaja memecut ke hadapan.

Maisarah terpempan. O Zero terus menumbuk perutnya. Mata Maisarah terbelalak. Darah keluar daripada mulutnya. O Zero terus mencengkam tubuh puteri Ruh Faizan itu dengan sebelah tangan, manakala sebelah tangan lagi kembali menggenggam pedang gergasi.

                Semua yang berada di atas benteng itu kaget. Tidak pasti apa tindakan yang dapat mereka lakukan untuk menghalang O Zero.

                Ketika ini, Waqqas muncul dan melompat dari balik benteng. Dia tiba bersama sebilah pedang. Nyawanya masih tidak melayang, memandangkan tadi dia berjaya disambut para tentera di bawah.

                “Lepaskan Puteri Maisarah!”

                Baru sahaja Waqqas hendak melibas senjatanya, O Zero sudah mengangkat tubuh Maisarah ibarat perisai.

                Peperangan seakan-akan terhenti. Semua memandang O Zero dan Maisarah di atas benteng.

                “Adinda!” Aizan Fahmi menjerit dari kejauhan. Tetapi tetap belum mampu sampai ke benteng Tanah Haram Makkah. Dia masih terhadang oleh tentera Utopia yang tertumpu kepada dia dan rakan-rakan.

                Seorang gergasi datang merapati parit.

Ketika ini, O Zero meningkatkan auranya, menunduk sebentar, sebelum meloncat tinggi melangkaui parit, dan mendarat di atas telapak tangan gergasi tersebut.

                Waqqas terpinga-pinga.

                “Jangan engkau fikir kami akan biarkan engkau pergi begitu sahaja, jahanam!” Suara Aizan Fahmi ibarat halilintar. Dia menebas garang mana-mana tentera Wuriar yang cuba menghalang.

                “Lindungi perjalananku!” O Zero menjerit dari atas telapak tangan gergasi tersebut.

Saki-baki tentera Utopia bergerak mengikut arahannya. Semua mula menggerumuni Aizan Fahmi dan Jeneral Tanah haram Makkah yang lain, juga sekalian tentera Tanah Haram Makkah.

                Mereka tersekat dan tidak dapat mengejar.

                “Maisarah!!!” Ruh Faizan dan Aizan Fahmi menjerit dari dua arah yang berbeza.

                O Zero semakin jauh meninggalkan mereka. Tentera Wuriar juga terus-menerus mengasak. Hanya sebilangan kecil tentera Wuriar yang mengikuti O Zero berundur dari medan perang. Tentera-tentera lain, mengorbankan diri mereka agar O Zero tidak berjaya dikejar.

 Mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Hanya mampu memandang Maisarah dibawa pergi.

                Ruh Faizan terjelepuk di tempat dia berdiri. Tentera yang mengelilinginya cuba memberikan ruang.

                “Tuanku!” Waqqas segera mendapatkan Ruh Faizan. “Maafkan aku, Tuanku, maafkan aku!”

                Allah … Allah … Allah ….

                Dada tuanya seperti dijerut. Air mata mengalir menuruni pipi.

                Maisarah …

***

Wajah Angkasa Sakti dibasahi keringat. Dia sedang melakukan tekan tubi, dan selepas ini dia perlu melepaskan lima ratus tumbukan. Sebelum ini, dia sudah melakukan pelbagai pergerakan lain. Tubuhnya lencun dengan peluh, bahkan seluar yang dipakainya juga telah kuyup. Dia benar-benar sedang bermandikan peluh.

                Sedang melakukan latih tubi, pandangan Angkasa Sakti mendarat pada rumah kayu di hadapannya. Di luar rumah kayu itu, terdapat bangsal yang merupakan sumber bau tengik besi. Itu merupakan tempat tempaan senjata.

                Sekitar lima hari telah berlalu sejak pertarungannya dengan lelaki yang menghuni rumah kayu tersebut. Penghuninya merupakan seorang penempa senjata. Tetapi disisihkan oleh penduduk Perkampungan Dafas, kerana tidak mahu lagi mendengar lelaki ini berdakwah kepada mereka. Lelaki ini disuruh diam di tempat ini, kawasan sedikit tinggi, di atas bukit berhampiran Perkampungan Dafas. Sungai di hadapan rumah ini, mengalir daripada puncanya, dan berakhir di perkampungan tersebut sebagai sumber utama air mereka.

                Lelaki itu bernama Fathan Adi.

Angkasa Sakti terpinga-pinga.

                Ada luka baharu di tengah-tengah dadanya. Tetapi luka itu nipis sahaja. Cecair merah keluar, mengotori kain kasa yang membaluti perutnya.

                “Terkejut?” Lelaki itu tertawa kecil.

                “Bagaimana …”

                “Sarung pedang boleh membelah?”

                Angkasa Sakti memandang kembali lukanya. Darah tidak banyak mengalir, dan telah pun berhenti.

                “Bukankah lebih patut kau tanya, pedang apa yang bilahnya tumpul sebegini.” Bilah pedang tersebut dijentik beberapa kali dengan jari lelaki itu.

                Ya, Angkasa Sakti sedar yang pedang warisan Bapa itu tidak tajam. Ia tidak boleh membelah sesuatu. Tetapi dengan kemahiran seni tempur yang dimilikinya, dia dapat memanfaatkan pedang itu sebagai senjata. Apabila dilibas, pedang itu akan mencederakan lawan. Tetapi bukan membelah atau menusuk, lebih kepada memukul.

                Maka, dia tidak pernah memikirkan mengapa bilah senjatanya tidak tajam.

                “Bapa memberikannya kepadaku dalam keadaan sebegitu. Aku pula tidak bertanya.”

                “Apa khabar bapamu?”

                “Engkau mengenali Bapa?”

                “Aku ini adiknya, Fathan Adi.” Tangan lelaki itu memanjang, mengembalikan sarung pedang tersebut.

                Mata Angkasa Sakti membesar.

Banyak perkara dibualkan antara mereka. Banyak perkara juga mula terdedah kepada Angkasa Sakti. Tetapi apa yang lebih utama adalah dia perlu berlatih bagi memenuhi misinya. Fathan Adi, atau lebih mesra digelar Tuk Fathan, mahu Angkasa Sakti berlatih seni manipulasi aura, supaya dia menjadi lebih mahir dan mampu bertarung dengan lebih baik.

                Seni manipulasi aura adalah apa yang dimanfaatkan oleh Tuk Fathan, sehingga sarung pedang yang sememangnya tumpul, mampu membelah sesuatu.

                “Kekanda Fathi tidak melepaskan engkau dalam keadaan sempurna ya?”

                “Bapa kata, guruku yang seterusnya adalah perjalanan. Kerana manusia tidak akan pernah rasa cukup bersedia.”

                Tuk Fathan tertawa. “Benarlah itu kekandaku.”

Angkasa Sakti diajak tinggal bersama Tuk Fathan. Semenjak itu, setiap hari dia akan dilatih oleh lelaki tersebut dengan latihan-latihan yang berat. Mereka akan berlatih dari pagi sehingga petang. Adapun pada waktu petang, Ezakiel akan datang menyertai mereka, dan Tuk Fathan akan mengajarkan mereka berkenaan Islam di tepi sungai.

                Ezakiel ada bercerita bahawa walaupun dia tidak memeluk agama Islam atau percayakannya, dia menyenangi Tuk Fathan, yang kekal melayaninya dengan baik. Walhal Tuk Fathan tahu bahawa Ezakiel suka mencuri. Walaupun Ezakiel sering tidak mengendahkan nasihat lelaki tua itu, Tuk Fathan tidak pernah lokek memberikannya makanan. Itu antara sebab utama Ezakiel sering ke mari. Sedang orang kampungnya sendiri mengabaikan dia dan hanya tahu membenci.

                “Aku terkejut juga dengan layanan awal dia pada engkau, Angkasa. Aku sangka dia benar-benar mahu membunuh engkau!” Ezakiel tertawa.

                Angkasa Sakti menggeleng. “Rupa-rupanya dia sekadar mahu menguji.”

                Setelah tinggal di sini selama lima hari ini, Angkasa Sakti dapat merasakan yang Tuk Fathan adalah seorang yang penyayang dan santun. Pada waktu malam, lelaki itu akan mengisi jeda waktu antara maghrib sehingga isya’ dengan ibadah. Solat sunat, mengulang hafalan al-Quran, dzikir. Ketika ini jugalah Angkasa Sakti mengambil kesempatan memperkemaskan hafalan al-Quran-nya, sesuatu yang didisiplinkan oleh Bapa.

                Selepas Isya’, latihan Angkasa Sakti akan bersambung. Bezanya, pada waktu itu juga, Tuk Fathan akan meluangkan masa mengajar Ezakiel ilmu tempaan senjata.

                Ezakiel juga mampu memanipulasikan aura. Uniknya, auranya mampu mengadun besi, menyebabkan dia mampu menempa senjata hanya dengan bertangan kosong!

                Benarlah kata Bapa, perjalanan akan menjadi gurunya.

                Pelbagai perkara baharu dia temui.

                “Tuk rasa, tak mengapakah saya meluang masa di sini?”

                “Engkau risau akan Tanah Haram Makkah?”

                Angkasa Sakti mengangguk.

                “Tempat itu sentiasa ada pelindungnya. Jika engkau ke sana dalam keadaan engkau yang begini, engkau hanya akan membebankan mereka. Angkasa, engkau mungkin ada kehebatan dan potensi tersendiri. Tetapi engkau belum pernah menyertai peperangan. Untuk berhadapan ancaman Utopia, engkau perlu berlatih lebih kuat.”

                “Gagal membuat persiapan rapi, bersiaplah menempa kegagalan.” Tuk Fathan menyambung. “Aku dan rakan-rakan belajar akan hal itu dengan harga yang amat mahal.”

                Untuk itu, Angkasa Sakti terus tekun berlatih!

***

Sudah lima hari mereka bergerak.

                Daripada 50,000 orang, kini tentera pimpinannya hanya tinggal sekitar 2,000 orang. Makhluk Gergasi hanya tinggal seorang. Banyak tentera telah tumbang sepanjang peperangan. Manakala selain 2,000 orang ini, tentera yang lain semuanya ditinggalkan di Tanah Haram Makkah untuk menghadang mana-mana Jeneral tempat itu merosakkan pencapaian terulungnya.

O Zero amat yakin yang saki-baki tentera Wuriar yang ditinggalkan itu sudah habis dibantai tentera Tanah Haram Makkah. Tetapi dia tidak peduli, bahkan tidak kisah pun. Dia sudah berjaya melakukan sesuatu yang gagal dilakukan oleh mana-mana Jeneral Utopia yang lain.

Mata O Zero memandang ke satu arah.

Maisarah kini berada dalam kurungan di balik jeriji besi bersegi empat. Penjara itu diletakkan di atas papan kayu tebal bergandar. Papan itu ditolak oleh sekumpulan tenteranya.

Sekiranya Maisarah dipersembahkan kepada Sang Ashura, ini pasti akan mengubah dinamik perseteruan antara Utopia dan Tanah Haram Makkah yang telah berlangsung sejak sekian lama. Mungkin sahaja demi puteri ini, Ruh Faizan akan tunduk kepada kehendak Sang Ashura.

O Zero menyeringai.

Sekaligus, dirinya akan diangkat!

Tawa kecil mula menghiasi diri, sebelum tawa itu semakin kuat.

Tentera yang berhampiran O Zero hanya memerhati. Tidak berani menyapa. Bagi mereka, sekiranya O Zero gembira, mereka akan terselamat daripada sebarang ancaman hasil sifat baran jeneral itu.

“Gembira nampak?”

Tawa O Zero terpotong. Dia memandang ke hadapan.

“Heh heh heh. Siapa sangka kita akan bertemu di sini dan begini?”

Seorang lelaki, berambut panjang tidak terurus yang hampir menutupi keseluruhan wajah,  berpakaian kusut dan koyak-koyak, serta berkaki ayam, sedang berdiri di hadapan O Zero dan bala tenteranya.

Lelaki itu memegang sebilah pedang sumbing, yang kini mata bilahnya jatuh mencium tanah. Lelaki misteri itu memandang ke arahnya sambil terus ketawa.

Dari balik zirah wajah, O Zero mengerutkan dahi. Dia seperti dapat mengecam akan gerangan lelaki itu.

Rambut yang panjang mengurai itu disekanya ke belakang, mendedahkan wajah lelaki misteri itu dengan lebih jelas.

Lelaki misteri itu menyeringai.

“Engkau …” Mata O Zero terbeliak.

“Lama kita tidak bersua, O Zero.”