Takdir 1 – Ceritera 3

Kegelapan telah lama menyelubungi langit. Namun, dada langit kekal lapang daripada sebarang hiasan alam, kecuali bintik-bintik putih yang turun semakin lebat. Pun begitu, tatkala langit mewarnakan dirinya hitam, keadaan di atas muka bumi pula bertompok-tompok dengan nyalaan api daripada obor dan percikan api yang terhasil dek senjata para pahlawan.

                Termasuklah bebola api daripada manjanik yang dibawa oleh tentera O Zero. Kini, salah satu daripadanya meluru laju ke arah gapura gergasi Tanah Haram Makkah.

                Dentuman disertai percikan api menghiasi kawasan tersebut. Pun begitu, pintu gerbang gergasi tersebut masih utuh berdiri. Beberapa bebola api yang lain pula masih gagal menyentuh benteng Tanah Haram Makkah, memandangkan kecekapan pasukan anti-manjanik yang telah disiapkan oleh Mughirah Syu’bah.

                Beberapa pasukan daripada kalangan tentera Tanah Haram Makkah sudah dilatih untuk menggunakan balista yang dibina khas untuk berhadapan serangan manjanik musuh. Sebagai tempat yang bergantung tinggi kepada teknik bertahan di sebalik benteng, Mughirah Syu’bah sudah mempersiapkan Tanah Haram Makkah bagi berhadapan pelbagai kemungkinan. Semestinya salah satu daripada cubaan musuh adalah menggunakan manjanik.

                “Celaka!” O Zero mengetap geraham kegeraman. “Raaaagh!”

Dia melibas pedang gergasi dengan gelojoh, melepaskan amarah. Beberapa tentera berhampiran terus maut. Darah bersemburan. Senjata mereka patah, haiwan tunggangan mereka turut rebah.

Kawan atau lawan, O Zero tidak peduli.

                Walaupun peperangan berlangsung belum sampai sehari, O Zero sudah merasa terdesak untuk membuktikan kehebatannya. Itu menyebabkan dia tidak duduk diam, dan terjun ke medan perang untuk membunuh sebanyak-banyaknya tentera Tanah Haram Makkah.

                Dia dipilih untuk menyambung gempuran Rafayel. Tentera Tanah Haram Makkah sepatutnya dalam keadaan lemah dan tidak tersusun. Ini sepatutnya misi yang memberikan tamparan hebat kepada tanah celaka ini. Pun begitu, jangkaan O Zero meleset sama sekali.

                Tentera Tanah Haram Makkah tetap bertempur dengan garang, serta penuh berstrategi.

                “Kamu mati, kami mati. Tetapi mati kami ke syurga!”

Tempikan itu kedengaran sayup-sayup, namun kemudiannya disahut seluruh tentera Tanah Haram Makkah, menjadikannya lantang kedengaran.

“Mati kami ke syurga! Allahu akbar!”

Entah mengapa, bulu roma O Zero terus mencanak melihat semangat meluap-luap tentera Tanah Haram Makkah.

                Tempikan itu datang daripada seorang Jeneral Tanah Haram Makkah yang sedang menunggang kuda yang gagah dan berkalungkan sembilan sarung pedang.

Itulah Khalid al-Walid. Kini, sedang menggempur tentera Wuriar tanpa berfikir dua kali. Dia menggunakan tiga pedang serentak. Dua bilah dengan kedua-dua belah tangan, dan sebilah lagi digigit dengan gigi.

                Tidak cukup dengan kegarangan Khalid, di belakangnya pula terdapat satu batalion tentera berkuda, mengekorinya dan ganas menggempur barisan tentera Wuriar. Mereka ibarat ular gergasi yang menyusur laju di tengah-tengah medan peperangan, meliang-liuk mengkucar-kacirkan barisan musuh.

                Tentera Wuriar hingga terpaksa berlari menghindarkan diri apabila melihat Khalid meluru ke arah mereka.

                Di tengah-tengah kekalutan itu, tentera Wuriar menjadi mangsa askar-askar Tanah Haram Makkah yang lain, yang bergerak dalam bentuk bulatan yang dikelilingi perisai. Mereka akan merempuh tentera Wuriar yang berhampiran, dan menjulurkan tombak-tombak mereka untuk mencederakan musuh.

                “Hidup mulia di dunia, atau mati dan hidup di sisi Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya!” Satu lagi tempikan kedengaran.

                O Zero melihat seorang lagi individu berpakaian Jeneral, sedang mengacung tombak naga ke langit sambil menunggang kuda. Dia dikelilingi pasukan tentera pejalan kaki.

                Aizan Fahmi.

                “Hidup mulia atau mati syahid!”

Tempikan itu disahut garang tentera Tanah Haram Makkah yang lain.

                Semangat tentera Tanah Haram Makkah yang seperti inilah, menyebabkan mereka tidak mampu ditumbangkan sepanjang sedekad ini. Ditambah dengan pelbagai strategi licik daripada Mughirah Syu’bah, serta pertahanan ampuh yang telah dipersiapkan oleh mereka, kematian dalam kalangan mereka sering minimal saban peperangan.

                O Zero tidak boleh membiarkan hal tersebut berulang pada peperangan kali ini.

                Maruahnya akan tercalar!

                Dia mesti mencapai sesuatu yang besar dalam peperangan ini. Sesuatu yang tidak berjaya diusahakan oleh mana-mana Jeneral Utopia sebelum ini!

                O Zero berpaling ke arah barisan tenteranya.

                “Gergasi, gempur!” Pedang gergasi diacukannya ke arah gerbang Tanah Haram Makkah.

                Tiga makhluk gergasi bergerak dari posisi masing-masing. Mereka mara ibarat gunung yang bergerak, merempuh kawan dan lawan. Berlari menuju gapura gergasi. Bumi bergegar hebat. Semakin lama semakin hampir ke jambatan tunggal.

                “Balista!” Suara Mughirah Syu’bah kedengaran.

                Pada saat ini, meluncur laju puluhan panah gergasi menuju ke arah tiga gergasi tersebut. Dua daripada mereka tidak sempat mempertahankan diri, dan mula terjelepuk. Manakala satu lagi berjaya mengelak serangan-serangan tersebut dan kini sudah berada di atas jambatan.

                Dia semakin hampir untuk berjaya. Tangan kanan ditarik, supaya kemudian dapat dilepaskan satu tumbukan kuat bagi menumbangkan pintu gerbang Tanah Haram Makkah.

                Tanpa disangka-sangka, pergerakan gergasi ini terhenti dan dia meraung sekuat hati. Suaranya menerobos ke segenap penjuru medan peperangan.

                Dahi O Zero berkerut dari balik zirah wajahnya.

“Apa yang berlaku?”

                Perhatian gergasi tersebut kini beralih ke bawah. Apa yang membuatkannya kesakitan berada di bawah sana.

                “Engkau besar, Allah SWT Maha Besar!” Laungan kedengaran.

                “Allahu akbar!” Tempikan tentera di atas benteng Tanah Haram Makkah kedengaran.

                “Aizan Fahmi!!!” O Zero menderam kemarahan. Dia mara dengan lebih pantas sambil menebas sesiapa sahaja yang menghalang laluannya.

                Dari kejauhan, dia melihat Aizan Fahmi sedang mencederakan kaki gergasi tersebut dengan begitu berani. Bersama kudanya, Aizan Fahmi berulang alik ke hadapan dan ke belakang, sambil melibas tombak naga miliknya.

                Sedang gergasi itu sibuk menguruskan Aizan Fahmi, bahagian atas tubuhnya dihujani panah berapi yang dilancarkan tentera pimpinan Waqqas.

                “Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar!”

                Tambah menderita gergasi tersebut.

                Ketika ini, Aizan Fahmi dilihat melompat dari kudanya, berpaut pada betis gergasi tersebut. Belakang lutut gergasi itu ditusuknya, sebelum tombak naga dilibas, mengoyakkan bahagian tersebut. Darah tersembur, sebahagiannya tersimbah kepada beberapa kumpulan tentera berhampiran.

                Gergasi itu kemudiannya terlutut jatuh.

                Aizan Fahmi dengan pantas memanjat tubuh gergasi itu sehingga berada di belakang lehernya.

                “Siapa lagi yang berani mampir, akibatnya ini aku pamer!”

Dari jauh, aura Aizan Fahmi dapat dirasai O Zero. Sekalian tentera di medan peperangan turut merasai semburan aura yang terhasil, dan mata mereka beralih sebentar ke arah Jeneral Kedua Tanah Haram Makkah itu.

                Sedetik kemudian, kepala gergasi itu melayang ke udara, sebelum jatuh bergolek di atas jambatan dan masuk ke dalam parit. Darah bersimbahan ke sana sini. Aizan Fahmi telah menyempurnakan satu libasan keras dengan tombak naga tersebut.

                Langkahan O Zero sendiri terhenti secara tiba-tiba.

                “Siapa lagi mahu nasibnya begini? Ayuh, mampir!”

Aizan Fahmi berteriak, sebelum dia melompat turun dan menendang tubuh gergasi itu. Tubuh gergasi itu jatuh ke dalam parit, menyertai tulang belulang musuh yang selama ini terlebih berani untuk cuba menggegarkan gerbang Tanah Haram Makkah.

                Jeneral Kedua Tanah Haram Makkah itu menaiki kembali tunggangannya, dan berpusing-pusing di atas jambatan sambil menjulang tombak naga yang masih diselimuti darah.

                 Apa yang dipersembahkan Aizan Fahmi dan para tentera Tanah Haram Makkah berjaya menyentak barisan tentera Wuriar. Mereka kini teragak-agak untuk mara.

                “Jeneral O, kita perlu susun semula tentera kita!” Seorang tentera Wuriar merapatinya.

                O Zero mengetap geraham. Walaupun tidak dapat menerima hakikat, dia terpaksa bersetuju dengan saranan tenteranya itu.

                “Berundur!”

***

Angkasa Sakti memegang leher. Ada darah yang meleleh. Sedikit.

                Mujurlah pergerakannya tidak lembab, hasil didikan Bapa selama sedekad ini. Jikalah pergerakannya sebentar tadi lewat barang sesaat, kepalanya sudah putus daripada tubuh!

                “Engkaukah yang ke-973?”

                “Hah?”

                Baru sahaja Angkasa Sakti ingin berbicara, individu misteri itu sudah berada di hadapannya, melibas pedang sumbing dengan kepantasan luas biasa.

                Refleks yang telah dilatih Bapa bertindak spontan, mengeluarkan dirinya daripada lingkungan capaian senjata tersebut. Pun begitu, walaupun dia tidak disentuh bilah senjata sumbing itu, libasan yang teramat kuat itu telah menghasilkan biasan yang tajam. Mujur Angkasa Sakti betul-betul berada di luar kawasan mangsa. Jika tidak, nyawanya boleh melayang dalam sekelip mata!

                “Heh heh heh.”

Rambut individu itu panjang dan tidak tersusun, menutup sebahagian wajah. Sebahagian mulut juga terdedah, mempamerkan dirinya yang sedang menyeringai lebar. Dia kelihatan …

                … gembira?

                Angkasa Sakti terus bersiaga dengan postur tempur. Aura dipertingkatkan. Tangan kiri dipanjangkan ke hadapan, manakala tangan kanan sudah dibawa ke belakang dan digenggam erat.

                Obor yang tadi dipegang oleh Angkasa Sakti kini berada di atas tanah, menyimbah cahaya antara kedua-dua mereka.

                Kini, Angkasa Sakti dapat melihat dengan jelas bahawa lawannya itu adalah seorang lelaki.

                “Engkaukah Pendekar Gila yang membuatkan jalan ini terhalang?”

                “Hah hah hah!”

Pertanyaan Angkasa Sakti diabaikan. Lelaki misteri itu memecut ke hadapan. Pedang sumbing itu diseretnya membelah pasir.

Angkasa Sakti dapat merasakan aura yang menekan tadi sudah menghilang. Tetapi ini tidak bermakna serangan lelaki ini tidak berkuasa. Angkasa Sakti tahu apa yang bakal berlaku, maka dia tidak memilih untuk bertahan, bahkan bergerak menyisih ke tepi.

                Lelaki itu terus membawa bilah pedang sumbing itu ke atas. Tepat sangkaan Angkasa Sakti, tanah di hadapan lelaki itu terus terbelah dua, menyah pasir yang menutupi tanah, dan membina jurang sederhana besar pada tanah tersebut.

                “Engkau mahir mengawal aura!”

                Bagi para pendekar yang hebat, mereka sudah berjaya melatih aura masing-masing untuk kuat dan tinggi. Ini akan memberikan kesan menekan pada persekitaran. Udara di sekeliling akan dirasakan seperti termampat. Keadaan seperti itu tidaklah bagus sekiranya dibiarkan. Maka, para pendekar yang betul-betul unggul, mereka akan mampu mengawal aura mereka, sehingga kadangkala tidak dirasai orang lain, tetapi masih menghasilkan kekuatan yang mampu menghancurkan.

                Aura hanya dilepaskan tidak terkawal tatkala mahu menggerunkan musuh, atau sekadar mahu menunjukkan kekuasaan. Pun begitu, apabila dua pahlawan unggul yang setara bertembung, mereka biasanya akan mampu berhadapan tekanan aura lawannya.

                “Hah hah hah!”

Melihat Angkasa Sakti mampu mengelak serangannya, lelaki misteri itu terus menyerang dengan lebih pantas dan rakus. Dia hanya memegang pedang sumbing dengan sebelah tangan, melibasnya  ke kiri, kanan, atas dan bawah, seperti sedang menebas belukar. Kelihatan rawak dan tidak berperancangan.

                Pun begitu, Angkasa Sakti kekal berhati-hati. Kemahiran mengawal aura bukan kemahiran biasa. Ia antara kemahiran tertinggi seseorang yang bergelar pahlawan. Menunjukkan bahawa seseorang itu sudah berlatih sekian lama dan menghayati auranya.

                Kemahiran yang mustahil dimiliki seorang yang gila.

                Angkasa Sakti terus mengelak. Walaupun pergerakan lawan amat pantas, dia masih mampu menghadapinya apabila bersedia. Remang cahaya obor membantunya melihat pergerakan lawan dan membuat persediaan.

                “Hah!”

Pergerakan lelaki misteri itu terhenti secara mengejut, membuatkan Angkasa Sakti terlajak untuk mengelak. Namun, berhentinya lelaki itu bukan untuk mematikan serangan, tetapi untuk memutarkan tubuh. Kini, libasan pedangnya ditambah dengan daya putaran.

Dalam keadaan Angkasa Sakti yang sudah terlajak bergerak, agak sukar baginya untuk mengelak serangan kali ini. Segera dia menarik pedang warisan Bapa.

                Senjata mereka bertembung, menghasilkan dentuman yang kuat. Gelombang aura terhasil, membias daripada pertembungan tersebut, menolak pasir-pasir di tanah, dan sekaligus memadamkan api obor.

                Namun, keadaan tidak bergelap. Mereka masih dibiasi cahaya.

                Serangan itu mengoyakkan kain kasa yang membaluti pedang dan sarung senjata Angkasa Sakti. Sarung pedang Angkasa Sakti menghasilkan cahaya lembut, tidak menyilaukan, tetapi cukup untuk menerangi wajah mereka berdua.

                Mata lelaki misteri itu terbelalak. “Fathi Auni? Engkau siapa?”

                Angkasa Sakti terpempan tatkala nama Bapa disebut.

                “Arrgghhh!” Terus lelaki misteri itu mengembarkan senjatanya.

Dentingan mengisi ruang antara mereka. Percikan api turut terhasil. Jarak antara mereka berdua terhasil.

Angkasa Sakti terseret beberapa depa ke belakang. Tetapi lawannya langsung tidak mahu membazirkan masa walau sesaat. Lelaki misteri itu tidak membiarkan Angkasa Sakti dibawa ke belakang. Dia memanjangkan sebelah kaki ke belakang, menahan pengunduran tubuh, sebelum memecut kembali untuk menyerang Angkasa Sakti.

                Pedang sumbing ditariknya ke belakang sementara tangan kiri memanjang ke hadapan dengan telapak yang terbuka, bertindak seperti keker.

                Tangan kiri Angkasa Sakti terus mencapai sarung pedang. Hujung sarung itu bercahaya seraya tangan kanan Angkasa Sakti menghunus pedang tersebut. Bentuknya yang unik terserlah bersama-sama cahaya lembut yang terhasil daripada bilah pedang itu.

                Angkasa Sakti bersiaga untuk menyambut serangan lawan, tetapi lawannya itu berhenti secara tiba-tiba sekali lagi. Namun, kali ini, bukan untuk berputar, bukan untuk bertindak di luar jangkaan. Lelaki misteri itu benar-benar berhenti.

                Matanya membesar.

                “Engkau mampu menghunuskan senjata itu?”

                “Mestilah. Ini senjata aku.”

                “Ini senjata Fathi Auni. Engkau siapa, budak?” Mata lelaki misteri itu menyala memandang ke arah Angkasa Sakti.

                “Aku Angkasa Sakti, anak angkat kepada Fathi Auni. Bagaimana engkau mengetahui akan gerangan bapaku?”

                Mata lelaki misteri itu semakin membulat besar apabila Angkasa Sakti menyebut namanya.

                “Engkau siapa? Mengapa engkau membunuh orang-orang ini?” Angkasa Sakti mengacukan senjatanya ke arah timbunan kepala tadi. “Engkau bukan orang gila seperti dikata orang, bukan?”

                Pertanyaan-pertanyaan Angkasa Sakti diabaikan. Lelaki misteri itu secara tiba-tiba berpaling. Pedang sumbing dibiarkan terseret ke tanah, mengiringi perjalanannya.

                Angkasa Sakti terkesima.

                Apa yang sedang berlaku?

                “Aku tidak boleh membiarkan engkau pergi begitu sahaja. Engkau membahayakan orang ramai di sini. Aku telah berjanji untuk membuka jalan ini semula.” Angkasa Sakti berteriak. “Tambahan, aku perlu tahu apa hubungan engkau dengan Bapa!”

                Langkahan lelaki misteri itu terhenti.

                Perlahan-lahan dia berpaling.

                Pedang sumbing itu diangkatnya. Kini, kedua-dua belah tangan berpegang pada hulu senjata. Aura lelaki misteri itu naik tinggi secara tiba-tiba. Rambut panjangnya berkibaran, baju kusutnya beralun-alun, pasir di sekitarnya berterbangan ke merata arah.

                Namun, itu tidak cukup lagi, auranya masih meninggi. Pasir sudah ditiup pergi menzahirkan tanah di sekelilingnya. Tanah itu pula mula merekah.

                Giliran Angkasa Sakti untuk terbelalak. Dia dapat merasakan udara  menjadi mampat. Tekanan semakin menghebat. Jauh lebih hebat daripada sebelum ini.

                “Engkau hanya budak hingusan!”

Lelaki misteri itu mara. Sekitar tiga depa sebelum Angkasa Sakti, dia melompat tinggi. Tatkala dia jatuh, pedang sumbing itu dilibasnya sekuat hati.

                Angkasa Sakti tidak mampu berbuat apa-apa selain mengangkat pedang warisan Bapa untuk mempertahankan diri.

                Satu dentuman keras berlaku, bingit menggegar gegendang telinga.

***

Mengetahui jalan yang biasa dilalui para pedagang wujud penghalang semenjak kebelakangan ini, Arnav dan Ashoka mempunyai jalan tersendiri ke Tanah Haram Makkah. Ia bukanlah jalan yang biasa dilalui, dan tidak mempunyai apa-apa petanda, meningkatkan risiko sesat, serta jalan itu lebih panjang daripada jalan yang biasa dilalui ramai.

                Namun, Arnav dan Ashoka bukan tidak pernah mencuba untuk menguruskan halangan di jalan biasa itu.

Pendekar Gila.

Tetapi mereka berdua gagal menumbangkannya, dan mujur sahaja nyawa mereka tidak melayang tatkala bertarung dengan Pendekar Gila itu. Bahkan sebenarnya, pada pengakhiran pertarungan antara mereka, mereka berdua dilepaskan. Pendekar Gila itu sudah mendapatkan mereka di hujung senjata sumbingnya.

Mereka dilepaskan tanpa apa-apa sebab munasabah. Pendekar Gila itu sekadar berpaling dan mengabaikan mereka.

Arnav dan Ashoka membuat keputusan untuk tidak mencuba lagi selepas itu, dan lebih rela mengambil jalan yang lebih mencabar. Lebih menjimatkan masa dan nyawa. Dengan jalan itulah, mereka sebagai utusan Janggel berulang-alik selama ini.

Kini, mereka baru sahaja tiba di sahara luas, melalui jalan tersebut.

Perjalanan mereka masih jauh. Itu antara sebabnya mereka mengambil keputusan untuk tidak berhenti walaupun langit sudah diselimuti kegelapan alam.

Ancaman binatang buas di tengah-tengah sahara ini, seperti kala jengking dan lipan gergasi, mampu mereka hadapi tanpa sebarang masalah sebelum ini. Kerana itu, mereka berani mengambil risiko untuk terus bergerak membelah malam.

“Engkau fikirkan apa? Terkenang Puteri Maisarah?”

“Ish, engkau ini, Ashok. Ke situ pula.” Segera Arnav berpaling ke arah sahabatnya.

Ashoka tertawa. “Manalah aku tahu. Engkau senyap saja sepanjang perjalanan.”

“Aku hanya terfikirkan nasib Tanah Haram Makkah.”

“Engkau rasa bertanggungjawab atas pendirian kerajaan kita?”

Arnav tersenyum kelat walaupun dia tidak pasti sama ada Ashoka mampu melihat riak wajahnya dalam kelam malam tersebut.  

“Mengapa Raja Ali tidak mahu bergabung tenaga sahaja dengan Tanah Haram Makkah? Bukankah bersatu, kita akan menjadi lebih kuat?”

Ashoka menjungkit bahu. “Sekadar yang aku faham, Tuanku Ali tidak mahu mempertaruhkan kedaulatan Janggel.”

“Kedaulatan apa lagi yang ada sekiranya pada satu hari ditakdirkan Tanah Haram Makkah jatuh ke tangan Utopia? Dua Tanah Haram kita telah hilang dari muka bumi ini. Bersamanya dua syiar umat Islam. Masjidil Aqsa di Palestina ranap. Masjidin Nabawi lesap entah ke mana. Yang ada dengan kita hanyalah Masjidil Haram di Tanah Haram Makkah itu. Jika itu pun hancur musnah, apa kedaulatan yang boleh kita banggakan?” Arnav meluahkan rasa.

“Teruskan berkata-kata begitu, engkau mungkin akan ditendang keluar daripada barisan Jeneral Janggel.”

Arnav tersengih. Dia tahu Ashoka tidak berniat merendah-rendahkan apa yang dibangkitkannya. Ashoka hanya cuba mengendurkan suasana serius di antara mereka, kerana maklum Raja Ali Qadri tidak akan mempertimbangkan perkara tersebut.

Raja Ali Qadri benar-benar mahu menjadi ketua umat Islam hari ini.

Dia mahu menjadikan itu legasinya, dan menggunakan keadaan semasa sebagai tuil untuk mengangkat dirinya. Secara tidak langsung, menjadikan Raja Ali Qadri sebagai pemimpin yang mengutamakan kepentingan diri berbanding kepentingan ummah.

Namun, apa kuasa yang Arnav ada?

Penduduk Janggel amat setia kepada Raja Ali Qadri, demikian barisan Jeneral yang lain. Hanya dia yang pernah menyuarakan kritikan terhadap Raja Janggel itu.

Mungkin kerana, rata-rata rakyat Janggel tidak pernah berpeluang keluar dari Janggel dan menerokai dunia, melihat sebenar-benarnya kebejatan yang disebarkan Sang Ashura dan konco-konco Utopia-nya.

Wilayah-wilayah di bawah kekuasaan Kerajaan Utopia kelihatan aman dan makmur. Tetapi hakikatnya, rakyat hidup dalam ketakutan. Kadangkala, sedikit kesilapan sahaja boleh membawa maut. Harta dan nyawa mereka bukan lagi menjadi hak mereka saat kekuasaan Utopia menaungi. Sekiranya Jeneral yang menjaga kawasan itu mahu merampas harta mereka, tiada siapa akan dapat menghalang. Bahkan, jika nyawa  mereka dipaksa untuk dipertaruhkan, tidak akan ada sesiapa dapat berbuat apa-apa.

Rafayel antara Jeneral yang terkenal dengan sifat sadis. Dia sering membawa segerombolan orang awam ke medan peperangan dan menjadikan mereka sebagai perisai bagi tenteranya.

Sehingga kini, para Jeneral Utopia ini masih giat meluaskan kawasan jajahan masing-masing, membunuh tidak terkira nyawa dan merosakkan tidak terkira tempat tinggal.

Sekiranya kedahsyatan ini dibentangkan kepada masyarakat Janggel, mereka pasti akan bangkit meminta Raja Ali Qadri menukar pendiriannya. Tetapi masyarakat Janggel masih aman. Kedudukan Janggel di tengah-tengah belukar yang teramat tebal, dengan pertahanan yang amat licik, serta keberadaannya di bahagian selatan dunia menyebabkan Janggel jarang menjadi sasaran Kerajaan Utopia.

Hanya kadangkala, O Zero bersama bala tentera Wuriar dan Endless bersama bala tentera Shandian, akan cuba untuk menembusi pertahanan Kerajaan Janggel.

Namun, setakat hari ini, mereka tidak pernah berjaya menggegarkan perbatasan Janggel.

Ini menyebabkan rakyat Janggel hampir sahaja tidak pernah berada di ambang bahaya peperangan.

Manakala Tanah Haram Makkah, selain merupakan lokasi panas dek kewujudan Kaabah dan Masjidil Haram, tempat suci umat Islam di situ, kedudukannya yang terletak di tengah-tengah antara wilayah-wilayah Kerajaan Utopia menyebabkan ia sering menjadi pilihan utama gempuran musuh. Kedudukannya yang terdedah juga menyebabkan rakyat menghayati saban pertempuran yang terjadi.

“Mungkin Raja Ali fikir, umat ini masih punya banyak masa.” Arnav menghela nafas panjang.

“Mungkin juga, situasi terkini Tanah Haram Makkah akan mengubah fikirannya.” Ashoka merapatkan tunggangannya kepada kuda Arnav. Tangan dipanjangkan, memaut bahu sahabatnya itu.

Arnav mengukir senyum nipis. “Mungkin. Harapnya dia masih punya hati untuk berbelas kasihan dengan nasib saudara seaqidahnya.”

“Apabila kita pulang nanti, aku berjanji akan bersama-sama dengan engkau, bersuara membangkitkan apa yang engkau nyatakan ini.” Ashoka menepuk-nepuk bahu Arnav.

“Engkau memang sahabat yang baik, Ashok.”

“Ah, baru nak mengaku.” Ashoka menjelir lidah.

Arnav tertawa.

***

Tentera Wuriar sudah menghentikan serangan buat beberapa ketika. Ternyata mereka sangat terkejut dengan apa yang dipamerkan oleh tentera Tanah Haram Makkah. Semangat yang menyala-nyala, tidak padan dengan kesejukan yang melanda tempat itu, menusuk rasa gerun ke pangkal jiwa mereka yang terdalam.

                Sangkaan mereka asalnya, tentera Tanah Haram Makkah ini sudah kejatuhan moral tatkala melihat tentera Wuriar tiba, tidak lama selepas tentera Raidom berundur. Dengan jenazah rakan-rakan seangkatan yang baru ditanam, luka-luka sebahagian tentera yang masih belum sempat dirawat dan rehat yang tentunya belum cukup, bala tentera Wuriar dan O Zero menyangka mereka mudah untuk diperkotak-katikkan.

                Jangkaan tersebut ternyata tersasar sama sekali.

                Kini, tentera Tanah Haram Makkah mengambil peluang untuk berehat mengumpul tenaga. Masing-masing kembali ke balik benteng. Ada yang menjamah makanan, ada yang beribadah, ada yang melelapkan mata, namun sebahagian besarnya dalam keadaan siaga bersama senjata masing-masing.

                Terutama mereka yang berada di atas be nteng. Mereka merupakan mata kepada seluruh bala tentera Tanah Haram Makkah. Apa sahaja pergerakan yang cuba dimulakan O Zero dan tenteranya, akan diketahui terlebih dahulu.

                Ini baru hari pertama peperangan.

                Perjuangan masih panjang.

                Satu-satu gempuran biasanya berlangsung sehingga dua minggu, dan pernah Tanah Haram Makkah dikepung sehingga sebulan. Ini semua bergantung kepada moral musuh, dan bekalan makanan yang mereka bawa.

                Ruh Faizan berjalan perlahan-lahan memerhatikan keadaan para tentera. Semua mahu berdiri tatkala melihat susuk tubuhnya, tetapi Raja Tanah Haram Makkah itu segera menggerakkan tangan, memberi isyarat sambil tersenyum, agar tentera-tenteranya berkeadaan biasa.

                Bagi yang mengalami kecederaan, Ruh Faizan akan berhenti dan memerhati, cuba membantu. Bagi yang sedang makan, Ruh Faizan akan menunduk dan menepuk bahu mereka. Bagi yang sedang siaga, Ruh Faizan akan berdiri sebentar bersama-sama mereka, berbual sepatah dua kata, berjabat dengan mereka sebelum berlalu.

                Kehadiran Ruh Faizan benar-benar meningkatkan moral para tentera ini.

                Ruh Faizan setia diiringi Rib’i Amir, juga Mughirah Syu’bah.

                “Kalian fikir, bagaimana? Apakah kita akan mampu mengatasi cabaran kali ini?”

Ruh Faizan bersuara. Pada riak wajahnya yang dibiasi remang cahaya obor pada tangan Rib’i Amir, terpamer kerisauan. Getar suaranya juga menunjukkan bahawa Raja Tanah Haram Makkah itu sedang menahan sebak.

                Mungkin tersentuh melihat keadaan tenteranya dan memikirkan masa hadapan mereka.

                “Insya-Allah, Tuanku.” Mughirah Syu’bah menjawab, dan seperti biasa, senyuman tidak lekang daripada wajah jeneral termuda itu.

                “Tuanku tidak perlu terlalu risau. Bukankah kita telah berusaha semampu yang boleh? Semua tentera kita telah dikerahkan ke mari. Syu’bah pula telah menyusun strategi yang terampuh. Apa lagi boleh hendak kita lakukan, selain berusaha sebaik mungkin dengan apa yang ada, dan bertawakal kepada Allah SWT.” Rib’i Amir bersuara.

                Ruh Faizan terangguk-angguk.

                “Mungkinkah keimananku lemah, kerana aku dirundung risau sebegini rupa?”

Ruh Faizan menatap Rib’i Amir, kemudian Mughirah Syu’bah.

                Mughirah Syu’bah menggeleng. “Tuanku, pada malam peperangan Badar, Utusan Langit Terakhir telah berdoa sepenuh jiwa, mengangkat tangan tinggi dan rida’ yang dipakainya jatuh. Walaupun Baginda merupakan Utusan Langit, Baginda juga kerisauan. Risau adalah fitrah, Tuanku. Ia bukan petanda kurangnya iman seseorang.”

                “Aku kadang cemburu dengan positifnya engkau, Syu’bah.” Zirah bahu jeneral termuda itu ditepuknya.

                Mughirah Syu’bah menundukkan sedikit kepala.

                “Apa yang mempamerkan kelemahan iman adalah kerisauan tidak henti-henti sehingga menyangka Allah SWT sudah berpaling dan tidak lagi bersama kita. Itu putus asa dengan rahmat Allah SWT. Kita tidak akan sesekali berputus asa, Tuanku.” Rib’i Amir menambah.

                Ruh Faizan kini mengukir senyuman lebar.

                “Merupakan sebahagian daripada rahmat Allah SWT untuk berada dalam kalangan orang yang kuat seperti kalian.”

                “Bahkan kamilah yang rasa dipancuri rahmat Allah SWT, dinaungi penguasa berjiwa rakyat seperti Tuanku.” Mughirah Syu’bah merendah diri.

                Rib’i Amir mengangguk. “Syu’bah, apa jangkaan untuk seterusnya?”

                “Ya, Guru. Jangkaan saya, tentera Wuriar akan menyambung serangan ketika subuh. Kerana mereka tahu, kita akan bersiap-siap untuk solat pada waktu itu. Mereka pastinya akan mencuba beberapa strategi baru. O Zero tadi saya perhatikan, gerak-geri orang yang kehilangan sabar. Dia mahu membuktikan sesuatu pada pertempuran kali ini.”

                “Mungkin malu sekiranya dia tewas, walhal dia sekadar menyambung gempuran sebelumnya. Jika tenteranya berundur tatkala kita disangka lemah, maruahnya tercalar teruk.”

                “Kalian tidak fikir dia akan lebih mengganas?” Ruh Faizan mengerutkan dahi. “O Zero itu, memang terkenal dengan barannya.”

                “Sudah semestinya, Tuanku. Sudah semestinya. Kita akan perhatikan perkembangan itu.”

                “Mungkin, sikap barannya akan membuatkan O Zero bersikap gelojoh.” Rib’i Amir mencelah.

                Ruh Faizan menghela nafas lega.

                “Ruh Faizan!” Satu suara ibarat petir kedengaran.

                Para tentera segera menoleh, rata-rata mengerutkan dahi dan menajamkan pandangan. Siapa yang berani bersikap biadab dengan memanggil nama Raja Tanah Haram Makkah begitu sahaja, tambah pula dengan nada yang kasar.

                Ruh Faizan, Mughirah Syu’bah dan Rib’i Amir melihat ke arah yang sama.

                Berdiri di situ seorang lelaki berjubah labuh, memegang sebatang tongkat. Wajahnya sedikit gelap, rambutnya panjang, dahinya ada tanda hitam, pipinya cengkung, tubuhnya sedikit tinggi, namun tidak setinggi Ruh Faizan. Daripada wajahnya, jelas dia telah berusia, sekitar sebaya dengan Ruh Faizan dan Rib’i Amir.

Lelaki itu dibuntuti segerombolan lelaki, juga berpakaian labuh, dan dahi mereka turut mempunyai tanda hitam. Mereka berjalan mengekori lelaki tersebut.

                “Ubay Wakeel.” Ruh Faizan menyebut nama lelaki itu. “Apa gerangan engkau berada di sini? Bukankah engkau sudah berulang kali menyatakan tidak akan membantu?”

                “Aku mahu engkau hentikan sahaja kegilaan ini, Ruh Faizan. Tidakkah engkau melihat apa yang tentera kita hadapi?”

Ubay Wakeel merapat, hingga hampir hidungnya melanggar hidung Ruh Faizan, tangan kanan mengacu tongkat ke arah ketumbukan tentera Tanah Haram Makkah.

                Mujur Rib’i Amir segera mencelah di tengah dengan memanjangkan kedua-dua belah tangan. Menolak Ubay Wakeel agar menjarak.

                “Engkau mahu berapa ramai mati baru engkau hendak sedar, adalah sebenarnya lebih baik kita tunduk sahaja kepada Sang Ashura! Sampai bila engkau mahu melihat Tanah Haram Makkah ini sengsara?” Ubay Wakeel bertempik.

                Beberapa tentera mula bangkit. Tidak dapat menelan kebiadapan lelaki ini terhadap Raja yang mereka kasihi.

                Tetapi Mughirah Syu’bah mengangkat tangan, memberikan isyarat agar tiada sesiapa masuk campur.

                “Tuk Ubay,” Lembut Mughirah Syu’bah bersuara. “Apa Tuk Ubay fikir, dengan kita menyerah kepada Sang Ashura, kita akan hidup aman dan tenteram?”

                Ubay Wakeel mengetap gigi. “Engkau budak, jangan cuba nak ajar aku. Kita boleh saja berpura-pura beriman kepadanya, tetapi masih beriman kepada Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya. Engkau bacalah sirah Ammar bin Yasir, sahabat Utusan Langit!”

                “Dia diseksa hebat dan menyebutnya setelah kedua-dua ibu bapanya terbunuh. Dia berada dalam tekanan nan dahsyat. Tetapi tidaklah kemudian dia hidup dalam kepura-puraan? Engkau memanipulasi cerita itu untuk kepentingan diri!” Rib’i Amir meninggi suara.

                “Kalianlah yang meninggi diri. Kalian hanya fikirkan ego kalian untuk tidak kalah. Walhal agama kita agama keamanan, agama sejahtera. Kita tidak sepatutnya berterusan berperang begini. Kita patut negosiasi!”

                “Engkau sudah lupa pertembungan pertama antara kita dan mereka? Atas nama negosiasi, kita ditipu dan diserang hendap. Tuanku Permaisuri terbunuh!” Rib’i Amir tidak dapat menahan sabar. Dia mara seperti mahu menumbuk Ubay Wakeel.

                Namun, tindakan itu terbantut apabila lengannya dicengkam Ruh Faizan.

                “Tuanku…”

                “Bertenang, sahabat. Bertenang.”

Ruh Faizan kemudiannya menepuk-nepuk lembut belakang tubuh Rib’i Amir. Matanya lalu beralih kepada Ubay Wakeel yang kini berada di belakang beberapa orang pemuda. Nampaknya, pemuda-pemuda itu bertindak pantas bagi melindungi imam mereka.

                Imam Ubay Wakeel. Duri dalam daging. Gunting dalam lipatan. Api dalam sekam.

Lelaki itu sudah sekian lama tidak bersetuju dengan pendirian Ruh Faizan yang memberikan penentangan kepada Sang Ashura dan Kerajaan Utopia. Dia sering cuba mempengaruhi rakyat jelata untuk tidak memberikan sokongan terhadap Ruh Faizan, dan menuduhnya cintakan peperangan.

                Ubay Wakeel juga sering menuduh Ruh Faizan sebagai sesat, tidak benar-benar mengangkat Islam yang benar. Dia yang juga bekas Jeneral Kerajaan Tanah Haram pada era Ruh Faizan masih belia, sedikit banyak mempunyai pengaruh dan mengumpulkan sebilangan pengikut.

                Sudah beberapa kali Ruh Faizan mendapat saranan, terutama daripada Rib’i Amir, untuk Ubay Wakeel dihukum mati sahaja. Tetapi Ruh Faizan tidak melakukannya.

                “Apa yang bakal berlaku sekiranya orang ramai mula berbicara, bahawa Ruh Faizan membunuh rakyat semata-mata kerana dia tidak mahu menerima kritikan?”

                Itu bicara Ruh Faizan yang menyebabkan Ubay Wakeel masih bebas menyebarkan dakyahnya, dan berjaya mempunyai pengikut, walaupun bilangan mereka terlalu kecil. Kurang daripada 100 orang. Ubay Wakeel sering menyatakan bahawa dirinya ialah Nuh era ini. Pengikut sedikit, sedang dia menyampaikan kebenaran.

                Walhal tidak ada kebenaran yang dibawanya.

                Ubay Wakeel sebenarnya berdendam dengan Ruh Faizan apabila kredibilitinya sebagai ‘ulama’ didapati palsu. Ubay Wakeel hanya menggunakan statusnya untuk kelihatan alim, dan cuba untuk mencari pengaruh agar dapat menjadi pemimpin. Ubay Wakeel juga sering memanipulasikan kepercayaan pengikut terhadapnya untuk kesenangan diri sendiri.

                “Islam memang agama sejahtera, Ubay. Tetapi Islam juga agama tatkala perang dan susah. Semasa perang, Islam menunjukkan kita jalan dan disiplinnya. Engkau tahu aku telah mengusahakan apa yang termampu untuk mengambil jalan yang aman. Bahkan aku telah melakukan apa yang termampu untuk kebaikan seluruh rakyat Tanah Haram Makkah. Jika engkau di sini bukan untuk membantu, aku fikir ada baiknya engkau pergi dari sini agar kehadiranmu tidak melunturkan semangat pejuang-pejuang di sini.”

                Ruh Faizan tenang berbicara. Walaupun jelas daripada getaran suaranya, ada rasa terluka yang dapat sama-sama dirasai semua yang mendengar. Kecuali oleh Ubay Wakeel dan pengikut-pengikutnya.

                Ubay Wakeel mendengus. Dia dapat melihat yang dirinya tidak mendapat sokongan di sini. Banyak tentera sudah bangkit. Seperti siap untuk menyebelahi Ruh Faizan sekiranya ada apa-apa yang buruk berlaku antara mereka.

                “Kalian ingat, aku telah berpesan kepada kalian. Pada hujung senjata musuh kelak, kalian ingat bahawa kalian telah memilih untuk mengikuti lelaki ini, berbanding selamat bersama aku. Kalian akan menyesal. Kalian akan menyesal!”

Ubay Wakeel melaung sambil berundur beberapa tapak, sebelum berpaling dan diekori pengikut-pengikutnya.

                Ruh Faizan menggeleng. Dia kemudian memandang Rib’i Amir.

                “Aku tahu, engkau telah berpesan lama agar aku menguruskannya.”

                “Tetapi Tuanku telah membuat keputusan yang terbijak.” Mughirah Syu’bah mencelah.

                Ruh Faizan tersengih kelat. “Sekarang, aku pun tidak pasti.”         

***

Matanya berkelip-kelip. Cahaya terburu-buru mahu memasuki deria penglihatan, menyebabkan dia terpisat-pisat. Pada masa yang sama, kesakitan yang menjalar ke seluruh tubuh dapat dirasai, membuatkan dia mengerang kesakitan.

                “Ah, engkau sudah bangkit.”

                Dia segera menoleh.

                Kelihatan Ezakiel berjalan merapatinya sambil membawa beberapa gulungan kain kasa.

                “Aku perlu tukar balutan pada tubuhmu.”

                Angkasa Sakti segera memerhatikan tubuhnya. Berbalut dengan kain kasa, dengan tompok-tompok kemerahan.

                “Macam mana …”

                Ezakiel dilihatnya tersengih. “Sebenarnya selepas perpisahan kita, aku tetap tidak dapat meninggalkan engkau. Aku mengekori dari jauh secara diam-diam. Tidak sangka, engkau betul-betul bertarung dengan Pendekar Gila!” Bahu Angkasa Sakti ditumbuknya lembut.

                “Kemudian?”

                “Ah, selepas pertembungan terakhir, engkau terpelanting jauh dan tubuh engkau penuh dengan luka di sana sini. Tulang rusuk engkau juga patah beberapa.”

                “Bagaimana …”

                “Ahah, mujur kuda engkau yang gagah perkasa itu tidak berjauhan. Aku segera mengangkat kau ke atasnya, dan membawa engkau pulang.”

                Angkasa Sakti menghela nafas. Ezakiel perlahan-lahan mencuci luka-lukanya. Parut besar yang menjalar ke seluruh tubuh kelihatan dengan lebih jelas.

                “Ini parut apa? Apa yang menyebabkan engkau mempunyai parut besar sebegini?”

                “Akibat serangan Sang Ashura.” Angkasa Sakti tunduk memerhati parut tersebut.

                Mata Ezakiel terbeliak. “Sang Ashura, Tuhan Yang Agung?”

                “Lebih kepada Sang Ashura, Tuhan Penipu.” Angkasa Sakti mendengus lemah. “Kita berada di mana?”

Segera Angkasa Sakti menyoal, supaya Ezakiel tidak memanjangkan-manjangkan perihal parutnya. Dia baru mendapat peluang untuk memerhatikan sekeliling.

                Sepertinya dia berada di dalam sebuah rumah kayu, serba sederhana. Daripada bau yang masuk ke dalam rongga hidung, dia dapat menjangka mereka berada di tengah-tengah belantara. Namun ada bau tengik besi yang melingkar dalam aroma udara di sini.

                “Ah, kita di rumah …”

Tiba-tiba Angkasa Sakti teringat akan sesuatu.

“Di manakah pedang aku?”

Dia memandang Ezakiel.  Tanpa menanti jawapan daripada remaja itu, matanya melilau mencari pedang tersebut di segenap sudut rumah.

                “Mana, Ezakiel? Apakah engkau telah menjualnya?” Mata Angkasa Sakti membulat memandang Ezakiel.

                Baru sahaja Ezakiel mahu melontar jawapan, satu suara mencelah.

                “Apa yang ribut-ribut ini?”

                Seorang lelaki menyelak tirai, masuk ke tempat perbaringan Angkasa Sakti.

                Mata Angkasa membesar.

                “Bapa?”