Takdir 1 – Prolog

Matanya berkelip-kelip. Bagaikan tidak percaya yang dia akhirnya tiba di Shandian. Wilayah ini dipenuhi bangunan yang mencakar langit. Dibina bukan daripada kayu atau tanah liat, tetapi daripada batu-bata, simen dan konkrit. Dia tidak berhenti mendongak dan menoleh ke sekeliling. Tubuhnya berputar, cukup takjub dengan pemandangan di sini.

                Dari jauh lagi dia sudah dapat melihat bangunan-bangunan ini. Namun, apabila berada di tengah-tengah semua ini, menjadikan dia berasa terlalu kerdil.

                Tidak hairanlah Shandian sangat padat dengan manusia. Sudah pasti bangunan yang tinggi itu mampu menempatkan lebih ramai penduduk, manakala tanah yang digunakan pula amat minimal.

                Seperkara lagi yang menakjubkannya adalah betapa teraturnya masyarakat Shandian. Tiada kebisingan, bahkan semua seperti punya disiplin apabila berurusan. Tiada sampah bertaburan. Semua menggunakan jalan dengan teratur dan berhemah.

                “Budak.”

Satu suara menarik perhatiannya. Dia mahu menoleh, namun tubuhnya segera ditolak ke dinding tepi jalan, sebelum dia didorong masuk ke sebuah lorong gelap, semakin jauh daripada orang ramai.

                Lorong antara dua bangunan tinggi ini sepi. Di hadapannya terdapat tiga lelaki bertubuh sasa, sekitar dua kali ganda berbanding dirinya. Salah seorang daripada mereka menggalas kapak besar di belakang badan, manakala dua lagi punya parang bersarung pada pinggang masing-masing.

                “Ya, rakan-rakan, ada apa saya boleh bantu?”

Dia memaniskan roman wajah, walaupun hati mula diusik rasa tidak enak. Wajah-wajah bengis sedang terpaku ke arahnya, tajam.

                “Kami sudah lama ekori engkau. Dari perbatasan lagi. Nampaknya engkau membawa sesuatu yang berharga.”

                Dia mengangkat kedua-dua kening. Menoleh sedikit ke kiri belakang. Memerhatikan beg sederhana besar yang sedang disandangnya.

“Dalam beg ini tidak ada apa-apa yang berharga, rakan-rakan. Hanya pakaian dan sedikit bekalan makanan.”

                “Ah, siapa rakan engkau di sini, hah?” Salah seorang daripada tiga lelaki itu mula mara dengan penumbuk kanan menghenyak telapak tangan kiri.

Dua lagi mengekori.

                “Kami tak mahu beg lusuh engkau itu. Kami mahukan pedang yang engkau bawa!” Seorang lagi mengacukan telunjuk.

                Dia menoleh ke kanan belakang. Terserlah hulu pedang yang tegak digalasnya. Pedang itu lengkap bersarung dan dibaluti kain kasa tebal. Pedang warisan Bapa

“Aku amanahkan pedang ini kepada engkau, Angkasa.”

                “Mengapa, Bapa? Aku tidak pernah melihat Bapa menggunakannya pun selama aku berada di sini?”

                “Kerana ia tidak ditakdirkan untuk aku.”

                “Apakah ia ditakdirkan untuk aku?”

                “Mungkin. Sebagai Angkasa Sakti, engkau sahajalah yang akan mengetahuinya.”

                “Ah, kalian tidak akan berkehendak pada pedang ini. Kalian tidak akan mampu menghunusnya.”

Panjang senyuman Angkasa Sakti, menarik amarah tiga sekawan.

                “Celaka, engkau memandang rendah kepada kami!”

Kapak besar dihunus. Lelaki pertama mara. Kapak dilibasnya, mengguris dinding bangunan lalu mengeluarkan percikan api, sebelum hanya menjamah angin.

                Tanpa disangka-sangka, mata penyerang pertama itu terbelalak, demikian jua dua rakannya.

                Angkasa Sakti masih berdiri di hadapan mereka, dengan lengan kanan diangkatnya separa dada. Empat jari merapat, ibu jari membengkok ke dalam telapak tangan.

                Perlahan-lahan mata penyerang itu memerhati senjatanya. Bilah kapak telah tiada, tinggal batang sahaja. Tergamam. Mata melilau mencari bilah senjata tersebut.

                “Itu!” Dua kawannya menunjuk.

                Bilah kapak sudah terpacak pada dinding bangunan.

                Dalam sekelip mata, pemuda di hadapannya telah melakukan sesuatu, mengakibatkan bilah senjata itu terputus daripada pemegang.

                Sekiranya batang senjata itu diperbuat daripada kayu biasa, tidak menghairankan. Tetapi keseluruhan senjata tersebut diperbuat daripada besi ampuh!

                “Aku tidak pasti bagaimana masyarakat di Shandian sepatutnya berinteraksi. Tetapi Bapa pernah berpesan kepadaku, supaya sering berhemah jika mahukan sesuatu. Ini bukan sikap yang baik, rakan-rakan.”

Angkasa Sakti menurunkan semua jemari, kecuali telunjuk, sambil menggerak-gerakkannya.

                “Kurang ajar!”

Penyerangnya menderam penuh amarah. Batang kapak dilepaskan ke tanah. Tubuh terus ke hadapan, mahu menerkam. Namun, tangan kanan Angkasa Sakti bergerak sepantas kilat memukul kedua-dua belah tangannya, menyebabkan terkaman tersebut tidak berjaya disempurnakan, sebelum tangan kiri pemuda itu melepaskan satu tumbukan tepat pada wajahnya.

                Darah bersemburan.

Penyerang sudah jadi yang diserang. Terundur laju hingga terpaksa ditahan dua rakannya yang sama-sama terkesima.

                Pemuda di hadapan mereka kekal dengan senyuman penuh makna. Angkasa Sakti melangkah setapak demi setapak.

                “Ada yang masih mahu mencuba?”

                “Lari!”

Penyerang itu terus menolak dua rakannya, dan bergerak meninggalkan kawasan tersebut. Kedua-dua rakannya saling berpandangan, sebelum turut melarikan diri.

                Ulah mereka mendapat perhatian beberapa individu di hujung lorong.

                Angkasa Sakti tertawa. Menggeleng. “Benar kata Bapa ya. Bukan semua manusia di atas muka bumi ini bersikap mulia.”

                Perlahan-lahan dia melangkah keluar dari lorong tersebut. Terik mentari kembali menyapa kulit wajah. Dia melihat ada beberapa individu seperti sedang menantinya di situ.

                “Engkau tidak apa-apa?” Seorang lelaki, sedikit tinggi, berkulit hitam manis, dengan rambut hitam berkilat panjang mencecah bahu, di belakang tubuhnya tersandang sebilah tombak.

                Angkasa Sakti menggeleng. “Tidak ada apa-apa.”

                “Hah, hampir sahaja kami masuk campur, tahu.” Bicara itu diakhiri tawa yang sedikit kuat, datang daripada seorang lelaki bertubuh sedikit lebih besar berbanding lelaki berkulit hitam manis tadi. Lelaki ini berkulit lebih cerah, berambut pendek kerinting dan tubuhnya lebih tinggi. Pinggangnya tersangkut kantung anak panah, sedang sebatang busur disandang menyilang pada tubuh.

                Jelas lagak kedua-duanya persis pahlawan.

                “Terima kasih kerana ambil kisah, walhal kita tidak saling mengenali.” Angkasa Sakti menundukkan sedikit kepala.

                “Berhati-hatilah. Walaupun Shandian terkenal dengan keamanannya, tetap ada kes jenayah terpencil. Sepertinya engkau telah dijadikan sasaran awal. Apa yang mereka ma …”

Bicara lelaki berkulit hitam manis itu terhenti. Angkasa Sakti dapat merasakan yang mata lelaki itu melekat pada hulu senjatanya.

                “Mereka mahukan pedang itu, hah?”

                “Ah, benar.” Angkasa Sakti menoleh ke kanan belakang, sebelum memandang dua lelaki di hadapannya.

                “Daripada hulunya sahaja, sudah jelas ia bukan biasa-biasa. Aku cadangkan engkau membalutnya. Jika tidak, sepanjang perjalanan ini engkau akan berdepan dengan masalah.”

                “Terima kasih atas pandangan itu.”

Angkasa Sakti segera menurunkan beg ke tanah, sebelum pedang berbalut kain kasa itu dibawanya ke hadapan. Lebihan kain kasa yang membaluti sarung senjata ditariknya sedikit, sebelum dibalut pada hulu tersebut.

                “Kalian mahu ke …” Angkasa Sakti mendongak.

                Dua lelaki persis pahlawan tadi telah tiada.

                “Ah, benar-benarlah di atas muka bumi ini punya pelbagai jenis manusia, pelbagai jualah perangai mereka.”

***

Api marak dan asap berkepul-kepul di sana sini. Jasad-jasad tidak bernyawa bergelimpangan. Darah mengotori bumi. Bau hanyir mengisi suasana. Sekumpulan burung hering telah tiba, tidak sabar menikmati habuan. Sedang seorang lelaki berzirah perang sedang berdiri di hadapan sekumpulan mayat yang dibariskan pada satu kawasan yang telah dikorek.

                Ada sekitar lima ratus jenazah, sudah siap diselimut dengan kain putih.

                Lelaki itu menunduk, tangan kanan mengelek helmet perang di pinggang. Di sebelah kirinya berdiri gagah seekor kuda berwarna coklat gelap, dengan sembilan sarung pedang menghiasi tubuh. Tiga daripada sembilan sarung itu tidak berpenghuni.

                Haiwan itu seperti turut mendalami rawan lelaki tersebut, lantas merapatkan muka ke wajahnya. Perasan akan tindakan kuda tersebut, lelaki itu mengangkat tangan kiri dan menepuk-nepuk pipi haiwan tersebut.

                “Selepas ini mungkin aku pula, sahabat.”

Air jernih mengalir lesu pada wajah cerah lelaki tersebut. Tersekat pada janggutnya yang sedikit tebal. Rambut ikalnya sedikit panjang, hitam berkilat. Matanya kemudian memerhatikan zirah pada tubuh.

                Lencun dengan darah. Hampir sahaja merah pekat menjadi warna bagi zirahnya.

                Sehingga bila?

                “Khalid.”

Namanya diseru. Wajah diangkatnya.

                Seorang lagi lelaki berzirah sedang berjalan menghampirinya. Lelaki ini jelas kelihatan telah berusia. Bahkan, dia tahu bahawa lelaki ini telah hampir menjangkaui 60-an. Wajah berkedut namun kekal bercahaya. Kening, misai dan jambangnya sudah putih, namun tubuh masih tegap dan jelas bertenaga.

                “Guru.”

Khalid al-Walid menundukkan sedikit kepala, sebagai tanda hormat.

                Rib’i Amir. Itulah nama gurunya ini. Ketua Jeneral Tanah Haram Makkah.

                “Apa engkau bersedih? Bukankah sahabat-sahabat kita ini sedang hidup di sisi Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya, dan diberikan rezeki.”

                Khalid menyeka air mata. “Aku tidak bersedih dengan pemergian mereka. Aku hanya bersedih dengan masa hadapan kita.”

                “Engkau terfikirkan saat di mana kita tidak akan mampu lagi bertahan?”

                Dia mengangguk perlahan. “Waktu itu akan tiba. Bukankah begitu, Guru?”

                “Sekiranya Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya mentakdirkan.”

                “Tetapi kita tidak tahu takdir kita.” Khalid memandang tepat wajah gurunya, yang kini sedang menatap barisan jenazah di hadapan mereka.

                Perlahan-lahan Rib’i Amir memandangnya.

“Nah, bukankah itu sudah cukup untuk menjadi sebab kita berusaha sebaiknya?”

                Tersentak jiwa Khalid. Pun begitu, dia tidak rasa seperti ditampar. Perlahan-lahan, jiwanya seperti didakap syahdu. Matanya kembali bergenang.

                “Aku khilaf, Guru.”

                “Iman itu turun dan naik. Kerana itu pentingnya muhasabah dan punya teman-teman baik yang mengingatkan.”

Bahu Khalid dicapai gurunya. Zirah pada bahunya ditepuk-tepuk perlahan, seperti mahu menyalurkan semangat.

“Jangan berputus asa dengan rahmat Yang Maha Berkuasa, Khalid. Walau apa pun takdir-Nya, Dia tidak akan sesekali zalim kepada hamba-hamba-Nya.”

                “Terima kasih, Guru.”

                Era ini era sukar bagi sesiapa sahaja yang beriman kepada Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya. Dunia sedang diselimuti satu kuasa kegelapan yang begitu pekat dan kuat, hampir sahaja menenggelamkan segala cahaya. Tuhan baharu telah muncul dan Tuhan itu bernama Sang Ashura.

                 Sepuluh tahun yang lalu, Sang Ashura bersama-sama barisan jeneral dan bala tenteranya, menghapuskan Kesatuan Lima Kerajaan yang membawa panji-panji Islam. Agama yang menjadi anutan umat manusia ketika itu, diharamkan dan sekalian penganutnya dibunuh tanpa belas kasihan.

                Mereka yang terselamat hanyalah yang mendeklarasikan diri tidak lagi beriman kepada Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya, Allah SWT, Tuhan kepada penganut-penganut agama Islam.

                Selepas kejatuhan Kesatuan Lima Kerajaan, yang tinggal hanyalah dua buah kerajaan.

                Kerajaan Tanah Haram dan Kerajaan Janggel.

Kedua-duanya merupakan kerajaan yang masih berpegang teguh dengan Islam, dan mengimani bahawa Tuhan yang sebenar hanyalah Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya.

                Asalnya, terdapat tiga Kerajaan Tanah Haram terdiri daripada Makkah, Madinah dan Palestina. Namun, bala tentera Sang Ashura telah berjaya mara sehingga meranap langsung jajahan Kerajaan Tanah Haram Palestina. Kemudian, mereka menyambung perjalanan untuk menceroboh Kerajaan Tanah Haram Madinah.

                Di sinilah sesuatu yang besar telah berlaku ke atas Sang Ashura dan bala tenteranya.

                Dikhabarkan, pertarungan besar telah berlaku antara Sang Ashura dan sekumpulan manusia. Walaupun tidak berakhir dengan kematiannya, namun, Sang Ashura pertama kali dalam sejarah telah mengalami kecederaan yang amat parah, sehingga memaksa dia berundur.

                Pun begitu, segala-galanya telah terlambat. Kerajaan Tanah Haram  Madinah lesap dari muka bumi.

                Sang Ashura ketika itu telah pun berjaya membina kuasa jajahan sendiri sehingga berjaya membina Kerajaan Utopia, bersama Lima Wilayah kekuasaannya, dan meruntuhkan Kesatuan Lima Kerajaan. Mereka telah menguasai dua pertiga dunia.

Semenjak itu, kebanyakan rakyat di atas muka bumi ini terpaksa hidup menyembah dirinya sebagai Tuhan Yang Agung. Sebarang sembahan kepada selainnya akan dianggap sebagai penderhakaan.

                Sekalian agama telah pun pupus. Rumah-rumah ibadat mereka dibakar dan dimusnahkan.

                Agama Islam sendiri benar-benar wujud di Tanah Haram Makkah dan Janggel sahaja.

                Kini, hanya dua negara ini yang masih berani menentang Sang Ashura dan kerajaannya. Pun begitu, kedua-duanya hanya terhad dalam perbatasan masing-masing. Tidak berani untuk bergerak keluar, kerana sudah pasti bakal menempah kekalahan sekiranya berhadapan bala tentera Kerajaan Utopia yang teramat besar.

                Tambah memburukkan keadaan, Kerajaan Tanah Haram Makkah dan Kerajaan Janggel tidak mempunyai hubungan yang baik sesama mereka. Mereka tidak berkongsi kekuatan dan saling bercakaran atas beberapa perkara.

                Ini menjadikan cahaya kemenangan bertambah malap.

                Yang ada hanyalah bertahan.

                Tetapi sehingga bila?

                Tanah Haram Makkah dikelilingi tiga wilayah Kerajaan Utopia. Shandian di sebelah timur, Raidom dari barat, dan Wuriar dari arah selatan.

                Ini menjadikan Kerajaan Tanah Haram Makkah sebagai sasaran utama Kerajaan Utopia, berbanding Kerajaan Janggel, yang tersembunyi di tengah-tengah belukar teramat tebal di arah tenggara.

                Hampir saban tahun, salah satu daripada tiga wilayah tersebut akan menghantar bala tentera mereka untuk menggegarkan Kerajaan Tanah Haram Makkah. Ikutlah kemampuan kewangan dan bala tentera mereka. Ada tahun, ketiga-tiga mereka datang menggempur bertali arus.

                Tetapi sehingga ke hari ini, Kerajaan Tanah Haram Makkah masih utuh berdiri.

                Satu keajaiban juga kalau difikir-fikirkan, bagaimana kerajaan sebegini kecil, mampu mempertahankan diri buat sekian lamanya.

                Pun begitu, sehingga bila keajaiban ini akan bertahan?

                Itu yang bermain dalam fikiran Khalid hari ini. Dahinya berkerut. Dia menoleh ke arah gurunya. Rib’i Amir dilihatnya sedang memeluk tubuh.

                “Engkau kesejukan, Guru?”

                “Bagaimana engkau tahu?”

                “Kerana aku juga begitu.” Barulah Khalid memeluk tubuhnya.

                Tempat ini mempunyai empat musim sebenarnya. Namun, musim sejuk selama ini suhunya nyaman sahaja. Sedang suhu tinggi bersama mentari panas dan terik merupakan rutin harian mereka.

                Kesejukan kali ini adalah luar biasa.

                “Apa yang telah berlaku?” Khalid terasa dahinya basah. Perlahan-lahan dia mendongak. Matanya membulat. “Guru!” Tangan kanan diacungnya ke langit.

                Rib’i Amir kini turut mendongak. Bintik-bintik putih sedang jatuh melayang ke bumi. Segera dia mencapai salah satu daripadanya. Kristal putih itu mencair pada tangannya.

                “Salji?”

***

Mimpi itu datang lagi. Masih segar dan terbayang-bayang dalam fikiran. Seperti bergayut pada hujung bulu matanya yang lentik. Kadangkala, membuat dia seperti terpinga-pinga tika berada di tengah-tengah aktiviti.

Suatu reaksi yang menjemput canda kekandanya.

                “Teringatkan putera dalam mimpikah?”

Kening kekandanya itu terangkat dua kali. Lelaki berambut hitam kemas bersikat ke belakang, hidung sedikit mancung dan berkulit cerah itu sedang tersenyum nakal. Namun, kekal berdiri tegak di sisinya.

                Menyesal dia berkongsi mimpi yang sering menjengah lenanya kebelakangan ini. Kekandanya sering menjadikan itu sebagai bahan senda gurau antara mereka. Walaupun sudah besar panjang, dia masih dilayan seperti seorang kanak-kanak.

                “Ish, kenapa kekanda tidak di perbatasan? Bukankah kita sedang digempur?” Dia menyiku kekandanya.

Bunyi siku bertembung dengan zirah membuatkan beberapa individu yang berada di situ menoleh ke arah mereka.

                Termasuk Ayahanda yang amat dihormati.

                “Aizan, Maisarah.” Ayahanda mereka bersuara lembut tetapi tegas.

                Mereka berdua tersengih dan menunduk sedikit, tanda faham. Sudah besar panjang, tetapi kenakalan antara adik-beradik masih belum hilang.

                “Sekarang giliran kekanda menemani ayahanda. Guru, Khalid dan Syu’bah bertugas di perbatasan.”

                “Tahu. Saja adinda ungkit. Sebab kekanda menyibuk!” Maisarah mencebik.

                Aizan Fahmi tertawa kecil, menggeleng, sebelum perhatiannya kembali kepada ayahanda mereka.

                Ayahanda adalah seorang yang tinggi lampai. Kebanyakan orang perlu mendongak untuk berbicara dengannya. Sering mengenakan jubah dengan tenunan yang unik, tinggalan Nenda. Jubah yang hanya dipakai oleh keturunan Raja daripada kalangan mereka. Tidaklah ia merupakan jubah kebesaran, memandangkan ia hanya jubah yang sederhana. Pun begitu, tenunannya menjadikan jubah tersebut berbeza.

                Sekali pandang, ayahanda mereka akan kelihatan seperti garang dan serius dengan jambang lebat, rambut panjang ikal, janggut dan kumis yang tebal. Sudah keputih-putihan, namun warna hitam masih mendominasi. Namun, senyuman lebar yang menghiasi bibir pantas menghilangkan persepsi tersebut. Cerah wajahnya dengan cahaya kemesraan. Tidak pernah ayahanda mereka tidak betah menyentuh rakyat bawahan, sama ada dengan jabatan tangan, sentuhan pada bahu atau lengan, bagi menunjukkan betapa bersamanya dia dengan mereka.

                Itulah Ruh Faizan.

                Umur sudah menghampiri 60-an, walaupun dia tidaklah kelihatan terlalu tua.

                Masih kuat dan rajin turun menyantuni rakyat bawahan. Terutama tatkala Tanah Haram Makkah digempur musuh. Sememangnya Ayahanda akan mewajibkan dirinya bersama-sama rakyat. Tidak betah bersemayam di istana semata-mata.

                Kerana itu juga rakyat Tanah Haram kekal bersabar. Satu dekad yang penuh mencabar. Saban tahun digempur, namun kehidupan tetap diteruskan. Kepimpinan Ayahanda berjaya membawa Tanah Haram Makkah untuk terus hidup, walaupun serba kekurangan, tetapi setakat ini cukuplah untuk rakyatnya tidak terlalu menderita.

                Bahkan, Ayahanda sendiri tidak hidup bersenang-lenang.

                Dia bukan pemimpin yang hanya pandai melempar retorik.

                Ruh Faizan adalah pemimpin berjiwa rakyat.

                Paling akhir kenyang, paling awal berlapar. Paling dahulu menderita, dan paling lewat menikmati laba, andai ada. Kerana itu, rakyat masih teguh di belakangnya.

                Hari ini, dia dan kekandanya, Aizan Fahmi, menemani rutin Ayahanda.

                “Jika engkau tidak mengenangkan putera mimpimu itu, maka apa yang ayahanda sampaikan kepada keluarga itu?” Aizan Fahmi menuding pada ayahanda mereka.

                Maisarah menggaru kepala yang tidak gatal.

                Aizan Fahmi tertawa nakal. “Ahah, engkau memang memikirkan putera mimpimu!”

                “Ish, kekanda. Jangan kacaulah.” Wajah Maisarah hangat.

                “Apa engkau sudah kongsikan dengan ayahanda?”

                “Untuk apa?”

                “Mana tahu, ayahanda ada pandangannya. Bukankah dia insan bijaksana?”

                “Ah, sudah terlalu banyak perkara perlu difikirkan oleh ayahanda. Pundaknya sudah terlalu berat dengan rakyat. Buat apa aku mahu sibukkan ayahanda dengan mimpiku, yang mungkin hanya mainan tidur semata?”

                Aizan Fahmi dilihat tersenyum, namun tidak lagi memandang kepadanya.

                “Apa yang kekanda fikirkan?”

                Aizan Fahmi menjungkit bahu. “Aku tidak pandai mentafsir mimpi. Tetapi jika sudah berulang-ulang, pasti ada makna yang tersirat. Sepertinya langit mahu menyampaikan kepada engkau sesuatu.”

                “Ah, mustahil.”

                Maisarah sekadar menguis pendapat tersebut. Namun, apa yang dibicarakan kekandanya itu menjentik jiwa. Kebelakangan ini, dia kerap bermimpikan seorang pemuda. Berkulit sawo matang, dengan rambut hitam sedikit tidak teratur, berpakaian serba putih berlengan panjang. Pemuda itu akan mengalunkan ayat-ayat suci daripada al-Quran, memeluk pedangnya sambil duduk bersandar di sisi sebongkah batu.

Apa yang menariknya, latar suasana di situ dipenuhi salji.

                Manakala dia hanya memerhatikan pemuda itu dari kejauhan. Setiap kali ingin mendekat dan mahu melaung tanya, Maisarah akan terjaga daripada mimpinya.

                Siapakah pemuda itu?

                Mengapa mimpi itu datang berulang kali dengan begitu jelas?

                Pedang pemuda itu unik dan tidak pernah disaksikannya selain dalam mimpi tersebut.

                Apa petanda semua ini?

                “Kekanda, apakah engkau perasan?” Maisarah memeluk tubuh. Dia tidak tahan dek kesejukan. Cuaca berubah secara mendadak. “Sejuk sangat!”

                Aizan Fahmi mendongak. Dia turut merasakan perubahan suasana tersebut. Awan kelabu pekat mula menyelubungi langit yang tadinya berwajah redup. Suasana berubah menjadi kelam. Perlahan-lahan butiran putih tak terhitung dilihat turun melayang.

                “Ayahanda!” Aizan Fahmi separa melaung.

                Ruh Faizan memandang ke arah mereka. Tetapi kemudian, segera memerhatikan sekeliling. Rakyat yang sedang menggerumuninya masing-masing sedang berpeluk tubuh. Kesejukan. Dia sendiri mula merasakan hal yang sama.

                Aizan Fahmi menghampiri Ayahanda, mencabut mantel dari belakang zirah dan terus menyelimutkan orang tuanya itu.

                “Allahu akbar, salji!” Ujar Ruh Faizan, sebaik sahaja butir kristal turun di atas telapak tangan.

                Maisarah menghampiri ayahanda dan kekandanya. Salji semakin lebat turun. Hati Maisarah seperti terjentik.

                Putera mimpinya seolah-olah sedang tersenyum.

                “Salji …” Maisarah memandang Aizan Fahmi.

                Pandangan mereka bertaut buat beberapa ketika.

                “Allahu akbar.” Bergetar suara Ruh Faizan.

                Pandangan kemudian ditalakan ke satu arah. Dari tempat mereka berdiri, dapat dilihat sebuah bangunan berbentuk kiub dengan selimut hitam pekat, kini keputih-putihan diwarnai salji. Orang ramai mula keluar dari rumah masing-masing, dan memenuhi kawasan lapang di sekitarnya. Anak-anak kecil kelihatan gembira, cuba mengumpulkan salji di tangan masing-masing.

                Maisarah dan Aizan Fahmi sama-sama melihat suasana itu.

                “Masanya semakin hampir, anak-anakku.”

Suara Ayahanda menarik kembali pandangan kedua-duanya.

                Air mata mengalir perlahan pada wajah Ruh Faizan.

***

“Maafkan aku, tuan-tuan.” Suaranya mulus, tidak berhajat untuk menganggu. Senyuman lebar ditebar, tanda dirinya aman.

                Sekumpulan lelaki di sebuah restoran yang terletak di kaki jalan Shandian menoleh ke arah seorang pemuda yang menggendong beg dengan sebilah pedang berbalut kain kasa.

                “Ya, anak muda?”

Walaupun santapan mereka terganggu, wajah mesra anak muda itu tidak menjadikan mereka merasa terganggu.

                “Aku ini nampaknya sudah tersesat. Apakah tuan-tuan tahu bagaimana mahu ke Tanah Haram Makkah?” Angkasa Sakti bertanya sambil kedua-dua belah tangan disatukannya.

                Lelaki-lelaki yang mengelilingi meja makan itu mengerutkan dahi.

                “Tanah Haram Makkah? Bukankah itu tempat hitam.”

                “Tempat hitam?”

                “Ya, tempat tiada masa hadapan. Hampir saban tahun digempur tentera Utopia.”

                “Aku mendapat khabar tentera dari Raidom baru sahaja menggempur Tanah Haram Makkah. Mungkin kali ini mereka akan tumbang setelah sekian lama bertahan.”

                “Jeneral Rafayel, hah?” Seorang lelaki bertanya.

                Lelaki-lelaki lain mengangguk.

Salah seorang daripada mereka kemudiannya memandang Angkasa Sakti. “Engkau mahu ke sana atas urusan apa? Sudah rasa terlalu lama menikmati hidup?”

                Angkasa Sakti tertawa kecil.

                “Aku bukannya berseloroh.” Lelaki itu menajamkan pandangannya.

                Tawa Angkasa Sakti terputus. Dia berdehem kecil. “Bapa menghantar aku ke sana.”

                “Apa bapamu tidak lagi kasihkan engkau?”

                “Bapa kata, di sana berkumpul orang-orang yang beriman.”

                Bicara Angkasa Sakti disambut dengan tawa keras sekalian insan di hadapannya. Bahkan, pelanggan-pelanggan yang lain, termasuk para pekerja di situ, semua memerhatikan mereka.

                “Orang-orang beriman? Kepada siapa? Allah? Jadi, bapa engkau adalah seorang yang gila?”

                “Sekarang zaman Sang Ashura, budak. Dialah Tuhan Yang Agung. Tiada lagi lebih agung berbanding Sang Ashura. Siapa tidak tunduk kepadanya, hanya akan menderita.”

                “Hanya orang-orang gila yang masih percaya kepada Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya. Allah tidak lagi berkuasa. Yang berkuasa hanyalah Sang Ashura, Tuhan Yang Agung!”

                Angkasa Sakti hanya diam. Dia tidak berminat untuk berbahas akan kebenaran bicara tersebut.

                “Tidak mengapa, tuan-tuan. Aku sekadar mahu memenuhi hajat orang tuaku.”

                “Maka pergilah engkau ke arah kematian. Mara ke barat, keluar dari Shandian. Engkau akan menemui beberapa perkampungan, sebelum tiba ke sebuah sahara luas. Sekiranya engkau masih berjaya hidup selepas merentasinya, maka engkau akan tiba ke Tanah Haram Makkah. Jika engkau bertemu dengan kafilah pedagang, aku sarankan engkau mohon tumpang. Mustahil bagimu untuk mampu ke sana berseorangan.”

                Angkasa Sakti mengukir senyuman.

“Terima kasih, tuan-tuan. Aku sangat hargai petunjuk yang diberikan.”

                Baru sahaja Angkasa Sakti mahu berpaling, tangannya terus direntap, membuatkan dia kembali menoleh. Lelaki yang terhampir sedang menggenggam erat tangannya.

                “Untuk apa engkau mahu ke sana? Bukankah kami telah ceritakan, di sana tiada masa hadapan?”

                “Apakah tuan merupakan tuhan yang mengetahui apa akan berlaku pada masa hadapan?”

                Soalan Angkasa Sakti membuatkan lelaki itu terkesima. Genggamannya melonggar.

                “Tuhan yang aku percayai, melarang kami daripada berputus asa dengan rahmat-Nya. Maka aku ke sana kerana aku percaya.”

                “Sekadar untuk menderita?”

                Angkasa Sakti mengukir senyuman manis.

                “Mungkin untuk mengubah segala-galanya.”