Takdir 1 – Ceritera 1

Api menjulang. Langit gelap, bukan dek kelamnya malam, tetapi kerana asap hitam yang berkepul-kepul memenuhi suasana. Bau hangit menusuk hidung, disulami bau hanyir darah yang menguasai persekitaran. Puing-puing runtuhan bangunan menghiasi bumi, bersama-samanya adalah mayat-mayat nan bergelimpangan.

                Burung-burung pemakan bangkai sudah mula berkeliaran di udara. Ada yang sudah turun, tidak sabar menjamah habuan.

                Barangsiapa yang melihat keadaan ini, rawan pasti akan mengetuk jiwanya. Tempat ini ibarat baru dilanggar garuda. Sungguhpun begitu, sesiapa yang tahu akan peristiwa yang sebenar, boleh mengakui bahawa sesuatu yang lebih dahsyat baru sahaja meninggalkan tempat ini.

                Kota malang yang bernama Ulung ini baru sahaja menjadi saksi kepada kekuatan tidak terhingga Sang Ashura dan bala tenteranya. Pertempuran antara Kerajaan Utopia dan Kesatuan Lima Kerajaan yang bermula di sempadan Kerajaan Utama, telah diseret sehingga ke kota ini. Terdesak, saki-baki kepimpinan Kesatuan Lima Kerajaan telah menjadikan kota ini sebagai pertahanan terakhir.

                Akibatnya, seluruh penduduk kota Ulung kini membayar harganya.

                Sang Ashura dan bala tenteranya tidak membiarkan walau satu nyawa pun berbaki. Semua bangunan yang berdiri, diruntuhkan. Orang tua yang tidak lagi punya kudrat, anak-anak kecil yang tidak mengerti apa-apa, serta wanita-wanita hatta yang sarat mengandung, semua disembelih tanpa belas dan ihsan. Menjadikan kota ini dibanjiri darah setinggi paras lutut buat beberapa ketika.

                Tiada seorang pun nampaknya yang terselamat.

                Dia sedikit kaget melihat suasana di sini.

                Kerana nasib kota ini memang sudah dijangka. Sudah berbuih mulutnya dan mulut rakan-rakan berpesan kepada kepimpinan Kesatuan Lima Kerajaan. Mereka tidak ambil peduli, dan hari ini mereka menerima balasan.

                Kehadirannya di sini sepatutnya untuk mendapatkan seseorang.

                Dengan keadaan sebegini, apakah insan itu masih hidup?

                “Urgh, urgh!”

                Dia menoleh ke arah suara tersebut datang.

                Di celah-celah timbunan puing-puing runtuhan bangunan, kelihatan seorang budak, sedang memanjangkan tangan ke arah sekujur tubuh wanita yang tidak lagi bernyawa. Budak itu selain dihimpit sisa runtuhan bangunan, tubuhnya juga rabak dengan luka yang amat besar. Darah membasahi diri. Rambut yang serabut dan wajah yang kusut, tidak dapat menyembunyikan kulitnya yang semakin pucat.

                Pasti akibat kehilangan darah yang banyak.

                Dia segera berlari mendapatkan budak tersebut.

                “Bonda! Bonda!” Budak itu melaung.

Namun, mayat wanita itu sudah pastilah tidak menyahut.

                Melihat dia datang, budak itu memandangnya dengan pandangan yang amat tajam. “Selamatkan bonda aku, tuan. Tolong!”

                “Bondamu sudah tiada, wahai anak.”

Dia melutut, rambut budak itu diusapnya lembut, sebelum dia memerhati sebentar ke arah timbunan sisa runtuhan bangunan yang menghempap tubuh kanak-kanak itu. Budak itu kembali ditatapnya.

Ada aliran air jernih menuruni pipi.

                “Aku akan mati di sini, bukan?”

                Dia menggeleng. “Aku akan menyelamatkanmu.”

                “Mustahil.”

                “Tidak ada apa yang mustahil jika Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya berkehendak.”

                Dia bangkit. Dua penumbuk dikepalnya. Nafas ditariknya dalam-dalam. Dapat dilihat tanah tempat dia berpijak, ketulan-ketulan batu dan kerikil di sekitarnya, mula bergetar. Kedua-dua belah tangan mula bergerak seperti mengikuti satu gerak tari, sebelum kedua-dua belah kaki dipasakkan.

                Tarian tangan diakhiri penumbuk kanan dibawa ke paras pinggang sementara tangan kiri memanjang ke hadapan dengan telapak yang terbuka.

                “Hah!” Tumbukan dilepaskan.

                Timbunan batu-batuan bangunan di hadapannya seperti ditiup angin nan kencang. Semua terhambur menjauh. Termasuklah bahagian yang menimpa budak tadi. Apabila dia melepaskan diri daripada postur itu dan menatap semula budak tersebut, mata budak itu sedang terbelalak.

                Tetapi pada masa yang sama juga, dia dapat melihat kecederaan yang dialami budak itu. Terlalu parah.

Segera dia melutut semula di tepi budak itu, dan menurunkan beg yang digalasnya. Tangan diseluk ke dalam beg tersebut, mengeluarkan satu gulungan yang diperbuat daripada kulit haiwan tebal. Apabila gulungan itu dibuka, terpapar alatan seperti gunting, pisau, benang serta beberapa botol cecair.

                Dia segera menjalankan tugasnya, merawat budak di hadapannya ini.

                “Siapakah engkau, tuan?” Budak itu bertanya, sedang dia tekun mencuci luka.

                “Aku Fathi Auni. Mulai hari ini, engkau akan bersama denganku.”

Satu botol kecil dicapainya, cecair daripada botol itu dicurahkan ke atas tubuh budak itu.

                Jelas kesakitan yang teramat sedang dirasai budak tersebut. Tetapi tiada jeritan. Budak itu dilihat sedang mengetap bibirnya. Tidak mahu mempamerkan sebarang kelemahan.

                “Untuk apa lagi aku teruskan hidup ini? Aku sudah tidak punya sesiapa.”

                “Engkau ada Allah SWT, Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya.”

                “Maka di mana Dia hari ini?”

                Fathi Auni diam.

                “Siapa namamu, duhai anak?”

                “Angkasa. Angkasa Sakti.”

                Gilirannya pula membulatkan mata. Kemudian, bibirnya perlahan-lahan mengukir senyuman lebar.

                “Dia ada, wahai anak. Engkau akan sedar kelak.”

“Koff, koff!”

Mata dibukanya perlahan. Batuknya semakin teruk kebelakangan ini. Namun, masih kekal dia bersila di anjung. Semenjak usai menunaikan solat Subuh. Di tengah-tengah belukar yang terdalam, jauh daripada manusia lain. Dia tinggal di sini, Ujong Medini, hanya ditemani tumbuh-tumbuhan, haiwan-haiwan dan kawanan unggas.

Hari ini, belukar ini menerima tetamu yang bukan biasa-biasa, dan dia merasainya.

                “Keluarlah, aku tahu engkau berada di balik pokok itu.” Dia bersuara, tidak terlalu kuat, tidak terlalu rendah. Cukup-cukup untuk suaranya didengari.

                Satu susuk tubuh keluar, menzahirkan diri.

                Lengkap berzirah hitam dari kepala hingga ke kaki. Tiada satu pun bahagian tubuh yang terzahir. Di belakang tubuh berzirah itu, berkibar sehelai mantel megah berwarna merah. Pada bahagian dada kanan zirah tersebut, terpamer lambang Kerajaan Utopia.

                Individu berzirah itu menggerakkan tangan kanan, menghentak sebatang tombak tiga mata, dan berdiri kaku di situ. Seperti menanti apa tindakan yang bakal dilakukannya terhadap kehadiran tetamu tidak diundang ini.

                “Masanya sudah semakin hampir, Jeneral End.” Dia bangkit daripada silanya. Batuk kuat mengiringi. “Ah, maafkan aku. Sudah tua, beginilah.”

                Dia bergerak untuk menuruni anjung. Sebelum kaki menginjak tangga kayu, dia memanjangkan tangan, mencapai sebilah pedang yang selama ini tersandar di balik tiang tangga tersebut.

                Pedang itu diangkatnya separas dada, sebelum tangan kanan mengenggam hulu senjata tersebut.

                Tetamunya masih kaku seperti patung.

                “Engkau tahu, aku bermimpi akan anak angkatku tadi. Mungkin aku rindukannya.”

                Batuk membuntuti bicaranya. Kali ini, batuknya mengeluarkan darah.

                Tetamunya masih membatu.

                “Sang Ashura akan ditewaskan. Dunia ini akan mengalami perubahan.”

                Ketika ini, tetamunya bergerak. Tangan kanan diangkatnya sedikit, buntut tombak tiga mata itu dihentak ke tanah.

Merekah.

                Dia tersenyum lebar. Tangan kanan terus menghunus senjata.

                “Ayuh!”

***

Matanya terbuka. “Astaghfirullah.”

                Istighfar diulang berkali-kali, sambil wajah diraupnya. Dia masih terpisat-pisat dek kesilauan. Matahari sudah naik sepenggalah. Nampaknya dia telah tertidur selepas menunaikan solat Subuh tadi. Dia sudah beberapa hari sebenarnya tidak benar-benar merehatkan diri. Mungkin dek keletihan yang melampau, apa yang diniatkan sekadar untuk berehat sementara menanti mentari terbit, sudah terlajak hingga ke tengah pagi.

                Itupun dia terbangun kerana dikejutkan mimpi.

                “Mimpi yang aneh.”

                Dia bermimpikan pertemuan pertamanya dengan Bapa. Sepuluh tahun yang lalu. Perlahan-lahan dia menyelak pakaian, menyerlahkan bahagian dada. Parut besar masih tidak hilang, menjadi tanda akan memori silam yang pasti tidak akan pudar.

Bapa telah menyelamatkan nyawanya.

                 Semenjak peristiwa tersebut, Bapa telah membesarkannya di sebuah tempat yang terpencil bernama Ujong Medini. Jauh daripada ketamadunan insan dan persengketaan dunia.

                Hanya pada satu masa, tidak lama selepas Bapa menyelamatkan dia, Bapa meninggalkannya berseorangan di situ. Selepas itu, Bapa pulang kemudian dan tidak lagi meninggalkannya.

                Bersama-sama Bapa, dia dibesarkan dan dididik menjadi seorang yang benar-benar mengenal Allah SWT, Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya. Bapa jugalah yang melatih dia dengan seni tempur, dan sangat kuat usaha Bapa bagi mempersiapkan dirinya menjadi seorang pendekar ampuh.

                “Engkau manusia terpilih, wahai anakku.”

                “Terpilih untuk apa, Bapa?”

                “Terpilih untuk membawa perubahan kepada dunia.”

                Maka membesarlah dia dengan semangat untuk membebaskan dunia ini daripada cengkaman kekejaman Sang Ashura.

                Kini, selepas sedekad menuntut pelbagai ilmu daripada Bapa, dia telah dewasa menjadi seorang pemuda, dan telah diberikan tanggungjawab menuju ke Tanah Haram Makkah.

                Khabar Bapa, penduduk Tanah Haram Makkah akan memerlukannya.

                Usaha mengubah dunia akan bermula di sana, ujar Bapa.

                “Apakah Bapa fikir aku telah cukup bersedia?”

                “Sampai bila pun kita tidak akan rasa cukup bersedia, Angkasa.”

                “Maka mengapa Bapa menghantarku pergi sekarang? Tambahan, keadaan Bapa yang semakin tidak sihat. Aku rungsing meninggalkan Bapa berseorangan.”

                Senyuman manis terukir pada wajah Bapa.

                “Aku tidak pernah berseorangan, Angkasa. Aku sentiasa bersama Yang Maha Memberikan Petunjuk.”

                “Bapa, aku serius.”

                “Dan aku juga serius. Perjalanan akan lebih mempersiapkan engkau untuk perjuangan ini. Percayalah.”

                Maka dia pun memulakan perjalanan. Meninggalkan Ujong Medini. Mengembara jauh ke Shandian, untuk pergi ke Tanah Haram Makkah yang terletak di tengah-tengah sahara.

                Kini, dia sudah beberapa hari meninggalkan Shandian, dan melepasi beberapa perkampungan kecil. Jangkaan Angkasa Sakti, dia akan bertemu satu lagi penempatan terakhir, sebelum dia perlu mendapatkan mana-mana kafilah perniagaan, bagi menumpang ke Tanah Haram Makkah.

                Walaupun daripada maklumat yang dikumpulnya, tempat itu tidak bergantung sumber kehidupan mereka dengan dunia luar, tetap wujud pedagang-pedagang yang suka berniaga di sana dan mereka diterima dengan baik.

                “Ah, panjang pula berkenang-kenangan.”

Angkasa Sakti menghela nafas. Lantas dia bangkit daripada duduk, dan beg segera dicapainya. Dia ingin mengeluarkan sebotol air untuk berwudhu’, bagi menunaikan solat sunat Dhuha.

                Tetapi kemudian, dahinya berkerut-kerut.

                “Di manakah pedang aku?”

                Beg diangkatnya, walaupun jelas pedang itu tidak berada di situ.

                Ketika ini, lehernya terasa sejuk. Pergerakannya kaku serta-merta.

                “Ya, jangan bergerak. Engkau tahu apa yang bakal berlaku.” Satu suara kedengaran. Jelas daripada suara itu, pemiliknya masih terlalu muda.

                Angkasa Sakti melirik ke kanan. Dia dapat melihat pedang warisan Bapa itu terjulur di sisi leher. Pedang itu sudah tidak berbalut kain kasa, menzahirkan sarungnya yang jelas unik. Jauh berbeza dengan kebanyakan sarung senjata yang ada.

                “Aku sangka engkau tidak membawa apa-apa yang berharga. Tetapi siapa dapat menjangka, di balik balutan, ini merupakan sesuatu yang tidak pernah aku lihat. Pasti nilainya sangat mahal, dan bakal mengenyangkan aku untuk bertahun-tahun!”

                Belakang tubuhnya kemudian disepak, menyebabkan dia menjauhi pemilik suara. Angkasa Sakti berpaling, cuba melihat pencuri pedang warisan bapa.

                Seorang remaja, berusia sekitar 15 tahun mengikut jangkaan Angkasa Sakti. Rambut sedikit serabut dan berwarna hitam lebat. Pakaian budak itu kusut, tangannya terdedah, tetapi lengannya berbalut kain kasa. Tangan kanan remaja itu sedang mengacu pedang warisan Bapa ke arahnya.

                “Engkau kini berseorangan, tidak bersenjata. Apakah engkau mahu merampas kembali pedang ini?”

                Angkasa Sakti diam. Bukan dia tidak boleh merampas kembali senjatanya itu dengan mudah. Tinggal dia tidak mahu mencederakan seorang remaja. Tambahan, mindanya sedang kuat berfikir, apa yang menyebabkan seorang budak sebegini muda berani menjadi perompak?

                “Jawablah. Atau engkau sedang ketakutan memikirkan nasibmu?”

                Senyuman mula menghiasi bibir Angkasa Sakti. Perlahan dia menggeleng.

                “Engkau fikir engkau akan selamat? Siapa yang akan menyelamatkanmu di sini?” Remaja itu menengking. Matanya menjegil. Jelas dia tercabar dengan reaksi Angkasa Sakti.

                Angkasa Sakti memaku pandangannya tepat ke arah remaja tersebut. “Allah.”

                Mata remaja itu terbeliak. Pedang warisan Bapa terus terjatuh daripada pegangannya, menyebabkan remaja itu kaget dan kelam kabut. Segera dia menunduk dan mencapai semula pedang tersebut, tergesa-gesa mengacukannya semula ke arah Angkasa Sakti.

                Angkasa Sakti tertawa kecil. “Adalah lebih baik jika engkau memulangkan pedang itu dengan rela hati.”

                “Engkau fikir aku tidak akan menggunakannya?”

Tangan kiri remaja itu merentap sarung pedang tersebut. Tangan kanan mula ditariknya untuk menghunus. Namun, pedang itu tidak bergerak.

                Dahi remaja itu berkerut-kerut.

                “Mengapa …” Dia menarik tangannya sekuat hati, tetap pedang itu tidak tercabut daripada sarungnya.

                Remaja itu mengangkat wajah, mahu melihat semula Angkasa Sakti. Alangkah terkejutnya dia, Angkasa Sakti sudah berdiri betul-betul di hadapannya. Terus pedang tersebut dilemparkan ke arah Angkasa Sakti, seraya tubuhnya jatuh dan punggung menghenyak bumi.

                Angkasa Sakti menangkap pedang warisan Bapa dengan tangan kiri, sebelum tangan kanan mengenggam hulu senjata tersebut. Ada sinaran terbit dari tempat bertemunya sarung dan hulu senjata tersebut.

                Pedang itu kemudian perlahan-lahan dihunusnya, sebelum bilah senjata itu diletakkan di sisi leher remaja yang sedang menggigil ketakutan itu.

                “Sekarang, siapa pula yang akan menyelamatkanmu di sini?”

                Angkasa Sakti mengangkat kening sambil bibir dihiasi seulas senyum.

***

Sekumpulan kanak-kanak kelihatan sedang bermain salji di perkarangan bangunan berbentuk kiub. Mereka baling-membaling sesama sendiri ketulan-ketulan salji yang dimampatkan dengan seronok. Keceriaan terpapar dengan jelas pada wajah masing-masing.

Tiba-tiba mereka berhenti bermain apabila perasan akan kehadiran seseorang. Ibu bapa dan orang ramai yang ada di kawasan itu turut berdiri serta-merta.

                Dengan wajah yang manis dan kelihatan seakan sangat bahagia, kanak-kanak tadi segera berlari merapati individu tersebut. Ibu-ibu dan wanita-wanita yang berada di situ berebut-rebut untuk bersalaman dengan individu tersebut seraya mengucapkan pujian serta penghormatan kepadanya. Kaum Adam pula sekadar menunduk hormat sambil melontarkan senyuman senang.

                Individu tersebut merupakan seorang perempuan yang sangat cantik. Sedang berpakaian putih yang tebal lagi labuh, kepalanya ditutupi hijab menyembunyikan rambut. Pakaian yang sederhana  itu tidak menghalang keindahan peribadinya daripada terserlah. Kanak-kanak semuanya kelihatan amat senang bersamanya. Orang ramai juga kelihatan bahagia dengan kehadirannya.

                Maisarah terus tersenyum manis melayan semua.

                “Seronok ya?” Dia menunduk sambil mengusap-usap rambut seorang anak kecil.

                “Em.” Anak kecil itu mengangguk sambil menunjukkan gumpalan salji pada kedua-dua telapak tangan. Kemerah-merahan tangan anak itu kesejukan. Tetapi dia tidak peduli kerana sangat gembira dengan fenomena yang tidak pernah dialaminya itu.

                “Mainlah, tapi berhati-hati ya?” Maisarah memegang kedua-dua tangan anak kecil itu dan menutupkannya, menggumpal salji tersebut dengan tangan kecil itu.

                Anak kecil itu tersenyum gembira. Maisarah juga tersenyum sehingga kelihatan barisan giginya yang putih.

                Anak kecil tersebut bersama-sama rakannya sambung bermain dengan gembira. Maisarah sekadar menghantar pemergian mereka dengan senyuman. Semua yang melihat keadaan itu tersenyum sahaja.

Maisarah langsung tidak kekok dengan rakyat jelata. Walaupun merupakan puteri kepada Ruh Faizan yang amat dihormati dan disegani, Maisarah langsung tidak pernah meninggi diri.

                Dia ibarat rembulan indah yang menyenangkan manusia dengan cahaya yang dipantulkan daripada matahari. Akhlak Islam yang dididik dalam diri Maisarah umpama cahaya daripada matahari dan Maisarah adalah yang memantulkan keindahan itu daripada-Nya. Semua rakyat Tanah Haram Makkah mengenali Maisarah dan menyenanginya. Lebih-lebih lagi yang tinggal di persekitaran Kaabah, bangunan berbentuk kiub itu.

                “Jika anakanda yang terlebih dahulu menyantuni rakyat jelata, sering ayahanda terasa bahawa ayahanda dinaungi bayangan anakanda.” Suara Ruh Faizan kedengaran.

                Maisarah menoleh sambil tersenyum. Perlahan-lahan dia bangun. “Mana ada, ayahanda. Semua orang menghormati anakanda kerana anakanda adalah anak kepada ayahanda.”

                Ruh Faizan menggeleng dengan garisan manis. “Kalau kamu bukan anak ayahanda, pasti rakyat tetap mencintai kamu, Maisarah. Kamu punya akhlak yang menawan.”

                “Hasil didikan ayahanda juga.”

Maisarah merapatkan diri kepada Ruh Faizan. Dalam apa jua hal, Maisarah tidak pernah meninggikan diri. Dia terdidik dengan didikan syurga.

                Ruh Faizan menggeleng lagi. “Didikan arwah bondamu sebenarnya. Sebab itu kamu amat mirip dengannya.”

                Maisarah mengangguk perlahan. Terkenang dia akan Bonda. Mati dalam satu peperangan di luar Tanah Haram Makkah sekitar sembilan tahun yang lalu. Bonda menemani Ayahanda ketika itu, dan terkorban dek cuba menyelamatkan ayahandanya daripada serangan musuh.

                Ayahanda amat terluka dengan apa yang terjadi. Bonda sebelum itu adalah ibarat sayap Ayahanda. Banyak urusan Ayahanda dipermudahkan dengan kehadiran Bonda. Kesengsaraan memerintah pada era Sang Ashura ini, menjadi ringan dengan keberadaan Bonda di sisi. Kehilangan Bonda memang menguji ayahandanya. Seluruh rakyat Tanah Haram Makkah ketika itu berkabung dan bersedih. Semua sangat mencintai bondanya. Apatah lagi Ayahanda. Namun, dia melihat ayahandanya tetap berusaha untuk tabah. Tetap tenang berurusan dengan rakyat, tetap cekal mengharungi peperangan demi peperangan.

                Semenjak peristiwa itu juga, menjadi polisi bagi Tanah Haram Makkah untuk tidak berperang jauh dari perbatasan.

                Pada hari itu, mereka mengenali kedahsyatan tentera Kerajaan Utopia.

                “Ayahanda terkenang akan bonda?” Maisarah bertanya sambil langkahan mereka diteruskan.

                Ruh Faizan mengangguk perlahan. Mata memandang sekeliling, memerhatikan kegembiraan rakyat menikmati fenomena salji. Setiap kali terkenang dan berbicara berkenaan arwah isteri, hatinya akan sebak dengan sendiri. Namun sering dipujuk oleh suasana rakyatnya, yang jelas turut menghadapi penderitaan hidup semasa era ini bersama-samanya.

                Apakah dia patut bersikap lemah dan terus bermuram durja, sedang sekelompok besar manusia berharapkan kekuatannya?

                “Maisarah, kamu jangan tinggalkan ayahanda ya?”

Ruh Faizan merapati puterinya. Tubuh Maisarah didakapnya erat, penuh kasih dan harapan. Maisarah terjeda sebentar.

“Insya-Allah, ayahanda. Jangan ayahanda risau. Anakanda dan Kekanda Aizan akan sentiasa berusaha menemani ayahanda. Kita akan bersama-sama menempuhi segala cabaran yang mendatang.”

                Ruh Faizan menggariskan senyuman. Dakapan dilonggarkan. Bahu Maisarah ditepuk-tepuk, salji yang terkumpul pada jubah puterinya itu disisihkan. Wajah Maisarah ditatap penuh mendalam, sebelum pipi puterinya itu dicubit mesra.

 Keeratan yang terzahir itu, melebatkan lagi cinta rakyat kepada mereka. Rakyat memandang pemimpin sebagai qudwah. Jika pemimpin menunjukkan kebaikan, maka jiwa rakyat akan tersemai dengan cinta dan kasih sayang. Begitulah sebaliknya jika pemimpin menunjukkan akhlak yang buruk.

                Dalam menyayangi keluarganya, Ruh Faizan tidak pernah berselindung. Keeratannya dengan ahli keluarga boleh berlaku pada bila-bila masa, dan sering dipamerkan di khalayak.

                Ini memotivasikan rakyatnya untuk saling berkasih sayang sesama mereka.

                Salah satu daripada teras kekuatan penduduk Tanah Haram Makkah.

                “Tuanku, tuanku!” Satu suara kuat kedengaran membelah suasana.

                Ruh Faizan dan Maisarah sama-sama menoleh. Kelihatan seorang tentera sedang memacu kuda mendekati mereka berdua. Belum pun kuda itu hampir kepada mereka berdua, tentera itu sudah terjun. Nampak sungguh dia sangat tergesa-gesa. Pasti ada berita yang besar dibawanya.

                “Bertenang, bertenang.”

Ruh Faizan mengangkat kedua-dua tangan apabila tentera itu berhenti di hadapannya dalam keadaan termengah-mengah.

                “Apa yang telah berlaku sehingga engkau berkeadaan begini?”

Ruh Faizan menepuk kedua-dua bahu tentera itu. Langsung tidak membezakan darjat antara mereka berdua. Cuba menyalurkan ketenangan.

                “Gerombolan Tentera Wuriar kelihatan di hadapan benteng, tuanku!”

                Mata Ruh Faizan membulat. Maisarah turut tersentak. Tentera dari Raidom yang dipimpin oleh Rafayel baru sahaja berundur. Kini tentera dari Wuriar pimpinan O Zero pula mampir. Belum pernah Kerajaan Utopia melaksanakan serangan bertali arus seperti ini.

                Biasanya, selepas satu peperangan, akan ada sebulan atau dua bulan jeda waktu untuk mereka bernafas. Sebelum datang bala tentera yang seterusnya.

                Kehadiran dua buah bala tentera dari dua wilayah yang berbeza bermakna ini sudah dirancang semenjak awal. Semenjak sebelum Rafayel Angelo datang menggegar Tanah Haram Makkah lagi.

                Ruh Faizan menghela nafas. Asap nipis keluar mengiringi helaannya.

                “Seru Aizan Fahmi dan Saad Waqqas untuk menyertaiku ke sempadan sekarang juga. Arahkan mereka bersiap dengan bala tentera masing-masing! Sebelum Zuhur, kita sudah perlu bergerak!”

                Tegas suara Ruh Faizan. Wajah yang biasanya tenang dan nyaman itu, kini mempamerkan kredibiliti seorang jeneral.

                Maisarah memandang Ruh Faizan. “Ayahanda, mengapakah ayahanda perlu turut serta?”

                “Kejadian seperti ini pertama kali berlaku. Tentera-tentera kita di sempadan perlukan sokongan moral. Maka ayahanda perlu berada di sana bersama-sama mereka menghadapi cabaran ini. Jelas Sang Ashura seperti sudah tidak mahu menanti lagi bagi menumbangkan kita.”

                Maisarah diam. Wajahnya risau. Ruh Faizan perasan akan perubahan wajah anakandanya itu. Lantas dirapatkan tubuh Maisarah ke dadanya.

                “Bertenang, wahai puteriku. Dengan izin Allah, tidak akan ada apa-apa perkara buruk yang terjadi. Bukankah biasanya tentera musuh akan berundur?” Belakang kepala Maisarah diusap-usapnya lembut.

                “Bolehkah anakanda menyertai ayahanda dan kekanda?”

                Ruh Faizan terdiam.

                Maisarah sedar, pertanyaan tersebut mungkin menjentik memori buruk daripada benak fikiran ayahandanya. Memori akan Bonda. Sekilas rasa menyesal menyelit di hati, tetapi ingin membuak-buak dalam diri untuk dia berada di barisan hadapan.

                Perlahan-lahan tangan Ruh Faizan menyentuh pipinya.

                Pandangan mereka berdua bertaut.

                “Puteriku, engkau tinggallah di sini. Bersama-sama rakyat. Insya-Allah, ayahanda dan kekandamu akan pulang semula.”

                Ruh Faizan kemudian menepuk-nepuk lembut pipinya sebelum berpaling. Maisarah sekadar mampu terangguk-angguk, melihat ayahandanya berlalu. Namun, tidak lama kemudian, dia mengetap geraham. Kedua-dua tangan digenggam erat.

                “Aku tidak akan berdiam diri!”

***

“Kenapa kita perlu tergesa-gesa berpatah semula ke sana?”

                Sahabatnya itu mengerutkan dahi. Mungkin hairan dengan saranannya yang nyata agak tiba-tiba itu. Sedangkan mereka baru sahaja bertemu semula di tengah-tengah Shandian setelah berpisah buat beberapa ketika.

                “Aku mendengar berita bahawa Tanah Haram Makkah turun salji.”

                “Hmm, menarik. Ia sesuatu yang luar biasa untuk tempat itu, bukan?”

                Dia memandang sahabatnya itu. Tubuh sahabatnya yang agak tinggi menyebabkan dia terpaksa sedikit mendongak.

                “Benar. Sepertinya satu petanda besar. Bukankah salah satu petanda akhir zaman ialah turunnya salji di Tanah Haram?”

                “Mungkin juga bukan apa-apa. Hanya perubahan cuaca.”

                “Engkau tidak berminat?”

                “Apakah hanya kerana itu kita perlu kembali? Kita sudah berjalan terlalu jauh.”

                “Sejak bila engkau jadi pemalas?”

                Sahabatnya ketawa. “Arnav, aku bergurau sahaja.”

                Lelaki yang dipanggil Arnav itu tersengih sambil menggeleng. Sahabatnya ini memang suka menyakat.

                “Ashok, aku dengar tentera dari Wuriar juga kini berada di Tanah Haram Makkah.”

Arnav merujuk kepada maklumat yang baru didengarinya. Perbualan hangat berkenaan perkara itu berlangsung di kedai makan berhampiran tempat dia membeli sedikit bekalan sebentar tadi.

                Ashok, atau nama sebenarnya Ashoka terbeliak. “Menarik!”

                “Kerana itu, aku fikir kita perlu kembali ke sana.” Arnav menyilang kedua-dua belah tangan.

                Dia dan Ashoka sama-sama seperti mengambil masa, berfikir lebih panjang.

                Mereka dari Kerajaan Janggel, yang letaknya di arah selatan Shandian. Mereka baru sahaja sebenarnya pulang daripada memerhatikan keadaan Tanah Haram Makkah yang digempur oleh bala tentera Raidom pimpinan Jeneral Rafayel, salah satu wilayah kekuasaan Kerajaan Utopia.

                Asalnya mereka ke Tanah Haram Makkah sebagai utusan Kerajaan Janggel, bagi mencari jalan untuk meleraikan kekusutan antara dua kerajaan tersebut. Ini bukanlah kali pertama mereka mewakili Kerajaan Janggel untuk ke sana. Sekadar kebetulan, apabila keberadaan mereka di sana hampir berakhir, tentera dari Raidom tiba.

                Ruh Faizan telah mengarahkan mereka lekas pulang, agar tidak terlibat dengan pertempuran tersebut. Begitulah pemimpin Tanah Haram Makkah, sangat memikirkan keadaan orang lain berbanding diri sendiri.

                “Mengapa? Bukankah kami boleh bertarung bersama?”

                “Saudara Arnav, alangkah mulianya niat kamu. Tetapi bukankah Raja Ali Qadri hanya menghantar kalian sebagai utusan? Baginda masih tidak mahu membina kerjasama antara kita. Maka sudah semestinya tidak pantas bagi aku untuk melibatkan sesiapa daripada Kerajaan Janggel dalam mehnah ini.”

Lembut, sopan dan disertai senyuman yang menyenangkan. Walhal tentera Kerajaan Utopia sedang menggegar perbatasan.

                Perawakan dan sikap Ruh Faizan memang sukar dilupakan.

                Kerana itu Ruh Faizan sentiasa berada pada satu tempat yang tinggi dalam hatinya, dan dia yakin Ashoka juga begitu. Kagumnya kepada pemimpin Tanah Haram Makkah, tidak bertepi.

                Agak ralat apabila dia dan Ashoka tidak diberikan apa-apa kuasa untuk bersetuju dengan saranan-saranan Tanah Haram Makkah, memandangkan Raja Ali Qadri tidak langsung berminat untuk berkongsi kuasa dengan Ruh Faizan dalam menentukan nasib umat Islam.

                Raja Ali Qadri merasakan bahawa dia sepatutnya menjadi ketua terulung bagi memimpin umat Islam mendepani Kerajaan Utopia. Untuk itu, antara tuntutan Raja Ali Qadri adalah Ruh Faizan mestilah turun daripada takhta, dan Tanah Haram Makkah mestilah dianggap menjadi sebahagian daripada Kerajaan Janggel.

                Permintaan yang sukar ditunaikan, memandangkan Ruh Faizan sangat dicintai penduduk Tanah Haram Makkah, dan para tentera di sana teramat setia kepadanya. Permintaan Raja Ali Qadri itu akan melemahkan ummah sahaja. Untuk itu, Ruh Faizan tidak pernah lelah menjemput utusan daripada Kerajaan Janggel untuk berbincang.

                Jika ikutkan hati Arnav, dia mahu bersetuju sahaja dengan cadangan dan saranan yang telah dibentangkan oleh Ruh Faizan selama ini. Namun, apakan daya, dia hanya menurut perintah.

                Mengenangkan kebaikan Raja Tanah Haram Makkah itulah, Arnav tidak senang mendengar tempat itu menerima serangan bertali arus. Dia mahu kembali dan membantu, hatta jika dibantah.

                “Aku fikir, yang terbaiknya adalah kita pulang. Perjalanan ke Tanah Haram Makkah mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu dari sini jika kita menaiki kuda dan menunggangnya dengan pantas. Kita tidak akan sampai tepat pada masanya. Tambahan, Raja Ali sedang menanti kepulangan kita. Sekiranya kita tidak pulang pada masanya, dia akan kerisauan dan bersangka-sangka.” Ashoka bersuara, memecah sunyi antara mereka.

                Arnav menggeleng. “Aku tidak boleh, Ashok. Aku perlu kembali ke Tanah Haram Makkah. Aku perlu membantu Baginda Ruh Faizan. Baginda orang yang baik dan perlu dilindungi.”

                “Engkau fikir mereka akan bertahan dua minggu?”

                “Mereka bertahan dua minggu berhadapan Jeneral Rafayel.”

                “Ya, dan dua minggu lagi menghadapi Jeneral O Zero? Seajaib mana pun kisah yang berlegar di sekitar bertahannya Tanah Haram Makkah, aku tidak fikir mereka akan mampu bertahan kali ini. Pertama kali digempur bertali arus!”

                “Maka lebihlah lagi aku perlu ke sana.”

                “Engkau seorang boleh buat apa?”

                “Sekurang-kurangnya aku berusaha. Dan aku tidak akan keseorangan.”

                “Sebab engkau ada Allah SWT? Klise-lah!” Ashoka mencebik.

                Arnav tertawa. “Ya, dan aku ada engkau, yang hebat, handal, pahlawan bukan calang-calang.”

                “Ewah, ewah. Ingat itu dapat pujuk aku untuk bersama engkau? Engkau fikir engkau bijak sangat ya?”

                “Menjadi tak?”

                Ashoka terdiam, manakala Arnav menanti bicara sahabatnya itu dengan senyuman.

                “Menjadi. Ayuh. Kita perlu dapatkan tunggangan terlebih dahulu.”

Ashoka ketawa dengan kuat, berjalan ke arah barat sambil menepuk belakang tubuh Arnav seraya melepasinya. Arnav ketawa sambil menggeleng, dan membuka langkah beriring dengan Ashoka.          

***

Pedang gergasi dipacakkan ke tanah. Dia duduk dalam keadaan yang sangat angkuh. Berzirah dari hujung kaki hingga ke hujung kepala, bertopeng yang hanya menampakkan mata, bersama mantel kebesaran yang megah. Dia meletakkan kedua-dua belah tangan di atas hulu senjatanya. Walaupun tubuh sudah amat besar, sekitar dua kali ganda manusia biasa, pedang itu lebih panjang daripada dirinya.

                Matanya mencerun memandang benteng Kerajaan Tanah Haram Makkah yang masih belum pernah berjaya ditembusi mana-mana Jeneral Utopia. Tiga wilayah Utopia yang sering menggempur Tanah Haram Makkah sepanjang sedekad ini adalah wilayahnya, Wuriar. Kemudian, Raidom dan Shandian. Sekali-sekala, pada tahun-tahun yang tidak dijangka, wilayah Sengshi pimpinan Tomo Gozen akan menghantar bala tenteranya.

                Walaupun pelbagai strategi sudah dicuba dan dijalankan, namun setakat ini, belum ada dalam kalangan mereka yang berjaya.

                Tanah Haram Makkah mempunyai perlindungan yang sangat ampuh. Sekeliling sempadannya dikorek parit yang besar lagi dalam, dan juga jauh. Jarak antara hujung parit ke hujung parit tersebut sekitar dua batu jauhnya.

Untuk memasuki Tanah Haram Makkah, hanya ada satu jalan. Jalan itulah yang terbentang di hadapannya kini. Sebuah jambatan besar di hadapan pintu gerbang atau gapura raksasa. Jambatan tersebut merupakan tanah asal yang ditinggalkan sebagai satu-satunya jalan masuk, supaya gerombolan musuh yang ramai tidak akan mampu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menggempur tempat ini. Manakala gerbangnya pula dibina daripada aloi besi yang amat kukuh serta tebal. Tidak mudah untuk ditumbangkan, jauh sekali ditembusi.

Dengan itu sahaja, Tanah Haram Makkah sudah amat terjaga dan utuh. Belum dikira lagi dengan fenomena aneh yang menyelubungi tempat ini. Apabila mana-mana musuh berjaya sampai ke hujung jambatan dan mahu memperapa-apakan pintu gerbangnya, mereka akan kehilangan kuasa dan menjadi lemah.

Ini fenomena ajaib yang masih tidak dapat dirungkai, dan diketahui ramai ketika gempuran pertama tentera Kerajaan Utopia terhadap tempat ini. Apabila berita ini sampai kepada Sang Ashura, arahan telah dikeluarkan melarang mana-mana Jeneral untuk merapati pintu gerbang Tanah Haram Makkah, sekiranya tentera mereka tidak berjaya melakukannya.

Tempat ini juga kebal daripada sebarang kepungan, dek kerana mereka mempunyai sumber air yang tidak pernah putus sejak zaman-berzaman bernama zam-zam. Mereka juga mempunyai bekalan makanan tersendiri dan tidak bergantung kepada dunia luar bagi mendapatkan sumber bagi meneruskan kehidupan.

Tanah Haram Makkah pernah dikepung selama sebulan lamanya oleh Tomo Gozen dan bala tentera Sengshi. Hanya untuk mereka pulang dengan penuh aib dan kehilangan nyawa yang banyak.

Ini menjadikan Tanah Haram Makkah amat sukar ditumbangkan.

Sedekad mereka mencuba, sedekad mereka masih belum berjaya.

                Sekarang, Tanah Haram Makkah yang sememangnya terkenal dengan suhunya yang tinggi ini, dituruni salji secara tiba-tiba. Walhal tempat ini sepatutnya panas terik sepanjang masa. Hanya sekali-sekala hujan, dan suhu turun sedikit rendah. Tetapi sebegini sejuk, sehingga salji turun memutihkan muka bumi? Ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

                Apakah Sang Ashura mengetahui hal ini akan berlaku? Kerana itu dia dan tenteranya diarahkan mengekori tentera Rafayel beberapa hari selepas itu?

Pertempuran bertali arus sebegini belum pernah berlaku. Ini pertama kali dalam sejarah perseteruan Kerajaan Utopia dan Kerajaan Tanah Haram Makkah.

Dia menghela nafas. Asap putih nipis keluar daripada ruang nipis pada zirah wajahnya.

Walau apapun, dengan keadaan Tanah Haram Makkah yang baru digempur, kemungkinan kali ini mereka akan berjaya menembusi benteng tempat ini.

Oleh kerana ini kali pertama tentera Utopia membuat gempuran bertali arus, menjadi tanggungjawabnya untuk tidak menconteng arang ke wajah Sang Ashura dengan kekalahan. Dia perlu menang, jika tidak, apa akan dikata orang? O Zero terpaksa berundur sedang Tanah Haram Makkah sudah digempur sebelumnya oleh Rafayel?

Bukan sahaja keagungan Kerajaan Utopia akan tercalar, bahkan maruahnya juga akan hilang!

Dia bangkit. Tidak mahu menanti lebih lama. Kerana semakin lama dia menanti, semakin Tanah Haram Makkah mampu bersedia. Tambahan, dia sudah berada di sini lebih daripada sehari. Tenteranya sudah mengambil masa yang cukup untuk membina khemah dan membuat persiapan bagi menghadapi peperangan kali ini.

Baru sahaja dia mahu mengangkat pedang gergasi miliknya, tindakan itu terbantut tatkala melihat seorang askar berlari ke arahnya.

                “Jeneral O!” Askar itu terus melutut di hadapannya, tidak mengangkat wajah.

                “Ya? Atas gerangan apa engkau berkeadaan sebegini rupa?”

                “Kita masih tidak boleh menyerang Tanah Haram Makkah, Jeneral O!”

                Dahinya di balik zirah, berkerut seribu. Matanya menjegil tajam. Spontan auranya naik menekan suasana, menyebabkan beberapa ekor tunggangan tentera berhampiran merengek dan tentera-tentera itu tidak mampu mengawal keadaan masing-masing.

                Tentera di hadapannya pula kelihatan mengetap bibir. Melawan tekanan yang terhasil daripada aura yang dilepaskannya.

                “Mengapa?” O Zero meninggikan suara. “Apa yang menghalang?”

                “Raja Ruh Faizan mohon bersemuka dengan jeneral.”

                O Zero tersentak.

                Belum pernah Raja Tanah Haram Makkah, Ruh Faizan, keluar bertemu dengan mana-mana Jeneral Utopia dalam perseteruan mereka sepanjang sedekad ini, kecuali pada peperangan pertama tatkala Tanah Haram Makkah menghadapi Long Berk dan tentera Okhrana pimpinannya.

Ruh Faizan sendiri pasti sangat arif bahawa Kerajaan Utopia tidak mengamalkan rundingan.

                “Aku tidak peduli, kita serang juga!” O Zero berteriak berang. Pantang dia diarahkan sesiapa selain daripada Sang Ashura.

                “Masalahnya …”

Tentera itu berusaha hendak menjelaskan keadaan. Namun, belum sempat dihabiskan bicara, kepalanya terlebih dahulu melayang. Pedang gergasi O Zero telah dilibas pantas.

                Ini menunjukkan kehebatan O Zero. Walaupun bertubuh besar dan senjatanya juga bersaiz gergasi, itu tidak bermakna pergerakannya lembab.

                Ketika inilah juga, tatkala darah masih bersemburan daripada leher tentera itu, mata O Zero menangkap dua lagi kelibat manusia dari kejauhan yang sebelum ini tersembunyi di sebalik kepala tenteranya.

                Seorang lelaki lengkap berzirah perang dengan helmet yang memaparkan wajah. Wajah itu amat dikenalinya.

Aizan Fahmi, Jeneral Kedua Tanah Haram Makkah.

Ini bukan kali pertama mereka bersua muka. Jeneral Kedua Tanah Haram Makkah itu kelihatan gagah dengan tangan kiri memegang tali kekang kuda, sementara tangan kanan kejap menggenggam sebatang tombak nagitana dengan ukiran kepala naga pada pemegang bilahnya.

                Di sisi Aizan Fahmi, kelihatan seorang lelaki bertubuh tinggi, berjubah tenunan unik, dengan wajah cerah dihiasi jambang tebal, bersama janggut dan misai yang lebat, sedang menunggang kuda beriring dengan Jeneral Kedua Tanah Haram Makkah itu.

                Lelaki itu belum pernah ditemuinya sebelum ini.

                Lelaki itu turun daripada kuda yang ditunggangi, manakala Aizan Fahmi kekal di atas tunggangannya.

                “Ruh Faizan?” O Zero meneka.

                Lelaki itu melemparkan senyuman kepadanya. “Ya, jeneral. Aku, Ruh Faizan. Raja Tanah Haram Makkah.”

                Mata O Zero membulat!